Dec 04, 2017 - 28172

Memiliki ZURIAT, Doa Pertama Marsha di Hadapan KAABAH — Ini Kisah MARSHA MILAN Sebagai Seorang Mualaf

Siapa Marsha Milan Londoh? Kadang kita terlupa dia bintang vokal terdahulu sebelum mencuri tumpuan penonton dihadapan lensa televisyen. Ikuti kisah perjalanan karier serta kehidupan peribadi Marsha sebagai seorang mualaf.

 

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad 

 

 

 

 

 

 

KEMUNCULAN Marsha Milan Londoh di pentas Akademi Fantasia Megastar (AF Megastar 2017) dengan lontaran vokal yang mantap dan penampilan ala ‘fashion girl’ membuka mata peminat seni generasi millennial.

 

Ya, ramai dalam kalangan generasi muda hari ini yang tidak mengenali sosok yang satu ini kerana Marsha sudah agak lama menyepi daripada dunia nyanyian. Sebaliknya peminat lebih mengenalinya sebagai pelakon dan pengacara.

 

Kini, apabila peluang untuk menyerlahkan bakatnya sebagai penyanyi sudah terbentang di landasan yang betul, Marsha tidak mensia-siakannya. Kerana inilah platform untuknya membuat comeback.

 

Kembalinya Marsha ke pentas nyanyian bukan dengan tangan kosong, sebaliknya berbekalkan ‘single’ terbarunya yang berjudul Hilang. Sekali gus promosi untuk ‘single’ ini akan seiring jalan.

 

Bintang yang lahir daripada program Akademi Fantasia musim ketiga ini mengorak langkah penuh yakin untuk membuat penjenamaan semula dirinya sebagai seorang penyanyi yang berkaliber.

 

 

 

 

 

 

Dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat – yang mana ibu bapanya belajar di sana dan keluarga kecil ini kembali ke Tamparuli, Sabah, beberapa bulan selepas Marsha Milan Londoh dilahirkan. Kecintaannya terhadap nyanyian mula berputik sejak kecil.

 

Namun bakatnya hanya diketengahkan selepas Marsha muncul di tempat ketiga di pentas ‘final’ Akademi Fantasia musim ke-3, and her life has changed forever. Tidak betah berada di takuk lama apatah lagi 2017 adalah refleksi 12 tahun penglibatannya dalam industri seni (sama usia dengan InTrend), mendorong Marsha untuk mengambil langkah - ‘Time To Shine Bright’.

 

Usaha yang satu ini diperkukuh dengan adanya pihak pengurusan yang bertanggungjawab mengawal selia perjalanan seninya agar lebih teratur pada masa akan datang. Biarpun dia tewas di pentas ‘final’ AF Megastar 2017, namun Marsha yang paling menyinar!

 

Diakui langkahnya untuk berkolaborasi dengan AF Megastar 2017 berjaya mencuri hati para peminat seni tanah air terutamanya daripada kalangan anak-anak muda.

 

Masakan peminat tidak jatuh cinta kerana penampilan Marsha sepanjang minggu-minggu konsert membuat penonton terkesima. Sentuhan fesyen memberi impak mega terhadap persembahannya selain vokal Marsha yang lebih mantap dengan tona suaranya yang unik dan nyaring.

 

Itulah perbezaan nyata wanita ini jika dibandingan kala kali pertama muncul di layar lebar. Mengikut resmi padi, semakin menunduk semakin berisi, begitu juga Marsha kerana dia tidak pernah mendabik dada meninggi diri sebaliknya mengakui masih banyak yang perlu dipelajari untuk menguasai pentas seni.

 

Malah, tutur bicaranya masih semesra dulu, gelak tawanya masih segirang dulu dan tingkah lakunya dijaga penuh tertib, sesuai dengan gelaran isteri yang digalas sejak dua tahun lalu. Jelas terpancar kebahagiaan lewat sinar matanya apabila insan yang bergelar suami tetap setia berada di sisi sama ada kala susah mahupun senang.

