Oct 11, 2017 - 94931
Oleh:
MAAF kerana membawa Linda masuk semula ke terowong masa yang amat pedih dan menyakitkan. Tetapi sebagai iktibar dan peringatan buat kita yang masih hidup, kami mohon Linda ceritakan semula — bila dan bagaimana kisah perjuangan Memen bermula?
Saya tidak pernah mengesan sebarang simptom, perubahan atau kelainan yang aneh-aneh pada Arwah Memen. Dia merupakan anak paling aktif, paling ceria dan paling sihat antara semua. Tak pernah sakit, tak pernah masuk hospital. Arwah cergas berbola sepak, bahkan kuat bersukan.
Namun sekitar Januari, sewaktu darjah lima, arwah mula mengadu kepada saya, “Mama, Memen sakit perutlah...”
Saya sangkakan masalah angin. Jadi saya belikan ubat, dan sesudah makan ubat, saya pastikan dia buang air besar, dengan harapan, sakit perutnya akan susut lalu hilang. Masuk bulan dua, pada hari jadi saya, Memen mengadu merengek lagi, “Ma, perut Memen sakit lagilah..."
“Sakit sangatkah?” Tanya saya lalu menggosok-gosok perutnya dengan minyak angin.
“Taklah sakit sangat, ma. Sakit sedap,” sambut Memen, merujuk kepada ‘sedap’ untuk melepaskan hajat besar. Saya bergegas bawa dia ke klinik, tapi jawapan doktor, “Tak ada apa-apa ni puan, perut kembung masuk angin ni,” ujar doktor sesudah menekan-nekan perutnya. Memen diberi ubat, dan kami pulang meneruskan kehidupan seperti biasa.
Masuk bulan Mac, Memen mengadu lagi sakit perut. Saya mula sangsi, apa lagi yang tak kena? Lalu kami berulang lagi ke klinik swasta. Selepas itu saya pilih untuk dapatkan rawatan di hospital kerajaan pula. Di sana, doktor menyarankan Memen ditahan wad, “Kita perlu jalankan prosedur Kolonoskopi, baru kita tahu lebih jelas, apa masalah anak puan,” doktor mengusulkan.
Maka bermulalah episod kami berulang-alik ke hospital. Daripada satu temu janji, ke temu janji berikutnya. Mula-mula scope dimasukkan mengikut anus. Kasihan Memen, saya melihat Memen, betapa dia sabar dan tabah melalui prosedur itu. Endoskop berlampu dan berkamera dimasukkan, menuju rektum dan usus besarnya.
Selesai prosedur, Memen pulang ke rumah, tetapi doktor masih belum dapat mengesan punca sakit perut Memen. Temu janji berikutnya, scope dimasukkan melalui mulut pula. Jawapan tetap serupa – doktor masih gagal mengesan punca sebenar sakit Memen.
Saya rasa tak sedap hati. Mengapa sakit Memen berulang-ulang? Sekejap-sekejap perutnya sakit. Apabila sakit perut menyerang, dia duduk terkedu, tak lagi melompat-lompat nakal seperti kelaziman. Lalu saya dan bekas suami (Keifli Othman) kemudiannya bersepakat membawa Memen ke hospital swasta untuk jalani MRI.
Sumber:
“Puan Linda...” Doktor terhenti di situ, keputusan MRI Memen tidak terlucut dari tangannya. “Tuan Keifli dan Tuan Syed...” doktor menuturkannya dengan perlahan, saya renung mata doktor yang berbalam-balam. Sesaat pun tidak saya lepaskan daripada pandangan. “Kami mengesan ketumbuhan di dalam perut anak puan dan tuan-tuan,” sambungnya perlahan.
Hati saya bagaikan dipanah halilintar yang maha dahsyat. Tetapi hati saya masih berkata-kata, tak ada apa-apa, tak ada apa-apa, everything will be fine, everything will be alright... Saya menyedapkan hati sendiri. Mantra itu berdengung-dengung dalam kepala saya.
“Besarkah ketumbuhannya doktor?” Sekonyong-konyong saya terpaksa bertanya, dengan hati paling berat. “Besar juga, puan. Berdasarkan saiznya, kami anggarkan berat ketumbuhan di dalam perut anak puan sudah mencapai satu kilogram.”
Allah Yang Maha Besar, mengapakah ini yang Kau datangkan kepadaku?
Saya cuba membayangkan betapa azabnya kesakitan yang ditanggung Memen, dengan ketumbuhan sebesar itu menyendati perutnya. Aduhai Memen, maafkan Mama!
“Saya cadangkan puan dan tuan segera lanjutkan kes ini ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Di sana ada doktor pakar yang jauh lebih arif untuk tangani kes sebegini.”
