Aug 08, 2016 - 2770
Oleh:
BAGAIMANA penerimaan Umar sewaktu mula-mula Rizalman mengambil Aali? Memandangkan jarak usia yang jauh, adakah anda merancang atau sememangnya tidak menjangkakan mahu mengambil Aali?
Umar tiada masalah atau cemburu yang ekstrem sewaktu saya mengambil Aali. Malah dia sendiri yang mahukan adik. Selebihnya saya berserah kepada ketentuan Allah SWT. Cuma mungkin kerana faktor 'teringin' nak merasa semula pengalaman bersama anak kecil. Nak gomol bayi, kucupnya sepuas mungkin. Seperti ibu bapa yang lain, saya juga terfikir mampukah saya menguruskan kewangan kalau mahu mengambil seorang lagi anak dan banyak perihal yang perlu saya perhalusi?
Namun saya tidak pernah putus menitipkan doa kepada Allah, mohon agar dikurniakan seorang lagi cahaya mata jika diizikan-Nya. Akur dengan qada' dan qadar Allah saya pernah terfikir seandainya ditakdirkan Allah, Umar pergi mendahului saya, dengan keadaan saya mengambil anak angkat, anak cuma seorang pasti gila dibuatnya. Lantaran itu terlintas sejenak, jika Allah permudahkan jalan untuk saya ambil seorang lagi anak, bertambahlah punca rezeki saya dan anak-anak untuk saya salurkan kepada yang lain.
Syukur Allah makbulkan doa saya dengan kehadiran Aali pada 2013. Jika ada rezeki adik Aali pula, biarlah dalam masa terdekat. Namun, jika tiada tak mengapa; saya reda.
Daripada perspektif lain, memandangkan Umar semakin meningkat remaja dan dengan adanya Aali, dia boleh mempelajari kepentingan ikatan adik-beradik. Dia lebih bertanggungjawab, bersifat pelindung kepada adiknya dan apa yang penting dia faham bukan dirinya sahaja anak angkat tetapi Aali juga sama.
Cuma yang menghairankan saya, baik Aali ataupun Umar biarpun mereka tidak mempunyai ibu namun itu perkara normal yang boleh mereka lalui. Lucunya, pernah sekali Aali seolah-olah mencari susu ibu lantas digentelnya puting saya, hahaha. Berbeza dengan Umar yang hanya melihat sahaja. Selebihnya saya tidak mengalami masalah yang serius dalam tempoh membesarkan mereka. Biarpun tiada ibu yang menyusukan mereka, alhamdulillah mereka membesar dengan sihat hingga hari ini.
Bagaimana pertalian dan hubungan Umar dan Aali dengan keluarga sebenar mereka, adakah mereka sering bertemu?
Kedua-duanya tidak pernah berhubung dengan keluarga asal masing-masing. Cuma keluarga mereka maklum yang saya mengambil Umar dan Aali sebagai anak angkat. Perbezaannya, sewaktu Umar dahulu dia diserahkan oleh bapa saudaranya di rumah saya. Tetapi Aali, situasinya lebih memilukan. Saya pergi ke hospital dan mengambil Aali daripada tangan ibunya. Berjumpa dengan ibu juga neneknya. Hati siapa yang tidak tersentuh melihat ibu yang berpisah dengan anaknya dalam keadaan sedemikian. Saya menangis, begitu juga dengan neneknya, seolah-olah lahirnya Aali ke dunia untuk bertukar tangan; diberikannya kepada saya untuk dijaga sebaiknya.
Perubahan besar dalam hidup Rizalman dan rezeki selepas mengambil anak angkat?
Saya tidak nafikan soal itu cuma pada firasat saya, kemungkinan saya adalah perantara ataupun rezeki itu hanya singgah melalui jalan yang saya pilih. Punca rezeki itu hadir dalam pelbagai bentuk. Malah sumbernya kita tidak pasti dari mana datangnya.
Adakah daripada amalan bersedekah, berzakat, doa ketika berada di Mekah atau segala yang kita kerjakan?
