Jun 22, 2018 - 7287
Teks: Huda Hussain
BERMODALKAN RM50, nekad berhenti kerja sebagai jurutera, Hanis Arif yang juga pengasas jenama Tudung Ruffle tidak menyangka pengorbanannya ketika itu membuahkan hasil kini.
Walaupun pernah melalui pahit manis dan resam perniagaan seperti ditipu dan terpaksa menanggung kerugian, wanita muda ini cekal dan optimis jenama tudung ilhamnya mampu pergi lebih jauh.
Biarpun tidak mempunyai asas dan ilmu yang formal dalam perniagaan, ia nyata tidak mematahkan kejituan semangatnya untuk mengorak langkah bergelar usahawan tudung pada usia muda.
Bersama InTrend, Hanis kongsikan bagaimana segalanya bermula juga harapannya untuk melihat ‘baby’nya ini terus berkembang maju.
Sebelum memulakan bicara lebih lanjut, boleh Hanis kongsikan serba-sedikit latar belakang pendidikan dan jika pernah punya pengalaman mengusahakan perniagaan sebelum ini?
Anis menamatkan pengajian dalam jurusan Power Electrical Engineering di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2013. selepas tamat belajar, Hanis cuma sempat bekerja sebagai jurutera selama tujuh bulan di sebuah syarikat kejuruteraan.
Kemudian Anis memilih untuk berhenti dan fokuskan kepada perniagaan tudung. sejujurnya, Anis tidak mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang perniagaan kerana tidak mempunyai latar belakang keluarga yang berniaga.
Emak Anis seorang pensyarah manakala ibu saudara pula ramai yang bertugas sebagai guru. Maka ilmu tentang selok-belok perniagaan Anis pelajari melalui pengalaman sepanjang usia Tudung Ruffle ditubuhkan juga Anis berjumpa dengan orang dan lain-lain.
Apa yang membuatkan Hanis memilih untuk berhenti kerja sedangkan sudah selesa berjawatan sebagai jurutera, tak sayangkah?
Anis berasakan inilah baby (perniagaan tudung) Anis. inilah yang Anis usahakan dari kosong hingga alhamdulillah semakin berkembang. Terus-terang Anis katakan bahawa Anis tidak boleh fokus melakukan dua kerja dalam satu masa.
Hanis ingat lagi, hanya bermodalkan RM50, Anis beli kain, potong dan jahit menjadi tudung. Kebetulan rumah Anis berdekatan dengan kampus UTM, jadi Anis mula menjual kepada pelajar junior.
Selepas mereka berpuas hati dan suka dengan rekaan tudung, syukur Anis mula menerima tempahan sedikit demi sedikit. Dan Anis mulakan dengan kaedah pre-order supaya boleh rolling duit modal untuk membeli kain. sewaktu mula-mula menceburi perniagaan dalam talian (online) dahulu,
Anis tidak nafikan berasa takut. Takut untuk mula pasarkan di instagram, takut untuk muat naik gambar dan pendek kata serba-serbi takut. Tetapi Anis ambil pendekatan ikut dan tiru sahaja kaedah yang dipraktikkan oleh orang lain. Daripada situ Anis belajar dan perbaiki apa yang perlu.
Ketika bekerja sebagai jurutera dahulu, Anis tidak boleh kerap membelek telefon bimbit kerana banyak bekerja di tapak projek (site). Ia banyak menguji Anis kerana perniagaan online memang memerlukan pemantauan menggunakan telefon bimbit hampir kebanyakan masa.
Selepas Anis fikir sedalam-dalamnya, membuat timbang-tara, fikir itu dan ini, lebih baik Anis berhenti kerja dan fokus kepada perniagaan tudung sepenuhnya.
Anis kirkan kerana tidak boleh bahagikan masa dengan baik. Jika orang lain bekerja waktu pejabat dan di sebelah malamnya pula boleh melakukan kerja sambilan, tetapi pilihan itu tidak sesuai untuk Anis.
Dek kerana menerima komen dan maklum balas yang kurang baik daripada pelanggan (mereka mulai merungut dan marah) maka Anis bertindak untuk beri tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan tudung semata-mata.