Sumber:
Kami tidak bertangguh lama. Keesokan harinya sesudah Subuh, Memen kami kejarkan ke HUKM. “Puan, sewajarnya anak puan perlu lalui beberapa ujian untuk pengesahan pihak makmal. Tapi kes anak puan ini kami anggap sangat-sangat kritikal. Saya sarankan pembedahan dilakukan seberapa segera,” nasihat doktor pakar di sana.
Memen menangis ketakutan apabila berita ketumbuhan di dalam perut, sampai ke telinganya. “Kenapa dengan Memen, Mama?” Kenapa??” Dia menangis ketakutan.
Hati saya sangat sedih dan merusuh, tetapi ya, untuk Memen — saya harus berlakon dan berpura bahawa semuanya baik-baik belaka, “Ish, tak ada apa-apalah sayang,” saya menenangkannya, “Ketumbuhan biasa sajalah sayang.”
Gelora yang geruh, berpusar-pusar di dalam hati. Hanya Allah SWT yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Sumber:
Pembedahan membuang ketumbuhan seberat satu kilogram itu dianggarkan berlangsung empat jam sahaja. Tetapi bayangkanlah, sudah sembilan jam berlalu dan Memen masih belum diusung keluar dari dewan pembedahan. Jika ini yang terjadi kepada anda, dapatkah anda membayangkan kesengsaraan penantian itu? Apakah yang terjadi di dalam kamar bedah? Mungkinkah doktor menghadapi kesulitan? Apakah Memen akan kembali semula ke pangkuan saya dalam keadaan bernyawa?
Memen akhirnya diusung keluar — kaku, wajahnya pucat lesi, bibirnya biru, dia tertidur tidak sedarkan diri. Hati saya bagai disiat-siat melihat tiub berlingkaran, di hidung, di tangannya, di mulutnya.
Bangunlah anakku Memen, bangunlah cepat nak. Mama tunggu Memen.
Sumber:
Kami sekeluarga diarahkan menemui doktor di bilik, “Kami ada dua berita untuk puan sekeluarga,” kata doktor, "Satu adalah berita baik, tapi maafkan saya, berita kedua agak kurang baik.”
Jantung saya berdebar-debar bukan kepalang. Bibir saya kering. Telapak tangan saya sejuk. Kaki saya ngilu.
“Berita baiknya, syukur alhamdulillah, macam yang puan lihat, pembedahan kami berjaya walaupun memakan masa sembilan jam dan ada sedikit komplikasi. Tapi, saya mohon puan jangan menangis dengan berita kedua ini.”
Jantung saya yang kesat, menggelungsur ke kaki.
“Inilah ketumbuhan yang berjaya kami keluarkan dari perut anak puan. Tetapi di dalam perut anak puan, masih anak kelenjar-kelenjar lain. Atau untuk pemahaman puan, masih ada gelembung-gelembung kecil yang masih aktif dan berpotensi untuk membesar dan menjadi ketumbuhan baru. Kami belum boleh pastikan adakah ia ketumbuhan biasa atau kanser. Buat masa ini, usus anak puan terpaksa kami letakkan di luar... Kerana apabila ada pembedahan yang melibatkan usus besar... najis akan dihalang daripada melalui tempat yang luka. Kerana itu kita perlu gunakan beg stoma buat sementara, puan... Apabila kami benar-benar pasti usus besar anak puan sudah sembuh dan boleh disambung semula, barulah kita hentikan penggunaan beg stoma..."
Ya Rabb!
Saya meraung, kehabisan tangis. Kaki saya lembik. Dalam fikiran yang berputar-putar, gelap lagi menyesatkan, saya cuba membayangkan, apakah bentuk kehidupan yang akan Memen tempuhi selepas ini, apabila duduk-letak ususnya tidak lagi seperti manusia biasa?
“Untuk berapa lama doktor?”
“Setahun.”
Allahu Akbar! Sesaat pun tiada saya sanggup melihat Memen menderita kesakitan. Inikan pula menyaksikan ususnya dibongkar keluar dari perutnya selama 365 hari? Mampukah saya menjadi kuat? Kuatkah saya memimpin Memen menempuhi satu demi satu ujian luar biasa ini?
Sumber:
Keputusan penuh menyusul seminggu selepas itu. Tetapi sementara menunggu detik itu, saya menjaga Memen di ICU, hati hancur luluh melihat tiub melingkar masuk ke hidung, morfin diberi agar kesakitan itu lebih tertanggung. Dan yang paling membuat saya menangis adalah mengurus beraknya yang tidak lagi seperti kanak-kanak yang sihat. Ususnya kini berlingkaran di luar perut, di dalam beg stoma (karung plastik khas) dan apabila Memen tersedar, dia terperanjat bukan kepalang melihat ususnya yang lembik kemerah-merahan — berada di depan matanya sendiri!
