Jan 22, 2018 - 398

Lelaki Ini Berdepan Mangsa Rohingya, Anak disembelih & dicincang! — Ayuh BACA & SHARE, Anda Bantu Manusia Sejagat

Salurkan bantuan tanpa sempadan — Siapakah lelaki yang berjaya menggerakkan NGO Islamic Relief Malaysia (IRM)? Bantuan apa yang mereka salurkan, baca ini.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia 

 

 

 

 

BIRMINGHAM, UK -1984

Ceritakan serba sedikit latar sejarah Islamic Relief Malaysia (IRM)?

IRM adalah sebahagian daripada rangkaian Islamic Relief (IR) di peringkat antarabangsa dan IR ditubuhkan pada 1984 di Birmingham, United Kingdom. Alhamdulillah setakat ini, IR sudah membantu lebih 110 juta penduduk dunia, kira-kira tiga kali ganda rakyat Malaysia sepanjang 33 tahun usia penubuhannya.

 

IR berada di enam benua dalam peta dunia terdiri daripada dua fungsi, sama ada sebagai cawangan Fund Raising Partner untuk mencari dana atau tujuan kedua sesuatu cawangan diwujudkan sebagai Field Office, iaitu pejabat lapangan yang berfungsi untuk mencadang, memantau dan melaksanakan projek.

 

Dan kami membantu semua orang tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit, kaum dan sebagainya. Di peringkat antarabangsa, pertubuhan kami diangkat sebagai organisasi terbesar Islamic based humanitarian NGO (setakat ini) berdasarkan capaian dan jumlah projek-projek yang telah diusahakan atau ditaja di peringkat global.

 

IR juga diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1993 yakni Islamic Relief mempunyai suara rasmi di peringkat United Nation Economic & Social Council yang membincangkan keadaan ekonomi dan isu sosial sejagat.

 

Di Malaysia, IRM ditubuhkan pada 2005 dan dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketika itu saya mula berkhidmat sebagai Pengurus Negara (Country Manager) kemudian Country Director (Pengarah Negara) dan kini berkidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Jika mengikut hierarki, saya adalah individu keempat dilantik sepanjang 12 tahun penubuhan IRM.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia 

 

 

 

 

Di Malaysia juga terdapat pertubuhan NGO yang membantu mangsa-mangsa perang dan sebagainya. Namun apakah yang membezakan IRM dengan NGO lain?

Saya percaya semua NGO mempunyai pendekatan tersendiri. Tetapi bagi IRM, konsep kami adalah touch and stay dan bukannya touch and go. Kami berada bersama mangsa dalam krisis bukan sahaja ketika fasa kecemasan sahaja tetapi selagi kami mempunyai dana untuk terus menyalurkan bantuan, baik di luar negara mahupun di dalam negara.

 

Dalam kitaran bantuan kemanusiaan terdiri daripada beberapa fasa iaitu fasa kecemasan (bantuan yang diperlukan adalah relief) kemudian fasa rehabilitasi (misalnya apabila banjir sudah surut, penduduk sudah mula kembali ke rumah).

 

Dan di sinilah kami membantu untuk membersihkan rumah, membantu mereka menyesuaikan keadaan selepas fasa kecemasan dan meneruskan kehidupan. Kemudian beralih pula ke fasa yang lebih besar iaitu (reconstruction) pembinaan semula. Ia merangkumi konsep touch and stay.

 

Misalnya, dalam situasi mangsa kemiskinan di Trong, Perak boleh sahaja kami menyalurkan bantuan seperti memberikan pek makanan. Namun dia akan terus meminta-minta kerana tiada solusi untuk dia keluar daripada dilema itu. Dan konsep kami adalah membantu agar mangsa dapat meneruskan kehidupan.

 

Ia melalui proses penilaian yakni kakitangan kami akan melakukan sesi temu bual bersama mereka yang memerlukan untuk mengenalpasti apakah punca dan mencari solusinya.

