Oct 11, 2017 - 811

Label Kasut Ini Buat WANITA MENGGILA Beli Kasut, Berpasang-pasang! — Ini Rupanya yang Kami Jumpa

Apa itu KULET? Mengapa label lokal ini mendapat sambutan hangat apabila setiap kali mengeluarkan koleksi terbaru? Kalian ingin tahu apa mereka lakukan? Ayuh baca temu bual eksklusif kami.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

Ceritakan serba-sedikit latar belakang mengenai Kulet dan mengapa kalian memilih nama Kulet sebagai satu jenama?

Aina Syahirah: Saya sentiasa mempunyai niat dan minat untuk memulakan perniagaan sendiri. Walau bagaimanapun, faktor masa yang tidak sesuai ketika itu membuatkan saya menangguhkannya seketika kerana berasakan keperluan untuk belajar dan mendapatkan lebih banyak pengalaman serta dalam masa sama mendalami ilmu pengetahuan perniagaan dan industri fesyen.

 

Tetapi saya sentiasa mempunyai minat yang mendalam mengenai kasut – lantas menggerakkan kami untuk tampil dengan idea memperkenalkan Kulet. Alasan Kulet dipilih sebagai nama jenama itu kerana saya berasakan ia akan mudah menembusi pasaran antarabangsa, malah ia mencerminkan akar budaya di Malaysia.

 

 

 

Daripada kawan kemudian beralih ke rakan perniagaan, kongsikan cerita di sebaliknya?

Julie Anne: Kami pada mulanya bekerja di salah sebuah fashion company. Sebelum kemunculan Kulet, kami mempunyai pengalaman pertama dalam cara menjalankan syarikat permulaan.

 

Bekerjasama bukan sahaja mengeratkan persahabatan kami, tetapi lebih daripada itu; kami menyedari bahawa sebenarnya bekerja bersama- sama memberi kebaikan kepada diri masing-masing.

 

Kami sama-sama sudah biasa dan selesa dengan cara kerja masing-masing. Malah kami percaya ia adalah elemen penting dalam perniagaan.

 

 

 

 

 

 

 

Idea untuk menampilkan kasut sebagai core business, bagaimana ia tercipta?

Julie Anne: Walaupun terdapat banyak jenama kasut tempatan terkemuka di pasaran, kami melihat adanya jurang dan kekurangan dalam menyediakan dan menawarkan gaya kasut khususnya apabila menyentuh soal harga.

 

 

 

 

Tidakkah sukar untuk memasarkan produk kalian secara online kerana lazimnya masih ada dalam kalangan pelanggan yang ingin menyarung kasut terlebih dahulu sebelum membeli. Komen?

Aina Syahirah: Seperti yang kita sedia maklum, perniagaan online adalah cabang perniagaan yang semakin berkembang di seluruh dunia – pengguna kini lebih terbuka untuk membeli pelbagai perkara secara online.

 

Namun demikian, masih terdapat dalam kalangan pengguna yang memilih untuk mencuba sesuatu produk terlebih dahulu sebelum membelinya. Dan kami cuba untuk mengatasi soal ini dengan menyediakan maklumat berguna di laman web kami untuk kemudahan pengguna sekali gus meyakinkan mereka untuk membeli produk kami.

 

Walaupun kami memberi tumpuan kepada pemasaran dan penjualan secara dalam talian, kami akan menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk mengambil bahagian dalam pop-up events misalnya bagi membolehkan pelanggan- pelanggan baru dan berpotensi untuk mencuba sendiri kasut kami sebelum membeli.

 

 

 

www.kulet.co

 

 

 

 

 

Kekuatan Kulet terletak pada...

Julie Anne: Apabila membina jenama ini, kami terlebih dahulu memutuskan untuk menumpukan perhatian kepada elemen teras berikut sebagai identiti jenama iaitu:

 

  • Untuk mempunyai produk kami di Malaysia, yang merangkumi segalanya — daripada rekaan kasut hinggalah peringkat pembungkusan. Menariknya, pengguna kita hari ini lebih menghargai dan menunjukkan sokongan mereka terhadap industri, produk dan rekaan tempatan. Maka dengan itu, elemen ini menggalakkan pengguna untuk menyokong jenama kami.

 

  • Sebagai pencinta haiwan, kami berusaha bersungguh- sungguh untuk memilih bahan-bahan yang mesra haiwan. Dan dalam masa sama, kami mendapati lebih ramai pengguna semakin sedar tentang keprihatinan soal ini dalam memacu industri dan perkembangan fesyen tempatan.

