Jul 15, 2016 - 3395
Oleh:
SALAM hormat Dato' Aliff. Bila pula datang ilham Dato’ bela Kucing Afrika? Macam susah dan renyah saja Dato’? Tak peningkah terkejar-kejar?
Sebenarnya sejarah saya dengan kucing-kucing peliharaan ini memang panjang. Sejak kecil lagi saya suka membela kucing. Pernah saya membela sampai 30 ekor kucing (asalnya sepasang, tetapi yang sepasang itu terus membiak-biak). Pening? Sikit pun tidak.
Saya suka kucing. Gaya hidup saya mungkin sudah berubah. Dulu lain, sekarang lain. Tetapi sayang dan kasihnya saya pada haiwan kesukaan Rasulullah SAW ini tak pernah berubah.
Tapi tahu-tahu sajalah, saya memang suka buat perkara yang orang lain tak buat, kan? Kucing Parsi? Semua orang bela kucing Parsi. Jadi saya terfikir, saya mahu cari seekor kucing yang unik. Yang orang lain tak ada. Yang lain daripada yang lain. Google punya Google, saya jumpa maklumat tentang kucing terbesar di dunia, Kucing Afrika. Terus hati saya tertarik.
Sumber:
Sumber:
Jadi saya nekad mahu bela kucing jenis Savannah ni. Perkara pertama, saya langsaikan urusan permit. Begitu begini, makan masa hampir tiga bulan juga. Kalau nak tahu, harga pasaran seekor Kucing Afrika lebih kurang RM40,000. Tapi saya cari yang paling murah. Akhirnya, saya dapat Dodi dengan harga RM30,000.
TIGA PULUH RIBU RINGGIT? Saya telan air liur. Tiga puluh ribu tu kurang sikit daripada baki hutang kereta saya di bank, Dato'. Hmph... cukuplah kucing di rumah, Ingot namanya (dua kakinya lembik dan cacat kerana dilanggar orang. Saya kutip Ingot di hadapan rumah jiran dua bulan lalu, sewaktu dia terketik-ketik menyeret kakinya melintas kereta saya).
Umur Dodi baru empat bulan. Tapi dia boleh membesar tiga kali ganda daripada saiznya sekarang. Tak sabar nak tengok rupa Dodi waktu itu.
TIGA KALI GANDA? Sekarang pun macam dah seram, Dato'.
Sumber:
Sumber:
Ada apa dengan nama Dodi?
Dodi ini jantan, nama Dodi itu pun simple, senang nak ingat. Saya bercadang nak beli lagi dua ekor. Saya dah fikir-fikirkan nama kucing baru nanti. Kalau betina, mungkin saya panggil Dada. Yang ketiga tu, haha, tunggulah, belum dapat ilham lagi.
Reaksi anak bila Dato’ bawa Dodi balik ke rumah?
Bila saya bawa Dodi balik, anak-anak saya terkejut, terperanjat dan takut. Anak-anak menjerit dan lari bertempiran. Kata mereka, saya bawa balik anak rimau!
Hai Dato', jangankan kata anak Dato', kalau saya jumpa Dodi pun saya lari dulu keliling rumah, LOL.
Sumber:
Kos mengurus Dodi?
Pertama sekali, Dodi perlukan sangkar yang besar. Keduanya, kos pemakanan Dodi agak tinggi. Setakat hari ini, Dodi makan hampir dua ekor ayam setiap hari. Dodi ni memilih juga. Dia tak makan ayam yang busuk, dia hanya makan ayam segar. Inilah masalah dan cabarannya.
Kalau saya balik kampung, saya perlu pastikan stok ayam segar tersedia untuk Dodi setiap hari. Menghantarnya ke rumah tumpangan kucing juga satu perkara, kerana caj yang dikenakan boleh mencecah RM150 sehari. Biliknya besar dan kos makanannya mahal.
Ada duit pun tak selesai masalah juga, kerana tak semua pemilik/pengurus rumah tumpangan kucing mahu dan sanggup terima Dodi. Sebab mereka pun takut dengan Dodi.
Yang seronoknya, saya rasa puas. Saya mungkin salah, maafkan saya. Tapi di Malaysia, rasanya tak ramai yang membela Kucing Afrika, antara yang saya tahu adalah kerabat diraja Johor. Kucing Afrika ini lagaknya macam seekor anjing juga, boleh ditambat di leher kalau kita mahu bersiar-siar di luar dengan dia.
Saya makin seronok sebab Dodi dah mula manja dengan saya. Dah kenal tuan kata orang. Tapi hati-hati, jangan sergah-sergah Dodi kalau nampak dia berjalan-jalan dengan saya. Sebab Kucing Afrika macam Dodi boleh meloncat setinggi tupai… takut awak pun terloncat sampai ke pokok nanti, haha.
Sumber:
Sumber:
Pernah berlaku insiden yang tak diingini dengan Dodi?
Pernah. Waktu itu saya baru bawa balik Dodi, anak kedua saya (dua tahun) cuba bergurau-gurau dan mengacah-acah Dodi. Dodi terperanjat, langsung dicakarnya muka dan dada anak saya. Semenjak peristiwa itu, anak saya yang kedua itu serik dan fobia. Sampai sekarang dia tak berani datang dekat-dekat atau sentuh Dodi.
Sumpah Dato', saya pun tak akan acah-acah Dodi.
Sumber:
Sumber:
Bagi saya, orang yang suka membela kucing adalah manusia yang setia, manusia yang penyabar dan penyayang. Daripada pengalaman peribadi saya sendiri bela kucing dari dulu, kadang-kadang, kita ni, bukan berduit sangat pun nak beli makanan kucing, kan?
Tapi percayalah cakap saya. Kerana kemurahan hati kita menyuapkan rezeki kepada satu lagi makhluk-Nya yang lain, pasti ada saja rezeki terpijak yang Dia turunkan kepada kita. Dan rezeki itu, Allah SWT datangkan kepada kita, dalam banyak bentuk dan cara. Inilah janji Allah SWT.
Terima kasih Dato' kerana mengingatkan.
Dato', saya juga pencinta kucing. Saya pernah disebat emak kerana satu misi menyelamatkan kucing masa kecil-kecil dulu. Saya juga pernah (dan biasa) memungut kucing yang luka berdarah kerana dilanggar kereta/motor di tengah jalan. Dan ya Dato', saya juga pernah menggilis kucing saya sendiri, dan bunyi tulang tengkuknya yang berkeriuk seperti bunyi keropok itu masih menghantui saya hingga hari ini.
Saya menggigil demam tiga hari selepas peristiwa itu.
Kata Dato' ada kebenarannya. Rezeki yang Allah SWT datangkan ke muka pintu rumah kita – kerana pahala memberi makan (membela) seekor kucing – adalah rezeki tak terduga.
Andai mata hati kita dapat melihatnya, ia pasti akan menunjukkan dirinya.