Mar 15, 2018 - 510

SEAN LEE Dedahkan ‘Wife Material’ yang Dia Cari — Para Wanita Harus Baca Ini

Sean Lee Jia Ern, pada saya mempunyai pemikiran yang unik dan matang. Biarpun masih hijau dalam industri dan masih muda lagi (24 tahun) dia mempunyai dimensi dan hala tuju dalam dunia lakonan. Kenali siapa jejaka ini.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

MAHU terus merebut peluang yang ada dan ruang yang diberi, bagi Sean dunia hiburan bukan sekadar menghiburkan segenap lapisan masyarakat.Bagi Sean, alangkah indah dan bertuahnya jika industri ini mempunyai sistem yang mampu dan mengupayakan bakat ‘pemain’nya.

 

Misalnya jika pelakon tidak punya tawaran berlakon mereka akan ditempatkan ke sebuah organisasi atau pertubuhan untuk mengasah bakat dan mempelajari serta mendalami ilmu seni lakonan.

 

Daripada Ljens, soal detik mula pembabitannya dalam dunia seni lakon, hinggalah kepada soal kehidupan, realiti yang dirasai kini telah melahirkan buah fikirannya yang tersendiri. Selami naluri pelakon ini.

 

 

 

 

 

 

Kongsikan kepada pembaca InTrend bagaimana detik mula Sean sebelum ini sehingga membawa nama Sean ke bidang seni lakon?

Saya mulanya cuba belajar teknik editing, bagaimana mahu merakam dan muat naik video di YouTube ketika masih belajar tahun pertama di kolej dahulu (Julai 2013). Saya pilih untuk gunakan medium ini sebagai portfolio dan belajar untuk olah online content selain sebagai portfolio jika ada klien yang berpotensi mahu melihat siapa Sean Lee.

 

Semuanya berasaskan praktis sahaja. Praktis bagaimana mahu berinteraksi dan bercakap di hadapan kamera, apakah sudut yang sesuai dan lain-lain. Saya tidak menyangka sama sekali akhirnya saluran YouTube saya menyumbang sesuatu dan ada pengarah yang melihatnya lantas saya mula menerima tawaran.

 

 

 

 

 

 

 

Apa kelainan yang Sean tampilkan dan membezakan anda dengan YouTuber yang lain?

YouTube kini umpama medium untuk tujuan pengiklanan. Dan anda menggunakannya untuk mempromosi dan memperkenalkan siapa anda kepada khalayak di alam siber. Pada saya semuanya berbalik kepada pengisian dan kandungan yang anda ketengahkan.

 

Walaupun saya akui agak sukar untuk mengekalkan dan meletakkan diri agar dikenali kerana masingmasing mempunyai strategi yang tersendiri. Ramai di luar sana yang tampil dengan filem pendek, mini series, sketsa, video jenaka dan lain-lain. Tetapi saya masih mengekalkan identiti stail yang tersendiri.

 

Saya masih menjadi Sean Lee dan saya boleh berbicara apa jua topik mengikut keselesaan saya. Sejak saya muatnaik video pertama pada Julai 2013 hingga hari ini, banyak perubahan dan penambahbaikan yang saya lakukan. Misalnya daripada aspek mengedit, kualiti rakaman, cara bercakap dan sebagainya.

 

 

 

Bagaimana dengan reaksi daripada mereka yang melanggan saluran YouTube Sean?

Ada yang bertanya, bila lagi mahu buat video baharu itu dan ini. Tetapi apa yang sukar adalah untuk mencari keseimbangan antara lakonan dan fokus kepada saluran YouTube yang sudah saya cipta selama ini.

 

Walaupun tawaran berlakon tidaklah segah mana tetapi hati saya masih mahu fokus untuk perbaiki dan tingkatkan lagi mutu kandungan dalam saluran YouTube. Kerana kadangkalanya kandungan atau tawaran lakonan yang saya terima ada diantaranya bukanlah menjadi kesukaan saya.

 

Saya masih mahu lakukan apa yang saya minat, suka dan boleh memberi kepuasan.

 

 

 

 

 

 

Masih ingat mengenai tawaran berlakon pertama yang Sean terima?

