Jan 25, 2018 - 19574
Oleh: Huda Hussain
VIDEO muzik Bayang yang dimuat naik pada 2 September 2017 telah ditonton oleh 26,289,821 (semasa naskhah ini diterbitkan).
Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin kini sibuk mempromosikan single keduanya, Luluh. Mula dikenali menerusi aplikasi Smule apabila mengalunkan lagu Sudah Ku Tahu nyanyian Projector Band dan berduet dengan Siti Nordiana menerusi lagu Memori Berkasih.
Kekuatan dan populariti Khai Bahar dalam kalangan peminat tidak kurang hebatnya. Ketika sesi fotografi berlangsung, hanya selepas beberapa minit sidang redaksi InTrend memuat naik rakaman video durasi pendek untuk insta-story ia sudah pun tular dan dikongsi ratusan peminatnya.
Popular dan mendapat tempat di hati peminat tempatan selain Indonesia, Khai Bahar juga berjinak-jinak melakukan kerja amal. Dan undangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care tahun lalu untuk membawanya bersama menyantuni anak-anak pelarian mangsa perang Syria di Istanbul, Turki disambut dengan hati terbuka.
Dalam masa sama Khai diberi peluang melakukan ibadah umrah dan lebih manis dia turut membawa ibu bapanya bersama. Antara sisi lain yang boleh dijadikan ikutan buat pendatang muda.
Namun Khai masih tunduk dan mensyukuri kehadirannya diterima baik dalam kalangan peminat. Meraih pelbagai anugerah penting sepanjang kalendar 2017, dia menyifatkan terlalu banyak yang berada di hadapannya kini untuk ditekuni, diperhalusi dan dipelajari buat bekalan dan perisai dalam meniti perjalanan hidup yang kini bergelar anak seni.
Julung kali bersama InTrend, ayuh, selak helaian ini untuk melihat aksi menarik Khai Bahar selain mencungkil pelbagai sisi menarik mengenai penyanyi kelahiran Perlis ini yang berbakat ini.
Apa khabar terbaru daripada Khai Bahar yang mahu dikongsi?
Masih sibuk mempromosikan single terbaru saya berjudul Luluh.
Andai diberi peluang berduet dengan penyanyi wanita senior, siapa agaknya yang menjadi pilihan Khai Bahar dan mengapa?
Berduet dengan Siti Nordiana menjadi impian saya sejak dahulu lagi. Dan syukur kerana impian saya bakal jadi kenyataan, kami bakal muncul dengan single duet tidak lama lagi.
Bakat baru yang memberi saingan kepada anda, kongsikan?
Saya dan rakan artis lain bersaing secara sihat dan saya fikir setiap daripada kami mempunyai kelebihan masing-masing.
Kenangan manis sepanjang 2017?
Syukur dalam satu tahun saya berjaya merangkul lima buah trofi daripada pelbagai anugerah.
Jika punya waktu terluang, lazimnya apa yang sering dilakukan?
Bersenam.
Siapa gerangan pelakon dan penyanyi pujaan Khai Bahar?
Ziana Zain!
Aplikasi telefon bimbit yang digemari?
Instagram.
Jika diberikan RM500, apa agaknya yang akan anda belanjakan?
Saya akan bawa keluarga makan.
Bidang pekerjaan yang anda akan ceburi jika bukan bergelar penyanyi?
Cita-cita saya ingin bergelar seorang arkitek.
Cita-cita saya ingin bergelar seorang arkitek. Sepuluh tahun akan datang, di manakah agaknya Khai Bahar?
Masih dalam industri dan berusaha untuk melangkah lebih jauh.
Apa yang selalunya anda stalk di media sosial?
Saya akan menonton video-video lucu.
Apakah genre muzik yang mencabar bagi anda?
Rock kerana tidak semua penyanyi boleh membawakan genre ini dengan baik.
Antara perkara yang orang tidak tahu mengenai anda?
Saya suka kucing!
Siapa tiga legenda yang boleh diangkat sebagai idola?
Dato’ M Nasir, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain.
Jika anda mahu ubah satu perkara mengenai diri anda, apakah ia dan mengapa?
Saya mahu hilangkan tabiat melatah.
Lokasi yang paling cantik pernah anda kunjungi?
Kuching, Sarawak
Antara kenangan zaman kecil yang masih diingati?
Pernah jatuh longkang, hahaha...
Jika Khai Bahar seorang atlet, sukan apa yang diceburi?
Olahraga, acara lari pecut.
Sepanjang tujuh hari seminggu, hari apa yang paling ditunggu-tunggu?
Sabtu!
Adakah anda seorang pemimpin atau pengikut?
Pengikut.
Tiga perkataan yang melambangkan keluarga anda?
Harmoni, gembira, sejahtera.
Dari skala 1 hingga 10, gambarkan tahap ketegasan ibu bapa anda?
Mungkin seimbang kerana ibu bapa saya tegas, penyayang dan bersifat pendidik.
Pujian atau penghargaan yang membanggakan anda?
Apa yang ibu bapa saya harapkan sudah tercapai untuk melihat saya terus mengukir kejayaan sebagai penyanyi.
Laman sosial yang boleh anda bayangkan jika tiada Instagram suatu hari nanti?
Laman sosial yang boleh kemas kini mengenai perkara positif sahaja.
Pernah terfikir menjadi usahawan? Jika ya, cabang perniagaan apa yang anda ceburi?
Perniagaan berasaskan pakaian.
Apakah watak animasi yang menjadi kegilaan kala zaman kanak-kanak dahulu?
Pingu, hahaha...
Ciri-ciri kewanitaan yang perlu ada pada bakal suri hati anda?
Pandai memasak!
Anda mudah jatuh cinta atau bagaimana?
Ya, saya sangat mudah untuk jatuh cinta.
Untuk terus bertahan dalam industri?
Mantapkan lagi nyanyian.
Harapan dan perancangan untuk memeriahkan 2018?
Hasilkan lebih banyak lagu-lagu yang boleh diterima masyarakat.