Mar 07, 2018 - 1641

Jual Air Soya, Bisnes Mercun Sampai ditahan Polis! — Fikry Ibrahim Gigih Kerja, Anak Muda KOPEK BAWANG Kena Baca

Dari pentas lawak kini pelakon meningkat naik. Ikuti temu bual eksklusif bersama Fikry Ibrahim yang merungkai langkah pertamanya, inspirasi dan sisi lain yang harus anda ketahui.

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

LAGAKNYA bersahaja dan personaliti yang mudah didekati membuatkan Fikry Ibrahim semakin dikenali. Biarpun menerima pelbagai kecaman kala diberi peluang membawakan watak pembantu menerusi drama bersiri Hero Seorang Cinderella, dia tidak mudah melatah.

 

Kepercayaan dan peluang demi peluang diraihnya. Dari pentas Lawak Solo hingga ke pentas Gema Gegar Vaganza juga beberapa telemovie, Fikry mahu terus buktikan ada sesuatu dalam dirinya yang mahu diketengahkan buat tatapan umum. Seperti Azrel Ismail, Fikry juga tetap berpegang kepada prinsip sama.

 

Baginya, rupa paras tidak lebih daripada cebisan kulit yang membaluti tubuh. Namun apa yang lebih besar dan penting adalah bakat, disiplin diri dan kesungguhan yang harus diletakkan sebagai prioriti.

 

 

 

 

 

 

Apa khabar terbaru mengenai Fikry yang boleh dikongsi bersama kami?

Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Saya baru selesai sesi penggambaran telemovie arahan Sabri Yunus. Dan menyusul selepas ini saya bakal tampil dengan dua telemovie, bergandingan bersama Siti Nordiana, Zulin Aziz dan Lan Solo (Cekelat Semanis Honey) juga bakal muncul bersama Janna Nick dan drama untuk saluran Astro Ria tayangan pada bulan puasa nanti.

 

Dalam masa sama, saya turut fokus kepada bidang pengacaraan. Syukur kerana baru-baru ini saya diberi kepercayaan mengemudi program Perodua My Nation dan alhamdulillah pihak mereka berpuas hati dan sudah booked saya untuk mengacarakan dua acara berskala besar hujung tahun ini.

 

Syukur juga kerana saya sekali lagi diberi peluang berganding bersama hos-hos lain untuk Gema Gegar Vaganza.

 

 

 

 

 

Semakin ‘laku’ nampaknya tuah dan rezeki Fikry. Namun dalam tiga karier (pelakon, pelawak dan pengacara) mana lebih memberi kepuasan dan keseronokan kepada Fikry?

Pada saya, ketiga-tiganya saya suka. Namun melihat kepada kebanjiran pelawak masa kini, ada juga cabarannya. Terutamanya jika pelawak bergandingan sebagai hos.

 

Pada saya unsur komedi boleh dimuatkan dalam pengacaraan selain ia memberi ruang untuk saya menjadi diri sendiri, menghiburkan dan mengawal penonton. Untuk diselitkan dalam drama pula bergantung kepada watak dan kesesuaiannya.

 

Manakala lakonan pula pada saya, apabila kita mampu membuatkan penonton tidak menyedari bahawa ia adalah lakonan dan bukan dibuat-buat itulah sebenarnya kepuasan ketika berlakon. Dan melawak pula, kepuasan dan keseronokannya adalah apabila penonton ketawa dan terhibur.

 

Jika mahu dibandingkan tahap kesukaran antara ketiga-tiga cabang ini, saya fikir melawak paling sukar dan mencabar. Terutamanya dalam skop mencari dan menulis material, tekanannya tetap ada.

 

 

 

 

 

 

Dari mana Fikry belajar dan mendapatkan asas dalam ketiga-tiga cabang seni ini?

Saya belajar dari bawah dan mendapatkan pengetahuan asas. Misalnya untuk melawak, saya pergi menghadiri uji bakat untuk menyertai Lawak Solo dahulu. Dan belum apa-apa lagi saya sudah melakukan kesalahan dari kaca mata juri yang mengadili. Kata mereka jenaka saya diciplak daripada pelawak lain.

 

Dalam hati terdetik juga rasa marah dan tidak puas hati kerana saya sudah membuat persediaan awal selain melakukan homework. Apabila terpilih sebagai peserta, saya belajar dengan pelawak- pelawak senior untuk terus memperbaiki dan meningkatkan ilmu.

