Jan 08, 2017 - 56702

33 Hal Kahwin Anda Perlu Sedia Supaya Bahagia ‘Till Jannah’

Rumahtangga yang kita bina ini, bukanlah seputar hidup kita dan si dia semata-mata. Ada cara dan seninya untuk mengurus bahtera hidup yang telah anda layarkan itu.

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman

 

 

Sumber: Instagram  

 

Sumber: Instagram  

 

Sumber: Instagram  

 

 

PERKAHWINAN itu, sekali dengar bunyinya indah. Namun, perkahwinan bukan sekadar baju kahwin dan pelamin anganku. Ia tentang kehidupan dua hati, dua jasad bersatu dalam satu ikatan dan mahligai. Rumahtangga; bukan lagi tentang suami dan isteri, ia tentang orang di sekeliling juga. 

 

HAL 1 KEWANGAN

Bagi isteri, “Duit suami duit saya, duit saya duit saya.” Dan, fakta itu suami perlu akui dan jangan persoalkan. Keseluruhan duit suami perlu dihalakan kepada keperluan isteri dan duit isteri adalah untuk kegunaan isteri. Terpulang kepada isteri jika redha untuk membantu.

 

HAL 2 INSURANS

Orang baru berkahwin memang banyak pakai duit untuk perkara yang baru hendak ‘dibina’. Ada pasangan yang terlalu agresif sehingga tersilap menghitung bajet dan tersasar apabila saat-saat kecemasan. Melaburlah dengan membeli insurans yang diperlukan seperti insurans kesihatan. Perbelanjaan kesihatan zaman sekarang bukan murah ya!

 

HAL 3 RUMAH 

Jangan habiskan semua duit untuk belanja kahwin dan bercuti semata-mata. Tinggalkan sedikit untuk buat deposit rumah sama ada menyewa atau beli. Apabila menyewa, carilah yang mampu untuk dibayar setiap bulan. Tinggal cuma berdua, tak perlu yang besar-besar. Duit yang ada boleh disimpan untuk membeli rumah sendiri nanti. 

 

 

Sumber: Instagram  

 

 

HAL 4 LOKASI RUMAH

Antara faktor yang perlu diambil kira apabila mahu menyewa atau membeli rumah baru, pasangan perlu ambil kira jarak antara tempat kerja masing-masing dengan rumah itu. Ada pasangan teruja mahu rumah besar dengan kos rendah, lantas memilih lokasi pinggir bandar yang jauh dari pejabat dan kemudahan lainnya. Perkara ini membazirkan masa dan wang. Sebaiknya, biarlah lokasi rumah di tengah-tengah antara pejabat suami dan isteri. Kalau tiada pilihan, pilihlah yang berdekatan pejabat isteri untuk memudahkannya.

 

HAL 5 DEKORASI

Nah, inilah masa paling mengujakan untuk menghias rumah, apa lagi belum punya anak kecil. Timbang-tara konsep yang dimahukan antara kedua-duanya agar masing-masing berpuas hati dan mencapai misi ‘rumahku, syurgaku’. Cat sendiri rumah antara aktiviti paling sweet buat pasangan baru kahwin. Percayalah!

 

>>>{KLIK DI SINI] Lelaki Ini Buat ‘DIY’ di Rumah, Jimat Beribu. Hasilnya Setanding Gedung Perabot Ternama!<<<

 

Sumber: Corbis 

 

HAL 6  PERABOT RUMAH 

Antara kelebihan apabila mula tinggal sendiri dan bukan menumpang
rumah mak ayah, kamu boleh mula membeli sedikit demi sedikit perabot dan perkakas rumah. Bukan mudah mahu memenuhkan rumah, bukan? Daripada rumah sewa yang kecil hinggalah ke rumah sendiri yang lebih besar nanti, sudah tersedia semuanya. Tidaklah terasa sangat mahu membeli barang rumah sekaligus nanti. Ini juga menjimatkan kos untuk jangka panjang.

 

HAL 7 KERETA

Kalau dulu seorang pakai satu kereta, mungkin jika mahu berjimat boleh sahaja digunakan satu kereta untuk ke pejabat (jika laluan ke pejabat munasabah). Atau, suami menggunakan motor dan isteri berkereta. Semuanya demi penjimatan masa depan! Dan ia bagus juga untuk eratkan hubungan kerana banyak yang boleh dibualkan ketika berdua di dalam kereta. 

 

HAL 8 JADUAL/MASA

Hidup berdua tidak boleh lagi buat aktiviti seperti zaman bujang. Pulang ke rumah sesuka hati. Jangan jadikan rumah seperti hotel semata-mata, sedangkan masa banyak dihabiskan di luar rumah, melepak dengan kawan-kawan. Tetapkan satu waktu setiap hari bekerja (contoh, selepas Maghrib), suami dan isteri mesti sudah ada di rumah.

 

HAL 9 KERJAYA

Fahami kerjaya pasangan sebelum berkahwin lagi supaya kamu tidak tertipu dan mengharapkan sesuatu yang tidak nyata. Ada tuntutan kerja pasangan yang memakan masa hingga larut malam/awal pagi, ada pula yang bosnya mengganggu sampai ke rumah. Jadi, apabila berkahwin dengan pasangan, ‘nikahi’ dulu cara kerjanya.

 

HAL 10 BAKAL ANAK

Selesai urusan suami isteri, bersedia pula menunggu kemunculan orang ketiga yakni anak sendiri. Terutamanya, kalau isteri bunting pelamin. Dan, perlu ingat zaman sekarang membesarkan anak bukan setakat dua tiga puluh ringgit. Perlu ada kos untuk perbelanjaan bersalin, susu, lampin, menghantar anak ke taska, insurans, pendidikan dan sebagainya.

 

>>>[KLIK DI SINI] 25 Doa Mujarab Buat Pengantin Baru (dan Lama), Cubalah, Insya-Allah Ada Hasilnya<<<

 

 

Sumber: Corbis 

 

 

HAL 11 AKAUN BERSAMA 

Saya amat suka kalau antara suami dan isteri tidak menyimpan rahsia perihal duit gaji kerana apabila berkongsi hidup, maka kita harus berkongsi banyak ‘benda’. Jangan sorok-sorokkan setiap duit yang masuk dan keluar supaya pasangan tahu sebesar mana ekonomi rumahtangganya. Kalau banyak, boleh disimpan, kalau sedikit, ada perbelanjaan yang boleh dikurangkan.

 

HAL 12 MAKAN

Ada isteri sentap apabila suami selalu memuji air tangan ibunya. Isteri perlu rajin mengkaji ‘lidah’ suami. Ketahui apa yang suami suka dan tidak. Sesekali jenguk dapur untuk memasak kerana kata orang mahu pikat hati suami, tawan dulu perutnya. Air tangan isteri itu ada azimat yang tiada pada wanita lain. Waktu makan juga antara momen terbaik mengeratkan hubungan suami dan isteri. Mengapa tidak makan malam diperuntukkan untuk bersama pasangan kita dan bukan lagi sendiri-sendiri.

 

HAL 13 HOBI

Ketahui hobi dan minat pasangan. Jangan syok sendiri terhadap sesuatu yang kamu suka sahaja sedangkan hobi pasangan tidak pernah dipeduli. Tidak perlu pun turut suka apa yang dia suka, cukup memberi ruang untuk pasangan melunaskan hobinya tetapi jangan pula berlebih-lebih.

 

HAL 14 MENTUA

Oh, inilah isu paling besar dalam pasangan baru kahwin kerana individu inilah paling rapat nanti. Kalau boleh, elakkan tinggal sebumbung dengan mentua melainkan punya tanggungjawab menjaga orang tua yang sudah uzur. Belajarlah berdikari untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan isteri yang sebenar. Apa pun rentak mentua, jangan derhaka. Banyakkan bersabar dan mengalah. Mereka umpama ibu bapa sendiri juga.

 

HAL 15 IPAR DUAI 

Apabila kita perlu taat kepada ibu dan bapa mentua, tidak pula bermakna kita perlu ‘taat’ juga kepada ipar-duai. Maksudnya, jagalah hubungan baik sesama ipar-duai tetapi jangan sampai mereka ‘mengepung’ rumahtangga kita. Berlaku begitu banyak kes suami isteri bergaduh kerana orang ketiga yakni ipar-duai yang suka menjadi duri dalam daging. Buat baik seadanya tetapi adakan juga kubu pertahanan. Suami atau isteri perlu saling bertoleransi dan sedia mendengar apa jua masalah pasangan terhadap keluarga dan perjelaskan. Jangan biarkan pasangan memendam perasaan.

 

 

Sumber: Corbis

 

 

HAL 16 KEBAJIKAN KELUARGA

Mungkin kita juga harus bersedia untuk mendengar masalah ahli keluarga pasangan yang mungkin memerlukan bantuan, terutama jika pasangan kita dilihat jenis yang ‘mampu’. Sabar, jangan lekas melenting. Lihat pada keperluan yang mana benar-benar perlu dibantu agar tidak ada yang sekadar mengambil kesempatan. Suami pula harus bijak dalam membuat kira-kira. Membantu amalan mulia tetapi jangan sampai bantuan itu terambil akan ‘portion’ yang sepatutnya menjadi hak isteri. Apa lagi, kalau isteri bekerja dan suami pula buat-buat tidak kisah kerana kononnya isteri sudah ada duit sendiri. Kalau isteri redha, syukurlah. Jika sebaliknya, bantuan kamu itu harus diperhalusi semula.

 

HAL 17 BALIK KAMPUNG

Betul suami berhak ke atas isteri sepenuhnya apabila berkahwin. Namun, jangan jauhkan hubungan isteri dengan ibu ayah dan keluarganya. Begitu juga isteri, jangan jadi batu penghalang; menjarakkan hubungan suami dengan keluarganya. Masing-masing perlu adil seperti giliran pulang ke kampung dan sebagainya. Apabila berkahwin dengan pasangan, bermakna kita perlu berkahwin dengan orang di sekelilingnya juga.

 

HAL 18 SOSIAL KELUARGA 

Seperti mana kamu mudah bersosial dengan kawan-kawan, ramahkan juga diri bersosial dengan keluarga pasangan. Memang ada segelintir suami atau isteri yang tidak boleh bercampur dengan keluarga pasangan. Asal sampai rumah mentua, panas punggung mahu pulang. Kalau kenduri-kendara, hanya berdiri kaku tidak reti membantu. Jangan jadi kera sumbang dalam kelompok keluarga sendiri!

 

HAL 19 KAWAN-KAWAN

Ada yang kata kawan suami, kawan isteri dan begitu sebaliknya. Bagaimanapun, jaga had pergaulan. Limitasikan ruang melepak. Jangan sampai kawan-kawan bertunggu-tangga di rumah kita sehingga boleh mengundang fitnah dan ketidakselesaan untuk orang yang sudah berkelamin.

 

HAL 20 JIRAN-JIRAN

Apabila berpindah ke rumah baru, maka bermulalah kehidupan baru dalam suasana bersama jiran tetangga baru. Pasangan muda biasanya tidak tahu bersosial dengan jiran tetangga apatah lagi duduk di apartmen atau kondominium. Setidak-tidaknya berbalaslah senyuman atau sekadar bertanya nama. Sesak-sesak nanti, ada yang boleh membantu.

 

HAL 21 KEBERSIHAN 

Selalu berlaku kepada isteri, tertekan memiliki suami pengotor dan pemalas. Tidak ada ruginya menjaga kebersihan diri dan rumah. Ada kes, suami isteri bercerai hanya kerana suami punya perangai pelik; tidak suka pam mangkuk jamban selepas melepaskan hajat! Waspada pada perkara-perkara remeh!

 

HAL 22 TARIKH-TARIKH PENTING

Jangan lupa tarikh-tarikh penting pasangan, tidak hanya tarikh lahir dia, tambahkan juga pada kalendar untuk tarikh ulang tahun, tarikh hari jadi ibu bapanya dan lain-lain yang pasangan rasa penting untuk kamu sama-sama raikan. 

 

HAL 23 BERCUTI

Sesekali memang seronok pergi bercuti. Tambah- tambah orang baru kahwin, semangat bulan madu masih membara kata orang. Ayuh, silakan merentas dunia selagi masih berdua, mudah untuk ke mana-mana. Namun, perhatikan juga bajet dalam tangan supaya tidak sampai berhutang.

 

HAL 24 AGIHAN TUGAS 

Elakkan bermasam muka dan leteran apabila pasangan penat sendirian menguruskan hal rumah. Memang berlaku gejala ‘terkahwin anak emak’. Suami tidak tahu buat kerja rumah kerana sudah biasa dimanjakan oleh emaknya. Setidak-tidaknya, jika isteri tugasnya cuci dan sidai kain, suami tolonglah angkatkan pula. Bukan susah mana, kan? Dan, isteri jangan ambil kesempatan ‘melepak’ saja jika dapat suami rajin.

 

>>>[KLIK DI SINI] SPM 9A: Nourul Wahab Buktikan Anak Artis Juga Cemerlang, Ini Rahsia Didikan Nourul<<<

 

 

Sumber: Shutterstock.com 

 

 

HAL 25 HUJUNG MINGGU

MINGGU Kalau masa bercinta boleh luangkan masa dating sepanjang hari minggu, mengapa selepas kahwin pula sibuk mahu buat kerja lebih masa atau melepak rumah emak? Boleh, bukan tak boleh. Tetapi sesekali, luangkan masa bersama beraktiviti hanya antara kamu dan dia. Sudahlah hari biasa jarang berjumpa, pada hari minggulah masanya menghangatkan kembali cumbuan cinta.

 

HAL 26 PRIVASI

Walau hidup berdua dalam satu bumbung dan tidur sekatil, ada suatu ketika kamu perlu memberikan sedikit privasi kepada pasangan. Tidak semua elemen dalam kehidupan pasangan perlu diselongkar habis-habisan. Ada ketika, ruang privasi perlu diwujudkan untuk meraikan kehidupan peribadi.

 

HAL 27 ‘ORANG KETIGA’

Memang akan ada kemunculan ‘orang ketiga’ dalam kehidupan suami isteri, sama ada dalam kalangan kawan-kawan sepejabat, teman lama atau orang baru. Kata kuncinya, elakkan memberi peluang dan ruang. Apabila ruang itu ada, virus itu akan merebak dengan mudah. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati?

 

HAL 28 MENJAGA AMANAH

Perkahwinan itu perkongsian, namun masih ada hak-hak suami atau isteri yang perlu dijaga. Hormati amanah bersama. Sebagai contoh jika suami amanahkan isteri menjaga rumahnya sepanjang ketiadaannya, isteri wajib melaksanakannya sebaik mungkin. Begitu juga suami, contohnya, jika isteri kata jangan beri pinjam kereta miliknya kepada orang lain tetapi suami melanggarinya, ia sesuatu yang tidak adil untuk isteri.

 

HAL 29 KOMUNIKASI

Komunikasi umpama jambatan menghubungkan antara suami dan isteri. Jika komunikasi tidak berkesan, jambatan akan reput dan jika dibiarkan tanpa dibaiki ia boleh runtuh. Bukan mudah dua individu yang selama ini dibesarkan dalam dua budaya dan didikan berbeza hidup bersama. Jadikan setiap hari yang dilalui adalah satu proses pembelajaran untuk menjadi lebih baik dan perbaiki komunikasi yang lemah dengan bercakap hati ke hati.

 

HAL 30 BILA BERJAUHAN

Maksud berjauhan bukanlah sekadar pasangan keluar outstation, jika sekadar berjauhan beberapa jam ke tempat kerja pun, dikira berjauhan secara fizikalnya. Jadi, dekatkan jiwa dengan saling mengirimkan pesanan; SMS, WhatsApp, Wechat e-mel dan sebagainya. Sekurang-kurangnya sekali kiriman untuk bertanyakan sudah makankah? Atau pulang jam berapa? Atau usik-usik nakal. Jangan sibuk dengan group chat sahaja. 

 

HAL 31 MAKANAN BATIN

Tuntutan batin bukan seks semata-mata. Ia berkaitan dengan permainan perasaan, hati dan jiwa. Sebolehnya, kekalkan kemesraan bulan-bulan pertama perkahwinan untuk tahun-tahun seterusnya, walau sampai berkedut 1000. Tidak kira suami atau isteri, selalulah belai-membelai, berkucupan walau bukan untuk tujuan seks, puji-memuji, bergurau-senda dan apa sahaja yang boleh membahagiakan perasaan pasangan. Lakukan! Kerana itu juga ibadah membawa pahala.

 

HAL 32 CEMBURU 

Dalam hubungan perlu ada asam dan garam, baru sedap rasanya! Pasangan perlu ada sedikit perasaan cemburu. Jangan terlalu ‘bebaskan’ pasangan sehingga tidak kisah apa pun yang dia lakukan. Namun, berhati-hati, jangan cemburu pada ‘skandal’ yang tidak wujud. Asam dan garam yang terlalu banyak pun tidak bagus; mampu membunuh!

 

HAL 33 KESEIMBANGAN

Dalam hidup ini, kalau ada keseimbangan pasti lancar semuanya. Ramai pasangan meletakkan keluarga nombor satu, benar! Namun, jangan terkongkong dengan falsafah itu sehingga mengambil mudah perkara lain. Ada yang terlalu mengejar kerjaya sampai mengabaikan keluarga sehingga membawa kepada keruntuhan rumahtangganya. Dan, jangan lupa ada juga kes apabila pasangan mementingkan keluarga sahaja sehingga mengabaikan pekerjaannya dan akhirnya diberhentikan, tetap perceraian berlaku apabila ekonomi keluarga goyah. Ingat, seimbangkan semua aspek agar keharmonian tercapai dalam syurga duniamu itu.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Ini Rahsia Bentuk Mata, Bibir Malah Jarak Kening Kita — Anda Patut Baca Analisa Wajah Ini

  • Seterus →

    10 Momen Redah-Kasi-Pecah Bila Datuk Siti Nurhaliza Berlasak… Tok Ti, You Memang ‘Awesome’!