Pada peringkat awalnya Anis tidak tahu bagaimana corak dan rentak perniagaan lantas Anis beritahu emak mahu sambung pengajian ke peringkat sarjana. Pemikiran Anis ketika itu sekurang-kurangnya jika perniagaan tidak menjadi, Anis sudah punya back-up plan (sambung Master).
Tetapi sudahnya, Anis tidak sambung pengajian pun (ketawa) sebabnya sudah mulai sibuk menguruskan perniagaan.
Apa tanggapan keluarga ketika detik mula mahu menceburi perniagaan tudung?
Mereka berkata, “Betul ke nak buat bisnes tudung? Berhenti kerja jurutera, duduk rumah jual tudung online?”
Lebih kurang begitulah cakap-cakap mereka. Ada juga yang mempunyai persepsi belajar tinggi-tinggi tetapi sudahnya menjual tudung. Umpamanya tindakan Anis ketika itu adalah sesuatu yang tidak wajar dan hanya akan merugikan semata-mata.
Tetapi syukur alhamdulillah Anis berjaya buktikan kepada mereka. Dan apabila mereka melihat hasilnya kini, barulah mereka faham bahawa sesiapapun boleh berjaya dalam perniagaan andai rajin, tekun dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Bagaimana jenama Tudung Ruffle bermula daripada kecil-kecilan sehingga dapat bertapak kukuh dan memiliki cawangan sekitar Lembah Klang?
Masih segar dalam memori, dari waktu ambil gambar menggunakan telefon bimbit, alhamdulillah sekarang Anis dikurniakan rezeki dan mampu untuk melakukan sesi fotogra yang lebih proper di studio. Sejak dahulu Anis potong kain sendiri, sekarang syukur Allah SWT murahkan rezeki dan Hanis berupaya melakukan production di kilang.
Dan daripada beroperasi di rumah, kini alhamdulillah Tudung Ruffle mempunyai butik di Bangi dan terbaru di iOi City Mall Putrajaya. Dalam masa sama Tudung Ruffle turut mempunyai stokis di seluruh Malaysia juga di Singapura, Brunei, Indonesia dan Amerika Syarikat.
Menyebut mengenai butik, sebenarnya bukanlah bereya-eya mahu membukanya. Sebaliknya tujuan Anis membuka butik adalah untuk memberi tanggapan kepada pelanggan mengenai jenama Tudung Ruffle sekali gus memberi kepercayaan kepada mereka.
Berdasarkan pengalaman ketika membuka butik di Bangi (kawasan rumah kedai) Anis dapati kurang mendapat sambutan daripada segi kedatangan pelanggan. Hanya mereka yang benar-benar sudah tahu jenama ini sahaja akan datang.
Rentetan itu, Anis beranikan diri dan mengambil risiko untuk melihat trend dan sambutan pelanggan dari kompleks membeli-belah pula.
Alhamdulillah, crowd dari kompleks membeli-belah jauh lebih tinggi kerana rata-ratanya teruja mahu melihat apa yang terbaru.
Kenapa Hanis memilih perniagaan berasaskan tudung dan bukannya cabang lain misalnya dalam cabang kecantikan, fesyen dan lain-lain?
Sewaktu masih belajar lagi, Anis sudah cuba berjinak-jinak menceburi perniagaan tetapi skalanya amat kecil. Anis beli baju-baju kemudian menjualnya. Tetapi tidak menjadi kerana ketika itu Anis ikut kawan-kawan sahaja.
Bila ada kawan yang menjual baju, Anis pun turut sama menjual. Tetapi selepas difikirkan semula, pada Anis mengapa perlu menjual barang yang orang lain juga turut menjualnya? Kerana di situ Anis lihat persaingan terlalu banyak.
Dan detik permulaan Anis menjual Tudung Ruffle sebenarnya Anis menjual tudung yang tidak pernah orang jual dan tiada dalam pasaran (bawal yang mempunyai ropol-ropol). Bertitik tolak dari situlah Anis mula mereka dan tampilkan stail tudung bawal terbaru juga mengikut apa yang terakam dalam fikiran.