 

Sokongan keluarga yang tidak pernah pudar terus membakar semangat wanita ini untuk berdiri teguh mendepani cabaran dalam industri seni. “Selagi ada sokongan daripada peminat, selagi itu Marsha mahu perjuangkan kecintaan Marsha terhadap bidang nyanyian dan memberikan hanya yang terbaik buat penyokong Marsha di luar sana.”

 

 

 

 

 

 

 

 

Apa khabar Marsha? Boleh kongsi perkembangan terbaru Marsha dalam bidang seni bersama pembaca InTrend?


Alhamdulillah, Marsha baru sahaja sembuh daripada sakit tekak. Rasa lega selepas berjumpa dengan Pakar Mata, Hidung & Tekak (ENT) untuk buat pemeriksaan lanjut, almaklumlah apabila kita sakit tekak, hidung dan telinga pun sama menderita.

 

Buat pengetahuan peminat, setakat hari ini Marsha mahu berehat dulu, mungkin dua hingga tiga minggu sebab Marsha mahu mengerjakan umrah. Selepas itu barulah Marsha kembali bergiat semula dalam bidang seni.

 

Pertama sekali, Marsha akan langsaikan tugas- tugas yang tertangguh misalnya rakaman ‘Travelog Wedding’ terbitan stesen televisiyen tempatan yang berkisarkan mengenai perkahwinan etnik di seluruh Malaysia. Walaupun tengah bercuti, Marsha turut membuat promosi single terbaru,
Hilang.

 

Ya, kami baru lancarkan single ini dua hari lepas. Selain itu, Marsha juga terlibat dengan alih suara filem Frozen 2. Sebelum ini Marsha telah bekerjasama dengan Disney untuk High School Musical.

 

Jadi dari situ, Marsha dah bina hubungan dengan Disney lantas diberi peluang untuk terlibat sama dalam alih suara filem Frozen, begitu juga dengan lagu Bebaskan yang dialih suara ke Bahasa Melayu daripada lagu asal iaitu Let It Go yang tular dan menjadi ikutan anak-anak kecil menyanyi.

 

Biasanya Marsha melihat skrip apabila memilih sesuatu projek kerana Marsha tidak mahu memainkan peranan yang sama berulang kali. Tetapi untuk projek Disney ini, Marsha tidak meminta untuk melihat skrip sebaliknya berkata ya kerana Disney is something that everyone loves.

 

Marsha juga sedang menunggu tayangan filem Tujuh, insya-Allah bakal ditayangkan pada hujung tahun ini. Marsha memegang watak utama sebagai gadis Orang Asli dan berlakon bersama Pekin Ibrahim, Siti Saleha, Deedee Nash dan ramai lagi.

 

Filem arahan Raja Mukhriz ini mengisahkan mengenai sumpahan gadis Orang Asli yang dianiaya sehingga membuat dirinya terkorban. Jangan lupa tonton lem ini ya!

 

 

 

 

 

 

 

Tahniah kerana Marsha diberi kesempatan untuk mengerjakan ibadah umrah. Sebagai ‘orang baru’, boleh kongsi perasaan kala diberitahu suami yang Marsha akan ke Tanah Suci?

Sebagai ‘orang baru’ dalam Islam pastinya perasaan Marsha bercampur-baur kala diberitahu suami yang kami termasuk keluarga belah suami akan mengunjungi Tanah Suci dalam masa terdekat ini.

 

Rasa teruja kerana ini pengalaman pertama dan rasa gemuruh kerana Marsha sendiri sedang dalam proses mendalami Islam. Adakah kehadiran Marsha diterima? Apa pun, Marsha berasa cukup bertuah kerana terpilih sebagai tetamu Allah.