“Ma, kenapa dengan perut Memen?? Kenapa ada plastik kat luar perut Memen??”
“Tak ada apa-apa, sayang. Doktor buat biar Memen sembuh,” jawab saya tenang, namun hati sangat terluka. Memen mengongoi, meratap apabila terlihat lebih jelas isi kandungan beg tersebut. Bunyi tangisannya amat menyayat hati.
“Sampai bila doktor nak biarkan usus Memen di luar???” Memen menangis teresak-esak, antara sedih dan terperanjat.
“Sebulan saja, sayang. Sebulan saja,” jawab saya hiba. Saya tahan air mata.
“Masukkan balik usus Memen, masukkan balik, ma...” Memen menangis teresak-esak.
“Ini doktor punya cara sayang, kita mesti ikut. Memen nak baik tak??”
Memen mengangguk lemah, tersedu-sedu. Saya kucup dahinya berkali-kali. Saya kucup keningnya berkali-kali. Saya kucup kelopak matanya yang suam dialiri air mata.
Maafkan Mama, Memen. Mama sendiri tak pasti bila usus Memen akan dimasukkan seperti sedia kala.
Sumber:
Alangkah berdosanya saya kerana membohongi Memen. Namun, jika anda berada di tempat saya, beritahulah saya, tidakkah anda juga akan memberikan harapan (palsu) serupa? Apakah lagi jawapan paling baik untuk saya sampaikan ke pendengaran anak yang tidak berdosa ini?
Air mata saya tidak pernah sederas itu. Tetapi tidak di hadapan Memen. Saya ibunya. Kalbunya bersarang berdegup di dalam rahim saya selama sembilan bulan sembilan hari, maka saya sebagai induknya harus kuat. Tidak saya benarkan air mata saya mengalir di hadapan Memen.
Namun di kamar mandi hospital yang sejuk dan diruap sunyi, saya meraung sepenuh hati, mengetap bibir yang terketar-ketar kerana kesedihan yang maha dahsyat. Tangisan saya meluncur dari celahan gigi yang berkeletak. Saya tidak mahu Memen mendengar ibunya meratap seperti hilang harap.
Ya Allah, jika saya sudah tewas di sini — hari ini — dari mana lagi Memen mampu kutip kekuatan, kecekalan dan keberanian, melintasi terowong takdir yang amat menyakitkan ini?
Ya Rabb, kirimkanlah kami sedikit kekuatan-Mu, meski ia sebesar bintik debu.
Sumber:
(Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau bebankan kepada kami, bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau pikulkan kepada kami, apa yang kami tak terdaya memikulnya.
Sumber:
Apa terjadi selepas itu, Linda?
Sebagaimana dijanjikan, doktor memanggil kami sekeluarga untuk temu janji lanjut, mengesahkan bahawa Memen memang benar diserang kanser, tahap empat. Ia adalah Burkitt Lymphoma, sejenis kanser yang amat agresif, ia membesar setiap tujuh jam. Dikatakan juga, bilangan sel kanser Burkitt Lymphoma menjadi berganda pada hari 1, 3, 5 dan seterusnya, bayangkanlah! Dan pada tahap empat, kanser Burkitt Lymphoma berkemungkinan akan (atau sudah) merebak ke sum sum tulang atau otak.
Apa lagi yang Linda faham tentang risiko penyakit Memen?
Berdasarkan penerangan doktor dan apa yang Linda baca di internet, Lymphoma merupakan kanser sel darah putih yang disebut sebagai limfosit-B (sel B). Sejenis kanser yang melibatkan kelenjar. Sel ini boleh menggandakan dirinya dengan cepat sekali, sehingga terbentuknya tumor. Jadi apabila sel kelenjar berkembang tanpa kawalan, maka itulah jawapannya, mengapa tumor tumbuh dengan lebih banyak. Dan itulah juga jawapannya, apakah sebenarnya yang sedang berkerajaan, bermaharajalela di dalam perut Memen.
Apa yang terjadi saat itu, Memen sedang mendepani kanser Burkitt Lymphoma tahap empat, dan ia telah pun merebak ke organ lain. Doktor menyarankan agar Memen menjalani kemoterapi. “Kalau puan lambat, anak puan akan pergi.”
Saya seperti orang sasau. Ya Allah, apa harus kami buat? Jalan mana harus kami pilih?