 

Berlakon pula, ketika hari pertama tiba di lokasi untuk sesi penggambaran (Hero Seorang Cinderella); saya hampir dibuang. Masakan tidak, saya hanya diberi skrip pada malam (sebelum keesokan hari sesi penggambaran). Tambahan pula saya menyampaikan dialog dalam loghat Kedah, memang kena marahlah, hahaha... Saya akui kesilapan itu dan selepas ditegur, saya sahut cabaran dan lakukan homework sendiri.

 

Tiga jam saya tidak tidur untuk tonton YouTube dan pelajari serba- sedikit bagaimana menyebut dan membalas semula dialog. Perlahan-lahan saya perbaiki dan pelajari serta mendapat tunjuk ajar daripada pengarah juga rakan-rakan pelakon yang lain.

 

Manakala bidang pengacaraan pula, kali pertama saya mendapat tawaran adalah untuk mengacarakan majlis perkahwinan. Hanya RM350 sahaja saya tetapkan dan dek kerana takut saya mengajak rakan untuk menemani.

 

Ketika itu rancangan Lawak Solo baru melabuhkan tirai. Dan apa yang melucukan, tanggapan orang sementelahan saya pernah muncul di televisyen mereka fikir saya memandu kereta besar lagi mewah. Sedangkan saya hanya memandu Kancil sahaja, dan ia diparkir nun sejauh-jauhnya, hahaha.

 

Tawaran kedua pula saya terima untuk acara Boat Noodle, dan hasilnya... Hambar! Saya disuruh naik ke pentas ketika tetamu sibuk makan dan yang kedengaran hanya bunyi camca dan garfu. Namun saya menyifatkan setiap pengalaman yang dilalui amat berguna sebagai usaha memperbaiki diri.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan cabaran yang perlu Fikry tangani dalam bidang pengacaraan?

Pada saya bukan sahaja bidang pengacaraan tetapi lakonan dan melawak juga menuntut anda untuk lebih bijak. Terutamanya pengacaraan, anda perlu pantas berfikir dan bijak mengendalikan semuanya.

 

Fiil saya ketika mengacara, saya tidak suka terikat dengan kad kiu kerana saya fikir ia hanya ‘menyemakkan’ kepala dan membuatkan saya tidak selesa. Dan ketika mengacarakan Gema Gegar Vaganza dahulu, saya hanya membaca kad kiu sepintas lalu dan terlepas pandang untuk membaca keseluruhan kiu yang tertera.

 

Dengan lagak penuh yakin, “Okey kita lihat VT ini,” dan kru produksi pula sudah menegur melalui ‘ear piece’, “Mana ada VT oi!” Dan saya sudah membayangkan kontrak akan dibatalkan itu dan ini. Namun saya cuba meredakan suasana dan bertindak selamba dengan bergurau bersama penonton.

 

Mujurlah penonton turut sama tertawa dan jika tidak terang-terangan kesilapan saya mengendalikan sebuah program yang disiarkan secara langsung. Kebijakan seorang pengacara juga perlu mengawal penonton dan terus berinteraksi.

 

Dan kesukaran itu timbul apabila saya perlu mencuri perhatian audiens kerana maklum Gema Gegar Vaganza bukanlah sebuah program syarahan agama, ia sebuah konsert hiburan dengan pendekatan kerohanian. Maka saya perlu suntikkan sedikit elemen hiburan agar tidak tersasar daripada objektif program.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Fikry tangani cakap-cakap orang yang mungkin mempertikaikan bakat Fikry sebagai pengacara sementelah masih baru dalam industri hiburan?

Saya sifatkan ia sebagai sesuatu yang normal. Jika tidak saya akan sentiasa berasa selesa berada di zon selamat dan saya sendiri tidak ‘memaksa’ diri untuk terus ke hadapan.

 

Pada saya, selagi ketiga-tiga bidang ini saya tidak berjaya melakukannya ke tahap maksimum, saya tidak akan berhenti. Ada satu program, saya hampir dipilih sebagai hos tetapi seorang individu ini berkata, “Dia baru, takut nanti dia panik di pentas.”

 

Pada saya itu antara kekurangan yang berlaku dalam industri. Mengapa tidak beri peluang dan kepercayaan buat wajah-wajah baru? Beri ruang untuk kami belajar dan perbaiki kesalahan untuk sampai ke tahap seterusnya.