 

Bersyukur kerana suami dan mentua memberi dorongan agar Marsha lebih yakin dan tenang kala beribadah di Tanah Suci nanti. Meski masih banyak yang perlu Marsha pelajari, namun yang penting adalah niat untuk mengerjakan umrah itu tulus dari hati. Semoga Allah memberkati perjalanan kami ke Tanah Suci itu nanti.

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan persediaan untuk mengerjakan umrah?

Sejujurnya Marsha tidak terfikir pun untuk menyediakan itu dan ini untuk mengerjakan umrah. Namun selepas mendalami ilmu agama, barulah Marsha faham lantas membuat persediaan daripada segi mental, zikal dan peralatan yang perlu dibawa ke sana nanti.

 

Untuk kelengkapan ke Tanah Suci belum 100 peratus tersedia, masih banyak barang yang mahu dibeli. Manakala dalam bab agama, Marsha menghadiri kelas agama secara personal selain tunjuk ajar daripada keluarga suami untuk lebih memahami ibadah umrah kerana Marsha mahu melaksanakannya sebaik mungkin. Doakan yang baik-baik untuk Marsha ya!

 

 

 

 

 

Boleh kongsi kehidupan Marsha selepas bergelar Muslimah?

Marsha masih mengekalkan nama asal iaitu Marsha Milan Londoh sebaik bergelar Muslimah. Dan kehidupan Marsha seperti umat Islam yang lain juga. Lagipun agama yang Marsha anuti dulu tidak banyak beza dengan agama Islam.

 

Misalnya kami juga tidak dibenarkan makan daging babi, ibaratnya haram seperti dalam agama Islam. Jadi, tidak ada banyak adjusment yang perlu Marsha lakukan. Kerana apa juga agama yang ada di dunia ini tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi jahat. Tetapi daripada segi solat dan bacaan Al-Quran itu perlulah dipelajari, difahami dan diamalkan.

 

Islam banyak memberikan moral yang baik kepada Marsha. Persekitaran juga banyak membantu kerana Marsha juga menjalinkan persahabatan dengan kawan-kawan Muslim. Seperkara yang benar-benar menguji Marsha adalah berpuasa pada bulan Ramadan.

 

Cukuplah perkongsian ini, sejujurnya Marsha tidak begitu terbuka untuk bercerita mengenai penghijrahan ini kerana ia terlalu peribadi buat Marsha. Bagi Marsha, urusan agama adalah hak peribadi dan bukan untuk perkongsian umum.

 

 

 

 

 

 

AF Megastar baru sahaja melabuhkan tirainya. Bagaimana Marsha terbuka hati untuk menyertai pertandingan ini?

Menyedari tekanan dalam sesebuah pertandingan membuatkan Marsha tidak berminat untuk menyertai AF Megastar pada awalnya. Lagipun Marsha pernah merasai zaman Akademi Fantasia. Jadi dah faham sangat dengan rentak permainannya.

 

Namun menyedari yang nama Marsha semakin tenggelam sebagai penyanyi maka inilah saatnya untuk membuat comeback kerana menyanyi adalah kecintaan Marsha sejak dulu. Tujuan Marsha menyertai pertandingan ini kerana mahu mengingatkan semula peminat bahawa Marsha masih lagi menyanyi.

 

Ia ibarat penjenamaan semula Marsha sebagai penyanyi. Selepas berbincang dengan pihak pengurusan akhirnya kami sepakat mengambil keputusan untuk menyertainya. Dan seperti biasa Marsha perlu melalui screening untuk melayakkan diri sebagai nalis AF Megastar. Diakui AF Megastar cukup berbeza dengan Akademi Fantasia.

 

Jika dulu peserta disogokkan dengan apa yang pihak produksi sediakan, namun kali ini peserta diberi kebebasan dalam menentukan apa yang mahu ditonjolkan pada setiap persembahan.

