May 17, 2018 - 10599

“Arwah Mak Ligat Bisnes TAPI Masak Untuk Anak, Lauk Penuh Semeja!” — RITA SOSILAWATI Dedah Rahsia Hebat Ibu

Digelar jutawan kosmetik namun itu bukan syarat untuk dia terus selesa dibuai kemewahan yang ada. Dan ia juga bukan tiket selamat mahupun jalan pintas untuk meraih segala. Semuanya bermula daripada usaha dan kerja keras.

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

 

BIARPUN sibuk dengan tugas hakiki sebagai ahli perniagaan, Rita tetap mahu menyempurnakan impian Allahyarham ibunya yang mahu melihat anak-anaknya berjaya dalam pendidikan di tingkat tertinggi.

 

Tidak pernah menyesali bertubuh plus size, bagi Rita tidak kiralah susuk tubuh apa sekalipun; keyakinan dan kebolehan diri harus ditonjolkan. Ikuti apa kata Rita mengenai isu ini.

 

 

 

 

 

 

Ceritakan secara ringkas siapa Rita dan rutin harian Rita sebagai Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV)? Saya adalah anak sulung kepada Allahyarhamah Dato’ Sosilawati Lawiya, isteri kepada Khamarulazlan Mohamad Hanafiah dan ibu kepada empat orang anak.

 

Kini saya dan adik-adik telah mengambil alih legasi perniagaan yang telah ditinggalkan oleh arwah ibu. Lazimnya, saya akan memulakan rutin kerja pada jam 12 tengah hari selepas selesai menguruskan hal anak-anak.

 

Dari rumah, saya akan terus ke pejabat atau kilang dan sekiranya ada temu janji, saya akan pastikan tiba ke pejabat terlebih dahulu. Tetapi secara lazimnya, bergantung kepada jadual yang diuruskan oleh pembantu peribadi saya. 

 

 

 

 

 

 

Dalam sibuk mengurus empayar bisnes, Rita tetap gigih mengerjakan PhD. Ceritakan sedikit tentang proses keilmuan ini, bila bermula dan di mana? Pada tahun 2017, dan saya memilih pusat pengajian tinggi awam, Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana saya menerima tawaran daripada mereka.

 

Seperti semua sedia maklum, terdapat dua jenis kaedah pembelajaran PhD iaitu secara kelas sepenuh masa dan kajian. Saya memilih penyelia dan selepas kami bersetuju, maka saya memilih mod pengajian secara kajian.

 

Kaedah kajian kerana memandangkan kekangan masa ekoran tuntutan tugas, mana lagi mahu membahagikan masa sebagai ahli perniagaan dan menguruskan anak- anak. Saya tiada masa untuk berulang-alik pergi dan pulang ke universiti. Semua itu diambil kira.

 

 

 

 

Sudah ada segalanya, tetapi masih mencari Ijazah Doktor Falsafah? Apa motivasi di sebaliknya?

Faktor pertama kerana saya suka belajar, saya gemar membaca dan saya pernah bercita-cita untuk bergelar pensyarah. Walaupun saya tidak bergelar tenaga pengajar tetapi saya tetap bersyukur kerana berpeluang berkongsi ilmu dan kemahiran menerusi seminar keusahawanan, ada juga saya menerima jemputan sebagai speaker dan kebanyakannya adalah seminar atau program berteraskan keusahawanan yang diadakan di seluruh negara.

 

Malah saya fikir dengan cara ini, ia dapat memberi motivasi yang saya ingin menyambung pengajian ke peringkat PhD. Dan apa yang memotivasikan saya menyambung pengajian adalah kerana hajat arwah ibu saya.

 

Dahulu ketika saya masih menuntut di salah sebuah universiti di United Kingdom, dia pernah berkata bahawa dia tidak mempunyai segulung diploma atau ijazah. Dia hanya mempunyai kelulusan SPM sahaja.

 

Atas sebab itu, dia mahukan salah seorang warisnya (anak- anaknya) berjaya hingga ke tahap tertinggi dalam bidang pendidikan. Justeru, dia memberi sokongan paling jitu dalam bab pelajaran.

 

Inilah yang menjadi motivasi dan penguat semangat kerana walaupun sudah berusia lewat 20-an, punya komitmen yang tinggi tetapi ia tetap membakar jiwa dan semangat saya demi memenuhi keinginan arwah ibu.