Jika dalam pasaran sedia ada hanya tudung bawal biasa tetapi Anis olah mengikut keperluan pelanggan kerana berdasarkan pemerhatian Anis, rata-rata pelanggan sukakan benda yang baru. Jadi, Anis perlu bijak eksplorasi, cari dan fahami lagi apa yang terkini.
Sejak mula tampil di pasaran pada 2014, sudah berapa koleksi Tudung Ruffle diketengahkan?
Banyak sebenarnya kerana Anis sering mengaplikasi kaedah trial and error. Tetapi yang hit antaranya bawal ruffle, bawal instant, bawal shawl dan bawal ruffle feather. Dan untuk musim raya lalu kami tampilkan bawal ribbon.
Inilah antara koleksi yang menaikkan nama Tudung Ruffle sehingga dikenali dalam kalangan generasi muda.
Daripada aspek rekaan, pemilihan fabrik, warna dan sebagainya sejauh mana penglibatan Hanis dalam setiap proses sebelum sehelai tudung siap?
Anis turun padang dan boleh dikatakan semua proses Anis terlibat untuk melihat dan memantau setiap peringkat. Bukan kerana tidak percaya dengan staf tetapi pada Anis, kepuasan itu lebih terasa apabila melihat semuanya di hadapan mata. Tetapi maklum balas daripada pelanggan sentiasa diberi perhatian.
Jika mereka berkongsi mengenai sesuatu misalnya ada yang mencadangkan supaya menukar material, kami akan cuba mengikut dan memenuhi permintaan mereka.
Boleh Hanis kongsikan momen-momen pahit manis dan apa jua cabaran sebelum Tudung Ruffle dikenali seperti hari ini?
Oh, walaupun usia Tudung Ruffle baru empat tahun tetapi banyak perkara dan ujian yang Anis tempuhi. Boleh dikatakan saban tahun ada sahaja cabaran dan liku-liku yang menguji kekuatan Anis.
Antaranya apabila produk yang kami keluarkan mula mendapat sambutan dan menerima permintaan yang tinggi, tetapi stok yang ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan. Dari situ bermulalah pelbagai masalah dan kesulitan.
Pernah juga berlaku, apabila produk sudah sedia ada tetapi tukang jahit pula mempunyai masalah. Malah pernah terjadi, tukang jahit sedia menerima tempahan tetapi mempunyai masalah daripada segi material yang tidak menepati kualiti yang kami gariskan.
Kadang-kadang apabila permintaan terlalu tinggi, stokis dimarahi pelanggan kerana apa yang mereka pesan tidak dapat, lewat tiba dan sebagainya. Kadang- kadang pernah ditipu pembekal, ditipu duit dan lain-lain.
Walau macam mana baik sekalipun kami merancang tetapi tetap terkena juga dan coraknya seakan berulang-ulang sepanjang empat tahun menceburi bidang perniagaan tudung ini.
Dengan siapa Hanis berguru dalam bidang perniagaan tudung ini?
Anis banyak berkawan dengan ‘otai-otai’ dalam industri perniagaan tudung. Anis banyak bertanya kepada mereka misalnya Fazrena, Kak Ika dan ramai lagi. Anis bertanya kepada mereka apa yang Hanis perlu buat.
Alhamdulillah mereka tidak kedekut ilmu dan sudi berkongsi apa jua yang mereka tahu. Malah mereka beri galakan dan panduan misalnya buat macam ini, buat macam itu dan sebagainya.
Seperkara lagi Anis banyak perhatikan rentak perniagaan orang lain. Anis tinjau dan telitikan, contohnya jenama A begini cara pemasarannya. Jenama B pula lain kaedahnya. Anis juga lihat kehendak pasaran mereka.
Apa yang baik dan sesuai, Anis akan aplikasi. selebihnya Anis banyak belajar daripada kesilapan sendiri.
Belajar untuk perbaiki kelemahan diri dan tidak mengulanginya lagi. Kerana apabila melalui proses itu, barulah Anis tahu dan faham bagaimana sukarnya, apa itu jatuh dan bangun dalam bidang ini. Dan ia sebenarnya guru yang terbaik buat diri Anis.
Benarlah kata orang, pengalaman itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit malah nilainya jauh lebih berharga daripada apa jua unsur materi yang kita perolehi.
