Jul 03, 2016 - 26828
Oleh:
DALAM kemeriahan kita meraikan Hari Wanita Antarabangsa hari ini, marilah kita ambil sedikit masa untuk merenung kembali peristiwa hitam yang pernah menggemparkan dunia tiga tahun lalu. Tragedi kehilangan pesawat MH370 tanggal 8 Mac 2014 masih tersimpan rapi dalam kotak memori seluruh warga dunia amnya dan warga Malaysia khususnya. 1095 hari dilalui dengan penuh suka dan duka. Dan bagi Intan Maizura Othaman, balu kepada salah seorang anak kapal MH370 dia masih kekal optimis melalui hari-hari mendatang.
“Doa Intan kepada yang muslim dalam MH370, semoga mereka sentiasa berada disamping orang-orang yang beriman dan dicucuri rahmat. Dan Rest In Peace kepada yang bukan beragama Islam. Semoga kebenaran akan terbukti juga satu hari nanti dan kepada waris-waris agar mereka sentiasa tabah dan lebih tenang menghadapi segala rintangan yang ada. Amin.”
Cinta dan kasih sayang memerlukan pengorbanan, Intan setuju?
Setuju kerana jika tiada pengorbanan, anda tidak akan mengecap erti kebahagiaan yang sebenar. Misalnya, jika anda sukakan sesuatu tetapi pasangan anda tidak. Secara tidak langsung anda sudah korbankan apa yang diminati kerana menghormati dan memahami kehendak pasangan. Seperti kisah hidup dan pengalaman saya, dahulunya suami merokok tetapi selepas saya berkata kepadanya, “Apa kata lepas kita bernikah, you berhenti merokok?”
Saya akui, pada awalnya bukan mudah bagi seorang lelaki meninggalkan habit tersebut. Tetapi dia melakukannya dengan rela hati. Semuanya dilakukan demi saya dan anak-anak. Itu salah satu bukti cinta, sayang dan pengorbanannya yang saya rasakan cukup bermakna.
Perasaan rindu itu pasti datang bertamu dan tidak pernah sunyi menemani diri. Apa cara Intan meluahkannya selain daripada berdoa atau berkomunikasi di laman media sosial?
Saya akan lihat semula gambar-gambar dia. Jika ada hari-hari atau minggu-minggu yang saya kental dan kuat, saya akan tonton semula rakaman video bersamanya. Kami mempunyai saluran YouTube peribadi. Semua rakaman video bersama suami dan anak-anak saya simpan dan muatkan di situ. Ada juga masa dan ketikanya saya tidak kuat sehinggakan tidak mampu dan berupaya untuk melihat gambar apatah lagi mendengar suaranya kerana hati terlalu sayu dan sedih mengenangkannya.
Kalau saya rindu dan rasa teringin ‘bercakap’ dengannya, saya akan meluahkannya di Instagram (IG). Jika pada ketika hayatnya, tatkala kami berjauhan kerana tuntutan kerja, dia akan muat naik satu gambar di IG dengan kapsyen, ‘B, I miss you’. Begitu juga dengan saya. Dari situ kami sering berkomunikasi dan selain IG, kami juga mempunyai akaun Facebook. Itulah rutin saya dari dulu hinggalah sekarang. Bercakap dan meluahkan di IG seorang diri kerana sudah terbiasa melakukannya. Bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, cuma jika orang lain melihatnya daripada sudut yang positif dan mengaplikasikan cara yang sama untuk meluahkan rasa sayang dan rindu, just do it.
Secara peribadi, saya tidak menyangka peristiwa tragis ini akan berlaku dan mujurlah saya sempat merakam video, muat naik semua video dan gambar-gambar arwah suami di YouTube kami. Insya-Allah, jika anak-anak sudah dewasa, mereka boleh lihat sendiri betapa kasih dan sayangnya papa terhadap kami seisi keluarga.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Bagaimana pula boleh timbulnya #prayforrainmh370 di Instagram?
Ia tercipta daripada ilham rakan baik suami sewaktu peristiwa ini mula-mula berlaku. Dia memuat naik foto dengan hashtag #prayforrainmh370 dan saya hanya meneruskan kesinambungan itu hingga sekarang. Kebanyakannya jika sesiapa yang klik hashtag ini akan keluarlah gambar-gambar suami, saya, rakan-rakan, keluarga kami berdua, mutiara kata ataupun doa-doa. Pada awal kejadian, sekitar minggu pertama, sewaktu kami keluarga mangsa MH370 menginap di hotel; saya seolah-olah buntu dan terdesak mahu mengetahui di mana suami berada.