 

Marsha akui team kami bekerja keras bagi memastikan persembahan terbaik dipersembahkan saban minggu kepada pihak juri dan para penonton. Team kami lebih kurang 20 orang yang terdiri daripada Genervie Kam yang mengendalikan music arrangement; kareografer oleh Mimi One Nation Emcees; vocal style, Elvira Arul dan Cikgu Sha ; jurusolek, Jijie Zainal dan stylish, Tym Fatimah.

 

Sebaik konsert pertama berlangsung Marsha cukup terharu dengan sokongan peminat yang terdiri daripada generasi millennial. Ini dapat dilihat pada ucapan tahniah, kata-kata semangat dan nasihat yang mereka kongsikan di media sosial. Melalui AF Megastar, peminat generasi baru sudah mula nampak akan kewujudan Marsha dalam industri nyanyian tanah air.

 

 

 

 

 

 

Sepanjang berada di pentas AF Megastar, Marsha dikenali sebagai ‘fashion girl’ kerana saban minggu tampil dengan gaya paling ‘meletops’. Komen?

Imej yang Marsha bawa sepanjang berada di AF Megastar ditentukan oleh Tym Fatimah selaku penata gaya. Kami bersetuju untuk menonjolkan elemen fesyen setiap kali membuat persembahan.

 

Naluri wanita membuat Marsha mahu semuanya sempurna dan nampak cantik. Dan satu lagi, kalaulah terkeluar pada minggu- minggu tertentu, Marsha mahu keluar dengan gaya yang ‘vass’, hahaha...

 

Apa salahnya kita menjamu halwa telinga pendengar dengan lagu-lagu yang didendangkan, kita juga menjamu mata mereka dengan penampilan yang menawan, betul tak?

 

 

 

 

 

 

 

Lima perkara Marsha lakukan sebaik AF Megastar melabuhkan tirainya?

Pertama, tidur. Maklumlah sepanjang beberapa minggu berada di AF Megastar, Marsha tidak cukup tidur kerana menjalani latihan vokal, persembahan, tarian dan banyak lagi. Kira macam balas dendamlah ni, hahaha...

 

Kedua, Marsha akan tengok balik persembahan sepanjang di AF Megastar. Dari sini, Marsha belajar untuk memperbaiki kelemahan kala membuat persembahan. Ketiga, makan nasi sebanyak mungkin. 

 

Keempat, dating dengan suami. Sepanjang AF Megastar berlangsung, kami jarang-jarang dapat meluangkan masa bersama. Dan yang kelima, Marsha nak layan drama bersiri Korea iaitu While You’re Sleeping. Suka sangat tengok drama bersiri Korea ni, kalau dah start tengok memang tak boleh nak berhenti.

 

 

 

 

 

 

Harapan Marsha terhadap single ‘Hilang’?

Harapan terhadap single Hilang sangat besar. Kerana penerimaan peminat terhadap lagu hasil ciptaan Omar K, Dilyla Khalid dan Ezra Kong akan mencorakkan masa depan Marsha dalam bidang nyanyian.

 

Single Hilang dipersembahkan kali pertama di pentas nal AF Megastar dan Marsha bangga dapat menyampaikannya dengan baik pada malam itu.

 

 

 

 

Marsha pernah menghasilkan lagu yang berjudul ‘Sudah Ku Temui’ beberapa tahun lalu. Boleh ceritakan serba sedikit mengenainya? Dan kenapa untuk comeback kali ini, Marsha menggunakan lagu yang dicipta oleh komposer lain?

Marsha mula compose lagu beberapa tahun lalu tetapi tidak pernah bercadang untuk release lagu-lagu tersebut. Sudah Ku Temui ini Marsha tulis untuk suami ketika kami mula dating dulu.

 

Ia adalah salah satu lagu yang Marsha simpan untuk waktu yang lama. Ketika Marsha sedang mencari lagu daripada komposer lain untuk dilancarkan, suami mencadangkan supaya Marsha memilih Sudah Ku Temui sebagai pilihan single yang akan dilancarkan.