Samsung web series (tayangan secara online sebanyak empat episod), ia umpama detik perkenalan saya dalam industri. Tenaga produksi dan pengarahnya telah membawa saya ke dunia baru. Dari situ saya belajar bagaimana cara kerja dalam industri ini dan berlakon dengan lebih profesional.

 

Sesi penggambaran hanya berlangsung sekitar empat ke lima hari. Dan apabila siri tersebut dimuat naik dalam YouTube, saya menerima tawaran untuk berlakon dalam slot Seramedi, drama bersiri Keluarga Pontimau. Saya diberi peluang memainkan watak utama bergandingan bersama Keith Foo, Marsha Milan, Amelia Handerson dan ramai lagi.

 

Dan selepas itu saya fikir, saya berada di Iandasan betul untuk mula bertapak dalam industry apatah lagi dapat masuk dalam industri lakonan Melayu. Ia sesuatu yang di luar jangkaan dan saya terharu dengan peluang yang diberi.

 

Selepas itu saya mula menerima tawaran berlakon beberapa telemovie dan antara yang membanggakan adalah ketika Michael Ang menawarkan watak untuk drama bersiri My Coffee Prince.

 

 

 

 

 

 

Bagaimana penerimaan penonton Melayu terhadap kehadiran Sean Lee?

Terus-terang saya katakan, saya cukup bertuah apabila diterima baik dalam industry seni khususnya Melayu. Saya banyak belajar terutamanya daripada aspek Bahasa Melayu itu sendiri, bagaimana mahu bertutur dengan baik, bagaimana menyebut sesuatu perkataan dan banyak lagi.

 

Antara penyebab mengapa penguasaan dan pertuturan Bahasa Melayu saya baik dan pantas adalah kerana seorang perempuan. Dahulu ketika di sekolah menengah, saya cukup minat dengan seorang pelajar perempuan Melayu.

 

Ada jurang Bahasa antara kami. Dia kurang mahir bertutur dalam Bahasa Inggeris dan saya pula tidak fasih berbahasa Melayu. Rentetan itu saya perlu belajar bagaimana mahu menutur dengan baik dalam Bahasa Melayu.

 

Namun perhubungan kami tidak ke mana kerana dia tidak sukakan saya. Sedih juga tetapi sekurang-kurangnya saya pelajari sesuatu daripadanya.

 

 

 

 

Selesa dengan persekitaran masyarakat Melayu, mengapa?

Mungkin ia serasi dengan karakter saya yang chill dan laid back. Dan apa yang saya perhatikan rata-rata masyarakat Melayu lebih relaks dan tidak tertekan kerana perkara-perkara remeh. Dan semua itu berbeza sama sekali dengan rutin dan budaya masyarakat Cina.

 

Ketika membesar di sekolah Cina, pada saya seolah-olahnya semua perlu pantas, laju dan ke hadapan. Misalnya semua perlu dilakukan secara 100 peratus. Namun sebagai manusia biasa, tidak kiralah sekuat manapun kita memaksa diri tetap punya kekurangan dan kelemahan untuk mencapai sesuatu tahap yang diimpikan.

 

Dan apa yang saya perhatikan dalam kalangan masyarakat Melayu ada suatu sentimen yang anda mudah memaafkan. Misalnya jika gagal berbuat sesuatu, tidak mengapa. Mulakannya semula dan kalian mengambil masa untuk mempelajari sesuatu.

 

Pada mulanya saya agak struggle juga untuk menyesuaikan diri kerana itu semua bukanlah budaya dalam kalangan masyarakat Cina. Namun apa yang saya perhatikan adalah, ciri-ciri yang ada dalam masyarakat Melayu seakan-akan serasi dengan karakter saya.

 

Biarpun saya dilatih untuk sering menepati masa itu dan ini namun di penghujungnya adalah mencari keseimbangan dalam apa yang kita lakukan. Baik dalam mencari kawan, kerja yang dilakukan, soal agama dan lain-lain semuanya ke arah itu.

 

Dan pada saya apabila kita berjaya menguasai dan membezakan semua ini secara tidak langsung kita sudah mengimbangi apa tujuan dan keperluan dalam kehidupan sekali gus kita akan lebih bahagia dan menjalani hidup dengan lebih terurus.