Saya percaya di dalam perkembangan karier saya, adanya rezeki-rezeki yang Allah sudah tulis di Loh Mahfudz untuk orang lain yang jalannya adalah melalui kerja-kerja yang saya lakukan. Syukur kerana selepas saya mengambil Aali, alhamdulillah ada sahaja punca rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Tak pernah putus kata orang, syukur alhamdulillah.
Pendekatan dalam mendidik anak, kongsikan?
Sudah semestinya sebagai bapa saya mahukan yang terbaik untuk Umar dan Aali. Saya tidak mahu mereka melalui zaman seperti mana saya tempuhi dahulu. Saya seboleh mungkin tidak mahu melakukan kesalahan dalam mendidik mereka. Apabila Umar balik ke rumah misalnya, saya beri kebenaran untuknya bermain iPad kerana maklum ia adalah teknologi yang bukan melekakan tetapi dengan aplikasi interaktif ia membantu perkembangan pemikiran anak-anak.
Kita tidak boleh menghalang tetapi boleh mengawal. Dan saya juga pastikan adanya keseimbangan antara ilmu pengetahuan, keagamaan dan teknologi. Saya bimbang jika terlalu menjaga, kepung dan letakkan limitasi yang terlampau ia akan menyebabkan berlakunya kejutan budaya yang akhirnya menyongsangkan hidup anak-anak.
Apabila anak-anak melakukan kesalahan, apakah bentuk hukuman yang Rizalman guna pakai (rotan, sebat, dan lain-lain)?
Saya 'bantai' mereka kerana itulah cara didikan ibu bapa saya dahulu. Apabila sakit barulah mereka akan ingat bahawa perbuatan itu tidak boleh diulangi dan jika dilakukan, ada hukumannya. Saya percaya cara didikan sedemikian adalah untuk menjaga tertibnya seorang anak.
Saya tidak menggunakan pendekatan psikologi ala Barat misalnya komunikasi secara bersemuka. Mungkin ia hanya berkesan untuk anak-anak peringkat remaja tetapi tidak di peringkat kanak-kanak. Saya diajar bukan duduk di atas riba bapa, bermanja dan sebagainya. Saya diasuh dengan meletakkan kepentingan dan kehormatan yang tinggi terhadap bapa seperti layanan raja layaknya.
Apakah nilai-nilai yang anda pelajari daripada bapa anda dan diterapkan pada anak-anak?
Memori sewaktu dibesarkan itu yang banyak membantu saya. Guru saya adalah ibu bapa. Saya masih ingat lagi aturannya jangan sentuh apa jua makanan selagi bapa belum menjamah, jangan alih ikan selagi bapa tidak usik dan banyak lagi.
Meletakkan kehormatan dan keutamaan yang tinggi pada bapa, itu yang saya ingat dan tanamkan kepada Umar dan Aali. Lebih-lebih lagi saya memainkan peranan penting dalam mendidik mereka. Sayalah bapa dan ibu kepada mereka. Setiap perkara yang arwah ibu saya leterkan dahulu umpama satu isyarat semula jadi yang kini saya lakukan kepada anak-anak.
Prinsip yang Rizalman warisi daripada ibu atau ayah?
Ibu bapa saya tidak pernah menyuruh atau melarang apa yang saya lakukan. Didikan ibu saya seperti ibu-ibu zaman dahulu. Dia tidak akan menghuraikan sebab mengapa dia bertindak terhadap sesuatu perkara. Dia hanya akan berleter apabila dia marah berserta mimik mukanya. Dan saya banyak mengikut ciri-ciri itu. Perkara yang sama saya lakukan kepada Umar, malah dia sendiri yang ingatkan saya dulunya saya pernah denda dan beri hukuman kerana kesalahan yang dilakukan.
Kenangan yang masih Rizalman ingati mengenai pengorbanan bapa?
Terlalu banyak kalau mahu diimbas semula. Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Arwah bapa dulu pesara kakitangan kerajaan yang mendapat pencen RM500 sebulan. Adik-beradik ramai dan ketika itu kedudukan kewangan kami sekeluarga sekadar cukup-cukup sahaja, jauh sekali nak hidup mewah.