Sepanjang empat tahun menceburkan diri dalam perniagaan, ia banyak mematangkan Anis mengenai kehidupan.
Sejujurnya Anis bersyukur kerana profesyen ini telah membuka banyak pintu buat Anis. Anis berpeluang untuk mengenali dan mempelajari daripada individu dan usahawan yang lebih senior dalam pelbagai cabang perniagaan.
Apa kesilapan yang Hanis pernah lakukan dan jika tidak keberatan boleh kongsikan?
Anis mudah dan cepat percayakan seseorang. Dahulunya Anis tidak berani untuk mempertahankan diri sendiri dan membiarkan diri sendiri yang menanggung kerugian. Misalnya jika kesalahan tersebut di pihak lain tetapi Anis fikir ketika itu, “Alah, tak apalah. Biar Anis yang tanggung…”
Sedangkan dalam dunia perniagaan kita tidak boleh membiarkan perkara sedemikian berlaku.
Dalam berniaga perlu ada ketegasannya dan sebagai usahawan perlu mempunyai pendirian yang kuat. itu antara ciri- ciri yang tiada dalam diri Anis ketika itu. Selepas melalui pelbagai siri kegagalan, barulah Anis belajar. Jika benar ia bukan salah kita, carilah solusi agar pihak yang bertanggungjawab perlu
menanggungnya. Kalau dahulu Anis berada dalam situasi seperti ini, “Alah tak apalah, bayar ajelah.” Dan ia yang menyebabkan Hanis mengalami kerugian yang besar.
Apa pula cabaran atau ujian getir yang perlu Hanis tempuhi selama ini, boleh huraikan?
Cabaran pertama adalah Anis tidak tahu-menahu soal perniagaan. Cabaran sekarang pula adalah untuk mengekalkan momentum jenama ini, memastikan ia terus meningkat dan berkembang seluas yang mungkin.
Dan untuk menempuhi cabaran itu, Anis perlu pastikan Tudung Ruffle sentiasa mengekalkan kualitinya supaya pelanggan akan berpuas hati.
Seterusnya cabaran daripada aspek perkhidmatan pelanggan. Benar kata orang, pelanggan selalu betul tetapi cara untuk menangani kerenah dan permintaan mereka yang kadangkalanya menguji kesabaran. Dan pada Anis, itulah adat resam jika anda terjun ke dalam dunia perniagaan.
Namun daripada sudut yang positif, polisi inilah yang membuatkan Tudung Ruffle meraih pelanggan yang sama dan berulang-ulang membeli produk kami.
Cabaran berikutnya adalah menguruskan staf supaya mereka sentiasa bersemangat dan punya rasa sayang kepada jenama ini. Dan dalam masa sama menanamkan kefahaman kepada mereka supaya apa jua yang dilakukan adalah berlandaskan sifat kekitaan, kekeluargaan agar sama-sama memainkan peranan untuk terus menaikkan nama jenama ini ke peringkat seterusnya.
Cabaran lain termasuk isu tiru-meniru. Kadang-kadang, produk kami baru nak merasa hype tetapi belum sempat kami merasainya sudah ada yang meniru. sejujurnya saya tidak kisah jika ada yang meniru kerana saya percaya pelanggan hanya akan memilih dan membeli produk yang benar-benar berkualiti.
Kekuatan team Tudung Ruffle terdiri daripada berapa ramai jumlah staf dan bagaimana kalian beroperasi?
Anis mempunyai seramai 15 orang staf yang bekerja secara tetap di kedua-dua butik (Bangi dan iOi City Mall Putrajaya). Tetapi Anis banyak mengambil pekerja sambilan mengikut musim tertentu misalnya untuk musim Aidilfitri dan mengikut permintaan pelanggan.
Insya-Allah jika jenama Tudung Ruffle semakin berkembang, pastinya Anis idamkan mahu menambah jumlah staf bagi melancarkan operasi perniagaan.
Platform media sosial hari ini, sejauh mana ia membantu jenama anda dikenali dan berkembang meluas?
Alhamdulillah kerana ia adalah medium yang amat membantu Tudung Ruffle untuk terus berkembang. Boleh dikatakan 80 peratus daripada media sosial dan selebihnya mulut ke mulut, media cetak seperti majalah dan surat khabar.