 

 

 

 

 

Asas seni lakon, belajar dari mana?

Belajar dari gereja di USJ, FGT kerana saya aktif dalam pementasan teater untuk persembahan komuniti. Misalnya persembahan sempena Krismas, hari ibu bapa dan lain-lain acara. Ketika itu saya berumur lima ke enam tahun.

 

Dan menariknya, tenaga pengajar kami terdiri daripada kalangan individu yang berpengalaman dalam bidang seni lakon. Memandangkan dahulu saya tiada contact untuk menyertai mana-mana teater yang berskala besar, maka dengan inilah saya jadikan asas untuk belajar berlakon dan mendapatkan serba sedikit pengetahuan asas seni teater.

 

Pada saya ia sesuatu yang cukup bermakna kerana selain berpeluang mempelajari asas seni lakon teater secara percuma, saya didedahkan dengan ilmu dan kemahiran daripada mereka yang mahir dalam bidang ini. Walaupun hanya dalam komuniti kecil tetapi saban tahun ada sahaja produk yang kami hasilkan.

 

 

 

 

 

 

 

Lantas sudah punya perancangan mahu berlakon sejak dahulu lagi atau tidak sengaja memasuki industri seni?

Ia berlaku secara tidak sengaja. Pada mulanya, selepas diperkenalkan asas seni lakon teater saya berminat untuk menjadi pelakon suatu hari nanti. Namun dibesarkan dalam keluarga Cina yang menjalani rutin dan kehidupan yang berbeza dengan karakter saya, agak sukar juga untuk saya menyesuaikan diri.

 

Fokus ibu bapa hanya bidang dan cabang pekerjaan professional sahaja yang harus diceburi misalnya doktor, akauntan, peguam dan seumpama dengannya. Tiada istilah mahu anaknya menjadi pelakon dalam bidang hiburan kerana pada mereka berlakon tidak akan membawa saya ke mana. Ia bukanlah suatu bidang yang berjaya.

 

Ia umpama sebuah impian yang mustahil untuk saya kecapi apabila ingin memulakan langkah dalam bidang ini. Biarpun saya memperoleh keputusan yang agak baik dalam SPM, ibu saya bertanya mengapa tidak memohon untuk belajar dalam bidang perubatan atau yang lain.

 

Namun dunia perubatan bukanlah menjadi minat saya. Saya tidak mahu terikat dengan bebanan kerja seperti itu. Dan mula terfikir mengapa tidak jika saya belajar menjadi juruterbang kerana saya suka mengembara dan berjumpa orang.

 

Namun entah mengapa, saya seolah-olah didorong dan mendapat ilham untuk mencuba dalam bidang hiburan. Lantas saya beranikan diri dan berterusterang dengan ibu bapa mengenai minat saya yang mahu menghasilkan video, merakam dan berlakon.

 

Saya bertuah kerana bapa saya menyokong malah dia bertanya mengapa saya tidak memaklumkannya lebih awal. Dan saya berasa lega melihat reaksinya. Walaupun pada mulanya ibu meragui kerana baginya saya harus buktikan sama ada saya mampu bertahan atau tidak.

 

Syukur kerana laluan saya dipermudahkan dan mereka berbangga melihat di mana saya kini. Walaupun tidak popular dan gah seperti bintang lain tetapi langkah permulaan ini penting untuk saya terus bertapak dalam industri.

 

Saya mahu berlakon dan terus memajukan industri keranapada saya kita harus berfikir secara global untuk sampai ke taha pyang lebih tinggi. Sewajarnya kita harus fikir untuk membikin filem bukan untuk rakyat Malaysia sahaja.

 

Sampai bila lagi harus kita berada di takuk lama, pontianak itu dan ini. Jika untuk permulaan tidak mengapa tetapi untuk melangkah ke peringkat seterusnya, pemikiran haruslah lebih besar.

 

 

 

 

 

 

Beralih kepada topik yang lebih ringan dan santai. Sejauh mana pentingnya bagi Sean untuk dilihat lebih fashionable sementelahan sudah menceburi dunia glamor ini?