 

Dan untuk comeback kali ini, Marsha memilih untuk menggunakan khidmat komposer lain kerana Marsha menganggap mereka lebih memahami tuntutan pasaran. “I want something out of the box, I don’t want a typical love song.”

 

Itulah yang Marsha beritahu kepada Omar K (yang membuat lagu Assalammualaikum yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir). Hilang adalah lagu cinta tetapi lebih umum dan ia tidak semestinya romantis.

 

 

 

 

 

 

Pihak pengurusan ada menyebut bahawa kembalinya Marsha kali ini dengan satu aspirasi iaitu penjenamaan semula sebagai seorang penyanyi. Komen Marsha mengenai perihal ini?

Penjenamaan semula Marsha sebagai penyanyi bermaksud yang Marsha betul-betul fokus mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh. Marsha mahu tunjukkan kebolehan yang dimiliki selain memberikan warna kepada dunia seni suara tanah air.

 

Jika dahulu persepsi khalayak terhadap Marsha adalah sebagai individu yang ‘ting-tong’, ‘gila-gila’ dan bersikap keanak- anakan, namun kali ini siapa diri Marsha adalah sangat berbeza. Marsha semakin matang dan bersedia untuk tampil sebagai penghibur yang berkaliber. Kerana inilah refleksi 12 tahun Marsha menceburi industri seni.

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan kehidupan Marsha setelah bergelar isteri? Apa yang membuat Marsha jatuh cinta dengan suami?

Cukup bahagia dan kehidupan Marsha juga rasa lebih lengkap. Apabila berdua diri terasa dilindungi malah Marsha rasa ada seseorang yang Marsha boleh bergantung harap ketika berdepan masalah, ya seseorang yang dapat melegakan beban ketika Marsha menghadapi situasi yang sukar.

 

Marsha telah mengenali suami selama 10 tahun namun bibit percintaan berputik sekitar tiga tahun kebelakangan sebelum kami diijabkabulkan pada penghujung 2015.

 

Marsha bersetuju mengahwini Mohamed Saiful Nizam Mohamed Ismail setelah melihat keikhlasan dan kejujurannya sepanjang perkenalan kami. Sifatnya yang mengambil berat dan hormat dengan ahli keluarga Marsha amat menambat hati. Dengan sikap yang ditunjukkan itu menguatkan gerak hati Marsha untuk menerima lamarannya.

 

 

 

 

 

 

 

Selepas berkahwin, adakah Marsha benar-benar mengenali peribadi suami?

Meski sudah mengenali suami selama 10 tahun sebelum kami bernikah, namun ada perkara baru yang Marsha temui tentang suami. Kalau dulu Marsha ingat suami jenis happy-go-lucky orangnya, but when it comes to waking up in the morning, he’s a bit grumpy, hahaha... Yang lain-lain tu, dia adalah orang yang sama Marsha kenali dulu.

 

 

 

 

 

 

 

Memasak untuk suami? Apa menu kegemarannya?

Sejujurnya Marsha tidak banyak memasak di rumah memandangkan kami tinggal bersama mentua. Kalau ada pun Marsha bantu menyediakan bahan-bahan. Marsha biasanya hanya memasak ketika suami lapar terutamanya pada waktu tengah malam.

 

Suami paling suka mi goreng laksa iaitu mi segera yang digoreng bersama bawang putih, bawang merah, cili dan perasa asam laksa.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Marsha dan suami cipta persefahaman terutama yang melibatkan kerjaya seni Marsha?

Masa mula-mula bercinta, Marsha pernah ajak dia ke set supaya dia faham bidang yang Marsha ceburi. Kalau dia boleh terima kerjaya Marsha sebelum kahwin, insya-Allah dia tidak akan mengongkong selepas kami disatukan sebagai suami isteri.