 

Bukan bermaksud saya marah tetapi sedikit kecewa namun saya melihatnya daripada perspektif yang lain. Misalnya saya cabar diri dan beri tempoh masa tertentu untuk buktikan bahawa saya mampu melakukannya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Masih menuntut di universiti, apa yang membuatkan Fikry terus kuat semangat untuk belajar?

Ya, saya masih menanggung hutang PTPTN, hahaha. Saya menyambung pengajian di UiTM Shah Alam dalam jurusan Periklanan, peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dan saya memilih jurusan ini kerana ia berkait rapat dengan perniagaan selain dalam masa sama saya turut meminati bidang perniagaan.

 

Mengapa saya masih mahu belajar? Kerana saya perlu ada ilmu untuk bercakap. Saya tidak mahu jenaka atau cabang pengacaraan misalnya yang saya ketengahkan hanya sekadar itu sahaja, kosong tiada pengisian.

 

Ilmu penting untuk dikuasai dan diketahui semua. Namun saya percaya tanggapan masing-masing berbeza dalam soal ini, terpulanglah kepada penilaian anda.

 

Selain itu, faktor lain yang menyebabkan saya mahu belajar kerana saya mahu tunjukkan dan buktikan kepada adik-adik. Jika saya boleh lakukan, mereka juga pasti boleh dan mengikuti jejak langkah saya. Atau lebih baik mereka capai ke tahap yang lebih tinggi daripada saya.

 

Dan seperkara lagi, pada saya pastikan niat anda untuk belajar itu betul. Jika sekadar belajar dan selepas tamat pengajian mahu menjadi kuli,
membayar hutang, mahu terus memperoleh gaji yang tinggi pada saya itu sudah terpesong. Pemikiran seperti inilah yang harus diubah.

 

 

 

 

 

 

 

Lantas, bagaimana Fikry bahagikan masa antara tugas dan komitmen sedia ada?

Sukar sebenarnya dan kadangkala terkejar-kejar. Pergi kelas, siapkan assignment, shooting dan lain-lain. Tambahan pula sesi penggambaran untuk tayangan bulan puasa nanti saya perlu ‘buat badan’. Dan rutin harian kini bertambah iaitu pergi ke gimnasium.

 

Sejujurnya saya kurang selesa apabila perlu ‘bina badan’ kerana saya lebih selesa dan gembira dengan susuk tubuh sedia ada. Namun atas tuntutan kerja, saya harus lakukan.

 

Dan pada saya, tidak semestinya seseorang hero itu perlu ‘bina badan’ untuk setiap drama atau filem. Ia perlu disesuaikan dengan kehendak watak dan jalan cerita.

 

 

 

 

Apa kelainan yang cuba Fikry tampilkan dan membezakan Fikry dengan pelakon komedi yang lain?

Saya hanya menjadi diri sendiri. Kadangkala sukar juga untuk terus memenuhi tuntutan sesuatu watak, seolah-olah saya tidak boleh lari daripada karakter lain. Namun selepas sesi penggambaran saya luangkan masa sendirian dan lakukan apa sahaja aktiviti.

 

 

 

 

 

 

 

 

Pernah terperangkap misalnya membuat keputusan yang bodoh dan akhirnya menyesal?

Selalu! (ketawa) Antaranya mengayuh basikal dari rumah di Damansara ke KLCC. Akibat terlalu penat mengayuh, saya tiada kekuatan dan tenaga untuk mengayuh basikal pulang ke rumah.

 

Akhirnya, saya balik dengan Uber. Kadangkala saya terperangkap apabila mengambil keputusan terburu-buru dan sudahnya saya menyesal, hahaha.

 

 

 

 

Sejauh mana Fikry percaya, untuk menemui jalan yang senang perlu menelusuri pelbagai liku dan ranjau?

Ada masa jika kita punya kelebihan dalam sesuatu perkara sekalipun pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Misalnya dahulu, jika di sekolah cikgu mengajar subjek Matematik; biarpun sudah diajar dan selagi kita tidak melakukan kesalahan kita takkan tahu kita buat silap.

 

Tetapi apa yang lebih penting adalah jangan sekali-kali mengulangi kesilapan yang sama dan belajar daripadanya untuk terus memperbaiki diri. Lain orang, lain caranya. Tetapi saya melihat soal ini sebagai sesuatu yang lumrah dan akan dilalui oleh semua orang.

 

 

 

 

 

 

 

Selesa atau rimas jika ada yang mengatakan Fikry punya rupa paras segak dan tampan?

