Aug 04, 2016 - 103467
Oleh: Nurul Huda Hussain
BERATKAH memikul tanggungjawab sebagai bapa? Boleh Rizalman kongsikan?
Saya menjaga anak mudah sahaja. Konsepnya, saya mengambil mereka sebagai tanggungjawab. Dan kerana tanggungjawab maka sewajarnya saya harus mengikuti (jika boleh dengan sunnah yang telah ditetapkan) selain berpaksikan akal fikiran yang waras untuk mendidik mereka. Saya tidak menjangka yang anak saya hingga hari ini adalah seorang anak yang sebaik-baiknya. Saya akui zaman muda-muda dahulu, banyak liku yang telah saya lalui. Baru kini berazam untuk berubah ke arah yang lebih baik (hahaha).
Dan dalam mendidik anak-anak saya lebih praktikal. Saya melaluinya dengan proses yang tidak normal yakni saya tidak berkahwin untuk memperoleh zuriat. Saya mengambilnya daripada orang lain. Maka dengan itu tiada ikatan daripada segi biologi. Lahirnya Umar dan Aali bukan daripada darah daging saya tetapi saya yang menjaga secara fizikal dan membentuk mereka mengikut acuan saya. Selepas saya mengambil Umar, kehidupan saya hampir lengkap. Balik beraya di kampung tidak lagi seperti dahulu.
Dalam masa sama saya tolong anak-anak 'istimewa' ini untuk mendidik mereka sebaiknya. Ini semua saham akhirat bagi saya. Maafkan saya andainya ada yang tidak menyenangi cara pemikiran saya yang lebih kepada keagamaan tetapi inilah diri saya. Kelangsungan perjalanan hidup saya dan anak-anak saya serahkan kepada Allah SWT.
Bagaimana boleh terfikir mahu mengambil anak angkat? Ceritakan mengenai kisah Umar Nail & Aali Nail...
Umum mengetahui Umar dan Aali adalah dua anak angkat yang saya ambil daripada rakan dan kenalan. Umar, saya mengambilnya daripada rakan sewaktu belajar di UiTM. Bukan anaknya tetapi anak kepada kenalannya yang berasal dari Kelantan. Dan Umar sendiri maklum mengenai statusnya sebagai anak angkat sejak di bangku sekolah.
Begitu juga dengan Aali, saya mengambilnya daripada ibunya yang ketika itu berusia 17 tahun. Dan kisah di sebalik latar belakang keluarga sebenar mereka, bagaimana mereka dilahirkan, siapa ibu bapa kandung mereka sama sekali tidak menimbulkan masalah bagi saya.
Kemungkinan anak-anak ini bersikap memberontak berlaku akibat tertekannya ibu-ibu mereka sewaktu hamil dahulu. Mungkin teori saya kurang tepat tetapi saya percaya apa jua yang berlaku pada bayi yang dikandung dipengaruhi oleh keadaan ibunya, baik emosi mahupun psikologi.
Namun saya optimis, biarpun cabarannya tinggi dalam memelihara, mendidik dan membesarkan anak-anak; itu adalah sebahagian jihad saya kepada Allah. Jika dalam soal perniagaan saya boleh merancang ke mana hala tujunya, begitu juga dengan pengakhiran hidup saya kelak. Saya mahu berjihad dan mengimpikan kehidupan yang sempurna di akhirat kelak.
Bergelar bapa juga ketika kali pertama mendukung Umar dan Aali, bagaimana rasanya?
Pelik. Apabila dukung anak sendiri yang mana saya tidak melalui proses yang normal melalui perkahwinan, kemudian secara tiba-tiba mempunyai anak segera umpamanya order barang on line dan sudah ada di hadapan pintu (hahaha). Tetapi saya melihatnya sebagai satu rezeki yang besar nilainya biarpun ia bukan dalam bentuk wang ringgit. Ia melibatkan dua nyawa yang menuntut saya bertanggungjawab ke atasnya.
Sungguhpun tidak mempunyai pertalian darah daging, saya tetap meletakkan keutamaan kepada mereka. Contohnya,"Umar, jalan baik-baik nanti jatuh," saya beri peringatan kepadanya kerana saya menganggapnya sebagai anak, hak saya dan sebahagian nyawa saya. Kerana sayang saya berikan perlindungan kepada mereka. Malah perasaan seperti kasih, sayang dan seumpama dengannya saya terapkan dalam unsur rekaan. Biarpun ia tidak dapat ditafsirkan dengan butiran terperinci tetapi ia adalah satu perlambangan seni yang bermakna bagi saya.
Tiada perbezaan dalam soal kasih sayang, baik Umar mahupun Aali. Cuma mungkin cara Umar dibesarkan lebih agresif kerana saya tiada pengalaman ekoran pertama kali mengambil anak angkat. Sehingga pernah terdetik dalam hati, "Kenapalah agaknya aku sanggup ambil Umar kalau aku tahu susahnya nak jaga?"
Namun hikmahnya baru kini saya kecapi dan rasai. Rezeki yang tak pernah putus dan saya mampu berkongsi rezeki itu bersama orang lain.
Bagaimana berdepan dengan senario masyarakat (ketika itu), memandangkan status anda yang bujang dan punya anak angkat pula? Adakah sukar atau pernah dipandang serong dan sebagainya?
Saya tidak ambil pusing dengan pandangan masyarakat ketika itu. Senario keluarga saya yang lebih penting. Saya mengambil Umar pada 2002 kerana hidup saya amat kesepian selepas pemergian arwah ibu tanggal 13 Ogos 1999. Dua tahun saya berdoa agar kekosongan itu terisi. Dan makrifat Allah, selepas Umar lahir banyak kebesaran Allah yang saya lihat.