 

  • Kesederhanaan dan timelessness reka bentuk Kulet. Kami tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam soal reka bentuk; oleh itu semua keputusan mengenai reka bentuk dicapai dan diperoleh daripada perspektif pengguna.  Kami mendapati bahawa pendekatan dan cara ini telah menarik perhatian pelanggan yang lebih luas misalnya daripada semua peringkat umur yang semakin dewasa dan menghargai setiap rekaan kasut kami dan menyarungnya setiap hari.

 

 

 

 

 

 

 

Peranan kalian untuk terus menggerakkan Kulet?

Aina Syahirah: Buat masa ini, kami berkongsi peranan secara sama rata. Hal ini kerana kami ingin melibatkan diri dalam semua aspek dan proses dalam perniagaan.

 

Malah kami menyifatkan soal ini amat penting terutamanya bagi usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan untuk memahami selok-belok perniagaan.

 

Dan ia merangkumi semuanya seperti menerima pesanan, khidmat layanan pelanggan, media sosial, pemasaran, pengeluaran dan sebagainya. Ia memberikan kepuasan apabila kami dapat melakukannya sendiri dan daripada situlah kami belajar.

 

 

 

 

 

Siapa yang lebih dominan dalam membuat keputusan, menguruskan kakitangan dan sebagainya?

Julie Anne: Sebagai sebuah syarikat yang baru berkembang dan masih muda dalam bidang perniagaan; amat penting bagi kami untuk membuat keputusan melalui persetujuan bersama.

 

Apa jua soal atau isu berbangkit kami akan bincang dan duduk bersama untuk mencari solusinya. Selain itu, kami lebih suka campur tangan dan mengambil tahu setiap apa yang berlaku. Ia amat penting kerana kami punya tanggungjawab terhadap jenama kami sendiri.

 

 

 

 

 

Media sosial dan media arus perdana – sejauh mana kalian melihat peranan dua media ini membantu melonjakkan jualan sekali gus memasarkan produk dengan lebih meluas?

Aina Syahirah: Kami memberi fokus utama kepada pemasaran media sosial. Hal ini kerana ia lebih bersifat peribadi dan memberi kelebihan kerana kami dapat berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Dan dalam masa sama, pelanggan juga dapat mengenali siapakah gura atau individu di sebalik jenama kami sendiri.

 

Selain itu, kami juga curate content yang memperlihatkan jenama kami secara keseluruhan. Kami tidak pernah mengenepikan peranan dan fungsi media arus perdana kerana skop dan capaiannya lebih meluas. Kami sentiasa memberi sokongan dengan menerima undangan untuk sesi fotogra misalnya atau apa jua paparan media.

 

Kami percaya, setiap cerita yang dipaparkan membantu untuk memperoleh pelanggan baru dan berpotensi serta dalam masa sama dapat berkongsi cerita mengenai kisah di sebalik jenama kami.

 

 

 

 

 

 

 

Kuasa media sosial hari ini dalam mengembangkan pengaruh dan meluaskan perniagaan, komen?

Julie Anne: Ia amat membantu kami. Seperti perniagaan e-dagang yang lain, kami menggunakan media sosial sebagai platform utama untuk terus mengembangkan jenama kami.

 

Kami memperoleh banyak pertumbuhan organik melalui media sosial. Dalam masa sama, kami juga suka idea berinteraksi dengan pelanggan secara langsung. Ia memudahkan kami menerima maklum balas dengan lebih cepat dan berkesan.

 

 

 

Media sosial dan e-dagang adalah ‘the next big thing’ dalam dunia perniagaan. Setuju? Komen sikit?

Aina Syahirah: Ya, kami setuju! Malah kami percaya kerana ia mencapai pangkalan pengguna yang luas di mana-mana di seluruh dunia, dan boleh diakses pada bila- bila masa sepanjang hari.

 

 

 

 

 

Kolaborasi bersama Arared ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur lalu, sejauh mana ia membantu melonjakkan perniagaan dan mengembangkan jenama Kulet?

Julie Anne: Kami memutuskan kerjasama dengan Arared kerana mereka sentiasa menghasilkan rekaan yang cantik dan boleh dipakai sesiapa jua. Malah, kami percaya bahawa siluet dan palet warna mereka selari dengan jenama kami justeru rekaan Kulet untuk Arared dihasilkan untuk mencerminkan identiti dua jenama ini.