 

Pendek kata, konsep IRM adalah untuk membantu mengupayakan manusia agar daripada bergelar penerima zakat tetapi tidak mustahil berkat usaha dan ikhtiar, mereka mampu menjadi pemberi zakat. Pendekatan kami adalah bersepadu, mampan dan membangun (Integrated, Sustainable and Development).

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Peranan dan fungsi IRM dalam menggerakkan jentera sebagai fundraising partner berbanding field office?

Di Malaysia, IRM memainkan dua peranan iaitu berfungsi sebagai fundraising partner dan field office dalam masa yang sama.Seperti Malaysia, pejabat hibrid kini turut beroperasi di cawangan IR seperti di Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan ibu pejabat di United Kingdom.

 

Pada peringkat asalnya, IRM ditubuhkan untuk mendapatkan dana bagi menaja projek-projek di luar Malaysia tetapi trend mutakhir kini, cawangan fund raising partner turut memainkan peranan sebagai field office untuk membantu atau menaja projek-projek di lapangan (negara sendiri) juga di luar negara.

 

Tetapi selepas dua ke tiga tahun penubuhan, kami juga beroperasi sebagai field office untuk membantu rakyat dalam negara kita juga. Contohnya apabila IRM meraih dana, ia akan disalurkan untuk misi atau projek-projek di luar negara dan dalam Malaysia.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

 

Cabaran yang perlu diharungi IRM dalam usaha membantu menyalurkan bantuan juga sepanjang misi kemanusiaan?

IR mempunyai kakitangan seramai 4,000 orang (pekerja tetap) di seluruh negara. Kerana maklum bukan mudah untuk kami mencari kakitangan apatah lagi dalam soal kerja-kerja kemanusiaan.

 

Kami cuba meminimakan perbelanjaan kakitangan kerana penubuhan kami adalah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dan ia bukanlah didirikan untuk mencari keuntungan kerana kami tidak menjalankan perniagaan.

 

Sebaliknya kami hanya membantu dan konsumer kami pula terdiri daripada kalangan orang susah. Dan sememangnya kami memerlukan kakitangan sepenuh masa secara profesional dan tidak profesional.

 

Kami bukan bekerja sekadar menghulurkan kotak-kotak dan memberikan makanan. Tetapi kami turut sama membantu untuk mereka meneruskan kehidupan selepas sesuatu fasa.

 

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

Bagaimana membina semula kehidupan mereka, membangunkan semula tanah bendang selepas banjir misalnya. Dan ia bukan terhenti di situ sahaja, malah kami turut memantau setiap sumbangan menerusi pendekatan Impact Assessment.

 

Apakah kesan sumbangan yang diberi selepas mereka melalui fasa kecemasan umpamanya. Cabaran lain termasuk untuk mencari kakitangan yang benar-benar mempunyai jiwa kemanusiaan, meminati kerja-kerja kemanusiaan dan bersikap positif.

 

Saya lebih rela mengambil kakitangan yang mungkin tahap IQnya sederhana sahaja tetapi mempunyai keinginan dan minat untuk sekurang-kurangnya meningkatkan kebolehan, memperbaiki diri dan seterusnya boleh membantu orang lain.

 

Perlu ada sifat amanah, boleh dipercayai dan tanggungjawab kerana akhirnya nanti mereka yang akan menjalankan projek dan melakukan kerja-kerja untuk menyempurnakan apa yang telah dirancang. Dalam masa sama, kami bukanlah sekadar menyalurkan bantuan sahaja tetapi memantau setiap kerja-kerja di sebalik sebuah misi itu.

 

Projek Community Development dan Gift of Hope misalnya akan kami pantau selama setahun dan ada juga antaranya kami pantau selama dua tahun. Gift of Hope adalah inisiatif yang kami lakukan untuk membantu keluarga yang benar-benar memerlukan.

 

Penilaian dibuat berdasarkan keluarga tersebut. Community Development pula melibatkan satu kampung, beberapa keluarga dalam kawasan Projek Perumahan Rakyat dan secara asasnya ia melibatkan komuniti yang lebih daripada satu keluarga.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

Nama ‘Islamic’ – Pernahkah berhadapan dengan konflik di mana mungkin ada masyarakat bukan beragama Islam ingin menyalurkan bantuan tetapi gusar kerana bantuan hanya disalurkan kepada masyarakat Islam sahaja atau bagaimana?

Tidak dinafikan, ada juga sentimen atau pandangan sedemikian. Disebabkan itu juga saya suka memberi penegasan bahawa kami bukanlah religious NGO yang hanya berkiblatkan kepada agama Islam sahaja. Kami adalah universal humanitarian NGO.

 

Sebaliknya kami membantu semua insan tanpa mengira batas perkauman, agama, fahaman politik, warna kulit dan sebagainya. Umpamanya kami memberi bantuan tanpa mengira sempadan.

 

Misalnya program yang masih dijalankan iaitu Cheer to School (bantuan awal persekolahan) kami sedang lakukan di perkampungan Orang Asli sekitar Ulu Gombak yang mengumpulkan keluarga-keluarga Orang Asli dan rata-ratanya mereka bukan beragama Islam.

 

Begitu juga beberapa minggu lalu, kami lakukan program yang sama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Endau. Pada saya, biarlah amal itu yang berkata-kata, lihat sahaja kepada projek yang kami laksanakan.

 

Dan daripada segi pemberi manfaat (penderma) jika dilihat secara khusus di peringkat antarabangsa, His Royal Highness Prince Charles dan Princess Camilla – baginda adalah penderma dan penyokong Islamic Relief.

 

Malah selain itu, kami juga menerima dana dari negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan ia disalurkan melalui pejabat-pejabat cawangan IR di negara-negara tersebut.

 

Begitu juga dengan sumbangan derma, kami menerima banyak sumbangan dari negara-negara bukan Islam kerana mereka melihatnya daripada segi profesionalisme juga atas nama kemanusiaan.

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

Apakah saluran bantuan yang disumbangkan?

Memandangkan pendekatan kami secara bersepadu, kami merangka bantuan meliputi tujuh hingga lapan sektor antaranya sektor pertama kesihatan, seperti membina hospital, klinik, membekalkan ubat- ubatan, memberi latihan kepada jururawat terlatih dan seumpama dengannya.

 

Sektor kedua terbesar adalah pendidikan. Konsepnya bukan sekadar membaiki sekolah-sekolah, membekalkan buku- buku teks tetapi turut memberi latihan dan berkongsi ilmu dan kemahiran kepada tenaga pengajar, murid-murid.

 

Ketika misi ke Gaza dahulu, kami salurkan dana ke kelab-kelab dan persatuan- persatuan di sekolah-sekolah untuk membeli kelengkapan atau alat bantuan pelajaran yang musnah akibat kesan peperangan.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Selain sektor pendidikan, kami turut membantu daripada sudut perlindungan. Ia sama ada merangkumi pembinaan semula rumah, kem-kem pelarian dan sebagainya.

 

Sektor keempat adalah sara diri misalnya mangsa seperti kes di Trong, Perak tadi. Kami bantu dengan memberikan bot dan enjin untuknya meneruskan kehidupan sebagai nelayan. Kita maklum bahawa mangsa di Gaza, Afrika bergantung kepada aspek pertanian untuk menjana ekonomi mereka.

 

Namun mereka berhadapan dengan kesukaran misalnya tiada modal untuk membeli baja, mendapatkan bijirin dan seumpama dengannya. Dan ada kalanya mereka memerlukan saluran pengairan untuk menyalurkan air ke kawasan tanaman.

 

Seterusnya adalah sektor pertanian, ia lebih spesifik. Namun tidak semua penerima bantuan terdiri daripada golongan petani. Maka dengan itu kami perlu sesuaikan saluran bantuan mengikut keperluan dan keutamaan mereka yang memerlukan.

 

Sektor pertanian, antara yang terbesar pula berkait rapat dengan elemen WASH (Water, Sanitation and Hygiene). Elemen air merangkumi saluran pengairan, perparitan dan seumpama dengannya.