Sehinggakan saya muat naik status di IG dan Facebook dengan kapsyen, ‘Ya Allah… B you di mana? B, kalau you baca mesej ni atau boleh baca status menerusi Facebook sahaja sekalipun, B… I post this, tolong baca...’
Tetapi dia tak baca. Orang lain yang membacanya. Betapa resah dan gelisahnya saya ketika itu, hanya Allah saja yang tahu.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Momen melahirkan Muhammad tanpa suami di sisi, bagaimana Intan mengharunginya?
Ketika peristiwa hitam itu berlaku, tanggal 8 Mac sebenarnya, saya hamil dengan usia kandungan tujuh bulan. Tetapi memandangkan segala kekacauan yang timbul, situasi yang bercelaru dan fikiran yang tidak menentu tatkala sesiapa yang bertanyakan usia kandungan, jawab saya kepada mereka, “Saya hamil lima bulan.”
Selepas beberapa hari, barulah saya sedar, sebenarnya saya hamil tujuh bulan dan akan melahirkannya pada bulan Mei. Maklum sajalah, saban hari menunggu khabar berita sehinggakan keadaan saya serba-serbi tidak kena. Tetapi syukur kerana berkat doa semua, saya berjaya melaluinya. Namun selera makan entah ke mana, saya hanya memaksa diri untuk makan kerana memikirkan bayi dalam kandungan. Betapa getirnya ujian waktu itu.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Sewaktu hamil, adakah Intan mengamalkan sebarang rutin kerohanian untuk menguatkan semangat?
Ceritanya, sewaktu hamil, saya banyak meluangkan masa di rumah dengan menonton YouTube dan mendengar ceramah-ceramah agama. Kebanyakannya daripada ceramah Ustaz Kazim Elias yang berkisarkan isu kekeluargaan, kematian dan banyak lagi. Selain mendengar ceramah agama, saya juga banyak berzikir dan bersolat.
Hinggalah apabila kejadian ini berlaku pada pagi 8 Mac itu, saya terduduk dan termangu seketika. Beberapa bulan sebelum perkara ini terjadi, sudah semestinya saya tidak sedar bahawasanya ia adalah petanda untuk Allah ‘persiapkan’ minda dan spiritual saya. Hanya selepas kejadian tersebut berlaku barulah saya ingat dan sedar, “Oh, patutlah… Oh, ini rupa-rupanya jawapan dan sebab-musabab mengapa aku buat begitu, aku buat begini...”
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Ketika mahu melahirkan Muhammad, alhamdulillah saya tenang. Ahli keluarga dan rakan-rakan yang datang gusar, tertanya-tanya apakah saya okey atau tidak kerana lagak saya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kakak saya misalnya, sering mengingatkan keluarga yang lain, “Pergi jumpa Intan, tapi jangan menangis.”
Saya berjumpa doktor dan menerangkan apa yang berlaku. Hamil anak pertama, saya melaluinya menerusi proses pembedahan. Dan untuk kali kedua, saya mempunyai pilihan sama ada untuk melaluinya secara normal atau pembedahan. Selepas sesi konsultasi bersama doktor dan menerangkan apa yang berlaku, doktor maklum mengenai situasi yang saya alami. Saya tidak mampu untuk menanggung kesakitan akibat kontraksi dan tidak sanggup untuk melaluinya secara normal. Umpamanya saya mengalah di fasa awal malah doktor juga mencadangkan perkara yang sama. Doktor yang memilih tarikh 19 Mei untuk saya melahirkan Muhammad di Hospital Putrajaya.
Selepas melahirkannya, kali pertama saya mendengar Muhammad menangis, saya turut sama menangis. Ahli keluarga dan rakan-rakan yang mahu menangis, menjauhkan diri daripada saya. Seolah-olah ‘you are not allowed to cry in front of me’.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Intan pernah rasa putus asa, mengalah? Rasa sukar bangkit daripada kekecewaan saat menempuh peristiwa hitam ini?