 

Kami berbesar hati dan sangat gembira kerana Mas Angelina pemilik Arared bersetuju dengan idea kerjasama ini. Kolaborasi Arared untuk Minggu Fesyen Kuala Lumpur yang lalu, telah menyuntik semangat baru kerana menyokong kami sepanjang proses ini dan memberi banyak pendedahan kepada Kulet. Ia amat membantu perkembangan jenama Kulet itu sendiri.

 

Dengan sokongan hebat ini, koleksi Freya daripada koleksi Kulet untuk Arared telah terjual dalam masa satu jam sejak dilancarkan di laman web kami www.kulet.co. Dan terbukti kolaborasi ini memanfaatkan kedua-dua pihak, malah kami terharu dengan sambutan yang diterima.

 

 

 

 

 

Perniagaan secara dalam talian kebanyakannya dipelopori golongan muda. Bagai ada limitasi daripada segi usia untuk kalian memenuhi cita rasa semua kelompok pelanggan. Sejauh mana ia memberi cabaran kepada kalian?

Aina Syahirah: Kami positif dan suka melihat keberanian generasi kita untuk menceburi pasaran baru ini. Dengan setiap pasaran baru yang ada, ia memberikan satu cabaran buat kami.

 

Walau bagaimanapun, dari masa ke masa, kami percaya lebih ramai akan selesa membeli-belah secara online. Ia sesuatu yang normal kerana kami tidak dapat memenuhi keutamaan dan keperluan setiap pelanggan, namun kami sentiasa menghargai dan menerima maklum balas pengguna kerana ia membantu kami untuk terus meningkatkan dan menawarkan pengalaman membeli-belah secara online untuk keselesaan semua.

 

 

 

 

Kesedaran untuk memilih dan menggunakan produk lokal (kini terdapat pelbagai label dan jenama tempatan baik dalam bidang kecantikan dan fesyen) semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pengguna. Sejauh mana kalian melihat soal ini membantu meluaskan pengaruh Kulet agar pelanggan terus mempercayai jenama tempatan?

Julie Anne: Kami percaya, melaluinya, lebih ramai yang berminat dan teruja untuk mencuba dan menyokong produk tempatan. Bukan hanya terdiri dalam kalangan pengguna, tetapi rakan-rakan media dan mereka yang berada dalam industri juga menyokong kehadiran kami.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Punya sebarang perancangan untuk berkolaborasi bersama portal membeli-belah online untuk menembusi pasaran lebih luas mungkin?

Aina Syahirah: Buat masa ini kami lebih selesa beroperasi secara eksklusif menerusi laman web www.kulet.co. Walau bagaimanapun, kami tetap melihat potensi untuk mengembangkan jenama ini melalui pelbagai medium malah mempunyai perancangan untuk menjalin kerjasama dengan portal membeli-belah lain pada masa akan datang.

 

 

 

 

Nilai teras dan kelainan yang kalian tampilkan sekali gus membezakan kalian dengan jenama tempatan lain?

Julie Anne: Kami percaya dan yakin bahawa setiap jenama tempatan yang lain mempunyai nilai teras dan kekuatan tersendiri sekali gus membentuk identiti jenama itu sendiri.

 

Namun kami tetap berpegang kepada asas utama iaitu ia haruslah produk buatan Malaysia, jenama mesra haiwan, mengeluarkan rekaan yang ringkas dan timeless.

 

Selain daripada itu, kami cuba mengelakkan daripada mengaplikasi kaedah konvensional iaitu dengan memilih bintang media sosial atau individu berpengaruh untuk memperkenalkan jenama kami.

 

Hal ini kerana kami mahukan pelanggan lebih dekat dan merasakan bahawa Kulet punya signifikasi  dengan mereka. Lantaran itu kami memperkenalkan #KULETgirl dan #KULETguy sebagai refleksi  kepada jenama ini dengan pelanggan.

 

 

 

 

 

Merangka perniagaan dan mengekalkan momentum perniagaan – mana lebih sukar dan mencabar?

Aina Syahirah: Pada kami, kedua-duanya mempunyai cabaran tersendiri. Walau bagaimanapun, ia lebih sukar apabila kami perlu kekalkan momentum perniagaan ketika ia mula berkembang.

 

Bukan mudah untuk kami mengatur strategi atau merangka formula tertentu bagi memastikan pelanggan sentiasa peka dengan koleksi baru, terus mencipta keterujaan bagi mereka terhadap jenama kami serta dalam masa sama memiliki nilai identiti tersendiri untuk memastikan pelanggan terus setia dengan jenama ini.

 

 

 

Bagaimana kalian melihat cabaran sebagai pendatang baru dalam perniagaan online?