Peratusan pengaruh media sosial memberi impak kerana seperti kita sedia maklum, kebanyakan pengguna media sosial terdiri daripada golongan muda.
Kenapa Anis berkata 80 peratus? Kerana ada dalam kalangan pelanggan yang tag di instagram kami apabila mereka menggayakan Tudung Ruffle dan secara tidak langsung apabila ada pengikut yang melihatnya membuatkan mereka tertarik untuk membeli.
Secara tidak langsung ia juga berfungsi sebagai agen pemasaran yang capaiannya lebih mudah, pantas dan terus kepada pelanggan kami.
Komen Hanis mengenai kuasa selebriti, duta kempen dan bintang media sosial dalam mempengaruhi atau menarik perhatian pelanggan sedia ada juga pelanggan baru, sejauh mana impak mereka terhadap jenama tudung itu sendiri?
Ia umpama trend kini dalam aspek pemasaran kerana rata-rata yang menggunakan media sosial terdiri daripada golongan muda. Dan dalam kalangan merekalah yang mempunyai daya pengaruh kuat.
Lihat sahaja jumlah pengikut mereka di laman sosial. Melihat kepada angka itu sahaja sudah cukup untuk mempengaruhi kelompok sasaran.
Malah Anis fikir jika tidak menggunakan khidmat mereka misalnya selebriti dan bintang media sosial; produk Anis tidak akan berkembang, seolah-olah ia berada di tahap itu sahaja.
Jika ada yang berpendapat mengusahakan perniagaan tudung ini senang, apa komen Hanis?
Pada Anis untuk membuka perniagaan tudung ini senang tetapi nak pastikan ia kekal itu yang susah. Lebih-lebih lagi jika ia sudah mula meningkat dan berkembang, untuk pastikan ia kekal berada pada momentum yang terbaik lebih sukar daripada yang dibayangkan.
Di pasaran kini terlalu banyak jenama tudung yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sekali gus mewujudkan persaingan. Tidakkah anda berasa tergugat?
Pada pandangan Anis, persaingan adalah perkara yang bagus dalam perniagaan kerana jika kita terlalu selesa berada pada tahap sama, ia tidak akan memotivasikan kita untuk terus bergerak ke hadapan dan hasilkan sesuatu yang lebih baik.
Persaingan ini bagus kerana apabila kita lihat orang lain mencapai lebih daripada apa yang dilakukan, ia secara tidak langsung akan membuatkan kita terasa tercabar.
“Kalau orang lain boleh buat, kenapa aku tak boleh?”
Soalan seperti inilah yang selalu Anis fikir dan sematkan dalam diri supaya lebih bersemangat menghasilkan yang lebih baik. Tergugat? Sudah tentu ada dan ia umpama alarm clock yang menyedarkan Anis tidak boleh relaks dan majukan diri untuk capai ke peringkat seterusnya.
Bagaimana pula hubungan Hanis dengan usahawan tudung yang lain? Adakah kalian mempunyai komuniti tersendiri atau bagaimana?
Tidaklah sehingga membentuk komuniti tetapi kami sering bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea untuk majukan perniagaan masing-masing.
Pada mulanya Anis berjumpa dengan mereka dalam acara-acara fesyen Muslimah yang diundang. Dan daripada situ kami mula berkenalan dan berkawan.
Malah sesama kami tidak pernah timbul isu dengki, iri hati, muslihat dan lain-lain kerana pada hemat Anis industri fesyen Muslimah sebenarnya mempunyai persaingan yang sihat. Setiap jenama tudung yang ada dalam pasaran mempunyai kekuatan, keunikan dan stail yang tersendiri.
Umpamanya kami menawarkan variasi rekaan, pilihan material dan lain- lain untuk memenuhi selera pelbagai kelompok pelanggan. Misalnya jika salah seorang dalam kalangan kami mengadakan pertunjukan fesyen, semua akan hadir sebagai tanda sokongan. Dan ia menterjemahkan mesej bahawa kami saling menyokong antara satu sama lain.
Koleksi Tudung Ruffle diwujudkan sebagai mengikut trend atau untuk mencetuskan trend?