Tidak pernah tetapi lebih kepada rasa sedih yang teramat. Sedih kerana terlalu merinduinya hingga kini. Saya akan menangis dan terus menangis untuk melepaskan emosi yang terbuku di dalam hati. Selepas menangis, saya rasa lebih lega dan puas. Selain itu rasa sedih itu hadir apabila momen-momen yang sepatutnya dilakukan bersama suami tetapi sedihnya dia tiada untuk meraikannya. Misalnya, sewaktu Iman naik ke pentas mengambil sijil graduasi tadika, hari orientasi pelajar tahun satu, hari lahir Iman…
Saya menangis melihatnya. Rasa sedih dan sebak kerana bagi saya, Papa patut ada sebenarnya. Lebih-lebih lagi apabila Iman berkata, “Semua orang ada papa, Mami."
Tetapi saya perlu kental dan menjawab, “Mami kan Papa Iman juga?”
Sedangkan dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu saya berperang dengan perasaan. Dalam erti kata lain, saya sering ‘memakai topeng kental’ kerana tidak mahu anak saya terus dirundung kesedihan. Namun saya akui bukan mudah untuk saya bangkit daripada rasa sedih. Jika saya tidak kuat, bagaimana saya dapat move on? Dan jika tidak move on, bagaimana pula saya meneruskan hidup?
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Boleh imbas semula momen-momen akhir bersama arwah suami?
Tanggal 6 Mac 2014, kami bermalam di Grand Lexis, Port Dickson dan pulang ke rumah sekitar jam enam petang pada 7 Mac. Arwah suami perlu melaporkan diri bekerja 11.10 malam untuk penerbangan ke Beijing pada malam 7 Mac 2014. Waktu pesawat tersebut berlepas dari KLIA adalah tengah malam 8 Mac itu.
Kebetulan pada malam itu, tiada pengangkutan yang lazimnya membawa dia pergi ke lapangan terbang. Maka saya ditemani Iman, menghantar suami ke sana. Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, Iman tertidur di dalam kereta dan tidak berkesempatan berjumpa Papanya. Tiada perkara aneh yang berlaku sepanjang tempoh tersebut atau beberapa hari sebelum kejadian berlaku.
Kata-kata akhir arwah suami yang Intan masih ingati?
Sudah menjadi rutin suami untuk menelefon saya sama ada dia berada di briefing room atau sewaktu dalam perjalanan menuju ke pesawat (di dalam Aerobridge). Pesannya, “I text you nanti bila dah sampai. Go easy with Iman. Take care, I love you.”
Saat dikhabarkan mengenai tragedi MH370, bagaimana Intan menerimanya?
Selepas selesai solat subuh, saya lihat telefon bimbit tetapi masih belum menerima kiriman WhatsApp atau sebarang mesej daripada suami. Jangkaan saya, “Oh mungkin dia belum sampai hotel, tunggu ajelah sekejap lagi.” Lalu saya tertidur.
Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada rakan (juga pramugari) bertanyakan saya di mana? Jawab saya hanya di rumah, baru bangun tidur. Dia bertanya lagi, Rain pergi mana? Sedangkan ketika itu dia sudah maklum mengenai peristiwa hitam ini. Saya memberitahu, suami ke Beijing, baru berlepas malam semalam.
Katanya lagi, “Babe, kapal Rain hilang.”
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Dan dia memberikan serba-sedikit maklumat mengenai kedudukan kapal MH370. Sebagai anak kapal, saya sudah mula membayangkan apa yang bakal berlaku. Jika benar ia terhempas ke dalam laut dan sebagainya. Barulah saya teringat, “mati itu pasti’ dan ia benar-benar berlaku pada diri saya ketika itu. Ketika dimaklumkan rakan saya sekitar jam sembilan pagi, saya terlihat kelibat Iman yang leka bermain seorang diri di dalam bilik.
“Ya Allah, apa yang perlu aku katakan kepada anak aku ini?” Kemudian saya menelefon kakak dan bapa mentua memaklumkan mereka mengenai berita ini. Hinggalah apabila saya menelefon ibu saya di Perlis memintanya agar dia datang ke rumah saya. Saat memaklumkan berita ini, barulah saya mula menangis dan berterusan menangis sepanjang hari tanggal 8 Mac 2014. Sukar dan getirnya hanya Allah sahaja yang mengetahui.
Bukan mudah Intan melaluinya bukan? Bagaimana cabaran dan pengorbanan yang terpaksa Intan lalui?