 

Manakala sanitasi pula meliputi aspek pembekalan tuala wanita, lampin dan ia berkait rapat dengan elemen kebersihan. Dan elemen kebersihan ini cukup meluas misalnya kami membawa doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan, cara-cara menggosok gigi dengan betul dan lain-lain.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Kami di IRM juga turut memberi penekanan terhadap elemen psikososial. Misalnya kes Rohingya ada mangsa yang melihat sendiri bagaimana anaknya dirogol, disembelih, dicincang di hadapan mata namun tidak mampu berbuat apa. Dan ia sekali gus memberi kesan kepada emosi dan dalaman mereka. Mereka cukup trauma dengan tragedi sedemikian.

 

Di Gaza misalnya, kami mempunyai Pusat Psikososial yang mengumpulkan anak-anak. Kami menyuruh mereka melukis apa sahaja yang terakam dalam memori mereka dan rata-ratanya lukisan yang dilakar adalah imej kapal terbang menjatuhkan bom dan rumah yang pecah juga anggota badan manusia yang terburai. Itu antara lakaran yang lazim dilukis.

 

Dan apabila mereka pulang dari sekolah, mereka akan singgah di Pusat Psikososial untuk melalui sesi terapi agar mereka dapat meluahkan apa jua tekanan untuk mengembalikan semangat dan menceriakan mereka. Maka dengan itu, kami berikan bantuan menerusi sesi kaunseling, sesi perkongsian dan seumpama dengannya.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

MYANMAR • SYRIA • AFGHANISTAN - 2014

Pengalaman melihat dan menyalurkan bantuan sepanjang misi kemanusiaan yang mungkin tidak dapat dilupakan?

Dalam aspek kemanusiaan ini terbahagi kepada dua. Pertama adalah natural disaster (hujan, banjir, kemarau dan sebagainya) dan kedua adalah man-made disaster, dari tangan manusia sendiri misalnya (konflik dalaman, peperangan dan seumpama dengannya) seperti di Myanmar, Gaza, Syria dan lain-lain. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.

 

Saya tidak boleh bayangkan. Pengalaman sewaktu kali pertama menjejakkan kaki menyertai misi kemanusiaan adalah ketika saya bersama sebuah NGO lain ke Afghanistan. Seperti di Somalia pula, mereka berhadapan dengan kedua-dua elemen.

 

Dan apabila ada yang mengatakan masih ada rakyat Malaysia yang hidup dalam kesusahan, ya saya mengangguk setuju. Tetapi pada hemat saya, biar susah macam mana sekalipun, sekurang-kurangnya masih punya rumput hijau untuk dimakan dan air sungai untuk diminum. Namun apa yang berlaku di sana, mereka tidak mempunyai apa-apa.

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Berdasarkan pengalaman saya sewaktu ke Afghanistan dahulu, ada seorang mangsa datang ke klinik kami mengadu sakit perut. Kami difahamkan, dia hanya menelan butiran batu dan pasir untuk mengalas perut. Lebih memburukkan keadaan, di sana sudah tidak hujan selama hampir tiga bulan.

 

Saya juga berpengalaman melihat beberapa kali insiden kematian di hadapan mata. Dan mungkin juga kerana sudah lali membuatkan saya bersedia melihat apa jua terbentang di hadapan mata.

 

Setiap kawasan atau negara yang pernah kami pergi mempunyai cabaran yang berbeza. Dan untuk itu memerlukan jiwa yang kental dan minda yang kuat untuk mendepaninya.

 

Peranan kami adalah untuk membantu dan pengalaman ketika awal pembabitan saya turun ke lapangan ini adalah kami sendiri (kumpulan sukarelawan) perlu kuat dan diberi taklimat sebagai persediaan awal untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.