Saya akan cuba tampil as as fashionable as I can. Lihat sahaja penampilan dan gaya orang berpakaian ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur. Semuanya cantik, kemas dantrendy. Dan berbalik kepada stail peribadi, saya lebih sukakan sesuatu yang ready-to-wear, minimalistik, ringkas dan simple enough for people to copy and carry. Kerana pada saya, soal fesyen berkisarkan kepada apa yang kita ikut.

 

Kita bukanlahpioneer dalam sesuatu kerana ia telah wujud sejak berabad dahulu. Tetapi lebih kepada mengikut dan mengolah gaya sedia ada. Saya sukakan elemen yang bisa pops out seluruh penampilan. Misalnya jam tangan yang berbeza warna dengan pakaian yang polos.

 

Saya tidak kisah mengenakan jaket rona terang untuk menyerlahkan penampilan. Selain itu saya gemarkan gaya fesyen era 50-an hingga era 80-an. Entah mengapa, saya terinspirasi dengan zaman ini baik daripada pengaruh muzik disko, fesyen dan gaya hidup. Saya akui ada yang tidak melihat saya sebagai orang biasa.

 

Tanggapan mereka, saya kini selebriti dan sebagai selebriti saya perlu dilihat tampil segak ke mana jua acara yang dihadiri. Tetapi terus-terang saya katakan, dalam wardrobe saya tidak banyak mana pun baju-baju dan helaian yang cantik (ketawa).

 

Pada saya dalam soal ini banyak penilaian dan jangkaan dalam pemikiran masyarakat. Misalnya bagi mereka, ‘Oh artis perlu punya wang yang banyak, hidup mewah dan kaya-raya.’

 

Namun hakikatnya dalam realiti kehidupan sebenar tidak semua yang digambarkan itu terjadi. Dan melihat kepada perspektif saya sebagai pendatang baru, semua biasa-biasa dan serba sederhana. Tidak semestinya saya perlu ada semuanya yang baru dan canggih semata-mata.

 

Itulah sentimen yang saya mahu sematkan dalam pemikiran peminat dan pengikut saya. Sebagai selebriti, kami sama seperti anda. Kami cuma manusia biasa yang mahu terus mencari rezeki dalam bidang ini.

 

Dan untuk itu saya keluarkan merchandise sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan. Menerusi label Ljens, adalah sedikit wang saku untuk saya lunaskan apa yang perlu.

 

Walaupun tinggal dengan keluarga, ibu saya mendidik agar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab. Memandangkan saya sudah bekerja, dia mahu saya membayar sewa rumah.

 

Dan saya melihatnya sebagai salah satu praktis yang baik untuk saya lebih berdikari dan memahami erti tanggungjawab. Biarpun saya bekerja untuk mencari duit tetapi sebenarnya saya punya komitmen lain di sebalik itu. Apabila duit keluar dari poket sendiri, barulah saya tahu ‘sakitnya’ macam mana, hahaha…

 

Biarpun ada yang berkata, mengapa tidak saya beri secara percuma merchandise kepada pengikut dan peminat, tetapi hakikatnya inilah cara yang saya boleh fikirkan untuk mencari wang sampingan. Dan bukannya niat saya mengeluarkan merchandise ini semata-mata mahu memanipulasi atau memperguna mereka.

 

Kerana semua sedia maklum pendapatan sebagai pelakon tidak menentu dan tidaklah segah mana. Justeru saya perlu bijak memikirkan apa yang boleh saya salurkan untuk meraih yang lebih. Memandangkan kini saya sudah berusia 24 tahun, inilah turning point saya untuk menjadi lebih dewasa.

 

Jika sebelum ini semuanya dibiayai oleh ibu bapa tetapi kini mereka mengajar saya untuk melunaskannya sendiri. Sebelum ini saya hanya mendengar sahaja keluhan mereka atau kemelut yang dilalui oleh golongan dewasa. Tetapi kini, saya merasai dan melaluinya sendiri. Barulah tahu cabarannya dan saya kini bersedia mendepaninya.

 

 

 

 

 

 

 

Sejauh mana Sean percaya dan berpegang kepada soal persamaan jantina, antara lelaki dan perempuan?

Saya setuju dan menyokong persamaan jantina ini. Daripada perspektif peluang misalnya ada yang berpendapat soal layanan sama rata harus diberi kepada kedua-duanya, baik lelaki mahupun perempuan.