“Jangan buat kemo. Kalau you buat kemo, lagi cepat anak you pergi." Begitu ramai famili dan sahabat-handai menegah. Hati saya sangat berbelah-bahagi.
Jika kemoterapi kami putuskan sebagai pilihan paling baik buat Memen, terdayakah fizikalnya yang kecil itu menanggung sebab dan akibatnya nanti?
Sumber:
Kami berikhtiar sekuat hati. Namakan apa sahaja saluran dan kaedah perubatan — cara tradisional, berjumpa ustaz, perubatan Cina, herba, air rebusan akar kayu, ya segalanya — sehinggalah saya bertemu dengan seorang profesor pakar kanser yang memberikan harapan dengan sejenis pil khas, berharga RM27,000. Kami nekad meleburkan duit yang ada. Alhamdulillah, Memen kembali segar dan ceria! Malah kami sempat membawanya bercuti ke Port Dickson walaupun ususnya tergantung di luar perut. Selama 44 hari Memen ceria, kami menjaganya di rumah dengan hati paling bahagia.
Namun pada hari ke-44 itu, Memen sakit kembali. “Ma, cuba Mama rasa perut Memen, cuba Ma tekan kat sini,” dia meletakkan tapak tangan saya ke perutnya yang sejuk, “Ada ketulan lagilah Ma...”
Allah, Allah, Allah!
Sumber:
Tiada kata terlafaz daripada mulut saya, kerana ya, seperti yang saya sebut tadi, saya harus tenang, saya harus kuat dan kental di hadapan Memen.
Ubat habis. Memen jatuh sakit kembali dan saya benar-benar sudah putus ikhtiar, lalu saya membuat rayuan untuk mendapatkan rawatan kemoterapi. Tetapi ternyata ujian Allah SWT itu adalah kerahsiaan-Nya. Selepas kemoterapi pertama, Memen jatuh sakit lebih dahsyat. Kondisi buah pinggangnya bertambah teruk, degupan jantungnya bertambah laju, dan dia terlantar di ICU berhari-hari lamanya.
Dia bertempur dengan maut saban saat, dan kesakitan yang ditanggungnya tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Tetapi Memen anak yang sangat kuat. Memen tetap tersenyum. Sesiapa jua melawatinya, tetap dilayan baik penuh hemah, dengan wajah manis dan ya, dia sangat reda. Dan hati saya berkecai-kecai apabila suatu hari, Memen memberitahu, dia mahu membaca Surah Yassin — untuk dirinya sendiri.
Maha Suci Allah!
Sumber:
Kekesalan saya, tidak saya tahu di mana mula, dan di mana hujungnya. Adakah kerana kanser ini tidak dikesan lebih awal? Adakah saya kesal kerana menolak rawatan kemoterapi seperti yang disaran doktor sebelum ini? Apakah juga saya kesal kerana Allah SWT memilih Memen untuk meranjau ujian sebegini luar biasa, kerana hati saya menangis setiap waktu? Memen tidak mampu lagi menanggungnya.
Mengapakah kesakitan dan seksaan ini tidak sahaja dipindahkan kepada saya?
Ya, Allah, jawablah. Jawablah Ya Allah.
“Ma, Memen minta maaf, sebab Memen buat Mama sedih,” Memen berbisik ke telinga saya, suatu hari. Nadanya hampa sekali. Saya tersentak mendengarnya.
“Tak, tak sayang, Memen tak salah,” saya usap kepalanya, lalu kucup dahinya kuat-kuat, dan saya berdoa kepada Allah SWT, pinjamkanlah saya sedikit lagi kekuatan agar air mata ini tidak terburai di hadapannya.
“Memen minta maaf sebab buat Mama menangis…”
Saya kucup mata Memen, berkali-kali, dalam rembas air mata dan dunia yang sudah gelap gelita.
Sumber:
Memen akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada Ramadan ketujuh, tanggal 15 Julai 2014, selepas Asar. Memen sempat meminta air dua kali untuk merawat dahaga, “Ma, Memen nak air. Memen haus sangat...”
Saya bantu Memen meneguk air dua kali, dan di hadapan mata saya, degupan jantungnya bertukar kencang, dan beberapa saat selepas itu, degupan jantungnya terhenti. Dadanya datar, tidak lagi bergelombang.
MEMEEENNNN!!!!!
Sumber:
“How’s my son, doctor?”
Saya terdengar suara bekas suami ceria menyapa doktor dan jururawat di luar pintu, tidak lama selepas Memen menghembuskan nafasnya yang terakhir. Nada suara Keifli girang sekali. Tak sabar mahu mengambil giliran menjaga Memen (saya menjaga dari pagi hingga tujuh malam, dan bekas suami menjaga dari tujuh malam hingga keesokan pagi). Bekas suami bergegas ke pintu masuk ICU, “Memeeeen!” panggilnya seperti selalu. Dan kelazimannya, Memen pasti menyahut, “Ya, Daddyyyy!”
