Dec 19, 2014 - 167

Hakikat Bergelar Janda Diusia Muda | OLEH Faisal Tehrani

Susah rupanya menjadi janda panas kerana paling tidak akan dapat umpatan atau pelempang lima enam das...

sdvewcfwe.jpg
Tuan, sejak menjanda dua tahun lalu, mata jantan di pejabat kita liar sekali; malah kadang mereka seakan terkena sawan. Bukan. Tidaklah kita mengaku diri kita Rozita Che Wan (sekarang pun dia sudah menjadi isteri orang bukan?), jauh sekali seumpama Jennifer Lopez. Nasib badan. Kita sudah ditakdir menjadi janda. Bukan kita suka. Sudah tidak panjang jodoh kita. Kalau membalu mungkin orang ada sedikit malu, tetapi sebab kita ini janda yang belum beranak walau satu, serasa kadang mata jantan-jantan itu terbeliak tiap-tiap masa. Serasa mata mereka melekat pada punggung kita. Biji mata itu bergulir tergolek atas dada. Hendak dilerai tidak sampai, terus ia jadi gam perlu kita bawa ke mana-mana. Macam sumpah tujuh keturunan gamaknya.

Alahai tuan, kita bercerai sebab laki kita dulu memang jenis tidak guna. Kita yang mencari rezeki. Dia kerja berjudi. Pertengkaran terjadi hari-hari; sekali, dia naik angin ditalaknya kita. Kita memang lawa tuan. Tidak hairanlah selepas seminggu abang hakim mengesahkan talak kita, tup tup tidak pasal-pasal kita dapat hadiah misteri. Rantai mahal Encanto Afortunado rekaan Amanda Suarez. Kan, kita dah kata kita bukan Jennifer Lopez; hendak menyebutnya pun terasa payah bukan? Akan tetapi tuan begitulah rasanya sejak kita menjanda.

Banyak sungguh mata-mata. Sebenarnya kita tidaklah merasakan diri seistimewa mana. Orang kata kita berbau wangi. Buat tidak peduli. Seorang budak kerani tempat kita bekerja memuji, katanya, ‘Kakak sejak akhir ini sedap saja baunya, juga nampak maintain.’ Sebetulnya tak ada apa-apa pun. Kita selalu menyapu Divine Cream jenama L’Occitane. Itulah puncanya kulit kita nampak anjal tidak semena-mena. Baunya meresap ke dalam liang sampai jantan bujang itu pun sudah belajar-belajar miang. Kita Cuma membalas kepadanya, ‘Hafiz kau tak payah nak puji-puji kakak tanpa punca.
Kakak masam pun kau katakan sedaplah, harumlah. Itu petanda engkau sudah belajar mengulatbulu. Tak elok begitu.’ Kita menasihat pun ala-ala kakak sahaja. ‘Sumpah kakak cantik!’ Ujar Hafiz tersengih. Eh-eh seksi juga kalau si Hafiz ini tertawa, bergaung bergema-gema dalam kepala. Haih tuan, dalam hati kita rasa hendak terkinja. Maklumlah, mukanya budak Hafiz itu bukanlah sangat seperti Zain Saidin. Tidak juga seperti Adi Putra yang kita minat sangat. Tapi dia kalau tersenyum ada membuatkan jantung kita bergelombang, mujur tak hingga sumbang. Dia ada bauk halus. Kalau dibiar jambangnya dan dirapi sekali-sekala memang nanar juga. Ada kawan kita kata, jantan kalau ditenung lama-lama kalau hodoh pun menjadi terpengaruh. Sebab setan suka bertenggek-tenggek supaya makhluk Tuhan mendapat dosa.

Berbalik kepada hadiah misteri mahal yang kita dapat itu, memanglah kita musykil dan tertanya-tanya. Apa jasa kita kepada sesiapa santak dianugerahi hadiah meriah? Tetapi kita bukan jenis suka memikir sangat. Lantaklah. Kita buat-buat tidak endah kemudian datang sekotak lagi. Ini kali jam tangan Cieolo Mesh oleh Lambretta. Tuan, tahukah tuan maksud cielo dalam Bahasa Itali? Maknanya taman syurgawi. Aduhai, siapakah yang buat kita merasa umpama tuan puteri ini? Kita ini janda  taman larangan. Adakah ia sekacak Aidid Marcello? Sayang dia suami orang. Atau adakah si pemberi hadiah ini sesegak Eric Bana. Kita juga peminat Eric Bana. Hah kan, kita dah kata; ada setan main-main. Begini sekali dugaannya menjadi janda. Ada orang mengurat dalam rahsia. Ada orang menggoda beria. Status kita tiba-tiba terangkat satu anak tangga. Oleh kerana kita rasa resah diperhati orang, kita pun bertanyakan soalan kemusykilan agama kepada ustaz yang rupawan di pejabat.