Julie Anne: Sudah pastinya mencabar apabila kami hadir sebagai pendatang baru dalam dunia perniagaan online. Dan perihal yang sama juga kami rasakan apabila kami membuat kemunculan pertama dalam industri fesyen tempatan.

 

Namun kami tetap optimis dan positif biarpun mencabar, secara tidak langsung ia memberi dorongan dan menggerakkan kami agar lebih bersungguh-sungguh untuk memacu jenama kami agar terus dikenali.

 

Bukan itu sahaja, ia juga menyuntik semangat untuk kami membina dan mengukuhkan jenama ini agar boleh bersaing secara sihat dan berkembang seperti jenama tempatan yang lain.

 

 

 

 

 

Berapakah jumlah anggaran setiap pasang kasut yang dikeluarkan bagi setiap koleksi?

Aina Syahirah: Ketika detik mula kami memperkenalkan jenama Kulet di pasaran, kami cuma keluarkan jumlah yang terhad dan eksklusif sahaja. Pendekatan kami adalah, mengeluarkan jumlah koleksi yang terhad memberikan impak lebih eksklusif.

 

Juga sebagai nilai tambah kepada aspek jualan. Kami mahu menarik perhatian pelanggan menerusi harga yang ditawarkan.

 

Walau bagaimanapun, semenjak koleksi pertama dikeluarkan dan habis terjual dalam tempoh enam minggu, kami menambah kuantiti pengeluaran secara signi kan sesuai dengan setiap koleksi baru diperkenalkan.

 

Ia bagi memastikan kami dapat menembusi pasaran pelanggan baru dan sekali gus mengelakkan saturating market.

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan kekerapan Kulet muncul dengan rekaan dan koleksi terbaru bagi tempoh setahun?

Julie Anne: Pada tahun pertama, syukur kerana kami telah berjaya melancarkan empat koleksi secara purata setiap tiga bulan. Dan menjadi harapan kami agar momentum ini dapat dikekalkan atau sekurang-kurangnya diteruskan dalam kadar yang sekata untuk menampung permintaan pelanggan dalam tempoh itu. Ia bergantung juga terhadap aspek kos pengeluaran yang berkait dengan keadaan ekonomi semasa.

 

 

 

 

Sejak Kulet membuat kemunculan pertama hingga kini, manakah koleksi yang laris terjual? Atau mungkin kalian mempunyai koleksi yang mempunyai nilai sentimental dan dekat di hati, kongsikan?

Aina Syahirah: Secara keseluruhannya, setiap koleksi yang diperkenalkan disifatkan sebagai berjaya dan menunjukkan prestasi yang amat membanggakan.

 

Malah ia mengujakan kami. Namun demikian, koleksi yang baru dilancarkan iaitu Freya Heel daripada koleksi sempena kolaborasi bersama Arared habis terjual dalam tempoh satu jam.

 

Selain itu, rekaan istimewa yang menjadi kegemaran ramai adalah Karla Heel. Biarpun mula dilancarkan Oktober tahun lalu, hingga kini ia masih mendapat sambutan hangat. Kami teruja untuk berkongsi kegembiraan ini, maka kerana itu kami bakal keluarkan koleksi ulang tahun ini pada Oktober 2017.

 

 

 

 

 

Apakah mungkin Kulet akan membuka agship store suatu hari nanti?

Julie Anne: Besar harapan dan impian kami malah itulah yang diimpikan agar suatu hari nanti nama Kulet bisa terpampang di butik. Doakan kami dan teruslah setia menyokong kami!

 

 

Perancangan Kulet selepas ini, adakah ingin menembusi pasaran Asia, menjalin kerjasama dengan Matrade untuk memasarkan Kulet di luar negara mungkin atau bagaimana?

Pada masa ini, kami lebih fokus untuk membina asas yang kukuh bagi jenama kami dalam pasaran tempatan terlebih dahulu. Dan untuk masa hadapan, sudah pasti kami akan berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa. Dalam pertumbuhan dan perkembangan jenama kami ketika ini, terdapat banyak kemungkinan dan peluang yang boleh kami ambil dan pelajari.

 

 

Harapan kalian terhadap Kulet?

Salah satu matlamat utama untuk Kulet adalah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai jenama ikonik Malaysia.

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Baca Artikel Ini Kalau Anda Selalu ‘Shopping’ ZALORA — Ini Sebenarnya yang Berlaku

  • Seterus →

    Hari Ini Genap 5 Tahun ARWAH MEMEN Tinggalkan Mamanya Linda Rafar Kerana KANSER Burkitt Lymphoma — Al-Fatihah