Tidak dia ketahui bahawa yang menunggunya pada tujuh Ramadan itu, di perbaringan, adalah sekujur tubuh kecil yang telah kaku, dilangsiri selimut putih.
Keifli jatuh lembik di muka pintu ICU. Saya tidak pernah menyaksikan Keifli kalah sebegitu dahsyat dengan perasaannya. Dia jatuh terjelepuk, meraung di situ. “Memen...” Dia mengongoi, “Kenapa Memen tinggalkan Daddy?? Please Memen, bangunlah,” katanya sambil menggoncang-goncangkan tubuh Memen yang sudah kaku, “Please Memen, Daddy nak dengar Memen kata Memen sayang kat Daddy, please Memen, tolonglah bangun Memen...”
Tangisan Keifli tidak pernah sepilu itu.
Saya putus harap. Dunia seperti sudah kiamat. Saya sedih. Mengapakah Allah SWT tidak mencabut nyawa saya sekali?
Semenjak pemergian Memen pada hari ketujuh Ramadan itu, saya menguncikan diri di rumah. Saya enggan berjumpa manusia lain. Terasa seluruh kehidupan ini seperti telah hilang erti dan tujuan.
Sumber:
Apa hajat terakhir Memen?
Ya, rupa-rupanya tak sempat saya sampaikan hajat Memen yang ingin menyambut raya di rumah ibu saudaranya (kakak saya), di sebuah banglo lot tepi tiga tingkat. “Rumah mak cik best, ada kolam renang, raya nanti Memen nak main buga api kat sana, ya Ma?”
Memen pernah menyuarakan hasratnya semasa dia sakit dulu. Alangkah pedih hati saya.
Takdir Allah SWT, jenazah Memen telah ditunggu lautan manusia di rumah kakak saya. Hampir tiga ribu orang menanti kepulangannya. Dato’ Aznil, Dato’ AC Mizal, Nora Danish, Fasha Sandha, Norman Hakim, Neelofa, Abby, Azza, Lan Pet Pet, ya Allah, ramai sekali, maaf jika saya tak dapat sebut satu persatu nama sahabat-sahabat artis di sini. Manusia bertali-temali, tak putus-putus, berganti-ganti membaca Surah Yassin buat jenazah. Kemudian berganti pula dengan ayat-ayat suci Al-Quran alunan kumpulan anak-anak tahfiz sampai ke pagi.
Aduhai, begitu indah rezeki Memen.
Sewaktu jenazah Memen diturunkan ke liang lahad, seorang ustaz memanggil, “Linda, mai sini, tengok sini.” Antara yang turut mengiringi sampai ke tanah perkuburan adalah Mazlan Pet Pet. Dia yang kuat berseloroh menegur saya, “Ehh, relakslah Linda, apa hang nak nangis-nangis? Kau tengok kubur anak kau ni. Kuasa Allah! Kuburnya luas dan besar... Sepuluh orang kat dalam ni, Linda!” Lan Pet Pet melaung dari dalam liang lahad.
Ya Rahim, Ya Muhyi, Ya Mumit!
Ya Allah ya Tuhan Kami, Yang Maha Pengasih, Maha Menghidupkan, Maha Mematikan...
Ternyata benar sekali, kuburnya terlihat sungguh luas dan besar dan lapang sekali!
Hati saya reda akhirnya.
Sumber:
Tamsil daripada peristiwa kehilangan ini?
Saya belajar erti sebenar kesabaran. Menghargai anak. Memen semasa hidupnya, adalah anak yang manja, lincah, nakal dan aktif. Ada masanya, buat saya naik darah. Dia suka mengusik orang, kadang-kadang menyampuk cakap orang tua-tua. “Auntie, iiishh... auntie ni cantiklah...”, “...Uncle ni stylolah...” Begitu usikannya selalu. Sekecil-kecil perkara boleh saja jadi modal untuk dia menyakat dan mengusik.
“Men, janganlah kacau orang. Men, janganlah usik adik. Men, kalau lintas jalan tu, cubalah tengok kiri-kanan? Men, kalau Mama cakap, cubalah jangan menjawab? Men, janganlah menyampuk, kan Ma tengah berborak ni?”
Pendek kata, dalam sehari, tidak kering lidah saya menyebut (memarahi) Memen, “Memen, jangan buat itu... Memen, jangan buat ini.”