Di pejabat kita ada seorang lelaki yang pandai membaca doa. Namanya Abdullah. Dia pernah mengatakan, ‘Janganlah kakak rasa gundah. Isteri Nabi pun bernama Khadijah. Dia janda ketika mengahwini Rasulullah. Dalam hayat baginda hanya sekali ia menikahi anak dara. Yang lain semua janda belaka. Demikian bermakna status janda.’ Kita pun gembira. Tengok, kita janda dan tak perlu berasa segan malu dengan keadaan ini. Pedulilah apa orang nak kata. Janji kita pandai menjaga diri. Tuan, satu hari tiba-tiba di parkir kereta, sebelum sempat kita menghidupkan Kelisa sekonyong-konyong ada seorang perempuan agak berusia datang melesang kita. Dia melompat nyaris meloncat untuk menerkam kita seperti hyena di benua Afrika ingin membaham seekor rusa. Dia menerpa mencekik kita, menarik anting-anting di telinga dan melempang pipi kedua-dua belah sehingga pijar merah. Cuping telinga kita berdarah. Kita rasa hendak menangis tuan.
Sedih betul. Kita pun menjerit tolong, tolong, tolong. Dan perempuan itu menghamun meludah muka. Dia terpekik terlolong macam kera. Dia mengatakan kita perempuan gila seks. Dia mengatakan kita perempuan tidak mengenal coli dan seluar dalam (sampai sekarang kita tertanya apa pula kena mengena baju dalam dengan serangan nekad tersebut). Dia juga mengatakan kita jahat, jahat, jahat.
dsvsvsec.jpg
Sejak bila pula perempuan janda sahaja yang jahat? Menjadi janda yang lawa memang membuat sesetengah isteri gelabah. Namun tuan, sumpah kita tidak kenal siapa perempuan kasar itu. Mungkin dia Datin kepada Datuk mana-mana. Kita menjerit meminta tolong. Muncul Hafiz seperti hero Hindi. Dia melerai serangan. Mula-mula dia menarik tangan Datin, tidak menjadi dia menghela pula lengan dan akhirnya dia meregang pinggang mendorong Datin ke belakang. Waktu itu kita memang dihambat geram. Maklumlah, kita digempur tanpa amaran; alamat kita membalas tempur. Kita sepak muka si Datin satu kali. Tatkala itulah Hafiz memeluk kita dari belakang. Sabar-sabarsabar laung Hafiz. Terasa sungguh lengan dan tangan Hafiz kukuh. Rasanya tangan berbulu itu di atas dada? Pada pinggang kita? Atau di bawah bonjolan sedia ada? Eiii bagaimana boleh jadi begini? Aduh tuan! Tidak pasal-pasal pula si Hafiz dapat merasa. Tetapi kita tahu Hafiz bukan mencabul. Tidak pula mengambil kesempatan. Sudah terjadi drama bersiri, maka ia hanya kebetulan.

Seminggu kita cuti demam. Malu ada. Tidak tahu hendak taruh muka di bucu mana. Tentu orang mengata. Lepas seminggu serasa hendak berhenti kerja dan mencari jawatan di kantor lain. Mujur Hafiz menelefon di telefon tangan. ‘Kakak janganlah membuat keputusan melulu. Datin Hafsah sudah pun mengalah. Kakak pun tidak bersalah. Baliklah bekerja.’ Lama juga kita menghimpun kekuatan untuk pulang ke meja kerja. Malu aduhai tak terkata. Kita berhenti menyapu krim wangi. Terus kita berhijab ala-ala Mizz Nina. Memang kita belum hajah tetapi kira-kira ada panggilan untuk berubah. Minggu demi minggu kita cubalah berpura-pura biasa; macam tak ada apa.

Susah rupanya menjadi janda panas kerana paling tidak akan dapat umpatan atau pelempang lima enam das. Tuan, bulan lepas Hafiz mengajak kita keluar makan. Bukan makan tengah hari tahu! Tetapi makan malam. Sudah berkurun lama tidak keluar malam. Janda kalau keluar berkeliaran berpoya nanti tersangka kuntilanak. Kalau keluar pun menonton wayang dengan adik kita yang anak dara tua. Adik bongsu kita itu belum berkahwin, kalau Hafiz hendakkan dia, kan lebih senonoh. Ini, Hafiz sudah mulai tidak berkakak. Dia sudah mulai ‘bersaya awak’ pula. Kita serba-salah tuan. Kita tahu orang di belakang mengata-ngata sahaja. Kita hendak buat apa? Kita buntu. Kita memberitahu Hafiz, ‘Sudahlah, saya tak serasi dengan awak. Bak kata Dayang Ku Intan zaman dulu-dulu;

‘diriku mawar pudar warna, tiada lagi yang istimewa.’
Hemmmm...

Inilah sejak jadi kolumnis InTrend. Saya pun membalas e-mel yang panjang berjela itu dengan empat ayat sahaja:
‘Pertama, dah janda buatlah cara janda. Kedua, kalau ada bujang hendakkan kakak, maka kakak menanti apa lagi? Kan kata kakak tangannya kekar berbulu? Ayuh keluar sahaja makan sate bersama dahulu’. Lama kemudian (dua bulan tiga minggu empat hari tidak silap) dia menghantar e-mel lagi. Tuan, terima kasih. Kalau tuan ada masa, kita hendak berjumpa. Bukan apa, hendak kita menyerah kad jemputan kahwin kita.

Alhamdulillah. Saya ada di Copenhagen waktu majlis kakak itu. Saya menumpang suka. Selamat mengecap bahagia dengan abang muda. Jangan sekali-kali berasa gulana. Kalaupun kakak bukan Jennifer Lopez, atau Rozita Che Wan, atau Datin hartawan; tetapi kakak ada maruah dan kakak seorang yang tabah.’

Saya membalut hadiah untuknya. Sebuah novel karangan saya berjudul Tunggu Teduh Dulu. Dalam novel tersebut, protagonisnya memang mengecap sedapnya getah betik muda. Saya tambah lagi; ‘Jangan putus asa. Selamat pengantin baharu ya.’

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:

  • ← Sebelum

    Peminat K-Pop Mudah Gila Bayang?

  • Seterus →

    Hakikat Bergelar Janda Diusia Muda | OLEH Faisal Tehrani