 

 

 

 

 

 

Kelahiran anak keempat (Khalil Rizqullah) pada 19 Disember 2017. Ceritakan.

Alhamdulillah anak keempat saya selamat dilahirkan tepat jam 7.20 malam di Hospital Prince Court. Proses melahirkan alhamdulillah amat mudah tanpa sebarang kesukaran.

 

Saya juga berterima kasih kepada suami yang sentiasa berada di sisi, keluarga dan sahabat handai yang mendoakan keselamatan dan syukur berkat doa semua ia dipermudahkan.

 

 

 

Persitiwa pemergian Allahyarham bonda Dato’ Sosilawati Lawiya berlaku sehari sebelum Hari Merdeka dan beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri 2010. Sudah hampir sedekad. Pernah rasa rindu?

Bagaimana mengubat rindu? Oh... Siapa yang tidak rindu kepada ibu apatah lagi pemergiannya dalam keadaan yang sungguh tragis dan menyayat hati. Lebih memilukan, tiada pusara yang kami adik- beradik dan sanak-saudara boleh ziarahi.

 

Keluarga kami kerap mengadakan majlis tahlil dan doa selamat bagi mengingati arwah malah saya tidak pernah lupa sedekahkan doa setiap kali selepas solat. Jika rindu (sambil menahan sebak) saya kerap menceritakan perihal arwah kepada anak-anak.

 

Dan bayangkanlah, alangkah gembiranya sekiranya arwah masih ada bersama kami adik-beradik, melihat cucu-cucunya kini, Allahu Rabbi... Hanya Allah sahaja yang mengetahui apakah hikmah di sebalik semua ini.

 

 

 

 

 

 

Memori masa kecil bersama Allahyarham bonda yang takkan Rita lupa?

Banyak sebenarnya untuk saya huraikan satu persatu. Arwah ibu seorang yang garang, tegas dan tidak boleh dibuat main-main dalam apa jua perkara yang dilakukan. Tetapi apabila memikirkan semula, itulah rasional dan relevannya arwah bersikap dan berpendirian sedemikian untuk membentuk saya seperti hari ini.

 

Tetapi antara yang tidak dapat saya lupa adalah, saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebersihan rumah. Jadi apabila dengar enjin kereta arwah ibu mula memasuki kawasan rumah dan jika rumah masih berselerak; dengan seberapa pantas saya akan kemaskan dan bersihkan rumah (hahaha).

 

Saya akan menggesa adik- adik sambil menjerit, “Cepat-cepat buang sampah,” kerana arwah ibu memang pantang kalau melihat sampah waima ia kecil sekalipun. Dan sayalah orang pertama yang akan kena marah dengan arwah ibu.

 

Arwah ibu seorang yang pembersih sehinggakan tidak boleh ada habuk sedikitpun, bayangkanlah! Seperkara yang saya hormat dan tabik dengan arwah ibu adalah walau sesibuk mana sekalipun, dia tetap akan luangkan masa untuk masak.

 

Arwah ibu akan pastikan sebelum dia keluar, dia akan siap masak dan itulah rutin yang secara peribadi saya masih gagal laksanakan seperti arwah. Saya masak juga tetapi tidaklah setiap hari.

 

Tetapi arwah ibu, masya-Allah, rutinnya seawal pagi dia akan siapkan hidangan untuk sarapan dan makan tengah hari. Malah kami adik-beradik akan sentiasa dimewahkan dengan makanan hasil air tangan arwah.

 

Bukan itu sahaja, apa jua lauk kegemaran kami, arwah akan masak. Sehinggakan jika boleh sepanjang-panjang meja makan itulah akan diisi dengan pelbagai jenis lauk kegemaran kami. Sungguh, itulah antara yang momen yang saya rindui.

 

 

 

 

 

 

 

Berapa sukar memegang gelaran jutawan? Risiko keselamatan, ditikam dari belakang dan sebagainya? Boleh kongsikan?

Pada saya, memegang gelaran itu tidaklah sesukar mana tetapi cabarannya adalah untuk memastikan gelaran itu terus kekal. Ia amat mencabar dalam segenap segi. Apatah lagi dalam zaman serba mencabar dan moden kini, apa jua yang berada di sekeliling kita perlu diawasi dan hendaklah berwaspada sepanjang masa.

 

Tetapi pada saya apa yang lebih penting adalah kita jangan bermusuhan atau mencari musuh. Saya cuma mahukan ketenangan minda selagi ia boleh dicapai.

 

 

 

Pernah rasa depresi selepas peristiwa pemergian Allahyarham bonda?

Semestinya ya kerana ibu saya adalah segala-galanya. Dialah ibu dan guru saya dalam kehidupan saya tetapi biar apa jua yang berlaku saya perlu akur dan menerima pemergian itu.

 

Saya perlu kuat kerana apa yang saya warisi ini perlu diteruskan demi keluarga dan cita-cita.

 

 

 

 

 

 

Topik InTrend hari ini adalah tentang kisah wanita plus size yang berjaya dan memberi inspirasi. Ceritakan bagaimana Rita hidupkan rasa yakin, tetap terlihat cantik, gaya yang senantiasa on point walaupun bersaiz plus?

Walaupun kedengarannya klise tetapi saya percaya kepada kenyataan cantik itu subjektif. Dan jika mahu kekal yakin, kita perlu menggunakan kebolehan dan kelebihan kita kerana itulah yang menjadikan kita lebih daripada orang lain.

 

Saiz badan dan rupa paras ini pada saya sekadar nilai tambah kepada seseorang.

 

 

 

Pada fikiran Rita, apakah wanita bersaiz plus punya banyak batas dan limitasi? Batas dalam berfesyen, batas dalam aktiviti lasak atau kecergasan misalnya?

Saya tidak bersetuju kerana secara peribadi, saya juga berfesyen dan melihat kepada situasi semasa; ramai pereka fesyen dan jenama pakaian sedia ada yang tampil dengan memperkenalkan koleksi khas untuk wanita bersaiz plus.

 

Dan secara tidak langsung ini membuktikan ia sama sekali tidak membataskan kita untuk berpakaian. Manakala daripada perspektif aktiviti bersukan atau aktiviti lasak juga tidak terhad.

 

Saya sendiri aktif dalam sukan berkuda selain bersenam di gimnasium untuk terus kekal sihat dan cergas. Ini semua bergantung kepada diri masing-masing. Kita tidak perlu berasa rendah diri terhadap perkara yang tidak sepatutnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Daripada segi pakaian, potongan atau fabrik bagaimana yang selalu Rita pilih dan apa pula pakaian yang Rita jauhi?

Pertama saya perlu pastikan pakaian yang akan dipakai tidak seksi atau mencolok mata. Daripada segi pemilihan fabrik pula, ia perlulah sesuai dengan bentuk badan saya.

 

Almaklumlah apabila berbadan besar, saya harus peka dengan pemilihan warna dan fabrik yang saya pilih akan membantu saya keseluruhan penampilan saya tetap kelihatan okey.

 

 

 

 

Daripada sudut pemakanan, apa yang Rita suka dan apa pula yang menjadi kepantangan?

Saya tidak mempunyai kepantangan dalam soal pemakanan. Alhamdulillah saya boleh makan semua jenis makanan tetapi jika diberi pilihan, saya gemar makanan Jepun.

 

Dan seperkara lagi, saya suka makanan Jepun kerana konsepnya yang membolehkan saya makan tanpa perlukan teman.

 

 

 

 

Pernah terfikir mahu kuruskan badan dan pernah berinisiatif untuk kurus? Atau Rita gembira dengan susuk tubuh kini kerana tiada salahnya bersaiz plus?

Apa yang penting pada saya adalah sihat dan gembira. Saya bersenam dan menjaga pemakanan untuk memastikan saya sentiasa berada pada tahap terbaik.

 

Saya juga mengutamakan penjagaan diri tetapi untuk tampil kurus dan langsing secara semula jadi juga saya akan fikirkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Pernah atau tidak diganggu netizen dengan lemparan kata-kata seperti jutawan kosmetik tetapi tak kurus, tak langsing?

Oh, pernah juga tetapi tidaklah sehingga mengganggu fikiran dan hidup saya kerana saya tetap berpegang kepada prinsip cantik itu adalah subjektif. Tambahan pula saya mahu menjadi diri saya.

 

Perkara yang menjadi keutamaan saya kini adalah agar saya dikurniakan kesihatan dan sentiasa menjaga penampilan sesuai dengan peranan saya sebagai pengusaha kosmetik dan kecantikan.

 

Jika mahu diturutkan hawa nafsu dan keinginan, boleh sahaja esok hari saya lakukan pembedahan untuk kelihatan kurus dan langsing. Tetapi apa gunanya? Kerana itu semua bukannya asli.

 

Tidak dinafikan semua tokoh perniagaan dalam bidang ini kurus-kurus belaka. Tetapi berbalik kepada pendirian saya bahawa kecantikan itu subjektif. Tidak semua suka melihat wanita yang kurus dan sebaliknya.

 

Dan tidak semestinya yang kurus itu cantik dan gemuk itu hodoh. Semua mempunyai cita rasa tersendiri. Apa yang lebih penting adalah serlahkan dan tonjolkan kelebihan yang ada dalam diri anda kerana ia akan meningkatkan keyakinan diri.

 

 

 

 

 

 

 

Hala tuju dan perancangan lima tahun Nouvelles Visages di tangan Rita sendiri, ke mana dan apa yang mahu dilakukan?

Perancangan utama adalah untuk menjadikan Nouvelles Visages akan terus kekal relevan untuk pengguna di Malaysia selain meneroka pasaran antarabangsa. Saya juga merangka untuk menjenamakan semula produk agar kekal bersaing dengan produk tempatan dan antarabangsa yang lain selain tampil memperkenalkan produk-produk baru sebagai pilihan ekstra kepada pengguna.

 

 

 

Boleh kongsikan dengan para pembaca InTrend, satu resepi sihat yang Rita selalu amalkan?

Saya selalu amalkan makan sebelum malam, itu yang paling utama.

 

 

 

 

 

 

Berisi dan montok itu cantik. Apa pesanan Rita kepada wanita di luar sana yang selalu rasa rendah diri, depresi kerana berbadan besar?

Kepada yang berbadan besar atau berisi, jangan sesekali berasa rendah diri kerana cantik atau menawan itu subjektif bergantung kepada yang melihat kita. Percayalah saiz badan sebegini juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Malah kini banyak juga pakaian yang menarik untuk golongan yang bersaiz besar.

 

 

 

Aktiviti kesihatan dan kecergasan yang Rita biasa buat, misalnya di gimnasium, jogging, boxing atau mungkin sauna?

Saya amalkan bersenam di gimnasium cuma sejak kebelakangan ini, memandangkan keadaan kesihatan belum mengizinkan saya tidak lagi ke sana.

 

Tetapi jika berkelapangan dan saya sihat seperti biasa, saya akan luangkan Isnin hingga Jumaat ke gimnasium manakala setiap Sabtu dan Ahad saya akan pergi menunggang kuda.

 

 

 

 

 

 

 

 

Rita punya kulit yang sangat glowing dan gebu, ini indikasi yang menggambarkan aliran darah lancar juga dalaman yang sihat. Boleh kongsikan tips?

Sebenarnya apa yang saya percaya untuk mendapatkan kulit yang gebu, glowing dan peredaran darah yang baik adalah menerusi senaman. Peluh yang keluar hasil aktiviti senaman sebenarnya mengenyahkan toksin-toksin yang berada di dalam badan.

 

Inilah antara penyebab mengapa kulit anda kusam dan tidak bermaya. Dan apabila anda berpeluh dan orang mengatakan kulit anda glowing, ya itu benar. Untuk menambahkan glow pada kulit wajah, saya amalkan ke sauna.

 

Dan jika di gimnasium, saya akan pastikan meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam di threadmill atau apa jua senaman berasaskan kardiovaskular. Setengah jam untuk sauna dan sejam lagi untuk saya persiapkan diri.

 

Jika di gimnasium tersebut menyediakan perkhidmatan sauna infra red misalnya, saya akan duduk paling minimum 30 minit atau 15 minit. Ia sebenarnya akan membantu untuk memperoleh kulit yang glowing dan melancarkan peredaran darah.

 

Secara automatiknya, selepas keluar dari sauna kulit anda akan kemerah-merahan. Tips yang ringkas, apa jua senaman atau aktiviti yang membuatkan anda berpeluh akan membuatkan kulit anda glowing.

 

Cuba cari masa untuk melakukan apa jua aktiviti berasaskan kecergasan dan senaman. Kerana tahap kesihatan yang baik dan terlihat cantik luar dalam perlu berjalan seiring.

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Mummy Cucuk Luka Dengan Jarum, Merebak Sampai Kaki Kena Potong!” — BILLA NAJMI Dedahkan Kisah Benar

  • Seterus →

    Modal Cuma RM50 & Gunting Kain Sendiri, GADIS INI Dedahkan Bagaimana Jual Tudung Untung Ratus Ribu