Oct 07, 2014 - 2196

Apa Patut Wanita Buat Kalau Hubungan Intim Dengan Suami Menyakitkan?

Jika dirasakan ada yang tidak kena, segeralah bertindak agar hubungan intim lebih sihat dan ikatan suami isteri bertambah erat. Jangan pendam masalah ranjang, takut lama-lama anda yang kecundang.

 

 

KESAKITAN itu adalah sesuatu yang normal jika kali pertama melakukan hubungan intim. Namun demikian sekiranya rasa sakit berlanjutan pasti ada sesuatu yang perlu diberi perhatian. Ramai antara kita yang tidak peka dan kurang ambil peduli mengenai punca permasalahan ini berlaku. Berikut adalah senarai faktor dan jalan penyelesaian yang praktikal dan boleh dicuba untuk menangani masalah ini.

 

Wanita diselubungi Rasa Takut

Bagi segelintir wanita yang baru melahirkan cahaya mata, mereka dihantui rasa takut dan bimbang untuk melakukan hubungan intim bersama suami. Kebimbangan tercetus kerana mereka fobia dengan kesan jahitan pada kemaluan, luka pada faraj akibat pembedahan dan lain-lain.

 

Kecacatan Kongenital Pada Sistem Peranakan 

Ia tidak berlaku akibat kesan pembedahan kerana secara semula jadi, terdapat segelintir wanita dilahirkan mempunyai selaput dara tebal, faraj yang sempit (vaginal stenosis) dan sebagainya. Kecacatan ini boleh menyebabkan punca kesakitan yang serius ketika hubungan intim berlaku.

 

Vaginismus

Menurut pakar sakit puan, kekejangan otot sekitar faraj (vaginismus) yang berlaku tanpa disedari juga boleh menyebabkan kesukaran penetrasi sekali gus mengakibatkan kesakitan ketika berhubungan intim.

 

Kurangnya Pelincir

Kurang aktiviti foreplay dikaitkan sebagai antara penyebab kekurangan pelincir. Namun demikian ia lebih dikaitkan dengan kekurangan hormon selepas menopaus, selepas pantang atau menyusu badan. Antara faktor lain kekurangan pelincir yang lebih jarang adalah kesan sampingan kerana pengambilan ubat seperti antikemurungan, pil darah tinggi, ubat selesema, sedatif dan sesetengah pil perancang.

 

Ada Jangkitan Kuman

Jangkitan bakteria atau kuman pada pundi kencing dan faraj juga boleh menyebabkan kesakitan ketika melakukan hubungan intim.

 
 

Parut Akibat Pembedahan 

Parut daripada pembedahan seperti histerektomi dan kemoterapi juga disifatkan sebagai faktor penyebab kesakitan sewaktu hubungan intim. Malah ada segelintir wanita bimbang jika ia menyebabkan mereka gagal mencapai klimaks tepat pada masanya.

 
 

Emosi dan Kurang Rasa Yakin Pada Diri Sendiri 

Kedua-dua aspek ini memainkan peranan penting dalam kelangsungan hubungan intim yang sihat. Jika gagal ditangani dengan baik, ia boleh mendorong kepada masalah kesakitan sewaktu hubungan intim berlaku. Bimbang, murung dan rendah diri terhadap bentuk fizikal tubuh boleh menyebabkan kurang rasa erotik lantas menjurus kepada rasa sakit sewaktu hubungan intim. Rasa tertekan misalnya boleh menyebabkan otot faraj menjadi tegang sekali gus penetrasi sukar berlaku.

 
 
 
Sumber foto: Shutterstock 
 
 
 

Bolehkah semua di atas diatasi? Berikut adalah antara solusi dan jalan penyelesaian yang boleh wanita cuba: 

 

ALTERNATIF 1

Jangan Malu, Dapatkan Nasihat Doktor

Jika kerap mengalami sakit ketika hubungan intim, dapatkan konsultasi daripada doktor sakit puan. Maklumkan dengan terperinci seperti kekerapan kesakitan, bagaimana ia bermula dan bagaimana ia kerap terjadi. Usah malu menceritakan sejarah perubatan dan pembedahan terdahulu kerana dikhuatiri ia menjadi punca kesakitan ketika hubungan intim berlaku. Maklumkan juga kepada doktor jika anda mengambil sebarang pil, jamu atau ubat sebagai solusi untuk menangani masalah ini.

 
 

ALTERNATIF 2

Apa Kata Anda Ubah Posisi

Sekiranya posisi biasa menyebabkan anda berasa sakit ketika melakukan hubungan intim, ada baiknya anda menukar posisi tersebut. Cuba ekperimen dengan posisi yang berlainan bagi memastikan anda dan suami tidak mengalami sebarang kesulitan ketika melakukan hubungan intim.

 
 

ALTERNATIF 3

Perlunya Komunikasi dan Sokongan Suami

Berbincanglah dengan suami jika faktor emosi menjadi punca utama yang perlu dikongsi. Komunikasi dan perbincangan dari hati ke hati adalah terapi mudah lagi berkesan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Sokongan daripada suami juga penting agar tidak timbul isu ‘makan berdua kenyang seorang’. Ingat tu! 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:

  • ← Sebelum

    70% Lelaki Berjambang Suburkan Wanita

  • Seterus →

    Kenali Tubuh Badan Wanita