 

Sebab Marsha pernah beritahu suami sebelum kami bernikah, “Jika kita berkahwin nanti, my career should be my priority as well.” Kerana apa pun yang Marsha lakukan, Marsha masih perlu mendapat restu suami bukan?

 

Ya, keluarga adalah keutamaan Marsha, tetapi pada masa sama, they will understand my situation when it comes to my career. Alhamdulillah, perkahwinan tidak menghalang Marsha daripada menyanyi, mengacara atau berlakon sebab suami very supportive.

 

Cuma selepas bergelar isteri, Marsha kena pandai membahagikan masa antara kerjaya dan rumahtangga. Marsha perlu tahu bila masanya perlu berada di rumah dan bila masa yang sesuai untuk bekerja.

 

Maklumlah sebagai anak seni waktu kerja Marsha tidak sama seperti orang yang bekerja di pejabat, kerja dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Diakui pada awal- awal kahwin dulu, suami agak terkejut apabila Marsha balik kerja jam 2.00 atau 3.00 pagi dan ada ketika balik keesokan harinya.

 

Rasa tersentuh juga apabila melihat suami menunggu Marsha apabila pulang lewat. Seperkara lagi, suami jenis yang tegas, kalau dia dah kata A, maka A yang kita kena buat, jangan pandai-pandai nak ubah jadi A+ atau A —.

 

Disebabkan itu Marsha dan pihak pengurusan akan merancang sebaik-baik mungkin aktiviti dan waktu agar tidak bercanggah dengan apa yang suami mahu. Pun begitu, suami juga boleh toleransi tetapi Marsha dan pihak pengurusan perlulah menerangkan duduk perkara sebenar.

 

 

 

 

 

 

Sudah hampir dua tahun melayari bahtera perkahwinan tetapi kalian masih berdua. Adakah kalian merancang atau belum bersedia menimang cahaya mata?

Belum ada rezeki buat kami menimang cahaya mata. Marsha dan suami tidak pernah merancang untuk mendapat cahaya mata, malahan telah berikhtiar untuk mempercepat proses itu dengan memperlahankan aktiviti seni.

 

Sebenarnya Marsha banyak berehat daripada menerima tawaran pun untuk mencuba hamil, tapi orang cakap apabila kita terlalu kirkan pun benda tu tak bagus juga.

 

Jadi Marsha putuskan untuk tak kir sangat dan fokus kepada benda lain, kalau ada, adalah. Kerana semuanya kembali kepada percaturan Yang Esa, dan Marsha lebih selesa tidak terlalu berfikir dan berserah pada takdir. Jika ada rezeki, Marsha mahukan tiga orang anak. Kalau dapat dua pasang yakni dua lelaki dan dua perempuan, lagi bagus, hahaha...

 

 

 

 

 

 

Mentua tidak pernah mendesak soal anak?

Alhamdulillah, mentua okey dan tidak mendesak soal anak. Kata mereka, tidak perlu tergesa-gesa kerana apa yang penting adalah kesihatan Marsha dalam hal ini. Mereka ada juga berkongsi petua yang diamalkan ketika muda-muda dulu untuk Marsha amalkan bagi penjagaan kesihatan dalaman.

 

 

 

Pernah rasa tertekan kerana belum hamil selepas hampir dua tahun mencuba apatah lagi melihat teman-teman sudah dikurniakan penyeri rumahtangga?

Walaupun belum hamil hingga hari ini namun keadaan ini tidak membuat Marsha rasa tertekan. Namun sebagai wanita, Marsha tidak dapat mengelak daripada perasaan sedikit cemburu melihat kecomelan anak-anak teman.

 

Selalu membayangkan alangkah indahnya kalau Marsha dapat merasa pengalaman serupa menjadi seorang ibu. Tertanya-tanya juga, bilakah agaknya giliran Marsha pula. Cuma Marsha mampu berdoa supaya dimurahkan rezeki untuk mendapat zuriat seperti pasangan suami isteri lain.