Arwah bapa saya sukakan barang-barang yang cantik dari luar negeri. Dan suatu hari itu dia teringin mahu makan jem strawberi dari luar negara. Harga sebotol jem ialah RM10 dan nisbah nilainya ketika dahulu untuk sebotol jem, pastilah mahal. Tetapi dek kerana dia teringin, dibelilah jua. Pulang ke rumah dengan hati yang melonjak gembira mahu makan jem itu lain pula jadinya. Botol jem itu terjatuh ketika dia menutup pintu kereta. Jatuh berderai botol jem itu.
Dia menangis sambil mengutip sisa kaca botol jem yang jatuh. Katanya kepada mak saya, "Sayangnya tiada rezeki."
Dari jauh saya perhatikan sahaja dan terfikir bilalah agaknya saya boleh kerja dan belikan sahaja apa yang dia mahu?
Dan kini apabila saya kenang semula peristiwa itu cukup sedih. Syahdu rasanya, rasa ralat pun ada. Kalaulah arwah bapa masih hidup hingga kini, sudah pasti saya berkongsi rezeki yang saya peroleh. Bawa dia ke Mekah tunaikan umrah dan haji, belikan apa jua barang import yang dia mahu.
Arwah bapa meninggal pada 1995 selepas saya tamat belajar dan arwah ibu pula pada 1999. Pemergian mereka menemui Ilahi ketika saya tiada apa-apa. Cuma arwah ibu sempat saya hadiahkan dua utas gelang emas.
Pesanan saya buat mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa, hargailah mereka ketika hayat mereka masih ada. Berbaktilah kepada mereka kerana jasa dan pengorbanan mereka membesarkan kita tiada tolok bandingnya.
Mengenai orang bujang yang mengambil anak angkat dan anda adalah antara pencetus trend ini. Ada yang beranggapan dengan mengambil anak angkat, mereka tidak perlu berkahwin kerana anak ini yang akan menjaga ketika tua kelak. Komen anda?
Tidak semestinya anak-anak yang kita ambil, merekalah yang akan menjaga kita apabila tua nanti. Kerana kita tidak tahu perjalanan di masa hadapan bagaimana liuk lentuknya. Dalam konteks saya yang tidak mahu berkahwin tetapi mempunyai zuriat ia sedikit berbeza berbanding masyarakat di luar sana. Ini kerana saya berjiwa seni.
Menurut kajian, orang seni mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk gila kerana kami dianugerahkan Allah kurniaan yang berbeza dengan orang lain. Dan jika orang seni hidup keseorangan, ia mendatangkan bahaya. Justeru, untuk meneutralkan keadaan ini adalah dengan mengambil anak supaya rasa sayang itu bercambah dan naluri untuk berkongsi sifat kemanusiaan itu terus bersemarak. Jika ciri-ciri kebaikan saya tak asah, ciri-ciri kejahatan yang akan mendominasi. Itu tafsiran dalam konteks saya. Terpulang pada penilaian masing-masing.
Rizalman dilihat sebagai figura yang dekat dan akrab dengan elemen moden dan seumpama dengannya. Tetapi memilih untuk menghantar Umar ke Maahad Tahfiz. Apakah kisah di sebaliknya?
Ia seperti satu kejutan buat semua, malah saya sendiri terkejut bagaimana saya boleh bertindak sedemikian. Mungkin kerana pandangan orang selayaknya Umar bersekolah di sekolah swasta, international school tetapi sebaliknya ke madrasah supaya bergelar seorang huffaz.
Saya hantar ke sekolah biasa, dia buat perangai. Sikapnya memberontak. Kemudian hantar ke sekolah swasta, tiada perubahan juga. Dan apabila melibatkan pihak lain dan masyarakat saya perlu segera bertindak sementelah bergelar public figure, pandangan mata umum turut tertumpu kepada saya dan anak saya. Maka saya berdoa pada Allah agar ditunjukkan jalan dan apa yang harus saya lakukan. Semuanya kerana dia adalah anak saya dan mana mungkin saya boleh kembalikan Umar kepada keluarganya hanya kerana saya gagal mengawal tingkah lakunya.