Ya, saya bersyukur tetapi kurang gemar dan kadangkala rimas juga. Pada saya ini semua luaran sahaja, kulit yang membaluti tubuh badan kita. Bagaimana pula jika sudah tua nanti, kulit mulai kendur dan sebagainya, tampan lagikah? (ketawa) Saya lebih suka andainya orang memuji bakat berbanding rupa paras.

 

Kerana bakat menandingi segalanya. Namun ada juga yang punya bakat tetapi kurang menyerlah. Dan ada juga sebaliknya. Itu semua rezeki masing- masing. Terpulang kepada cara kita menilainya.

 

 

 

 

 

 

 

Pernah terbit perasaan menyesal memilih jalan ini sebagai cabang karier?

Tidak pernah malah saya pernah terfikir ‘Kenapa mesti aku? Kenapa aku ada di sini?” Dan ia mengingatkan saya kepada perbualan dengan salah seorang pengarah, Isma. Katanya jangan dipertikaikan mengapa saya berada dalam bidang ini.

 

Maka saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Seperkara lagi, saya berasa malu melabelkan diri sebagai artis. Sehinggakan jika ada yang bertanya, “Eh nak pergi mana?” Saya selesa menjawab pergi bekerja.

 

Jika saya menjawab mahu pergi shooting pada saya dalam diam seakan-akan memupuk sifat sombong. Entahlah, saya tidak pasti. Itu tanggapan saya. Apa yang penting niat saya untuk gembirakan orang.

 

Walaupun dalam hati saya sendiri diselubungi perasaan bimbang dek memikirkan perkara lain umpamanya, namun perjalanan harus diteruskan.

 

 

 

 

Siapa idola atau sumber inspirasi Fikry dalam industri?

Pertama mak kerana pada saya dia punya bermacam-macam karakter. Sebut sahaja apa jua karakter, dialah abang, dialah bapa. Dan saya lebih suka menjadikan antaranya Shaheizy Sam dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai individu yang banyak memberi tunjuk ajar.

 

Shaheizy Sam misalnya, dia cukup komited untuk menjiwai dan menjayakan sesuatu watak sehinggakan sanggup ‘bina badan’. Daripada penampilannya dalam filem Pinjamkan Hatiku, dia sanggup memakan jeruk Pak Ali hanya semata-mata untuk pastikan suaranya serak untuk menjayakan adegan meninggal dunia.

 

 

 

 

 

 

Pada pandangan Fikry, apakah perkara yang mencabar sifat kelelakian anda, boleh kongsikan?

Mak, keluarga, soal agama dan adab. Pada saya tidak wajar jika orang berkata-kata atau buat lawak mengenai mak dan keluarga saya. Misalnya saya tidak menyentuh tentang isu mak awak dan awak juga tidak wajar memperdebatkan perihal mak saya.

 

Selain itu saya tiada toleransi dalam soal transgender yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita kerana ia berkaitan dengan soal agama dan adab.

 

Dan mengenai adab pula, saya suka melihat gelagat orang yang tidak kenal siapa saya dan bagaimana tingkah lakunya melayani saya. Bukan mahu mendabik dada tetapi lazimnya berbeza layanan seseorang terhadap mereka yang dikenali berbanding orang biasa.

 

 

 

 

Kematangan seorang lelaki itu terletak kepada apa?

Mengatasi sesuatu masalah. Tetapi kadangkala kaum wanita sebenarnya tidak faham bahawa kaum lelaki takkan matang sampai tua. Lelaki bodoh sebenarnya dan saya tahu kerana saya lelaki.

 

Kami hanya berasa kami bijak. Lagak kami apabila dikhalayak atau berhadapan dengan sesiap aacah-acah cool. Balik rumah kami juga bercakap-cakap mengenai perempuan, itu dan ini.

 

Misalnya sekarang, saya acah-acah sembang seperti lelaki bijak. Tetapi balik nanti, “Eh, perempuan yang pegang kamera tu lawalah.” Sama sahaja topiknya dengan kaum wanita (sambil tersenyum dan ketawa).

 

 

 

 

 

 

 

 

Punya sasaran untuk bertahan dalam industri seni?

Selagi mampu saya akan teruskan. Tetapi saya berminat dalam bidang perniagaan dan tidak kiralah menjual apa sekalipun saya tetap minat berniaga. Pada saya, masih ramai lagi yang tidak memahami apa itu perniagaan dan keusahawanan.

 

Seorang usahawan itu pada saya adalah individu yang mewujudkan, membawa dan memberi nilai baru kepada pasaran manakala peniaga pula mewujudkan nilai yang sama cuma yang berbeza sedikit adalah produk, itu sahaja.