 

 

 

 

 

 

 

Usia menjangkau 30-an, namun kulit Marsha tampak cantik. Boleh kongsikan rutin cantik Marsha?

Semenjak kulit makin berusia ni, Marsha kena pakai set lengkap untuk penjagaan kulit. Maklumlah pada usia 30- an, penjagaan kulit itu sangat penting. Marsha tidak mahu nampak tua sebelum waktu.

 

Akhir-akhir ni Marsha jadi lebih paranoid apabila kulit kering kerana kondisi sebegini membuatkan wajah terlihat lebih tua, justeru Marsha gunakan minyak Argan untuk mengembalikan kelembapan pada kulit.

 

 

 

Rambut Marsha terlihat cantik berkilat dan sihat. Apakah rahsianya?

Marsha cukup bertuah kerana mewarisi rambut yang tebal, hitam dan berkilat. Namun apabila kerap dibega bagi tujuan persembahan, lama-kelamaan rambut Marsha menjadi kering.

 

Untuk menjaga kesihatan rambut, Marsha menggunakan Extra Virgin Oil yang disapukan pada helaian rambut dan dibiarkan semalaman lalu dicuci pada keesokan paginya.

 

Nak tahu rahsia rambut Marsha kelihatan hitam berkilat? Sebab Marsha tidak pernah sekali-kali mewarnakan rambut. Disebabkan itu, rambut ni kekal sihat dan berkilat.

 

 

 

 

 

 

Lima perkara yang orang tidak tahu fasal Marsha, boleh kongsikan?

Pertama, orang selalu keliru sama ada Marsha menangis ataupun ketawa. Marsha kalau dah gelak boleh sampai keluar air mata tau! Kedua, Marsha jenis yang manja dan sensitif. Maka jiwa ini mudah tersentuh.

 

Ketiga, Marsha pencinta haiwan maka mudah mengalirkan air mata apabila melihat haiwan dianiaya. Marsha ada bela dua ekor kucing yang diberi nama Tommy dan Hugo. Keempat, memasak dan shopping adalah terapi terbaik buat Marsha. Kelima, kuat makan nasi putih, hahaha...

 

 

 

Marsha cukup bertuah kerana dapat mengekalkan tubuh yang langsing walaupun suka makan nasi. Komen?

Oh, tidak mudah sebenarnya. Ya, Marsha memang suka makan nasi putih tetapi jika rasa berat badan dah naik mendadak, Marsha akan kawal pengambilan nasi dalam diet seharian.

 

Ada kalanya, tidak makan nasi buat seketika bagi memastikan tubuh kekal langsing. Itu namanya pengorbanan, hahaha... Disebabkan Marsha terlibat dalam bidang seni maka Marsha juga perlu menjaga penampilan. Biarlah orang tengok kita ni sentiasa sihat dan nampak cantik.

 

Selain itu, Marsha juga berkunjung ke gimnasium. Marsha amalkan yoga sebab dahulu Marsha pernah menderita sakit pinggang. Atas saranan doktor, Marsha mula amalkan yoga.

 

 

 

 

 

 

Kata akhir Marsha buat para peminat dan pembaca InTrend?

Kepada peminat, teruskan sokongan anda terhadap kerjaya seni Marsha. Tanpa sokongan kalian, Marsha tidak akan berada pada tahap ini. Dan terima kasih kepada InTrend kerana memberi peluang kepada Marsha untuk menghiasi sampul depan edisi November ini. Terima kasih semua. I love you!

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Kali Pertama Lihat DIA, Jantung Saya Berdegup Laju” — Indahnya Kisah Cinta CHE PUAN JULIANA EVANS, Bacalah

  • Seterus →

    “Waking Up To Him Makes Me Say, Oh He Is So Hot!” — FAZURA dilamun Cinta, Kini FATTAH Imamnya