 

Seboleh mungkin kami tidak menunjukkan emosi di hadapan mangsa yang memerlukan bantuan dan sokongan. Sebaliknya kami sendiri berkongsi, meluahkan perasaan sesama kami sebelum turun ke lapangan.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Sumber kewangan dan dana IRM, datangnya daripada sumbangan derma atau bagaimana?

Pelbagai, dalam erti kata lain kami umpama perantara untuk saham akhirat. Produk kami adalah Gift of Hope, Community Development dan Cheer to School. Dan klien kami adalah mereka yang kesusahan.

 

Kami perlu berusaha untuk mencari dana, membentangkan kertas kerja, berjumpa pihak kerajaan, korporat dan sebagainya untuk menjalankan projek-projek.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

Kekangan yang perlu ditempuh dalam usaha memastikan segala perancangan dapat disempurnakan dengan baik?

Dana adalah cabaran utama. Kami bukan sahaja menerima sumbangan dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam bentuk barangan. Misalnya ada yang memberikan sumbangan kereta terpakai untuk diwakafkan.

 

Lalu kami perbaiki dan berikan kepada golongan asnaf. Terdapat juga barangan seperti pakaian dan lain-lain yang disumbangkan orang awam. Dan setiap hasil jualan kami salurkan kepada mereka yang memerlukan.

 

Cabaran kedua adalah persepsi kerana masih ada segelintir masyarakat yang berfikiran, “Oh hanya bantu orang Islam sahaja ke?” Namun siapalah saya untuk menghentikan stigma sedemikian. Biarlah amal itu yang berkata-kata. Selebihnya terpulang kepada yang menilainya.

 

Seterusnya adalah cabaran Islamophobia di peringkat antarabangsa. Biarpun nama Islamic itu ada kalanya menimbulkan pelbagai andaian negatif namun kami masih berpegang bahawa, ia memberi banyak kelebihan dan kebaikan dalam jangka panjang.

 

Sebagai contoh IR USA antara yang terbesar daripada kapasiti kakitangan (seramai 200 lebih) apabila berlaku taufan Katrina, apabila berlakunya banjir di Los Angeles, sukarelawan dan kakitangan IR adalah yang terawal tiba menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang terlibat. Sedikit-sebanyak ia membantu mengurangkan sentimen Islamophobia yang berbangkit dalam kalangan masyarakat global khususnya di luar negara.

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Waktu yang dianggap kritikal dan mangsa peperangan atau negara bergolak memerlukan bantuan adalah dalam tempoh, musim tertentu atau lazimnya bila?

Terus-terang saya katakan tidak bermusim. Sejak 30 tahun kebelakangan ini, mengikut analisis NGO kemanusiaan antarabangsa, 30 tahun kebelakangan ini semakin kerap, semakin besar dan semakin teruk.

 

Saya beri contoh,banjir. Malah dalam negara kita sendiri, seringkali kita dengar kawasan yang tidak pernah dilanda banjir akhirnya terkesan dengan bencana alam ini. Bukan itu sahaja, apabila berlaku ia seakan-akan memberi impak luar biasa kepada masyarakat setempat.

 

Lihat sahaja kekerapan gempa bumi, tanah runtuh yang semakin kerap terjadi. Di Syria misalnya, ia nyata dan terbukti pergolakan negaranya tidak bermusim dan masih berlarutan hingga hari ini. Tahun ini sudah masuk tahun keenam kami salurkan bantuan dan hampir satu billion kami peruntukkan.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Belum termasuk di Afrika, Bangladesh, India ataupun di Jordan dan negara-negara lain. Dan jika ditanya kepada saya negara mana yang lebih kritikal? Sukar untuk saya berikan jawapan kerana kami berhadapan dengan krisis kemanusiaan ini saban hari.

 

Maka dengan itulah perlunya kami mempunyai pejabat lapangan dan kakitangan tetap sepenuh masa. Misalnya takkanlah pula sekejap saya terbang ke Jordan, kemudian keesokannya ke Syria pula? Ia nyata tidak efektif dan tidak berkesan.