 

Saya sentiasa melihat adanya potensi dalam bidang perniagaan walaupun 10 kali berniaga 12 kali ‘lingkup’, hahaha... Dahulu saya pernah berniaga dobi. Saya antara dua individu yang diberi kepercayaan keluar masuk UUM untuk mengambil barang bagi tujuan cucian dobi.

 

Saya 'menggoreng’ bagai nak rak juga untuk pastikan saya peroleh tawaran itu. Dengan bangganya saya berkata kepada pihak pengurusan, “Saya mempunyai empat buah mesin membasuh dan empat mesin pengering bersaiz besar.” Ditakdirkan satu hari, mereka menghantar 400 set kain dan mahukan ia siap keesokan harinya.

 

Saya sudah mula panik dan sempat berfikir pantas untuk meminta kos ekstra memandangkan ia mahu disiapkan dalam tempoh yang singkat. Sudahnya, saya mencuci sendiri di dobi layan diri.

 

Pengalaman perniagaan lain, saya pernah berniaga air soya dan paling melucukan saya pernah berniaga mercun (ketawa) dan hampir ditangkap. Saya ke Siam membeli mercun untuk dijual. Dan polis bertanya, “Dari mana ni?” Entah mengapa saya dengan selamba menjawab “Konvoi” sedangkan saya seorang diri.

 

Mungkin itulah refleksinya apabila berada dalam keadaan tertekan, otak tidak mampu berfikir logik. Moralnya, janganlah menipu walau apa jua yang anda lakukan.

 

 

 

 

 

 

 

Sejauh mana Fikry meminati soal berfesyen?

Saya minat tetapi tidak tahu bagaimanama tahu menggayakannya. Dahulu menjadi satu trend apabila orang mula memakai color blocking. Misalnya saya pernah beli sepasang kasut warna hijau terang kemudian buntu bagaimana mahu suai padan.

 

Mujurlah ada rakan yang membantu. Saya juga pernah memakai loafer dengan stoking panjang, punya haprak tak hapraklah (ketawa). Walhal jika mahu memakai stoking biarlah stoking yang pendek.

 

Saya akui tiada taste dalam berfesyen. Jika membeli baju sekalipun, saya hanya memilih warna-warna selamat seperti hitam, putih dan kelabu. Dan selepas menceburi bidang ini, barulah saya mula belajar sedikit demi sedikit.

 

 

 

 

 

 

 

 

Media sosial, sejauh mana Fikry terikat dengannya?

Sejujurnya saya kurang gemar berkongsi apa yang saya lakukan. Misalnya jika saya muat naik gambar makanan, tetapi di luar sana ada yang melihat dan mungkin tidak makan. Jadi, kurang sensitif pula.

 

Namun itu hanya daripada sudut pemikiran saya. Pada saya,media sosial ini sarat dengan kepura-puraan jika ia di salah guna. Ia perlu ada untuk kita mengetahui perkembangan tetapi untuk menunjukkan apa yang anda miliki pada saya tidak wajar.

 

Sekali-sekala itu memadai dan simpankan sedikit eksklusiviti anda agar tidak disalah guna.

 

 

 

 

Adakah Fikry seorang yang mudah jatuh cinta?

Saya mudah suka tetapi tidak mudah jatuh cinta. Tetapi... saya cepat berasa jemu, itu bahaya dan saya tidak menafikannya. Tetapi jika dia seorang wanita yang bijak, itu akan berkekalan.

 

 

 

 

Harapan dan kata akhir Fikry untuk peminat?

Bahagian ini akan menjadi klise sebenarnya tetapi itulah... (ketawa) harapan saya kepada anda semoga terus menyokong karier dan perjalanan saya dalam bidang ini.

 

Terima kasih atas kepercayaan yang diberi dan saya akan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua cabang seni yang saya lakukan. Pada saya jika kita tidak punya harapan dalam hidup, pasti kita tidak akan melangkah ke peringkat seterusnya.

 

Teruskan mencari sesuatu yang akan membuatkan kita menjadi insan yang lebih baik.

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Dahi Anak Terkoyak, Saya ditahan Wad, Air Ketuban Isteri Pecah! ” — Ini Sebab LAN SOLO Reda Terima Ujian

  • Seterus →

    SEAN LEE Dedahkan ‘Wife Material’ yang Dia Cari — Para Wanita Harus Baca Ini