Pada Anis ia lebih kepada mencetuskan trend kerana Anis tekankan aspek inovatif dalam menghasilkan setiap rekaan tudung. Anis cuba pastikan agar setiap rekaan yang diketengahkan tidak akan menyerupai rekaan jenama lain.
Bercakap mengenai trend, sukar atau tidak meramalkan kehendak, mengikut trend terkini dan sebagainya?
Susah untuk meramalkan kerana kadang-kadang Anis fikir produk yang disasarkan akan terjual tetapi sebaliknya yang berlaku. Begitu juga dengan produk yang Anis tidak terfikir boleh terjual tetapi akhirnya ia mendapat sambutan yang luar biasa.
Contohnya koleksi Ruffle feather, pada mulanya Anis keluarkan dalam kuantiti yang sedikit sahaja untuk test market sama ada ia boleh terjual atau tidak. Tak sangka sama sekali ia meraih permintaan tinggi daripada pelanggan.
Sehinggakan ada yang menyifatkan koleksi Ruffle feather adalah antara koleksi yang viral dan trending ketika itu. Daripada perspektif lain, mungkin ia bergantung kepada rezeki dan tuah.
Apa lagi yang mahu dilihat agar Tudung Ruffle terus maju dan berkembang?
Memandangkan masih ramai belum mengenali jenama Tudung Ruffle, jadi Anis fikir lebih elok kalau ia dimulakan secara berdikit-dikit.
Mulanya Hanis sudah keluarkan koleksi untuk golongan muda dan untuk peringkat seterusnya Anis mahu luaskan pasaran agar ia dikenali seluruh negara. Mungkin satu hari nanti Tudung Rufflee akan keluarkan rekaan yang sesuai untuk golongan lebih tua kerana menjadi impian Anis agar jenama ini boleh dipakai oleh semua lapisan masyarakat.
Benar ia memakan masa kerana Anis bukanlah selebriti yang mempunyai daya pengaruh yang kuat dan dikenali ramai. Maka pendekatan yang Anis fikir boleh dipraktikkan adalah bermula secara kecil-kecilan.
Sasaran Hanis terhadap kemampuan Tudung Ruffle, selama mana mahu lihat ia kekal?
Kalau boleh biarlah sampai bila-bila. Dan salah satu faktor mengapa Anis memilih tudung bawal sebagai produk utama kerana pada pandangan Anis ia evergreen.
Tips dan saranan kepada anak muda di luar sana yang ingin menceburi perniagaan berasaskan tudung?
Ketika awal pembabitan Anis dalam perniagaan tudung secara online, Anis berasa bertuah dan mungkin rezeki berpihak kepada Anis kerana waktu itu tidak banyak lagi jenama yang memilih medium ini untuk memasarkan produk.
Dan boleh dikatakan perjalanan Anis agak mudah untuk terus membawa jenama Tudung Ruffle terus naik.
Kepada mereka yang kisah permulaannya seperti Anis, khususnya generasi muda yang tiada pengalaman dalam perniagaan, tidak mendapat tunjuk ajar daripada orang dewasa, tidak mempunyai perancangan susulan atau idea daripada ibu bapa — andainya berlaku sesuatu kepada perniagaan yang anda usahakan, jangan sesekali mudah menyerah dan berputus asa.
Bangkitlah dan belajar berdikari. Percaya dan yakinlah ia akan membantu mematangkan kiran dan setiap tindak-tanduk kita. Setiap kejayaan yang terlakar itu bukanlah bersandarkan pada warna-warna yang cantik dan indah sahaja. Ada pelbagai warna yang akan membentuk kejayaan kita.
Apa yang Anis boleh kongsikan, adalah mulakan dalam skala yang kecil dahulu. Usah terlalu terburu-buru mahu terus sampai ke puncak. Ketahui siapakah golongan sasaran, apakah jenis produk yang sesuai dipasarkan, jangka masa sesuatu produk dalam pasaran dan sebagainya. start small, dream big.
Apa yang penting, fokus dan berusaha bersungguh-sungguh. Insya-Allah, rezeki di tangan Allah SWT, cuma kita perlu bijak menyusun langkah untuk mencarinya.