 

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

SOMALIA • MYANMAR • BANGLADESH • SYRIA 06.2017~01.2018

 

Kongsikan projek-projek yang telah dirancang untuk tahun hadapan atau mungkin masih berjalan?

Antara yang sedang berjalan adalah Dana Wakaf Air Somalia, kami sasarkan untuk mencari dana RM1.8 juta. Selepas kami pulang daripada misi kemanusiaan di Somalia, Jun lalu azam kami adalah untuk membina dua buah telaga lengkap dengan sistem untuk membangunkan dua buah kampung di sana.

 

Apabila adanya sumber air itu, insya-Allah ia akan membolehkan penduduk-penduduk bercucuk tanam, untuk kegunaan minuman, haiwan boleh minum, sekolah boleh dibina, klinik kesihatan boleh dibina dan lain-lain.

 

Ia akan memberi manfaat kepada penduduk kampung seramai 12,000 hingga 13,000 orang. Kempen ini berlangsung sejak akhir Jun lalu hingga Januari 2018.

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Kemudian yang baru kami lancarkan pada 1 November lalu adalah Rayuan Musim Sejuk, ini adalah projek bermusim setiap tahun untuk menampung kegunaan tujuh negara di tiga benua yang IR beroperasi.

 

Menariknya, ia mengikut keperluan sesebuah negara itu sendiri. Tidak semestinya semua pakaian sejuk diperlukan, ada antaranya memerlukan kayu api, alat pemanas (heater) dan selimut misalnya. Dan kami sasarkan untuk mengumpul setengah juta menjelang Disember hingga Februari 2018.

 

Selain itu, turut berjalan adalah kempen membantu mangsa banjir serendah RM50, juga Myanmar appeal untuk membantu masyarakat Rohingya yang berada di Myanmar dan di Bangladesh serta warga Rohinya yang berada di Malaysia.

 

Malah IRM mempunyai sebuah sekolah yang menempatkan anak-anak Rohingya di Kajang sejak Januari 2017. Selain itu yang terus berjalan adalah sumbangan untuk pembangunan semula Palestin, Gaza dan Tebing Barat juga kempen Save Syria.

 

Bagi projek di dalam negara pula selain program Cheer To School adalah Gift of Hope (pemantauan dan bantuan khusus untuk keluarga-keluarga tertentu di seluruh Malaysia dan Community Development).

 

Manakala program bermusim yang kami laksanakan adalah program sepanjang Ramadan, Korban (khusus untuk dalam negara dan lebih 31 negara) dan musim sejuk

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

 

Pasti bukan mudah untuk IRM mengumpul dana kerana dengan keadaan ekonomi yang mencabar kini membuatkan masyarakat perlu bijak menguruskan kewangan. Apakah pendekatan yang digunakan IRM dalam soal ini?

Benar, saya akui bukan senang mahu meminta sumbangan dalam apa jua bentuk. Namun saya percaya, rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Selebihnya kami di IRM bertindak sebagai pemudah cara.

 

Jika ada yang mahu menyumbang RM1 sekalipun kami rela hati menerimanya. Kerana kita tidak tahu, apakah dengan sumbangan sejumlah itu mampu menyelamatkan hidup mereka yang terlibat dalam kancah peperangan, antara hidup dan mati umpamanya.

 

Dan mungkin juga dengan sumbangan RM1 itu juga menjadi asbab atau amalan dari pintu mana untuk kita melangkah ke pintu syurga, kita tidak tahu bukan? Daripada segi lain, kami perlu pelbagaikan kaedah atau mekanisme untuk memohon sumbangan misalnya.

 

Dalam erti kata lain, kami perlu permudahkan orang ramai untuk berbuat kebaikan. Ia tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit malah peralatan atau item lain juga kami terima. Dan kami melihat kesesuaiannya untuk digunakan oleh golongan asnaf.

 

Jika kami tidak terima sekalipun, ia akan disalurkan kepada rakan-rakan NGO yang lain. Selain daripada itu saluran dan penyebaran maklumat daripada pelbagai medium. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, semua maklumat boleh didapati di hujung jari.