Saat Memen terlantar sakit, saya berikan seluruh jiwa dan komitmen menjaganya. Saya tinggalkan dunia lakonan. Saya belajar cara membersihkan usus Memen. Saya belajar cara mencuci beg stoma yang digunakan untuk menampung najis/ kumbahan. Saya belajar kaedah mengurus berak-kencingnya. Saya belajar mengawal selia pengambilan ubatnya. Saya belajar melihat perubahan-perubahan pada dirinya. Saya belajar menjadi ibu yang lebih baik buat Memen. Saya belajar menjadi isteri yang lebih baik buat Syed Aiman.
Saya belajar menjadi hamba-Nya yang lebih taat, pasrah dan tawaduk dengan pusingan takdir yang telah Allah SWT bentangkan di hadapan saya ini.
Suami memberi restu saya menyerahkan sepenuh komitmen menjaga Memen pada waktu siang. “Jagalah Memen, biar abang jaga anak-anak di rumah,” ujar suami yang amat baik dan memahami, memberi ruang untuk saya menabur jasa terakhir buat Memen.
VIDEO "Inilah Masanya Linda Berkorban Untuk Anak-anak yang Lain..."
Sebarang kelainan dapat Linda kesan sebelum Memen meninggal dunia?
Sehari sebelum Memen menghembuskan nafas terakhir, semua adik-beradik Memen termasuk ibu saya, berkumpul di hospital. Kami berbuka puasa bersama. Tidak lama selepas berbuka, Memen dalam keadaan lemah tak berdaya, tiba- tiba bangun, turun dari katil lalu menyeret tiang drip ke sebuah bilik kosong. Para jururawat yang melihat terperanjat, namun tidak berdaya untuk menegah.
“Aril, Aqib, Ariq... ambillah semua harta Memen, PS4 (baru dibeli), mainan Memen, hadiah-hadiah yang Memen dapat, ambillah, Memen sedekahkan.”
Saya terkejut.
“Memen sayang Mama. Memen sayang Daddy. Memen sayang Papa. Memen sayang semua...”
Kami marah kerana Memen bercakap yang bukan-bukan. Tiba-tiba nafasnya kencang kembali. Kata Memen kepada neneknya, “Mak, mintak maaf, Memen tak dapat picit Mak lagi lepas ni…”
Setiap Khamis, ada mat salih, penghibur (berpakaian badut) akan datang ke wad untuk menghiburkan hati anak-anak yang sakit. Setiap kali dia bertanyakan Memen, hadiah apakah yang diingininya, Memen pasti meminta (memilih) barang permainan budak kecil. Antara yang diminta adalah play doh dan lego budak kecil. Satu hari, mat salih itu menyanggah pilihannya kerana dia hairan, mengapakah seorang budak lelaki berumur 11 tahun seperti Memen masih mahu bermain play doh? Rupa-rupanya, barang permainan yang diperolehinya itu, disimpan khas untuk adiknya yang berusia enam dan dua tahun. Ya Allah, alangkah mulia hati bidadari kecil ini.
Sumber:
Linda ada terkesan sebarang keganjilan lain?
Tengah malam sebelum dia meninggal dunia, Memen mengadu kepada Daddy, kakinya sakit. Memen sayang Daddy, lafaznya lagi. Memen memberitahu, dia nampak terlalu ramai orang datang melihatnya malam itu, dan orang yang ramai itu sedang menunggunya.
Ujar Memen lagi, dia dapat melihat di dalam kamar wad itu, ada dua ekor kuda putih asmaradanta yang sangat cantik. Rumbai-rumbai bulu di tengkuknya berwarna putih bersinaran- sinaran, halus dan lembut bagaikan baldu. Kakinya tegap, sosoknya sasa.
Dua kuda putih itu sedang menunggunya.
“Sudah, sudah, jangan cakap yang bukan-bukan,” Keifli menegur, separuh marah, tidak sanggup lagi mendengar kata-kata Memen. “Just sleep sayang, jangan fikir apa-apa lagi,” sambung Keifli.
Alangkah besar takdir Allah SWT itu. Kita enggan mendengarnya, kerana kita sedang berpijak di satu dunia yang lain. Sedangkan Memen, saya percaya, dia berada di alam perpindahan. Dia barangkali sudah separuh kaki berdiri di alam barzakh, tempat menunggu datangnya kiamat. Namun kita enggan mendengar, kerana kita tidak memahami (diam, sebak).
Memen juga pernah memberitahu, dia nampak kepulan-kepulan awan putih berarak masuk ke kamar wadnya. Dan sewaktu kepulan awan itu menerobosi ruang wad, dia terdengar alunan zikir yang amat indah, bergema di gegendang telinganya.