 

Namun saya fikir golongan perempuan masih belum bersedia sepenuhnya. Jika anda mahukan sepenuh persamaan dalam soal ini, anda harus mula mengambil tanggungjawab dan apa yang golongan lelaki lakukan dalam semua hal.

 

Contoh, situasi jika keluar dating, okey biar teman wanita yang menjemput dari rumah dan membayar bil makanan. Dan saya fikir, benar golongan perempuan mahukan kebersamaan dalam soal jantina tetapi masih ramai perempuan yang belum benar-benar bersedia ke arah ini.

 

Mungkin perkembangannya berlaku dalam masyarakat kita tetapi masih perlahan. Pada pendapat saya, media mengajar kita memahami konsep ini dalam soal pekerjaan sahaja. Tetapi jika mahu difikirkan, ia seharusnya mencakupi semua aspek dalam kehidupan.

 

Benar, kini ramai golongan wanita yang berjaya duduk di posisi teratas dalam sesebuah organisasi dan mereka diberi kepercayaan menyandang jawatan tinggi. Itu sesuatu yang cukup baik namun sewajarnya soal persamaan jantina ini bukanlah terhad dalam skop itu sahaja.

 

Ia seharusnya lebih meluas dan konsep ini bukan sahaja perlu dipersetujui oleh perempuan, tetapi lelaki juga harus melihatnya sebagai satu tanggungjawab. Untuk lebih berusaha memperbaiki diri dan menjadi lelaki yang lebih prihatin dan memahami. Masingmasing mempunyai peranan tersendiri

 

 

 

 

 

 

 

Hebat dan matangnya pemikirkan Sean! Okey, kita bual sedikit soal perempuan. Apakah ciri-ciri perempuan yang Sean cari dan gemari?

Dulu saya suka perempuan yang bersolek. Misalnya saya pandang dari luarannya yang kelihatan cantik. Tetapi lama-kelamaan saya perhatikan seolah-olah ada sesuatu yang kurang.

 

Entah mengapa, saya lebih sukakan perempuan yang tidak mengenakan mekap. Bukan tidak boleh bersolek tetapi tidaklah selalu dan perlu. Saya sukakan gadis biasa yang lemah-lembut, sopan-santun dan sedap mata memandang. Gadis yang pandai menyanyi dan boleh melukis juga bisa mencuri hati saya, wah! (ketawa).

 

Peliknya, saya kini bukan mencari gadis untuk dijadikan teman wanita tetapi saya seolah-olah mencari wife material yang saya bayangkan akan dikahwini. Tetapi tidaklah sampai ke tahap yang jika saya sudah jatuh cinta dengan seorang gadis Melayu, dan dengan menukar agama sahaja kami boleh bersatu.

 

Saya tidak mungkin menukar agama hanya kerana cinta. Biarlah jika saya mahu menukar agama kerana menerima petunjuk daripada Tuhan dan bukannya kerana sesiapa atau atas tujuan apa-apa. Saya selesa dan gembira menjalani kehidupan kini sebagai penganut agama Kristian.

 

 

 

 

 

 

Harapan dan apa jua yang terakam dalam minda Sean yang mahu dikongsi bersama peminat?

Saya selesa dan gembira menjalani kehidupan hari ini. Saya mahu tumpukan kepada perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan selama ini dan memasang cita-cita untuk buka kafe pula.

 

Terus-terang saya katakan, saya masih muda dan banyak yang saya mahu cuba capai. Tujuan saya buka bisnes bukan sekadar mahu meraih keuntungan tetapi mahu beri peluang pekerjaan kepada orang ramai, bantu ekonomi. Kerana hanya dengan cara ini saya mampu fikirkan untuk membantu.

 

Saya bertuah kerana mendapat sokongan daripada kalangan peminat Melayu, terima kasih saya kalian!

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Jual Air Soya, Bisnes Mercun Sampai ditahan Polis! — Fikry Ibrahim Gigih Kerja, Anak Muda KOPEK BAWANG Kena Baca

  • Seterus →

    “Anda Takkan Bergerak Seiring Arus Fesyen Jika Tiada Ilmu” — Ini Pesan Penasihat Fesyen GenF, ZAIHANI MOHD ZAIN, Cuba Baca