 

Maka dengan itu, kami sentiasa kemas kini maklumat, berkongsi gambar dan perkembangan terkini mengenai projek- projek yang dibangunkan kepada mereka yang menyumbang menerusi aplikasi Telegram atau WhatsApp misalnya.

 

Ia secara tidak langsung membangkitkan kepercayaan kepada mereka yang menyumbang dan membuktikan ketelusan cara kami beroperasi.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Kerjasama yang kami jalinkan dengan pihak lain, misalnya menerusi saluran radio dan lain-lain banyak membantu sekurang- kurangnya untuk kami mencapai sasaran dengan lebih meluas.

 

Ia sedikit sebanyak membantu agar kami dapat berkongsi maklumat dan ilmu. Daripada situ juga secara tidak langsung membolehkan kami mencungkil kesedaran dalam kalangan masyarakat yang akan membuatkan mereka menyedari bahawa untuk menyumbang adalah tanggungjawab bersama. Kerana pada akhirnya nanti cabarannya adalah untuk menambat hati masyarakat.

 

Apa yang kami lakukan bukan untuk kepentingan kami dan kami yakinkan kepada penderma dan mereka yang telah menyumbang bahawa ini adalah amanah dan kami akan tunaikan dengan sebaik mungkin.

 

Malahan terdapat juga penderma-penderma yang mampu dan boleh berhadapan dengan situasi di lapangan. Kami bawa mereka bersama ke luar negara untuk melihat sendiri senario yang berlaku.

 

Contohnya di Kosova, asalnya seorang penderma ini mempunyai lebihan duit zakat sebanyak RM20,000 dan wang tersebut digunakan untuk membantu lima hingga enam keluarga membaiki rumah mereka.

 

Pada saya apa jua pendekatan yang digunakan perlu menarik, kreatif dan dilakukan secara terbuka. Selebihnya perlu ada keikhlasan dalam apa yang dilakukan kerana ia adalah tunjang dan nadi yang menggerakkan langkah seterusnya.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Sejauh mana kesedaran dan tahap kepekaan masyarakat Malaysia terhadap kerja-kerja dan misi kemanusiaan pada pandangan Encik Zairul?

Di negara-negara Barat, mereka menyumbang bukan kerana emosi sebaliknya mereka memberi kerana ilmu dan kefahaman. Malah ia dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim. Dan perkara ini yang saya cuba tanamkan dalam kalangan masyarakat kita.

 

Rentetan ini kami menawarkan kaedah auto debit, iaitu potongan gaji bagi pemegang akaun Maybank untuk disalurkan kepada IRM. Menerusi terbitan buku kami jua diharap dapat membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat selain penganjuran seminar, pameran dan siaran radio di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), slot televisyen Al-Hijrah dan apa jua ruang baik Facebook mahupun Instagram. Kami manfaatkan medium yang ada untuk menyampaikan kesedaran kepada umum.

 

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

 

 

 

Harapan dan masa hadapan pertubuhan NGO di Malaysia untuk terus berkembang dan menyempurnakan misi kemanusiaan?

Saya tidak pasti bagi NGO lain. Wawasan kami adalah untuk mewujudkan dunia yang prihatin selain untuk menyuburkan jiwa dan menyemai sifat kemanusiaan dalam diri setiap masyarakat.

 

Betapa membantu itu sesuatu yang dituntut dan ia perlu difahami tanpa meletakkan sebarang diskriminasi. Kita perlu mulakannya untuk diteruskan oleh legasi dan anak-anak kita pada masa hadapan. Selebihnya teruskan usaha dan serahkan kepada Allah SWT untuk menilai setiap tindak-tanduk dan amalan kita.

 

 

Kredit foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    AWAS! RICO RINALDI Buat Wanita Obses Dengan Manik — Apa Sebabnya…

  • Seterus →

    KHAI BAHAR, Mudah Jatuh Cinta, Suka Gadis Pandai Masak! — Wanita Bujang Kena Baca Pengakuan Ini