Pertamanya, Umar lahir pada tarikh yang sama dengan pemergian arwah ibu, 13 Ogos 2002. Umpamanya patah tumbuh hilang berganti. Ibu saya ibaratnya benteng dan sumber kekuatan saya. Kepadanyalah saya bergantung harap dan dia adalah penyelamat apabila saya terpaksa berhadapan dengan asakan bertubi-tubi daripada adik-beradik yang bertanyakan bila saya mahu kahwin.
Selepas ketiadaan ibu, hidup saya tidak lagi seperti dahulu. Saya buntu dan dalam masa sama harus menjaga hubungan sesama adik-beradik biarpun mereka sering bertanyakan kepada saya dengan persoalan yang sama. Hinggalah Umar lahir, segalanya berubah. Kegembiraan mengatasi kesedihan. Mungkin itu natijahnya berbicara dengan Allah. Doa yang tidak pernah putus agar perjalanan hidup saya menemui sinarnya terungkap. Dengan izin Allah, kelahiran Umar telah merencanakan hidup saya.
Penerimaan keluarga pula bagaimana, ada atau tidak mendapat tentangan daripada mereka?
Mulanya saya tidak memaklumkan kepada mereka yang saya mahu mengambil anak angkat. Sukar bagi saya untuk membuka mulut dan menghuraikan lanjut mengenai perihal ini. Lantas saya memberitahu kepada kakak sulung (anak kedua daripada enam adik-beradik) kerana saya paling rapat dengannya. Ketika ibu Umar mahu melahirkan Umar, saya memberi hint kepada adik-beradik, "Maman dah ambil seorang budak jadikannya anak angkat."
Reaksi mereka mungkin terkejut tetapi ia tidak dizahirkan secara terang- terangan. Maklum sajalah saya tidak berkahwin tetapi mengambil anak angkat. Agak janggal kerana ketika itu tidak ramai yang berbuat demikian.
Alhamdulillah, perlahan-lahan mereka mula menerima kehadiran Umar. Tambahan pula melihat wajah comel Umar ketika bayi, hati mereka jatuh sayang padanya sehinggakan Umar menjadi anak saudara kesayangan dalam keluarga saya. Saya juga memaklumkan latar belakang dan asal-usul kelahiran Umar. Mereka akur dan boleh terima keadaan Umar itu sudah cukup memaknakan jihad saya. Kami adik-beradik sama sekali tidak akan membincangkan soal yang membuka aib atau menyentuh sensitiviti sesiapa.
Selebihnya mereka menghormati pendirian saya dan mungkin juga keberkatan doa mereka mahukan yang terbaik untuk saya dan doa-doa itu kekal hingga saya mengambil Aali. Alhamdulillah, mereka berbangga melihat kejayaan saya kini hinggakan diangkat sebagai idola dalam keluarga.
Daripada perspektif lain, saya dapat mempelajari sesuatu bahawasanya kita tidak tahu perancangan Allah dan kita hanya mampu mengubah perancangan tersebut dengan memanjatkan doa. Jangan sesekali memandang hina atau merendahkan martabat seseorang hanya kerana tidak sependapat kerana mungkin insan yang dibenci itulah yang mendoakan kesejahteraan hidup kita.
Dulunya saya diibaratkan sebagai ugly duckling dalam keluarga. Runsing ibu bapa saya memikirkan, "Kenapa anak aku yang seorang ini pelik perangainya dengan anak yang lain?"
Benar Allah itu tidak beranak dan diberanakkan tetapi saya melihat skopnya sebagai penjaga dan memberi panduan dalam hidup. Ibu bapa saya telah melahir dan membesarkan saya. Tetapi saya lebih banyak bercerita dan berbicara dengan Allah. Kerana Dia yang menciptakan saya dan Dia lebih mengetahui sebab musabab mengapa Dia menciptakan saya sebegini rupa berserta kurniaan dan anugerah-Nya.
Saya melalui zaman yang jiwa saya umpama ada badai besar yang melanda, everything reserved in the closet. Mahu diluah pada Mak, saya fikir semua ibu ketika zaman saya dibesarkan tidaklah sporting seperti ibu-ibu zaman ini yang lebih terbuka pemikirannya. Lantas, semuanya terpendam dan terbuku sehingga mencetuskan kekeliruan dalam mencari identiti diri.
Ada sebab dan hikmah mengapa Allah anugerahkan bakat untuk saya menjahit dan mereka busana yang tiada pada orang lain. Dan kurniaan itu umpama sakti bagi saya.
Di samping itu, Allah itu Maha Adil. Diberinya ujian selepas dikurniakan pelbagai nikmat. Dan dalam situasi ini, saya percaya dengan hidayah yang diperoleh ketika usia saya 30 tahun kerana secara simboliknya Allah SWT menyuruh saya berfikir. Saya perlu berjihad dan secara tidak langsung saya tidak boleh memikirkan dan mengulangi apa yang telah dilakukan waktu muda-muda dahulu. Saya perlu tampan, tahan dan kekang bisikan itu. Syukur kerana ia dipermudahkan apatah lagi selepas saya mengambil Umar.
Namun fikiran saya tetap menidakkan soal berkahwin kerana bagi saya jika berhasrat ke arah itu saya perlu benar-benar fokus. Hingga hari ini saya masih berjihad dan berjuang ke arah kesempurnaan.
IKUTI BAHAGIAN KEDUA TEMU BUAL EKSKLUSIF BERSAMA RIZALMAN IBRAHIM: