Feb 17, 2017 - 32012

Ini 10 Pengajaran yang Boleh Kita Ambil Daripada Sekuel ‘Surga yang Tak dirindukan 1 & 2’

Dua tahun lalu, filem 'Surga yang Tak dirindukan' pernah mencipta sejarahnya tersendiri dalam industri perfileman di Indonesia. Kini filem box office sekuel ‘Surga yang Tak dirindukan 2’ bakal membuat penonton menangis.

 

Oleh: Athirah Zulkifli 

 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw 

 

 

 

GANDINGAN mantap Fedi Nuril sebagai Prasetya dan Laudya Cynthia Bella (Citra Arini) dalam filem ‘Surga yang Tak dirindukan’ mencipta sejarahnya tersendiri dalam industri perfileman di Indonesia dua tahun yang lalu apabila berjaya menarik 2 juta penonton ke pawagam. Kini, filem box office ini kembali dengan sekuel terbarunya, ‘Surga yang Tak dirindukan 2’ (#SYTD2), yang bakal membuat penonton bermain dengan perasaan sekali gus tidak henti-henti mengalirkan air mata. 

 

Memilih tema cinta yang berlandaskan kepada agama, sudah pasti ‘Surga yang Tak dirindukan 2’ memberi pengajaran terbaik dalam kehidupan berumahtangga. Jalan cerita penuh perasaan dan watak yang dilakonkan dengan baik mampu menguatkan sebuah karya sehingga menjadi sebuah filem yang bagus.

 

Pelbagai situasi boleh kita pelajari daripada kedua-dua filem ini. InTrend kongsikan 10 situasi dalam ‘Surga yang Tak dirindukan 1 & 2’ yang boleh kita pelajari dalam kehidupan. Sebuah kisah menyentuh jiwa yang membuat kita berfikir tentang cinta, kesetiaan dan takdir serta ujian yang harus diharungi. 

 

 

 

Situasi 1 

Masih ingat lagi situasi dalam ‘Surga yang Tak dirindukan 1’? Ya, seorang budak lelaki terjatuh dari basikal ketika dalam perjalanan ke masjid lalu Pras menghulurkan pertolongan mesikpun dihalang oleh temannya yang menyatakan menolong budak lelaki ini hanya membuang masa sahaja. Pras tidak menghiraukan kata-kata temannya, sebaliknya dia tetap mahu membantu. 

 

Mungkin situasi ini boleh kita pelajari dalam kehidupan ini. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, apa bangsa dan agamanya, kita perlu menolong orang yang memerlukan bantuan. Dan yang penting, kita tidak perlu mengharapkan balasan atas segala pertolongan yang dihulurkan. 

 

 

 

 

 

Situasi 2 

Kisah dongeng yang disampaikan oleh Arini kepada anak-anak di madrasah mengenai keindahan Islam dan syurga membuatkan ia sebuah cerita teladan yang bagus. 

 

Jika dilihat ibu bapa zaman sekarang lebih terdorong untuk berkongsi kisah dongeng fiksyen seperti Cinderella, Snow White, Beauty and The Beast kepada anak-anak mereka. Apa salahnya kita mengangkat kisah nabi, rasul serta sejarah bermulanya Islam sebagai cerita teladan dalam mendidik anak. Sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak mengenali apa itu Islam, selain dapat mengeratkan hubungan sesama umat.

 

 

 Kredit foto : Astro Shaw

 

 

 

Situasi 3 

Kemuncak cerita terjadi apabila Pras cuba menyelamatkan Meirose daripada membunuh diri kerana kecewa dengan kehidupan yang dilaluinya. Pras melakukan perkara tersebut kerana tidak mahu melihat anak Meirose yang baru dilahirkan, Akhbar kehilangan ibu seperti dirinya yang pernah melalui kisah silam yang amat menyedihkan. 

 

Perkahwinan tidak semestinya kerana cinta, malah perkahwinan yang memerlukan pengorbanan jiwa lebih diredai Yang Maha Kuasa. Demi menyelamatkan dua nyawa, Pras sanggup menikahi Meirose demi membimbingnya ke jalan yang benar. 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw

 

 

 

Situasi 4

Konflik berlaku apabila Arini mendapati Pras sudah berkahwin tanpa pengetahuannya. Sikap tidak berterus terang Pras membuat Arini berasa sangat marah dan kecewa. Perbuataan Pras yang menyembunyikan perkahwinannya dengan Meirose turut membuat Arini berasa curiga akan suaminya. Malah Arini mempersoalkan kenapa perlu menolong Meisrose sehingga sanggup mengahwininya.

 

Pengajarannya di sini, dalam hidup berumahtangga, pasangan seharusnya berterus terang agar tidak timbul rasa curiga. Kita harus saling mempercayai antara satu sama lain. 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw

 

 

Situasi 5

Kematian ayah Arini telah menyingkap rahsia yang disimpan selama 15 tahun oleh ibu bapanya. Kehadiran dua wanita yang meratapi kematian ayahnya membuat Arini kebingungan. Siapakah mereka? Lantas ibu Arini menceritakan bahawa ayahnya menikahi wanita tersebut kerana mahu menolongnya. 

 

Hati Arini semakin remuk apabila mengetahui dirinya mengalami situasi yang sama dengan ibunya apabila mendapat tahu bahawa suaminya sudah menikah dengan wanita lain tanpa pengetahunya. Arini kagum dengan sikap yang dimiliki oleh ibunya yang boleh memaafkan almarhum ayahnya sedangkan ia telah melukakan hatinya. 

 

Apabila kita berpegang kuat dengan ajaran agama, kita reda dengan segala ujian yang dihadapi. Sebagai ibu, sudah pasti kita mahu zuriat kita menjalani kehidupan yang sarat dengan kebahagiaan. Memutuskan untuk berpisah dengan pasangan hanya kerana dimadukan mungkin memberi impak lebih buruk terhadap anak-anak. Malah ayat ibu Arini, “Ibu sudah memilih mengikhlaskan dan memaafkan kerana tidak mahu anaknya hidup dalam kebenciaan antara ibu dan ayahnya”. Kuasa seorang ibu menasihati anaknya agar berfikir secara rasional tentang masa depan kehidupannnya. 

 

 

 

 

 

Situasi 6 

Permulaan ‘Surga yang Tak dirindukan 2’ memperlihatkan situasi yang sama berlaku antara Pras dan Meirose, yang mana Pras mahu menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya. Namun dia teragak-agak mahu menolong, bimbang kejadian yang sama berulang kembali. Tambahan pula, mangsa kemalangan kereta itu seorang wanita! 

 

Sifat saling tolong menolong ini seharusnya diterapkan dalam diri semua manusia. Malangnya, hanya segelintir yang memiliki sifat mulia ini yang tidak mahu melihat orang lain dalam kesusahan. 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw

 

 

 

Situasi 7 

Arini mendapat undangan ke Budapest, Hungary untuk mempromosikan bukunya. Tanpa diduga, takdir menemukan mereka sekeluarga bersama Meirose dan anaknya, Akhbar. Pemergian Meirose bersama Akhbar dahulu adalah untuk memulakan hidup baru demi melupakan masa lampau yang hampir menghancurkan rumahtangga Arini. 

 

Apabila hidup bermadu, para isteri perlu tahu hak masing-masing dengan tidak membebani fikiran sang suami. Persefahaman yang dibina menerusi watak Arini dan Meirose dalam filem ini menciptakan keharmonian hidup berumahtangga. 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw 

 

 

 

Situasi 8 

Terdapat satu adegan romantik menerusi filem pertama, di mana Pras menyarungkan kerudung ke kepala isteri barunya, Meirose. Meirose terpempan dengan permintaan Pras yang memintanya berhijab. Namun, budi bahasa Pras yang mendakwahkannya dengan cara yang paling halus dan terhormat, sedikit sebanyak mengusik hati Meirose yang keras. Namun Meirose menolak sambil ketawa kerana berasakan kata-kata Pras itu tidak lebih daripada sekadar gurauan. 

 

Satu sikap yang amat baik, yang boleh dicontohi oleh para suami di sini adalah hemah dan budi bicara Pras yang sangat bertertib kala mentarbiahkan isterinya. Walaupun dia cuba mendakwahkan isterinya ke jalan yang Islamik, dia tidak sekali-kali menjatuhkan air muka Meirose, apatah lagi mengaibkan maruah kewanitaan Meirose. Walau Meirose punya sejarah kotor lagi hitam, Pras tetap melayannya sebaik-baik cara. 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw

 

 

Situasi 9 

Konflik perasaan menghantui kehidupan Meirose apabila dia mula menyedari bahawa rupa-rupanya, jauh di sudut hati, dia sudah jatuh kasih kepada Pras. Sikap Pras yang sangat jujur dan ikhlas membantunya, rela menjadi bapa buat anak luar nikah yang telah dilahirkannya, meninggalkan kesan yang amat mendalam. Tetapi Meirose tahu, dia perlu membuat pilihan, sama ada merebut Pras dan menjadi pemusnah dongeng cinta Arini, atau memilih untuk mengundurkan dirinya. 

 

Pengajarannya di sini, setiap daripada kita pasti berdepan kesukaran dalam membuat keputusan dalam hidup. Justeru, kita disaran untuk memohon pertolongan Yang Maha Esa agar diberi petunjuk dalam memilih yang terbaik.  

 

Kredit foto: Astro Shaw

 

 

Situasi 10

Pada adegan terakhir sekuel pertama, Meirose nekad menghilangkan diri. Namun dia bertindak meninggalkan bayinya untuk dijaga oleh Pras dan Arini. Kehilangan Meirose disedari, dan dengan pantas Pras dan Arini mengejarnya sehinggalah mereka sampai ke stesen keretapi. Pras memujuknya agar kembali ke pangkuan keluarga, tetapi Meirose menolak dengan baik. Antara bait kata-kata Meirose yang amat mengesankan berbunyi lebih kurang begini: "Kebahagiaan itu datang apabila kita mampu membahagiakan orang lain dengan ikhlas."

 

Pengajarannya di sini, penonton diingatkan bahawa kebahagiaan itu tidak semestinya hadir dalam bentuk material, kemewahan harta benda atau kekayaan wang ringgit semata-mata. Sesungguhnya, kebahagiaan itu hadir dalam bermacam-macam bentuk dan cara. Dan antaranya adalah kebahagiaan yang telah dipillih oleh Meirose, iaitu bertindak mengorbankan perasaan serta kepentingan dirinya sendiri, demi memberi laluan dan kebahagiaan buat seorang wanita yang lain. Berapa ramai daripada kita sanggup berbuat seperti Meirose? Alangkah hebat tahap keikhlasan dan keredaan Meirose. Walau dia tidak memiliki ilmu keagamaan yang tinggi seperti Arini, tetapi dia telah diberikan hidayah Allah pada waktu yang paling tepat. 

 

 

Kredit foto: Astro Shaw

 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    20 Drama Adaptasi Novel Paling Berjaya Walau Ada Penonton Meluat dan Benci, Kenapa Agaknya?

  • Seterus →

    Puteri Sarah Tunggu Hari, Syamsul Yusof Tunggu Masa Jadi Bapa Mithali — Alahai ‘Sweet Couple’!