Ya Allah, alangkah benar. Ternyata awan yang bertasbih dan kemunculan sepasang kuda putih — menandai jihad kasih sayang ibu-anak ini bakal berakhir.
Peristiwa ini sangat menghiris. Namun apakah hikmah yang dapat Linda saring daripada perpisahan ini?
Bagi saya, hikmah dan hidayah itu, perlu kita cari. Saya menjadi manusia yang lebih kuat. Satu perkara yang sangat-sangat mengesankan, adalah terbukanya pintu nurani. Saya dapat merasai nikmat anugerah Allah SWT, dengan seluas-luasnya. Sebagai contoh, kalau dahulu, kita makan di hotel lima bintang sekalipun, nafsu-nafsi tak terasa puas. Dahulu, hati teronta-ronta mahu pakai tas tangan berjenama mahal. Tapi bila sudah pakai, mengapa hati tak terasa seronok pun?
Saya selalu ingatkan anak-anak, terutamanya abang yang amat merindui Memen. “Kalau Aril mahu jumpa Memen di syurga, Aril mesti berusaha jadi anak yang soleh. Aril mesti ingat Tuhan, jangan tinggal solat, jangan berbuat jahat. Kalau Aril nak jumpa Memen semula di syurga, kalau Aril mahu pegang dan peluk Memen, Aril mesti jadi anak yang baik...” (Sebak, menangis).
Sumber:
Kesan daripada peristiwa besar ini, tidakkah Linda bercadang melakukan sesuatu, selain buku yang telah Linda tulis berjudul 'Menunggumu di Pintu Syurga'?
Banyak pihak menelefoni saya. Bertanyakan jika saya mahu dokumentasikan perjalanan hayat Memen. Tapi ya, waktu itu saya rasa hilang. Hati saya sesat. Dunia yang bulat ini seperti telah dijungkirbalikkan. Saya tak mahu fikir apa-apa waktu itu. Berbulan lamanya saya bungkam. Bermandi air mata. Hari ini, alhamdulillah, jiwa sudah tenang. Saya sudah bersedia jalani kehidupan normal.
Berbalik kepada soalan anda tadi, ya, saya juga ada terfikir, alangkah baiknya jika kisah perjuangan Memen dapat difilemkan, mewakili semangat besar anak-anak kanser yang lain. Suara mereka harus didengari. Mengapa Tuhan memilih mereka, harus kita fahami. Kerana saya percaya, sesudah anda menonton sendiri kisah benar ini, anda pasti setuju dengan saya.
Sumber:
Kisah sedih ini akan menceritakan kepada anda, betapa tulen dan jernihnya kasih seorang ibu. Kisah sedih ini akan melukiskan kepada anda, betapa putihnya hati seorang budak kecil yang tahu bahawa nyawanya akan dicabut pada bila-bila masa. Bahawa dia bukan saja perlu mempersiap dirinya untuk diangkat ke alam barzakh.
Ini adalah sebuah kisah benar, bagaimana dia juga sebenarnya perlu mempersiap kedua-dua ibu bapanya, agar melepaskan rohnya terbang bebas ke taman Allah SWT, dengan rasa reda; tanpa ada dendam, sakit hati, terkilan, jauh sekali menyesali.
Saya tak punya duit berjuta sebagai dana untuk bikin sebuah filem. Harta benda dan wang ringgit yang saya miliki pun tak seberapa. Telah saya leburkan semuanya untuk menanggung kos rawatan Memen. Walaupun wang yang hilang itu tak mampu kembalikan Memen, saya akur.
Surat takdir yang Allah SWT tuliskan untuk saya ini sangat pedih. Namun Memen hamba yang dipilih. Allah SWT memandangnya dengan penuh kasih.
Sumber:
Bagaimana Linda mahu Memen dikenang?
Kembalinya Memen ke rahmatullah rupanya membuka kembali sekian banyak kisah yang mulia dan baik-baik tentang akhlaknya. Saya sangat-sangat terkejut mendengarnya. Daripada pengakuan guru kelas Memen, guru subjek, ustazah, kawan-kawan, pengawal keselamatan sekolah, hatta mak cik penjual kuih di luar pintu pagar sekolah juga punya cerita dan kenangan yang tersangat indah dengan Memen.
Cerita mak cik penjual kuih, Memen sangat suka bersedekah, amat pemurah. Kalau kawan berbondong-bondong singgah mahu membeli kuih, Memen paling tangkas membayar. “Mak cik, tak apa, saya belanja semua,” kata Memen lalu menyelongkar isi saku seluarnya. Semua duit yang ada, hatta duit syiling 10 sen pun dikoreknya, dikiranya satu-persatu.
“Jangan. Ni kan duit engkau??” Marah mak cik penjual kuih. “Mak engkau bagi duit untuk engkau belanja sendiri. Dia suruh kau makan kenyang-kenyang. Bukan habiskan duit pada kawan-kawan kau...”
Itulah pengakuan wanita penjual kuih, dia datang memberi penghormatan terakhir kepada Memen pada hari pengebumian, air matanya berlinangan sewaktu menceritakannya kepada saya.
“Tak apa mak cik, biar saya bayar untuk kawan-kawan saya. Nanti mak cik jugak yang untung, heheheee...”
Itulah Memen.
Sumber:
Dua bulan selepas Memen kembali ke rahmatullah, saya bermimpi bertemu dengannya. Dalam mimpi itu, saya pergi ke tempat Memen, saya diajar dan ditunjukkan jalan untuk bertemu Memen. Memen tinggal di sebuah kawasan pergunungan yang amat tinggi. Terlalu tinggi. Puncaknya sayup-sayup mengait awan.
Ada penjaga siaga menunggu di gerbang utamanya. Menyelinap masuk adalah mustahil. Pujuk memujuk, rayu merayu, akhirnya saya dibenarkan masuk. Saya melilau mencari. Saya terlihat kelibat Memen sedang menuruni sebuah tangga yang sangat tinggi. Sangat aneh, kerana saya dapat memeluknya sekuat hati dari belakang.
Sumber:
Ya Rabb! Mama sakit rindu, Memen!
Kerinduan itu berkelarai, jatuh terlerai berkuping-kuping, satu persatu, berserakan ditiup bayu gunung yang sejuk menikam tulang sulbi. “Memen sayang, Memen apa khabar?? Mama rindu Memen. Memen macam mana sekarang? Memen okey tak??”
Alangkah aneh, kerana sebaik sahaja habis saya melafaz rasa rindu dendam, Memen berpusing ke belakang untuk melihat saya. Tetapi dia melihat saya ke bawah. Maksudnya di sini, Memen dalam keadaan yang sangat tinggi, dan saya pula dalam keadaan yang sangat pendek dan katik. Di sekeliling kami, saya dapat lihat anak-anak syurga berpakaian serba putih sedang sibuk ke sana ke mari memeluk Al-Quran rapat ke dada. Ada sedang mengaji, ada sedang berwirid.
Saya mencium Memen berkali-kali, berkali-kali. Memen tunduk memandang saya sambil senyum, tidak berkata walau sepatah pun.
Kala terjaga daripada tidur, bantal saya basah oleh air mata.
Ya Allah yang Maha Menemukan! Bau Memen sungguh kuat. Bau tubuhnya yang telah bersebati dengan setiap sakral udara yang mengisi sangkar dada saya ini, terasa begitu kuat melekati tapak tangan dan seluruh jasad saya.
Apakah benar saya telah menemuinya?
Sumber:
Memen teringin sekali memakai baju Melayu warna merah untuk hari raya. Memen mahu berlari bermain bunga api sambil melihat riak-riak percik bunga api berbening-bening pada kolam renang di rumah ibu saudaranya. Memen teringin sekali belajar bermain gitar. Memen kepingin sekali menjuarai pertandingan nasyid dengan dia sebagai penyanyi nasyid utama. Memen bersemangat sekali mahu menduduki UPSR. Memen berkeazaman menghafaz Al-Quran. Memen mahu diraikan dalam satu majlis hari jadi tanpa perlu berkongsi dengan abangnya seperti selalu.
Demikianlah impian-impian seorang anak kecil. Ada yang telah tertunai sempurna. Namun sebahagian besarnya tidak kesampaian.
Tetapi ya, saya reda. Segala perkara-perkara dunia yang diminta Memen itu, tidakkan sama dengan alam barzakh yang sedang dihuninya saat ini.
Yang telah menghentikan segala kesakitannya.
Yang telah memulangkan kembali ususnya ke tempat asalnya.
Yang telah menggantikan air mata kesengsaraannya dengan senyuman paling kencana.
"Ya Allah, jadikanlah dia sebagai simpanan pendahuluan bagi ayah bondanya dan sebagai taruhan (amanah) kebajikan yang didahulukan, dan menjadi pengajaran serta syafaat bagi orang tuanya. Dan beratkanlah timbangan kedua-dua ibu bapanya, kerananya; serta berikanlah kesabaran dalam hati kedua ibu bapa. Dan janganlah menjadikan fitnah bagi ayah bondanya sepeninggalannya; dan janganlah Engkau menghalang pahala kepada kedua-dua orang tuanya."
Adik Rezaimen Keiflin dalam kenangan.
Al-Fatihah.