Ceritanya, pada suatu hari datang seorang wanita bertudung labuh dan anaknya berpurdah ke butik saya. Katanya mahu menempah baju perkahwinan. Berbual itu ini, saya memberanikan diri bertanya kepadanya, "Kakak, macam mana kakak jaga anak kakak ini? Maklum sajalah anak-anak muda sekarang nak suruh pakai baju kurung pun susah, apatah lagi nak bertudung dan berpurdah.”
Jawabnya, "Anak- anak kakak semua dihantar ke Maahad Tahfiz."
Apabila mendengar kata-kata pelanggan saya itu, hati saya terdetik mungkin inilah yang Allah nak tunjukkan, kunci untuk merungkai segala kekusutan yang melanda fikiran saya mengenai Umar. Secara spontan, saya menangis di hadapannya dan bercerita mengenai permasalahan saya.
Katanya lagi, "Mungkin ini jalannya Rizal. Kita hidup hari ini dalam dunia yang moden, jika tidak membentengkan generasi ini dengan asas agama, maka binasalah hidup mereka kelak."
Saya kuatkan semangat, bawa Umar dan paksa ke madrasah. Yalah, hati siapa yang tidak robek melihat kekurangan kelengkapan fizikal di sana. Sedangkan saya mampu memberi keselesaan pada Umar, tilam yang empuk, rumah tersergam indah tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Saya menangis nak tinggalkan anak dalam keadaan sebegitu. Dan dalam fikiran saya, apalah yang aku dah buat pada anak aku ini. Tetapi itulah jihad saya dan Umar. Keraskan hati dan bulatkan tekad. Alhamdulillah, Umar masih lagi bertahan hingga hari ini. Saya ingatkan Umar, kalau Babah diberi peluang, Babah nak rasa apa yang Umar pelajari sekarang. Juga saya berikan gambaran mudah kepada Umar agar dia lebih memahami mengapa saya menghantarnya ke sana.
"Umar belajar betul-betul dan jadi seorang huffaz supaya di akhirat nanti Umar boleh selamatkan diri Umar, adik -beradik yakni 10 orang termasuk Babah dan keluarga Umar yang Umar boleh selamatkan daripada api neraka. Dan Babah akan cari duit, sediakan semuanya untuk Umar supaya Umar tak perlu bertungkus-lumus kerja macam apa yang Babah buat sekarang. Umar cuma cari duit di akhirat. Jika kita meninggal dunia, Babah tolong Umar dan Umar tolong Babah."
Hanya dengan cara itu saya mampu memahamkannya.
Kata orang, kasih seorang bapa itu tidak ditunjukkan seperti mana kasih dan sayang seorang ibu. Anda pula bagaimana?
Saya memainkan dua peranan yakni sebagai ibu dan bapa. Maka dengan itu ada masanya saya tunjukkan kasih sayang kepada mereka dan ada masanya tidak. Dalam konteks ini mereka sama sekali tidak mahu dilahirkan dalam keadaan tiada ibu dan bapa.
Umar pernah bertanya kenapa dia tidak punya ibu tetapi ketika kecil saya memberitahu bahawa ibunya meninggal dunia. Namun apabila dia semakin besar, saya terangkan duduk perkara sebenar. Kata saya, "Mak Umar beri Umar pada Babah untuk dijaga sebab mak dan bapa Umar tidak mampu untuk jaga Umar. Mereka sayangkan Umar dan mereka tahu Babah boleh berikan kehidupan yang lebih baik."
Dan saya seboleh mungkin memainkan peranan sebagai ibu dan bapa kepada mereka dengan cara saya sendiri. Misalnya melalui perbuatan, sikat rambut mereka, dua minggu sekali sentalkan tubuh mereka, masak dan suapkan mereka... Semoga Allah SWT berkati hidup kami sekeluarga.