Saya menangis setiap hari. Menangis dan terus-terusan menangis. Tetapi tidaklah sehingga saya jatuh pengsan. Momen yang paling sukar saya tangani adalah apabila saya terlalu rindukan arwah suami dan bagaimana mahu uruskan Iman. Tetapi syukur kerana ahli keluarga banyak membantu sekurang-kurangnya melekakannya daripada terus bertanyakan tentang papanya. Lama-kelamaan, Allah berikan kekuatan jiwa yang kental dalam diri saya.
Saya ingatkan diri, jika saya susah, ada orang yang lebih susah daripada saya. Jika saya sedih, ada orang yang lebih sedih daripada saya.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Jika anak-anak bertanyakan tentang Papa mereka, apa Intan lakukan?
Pada awalnya saya beritahu Iman peringkat demi peringkat. Saya tidak memberitahunya secara drastik. Malah Iman tiada dengan saya ketika hari pertama kejadian berlaku. Hinggalah apabila kami sampai di hotel, dia bertanya, “Mami, bila Papa balik work? Mami, nanti Papa datang sini ke? Mami, Papa mana?” Dan pelbagai lagi soalan yang berkisarkan Papanya.
Dia terlalu kecil untuk memahami apa yang berlaku sementelahan baru berusia empat tahun lebih. Malah saya mengambil masa hampir seminggu untuk memaklum berita itu kepadanya. Kata saya, “Kapal Papa rosak.” Hanya itu yang saya mampu katakan kepadanya agar dia dapat faham. Hinggalah selepas beberapa minggu, saya beritahu kepadanya, “Papa takkan balik dan Papa Iman ada di syurga. Kalau Iman rindukan Papa, baca Al-Fatihah banyak-banyak.”
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Malah hingga ke hari ini, Iman sering bertanyakan Papanya. Hubungan dan pertalian kasih sayang antara Iman dan Papanya terlalu rapat. Ikatan mereka cukup kuat. Hinggalah peristiwa MH17, sekali lagi Iman bertanyakan soalan yang sama. Malah dia menangis apabila melihat satu persatu keranda jenazah diusung pada hari Perkabungan Negara (22 Ogos 2014) kerana dia kenal logo MAS dan mengetahui ia mempunyai kaitan dengan Papanya.
Jika Iman rindukan Papanya, saya akan berikan telefon untuk dia tonton semua video arwah Papa. Dan jika dia menangis, saya katakan, “Kalau nak menangis, tak perlu tengok.” Jadi dia takkan menangis.
Mengenai Muhammad pula, walau tidak pernah bersua dan tidak pernah kenal, dia tetap mengenali raut wajah Papanya. Apabila saya tunjukkan gambar kami bertiga, dia akan menyebut, “Mami, ni Iman, ni Papa.” Dan perkataan pertama yang Muhammad sebut adalah Papa.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman
Pernah bermimpikan suami?
Ada dua mimpi yang saya andaikan sebagai petanda untuk saya menerima ketentuan ini adalah sewaktu beberapa hari selepas kejadian berlaku. Mimpi pertama pada 24 Mac. Saya terjaga sekitar jam 3 pagi lantas bangun menunaikan solat sunat tahajjud. Kemudian usai solat, saya tertidur. Saya mimpikan suami. Kemudian saya terjaga mendengar azan Subuh dari telefon bimbit.
Mimpi kedua mengenai arwah suami hadir menjentik emosi ketika minggu pertama Syawal. Di dalam mimpi itu, saya melihat suami memakai baju-T biru tua, memeluk saya dari belakang. Kemudian dalam mimpi kedua, saya terlihat kelibatnya memakai baju biru tua dan dia menasihati saya, “B, you kena tabah, you kena reda sebab I memang dah dipilih untuk pergi.”
Saya memeluknya dari belakang dan menangis teresak-esak. Kebanyakan mimpi yang diceritakan dalam kalangan ahli keluarga, rata-rata melihatnya berada di sebuah pantai pasir tinggi. Kelibatnya hanya merenung dari jauh sambil tersenyum. Mungkin juga ia petunjuk Allah kepada saya supaya tidak mengharap, tidak menunggu dan reda dengan apa yang berlaku.
Harapan kepada anak-anak?
Doa dan harapan saya agar Iman dan Muhammad membesar menjadi anak yang soleh dan solehah, berjaya dalam hidup di dunia dan di akhirat. Jadilah anak-anak yang penyayang seperti Papa.
Sumber: Instagram Intan Maizura Othaman