Jul 31, 2017 - 27996

Dulu Terkinja-kinja, Kini Dia Tabaruk — Anda HARUS BACA Kisah Taubat Supermodel Ini

Mahu istiqamah seiring dalam penghijrahannya, pesona Anita Aziz hari ini lebih cantik berbanding dirinya yang dahulu.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussian 

 

 

 

 

 

 

 

 

SEBOLEH mungkin dia tidak mahu mengimbas kembali momen silam. Pernah melaui zaman kegemilangan di pentas peragaan, Allah angkat darjatnya untuk menerima hidayah lantas berhijrah dan selesa dengan penampilan lebih sopan.

 

Jauh di lubuk sanubarinya, Anita menitipkan doa agar orang hatinya tetap dengan ketentuan ini dan tidak mahu berpaling kepada kehidupan lalu.

 

 

 

Detik penceburan Anita dalam bidang peragaan, jika boleh dimbas semula?

Segalanya bermula pada 1991. Pada awalnya saya tidak pernah terlintas langsung untuk bergelar model. Hanya rakan-rakan yang mengatakan saya punya potensi dan ada pakej untuk menjadi model. Dan kebetulan salah seorang rakan memberitahu rakannya mempunyai sebuah agensi model (Honey Bee) yang ketika itu mencari model untuk menyertai pertandingan.

 

Lantas saya fikir, mengapa tidak? Hanya berbekalkan semangat ingin mencuba, saya tidak menyangka memenangi pertandingan tersebut dan dianugerahkan ‘Most Promising Radiant Award’. Bertitik tolak dari itulah saya mula menceburi bidang peragaan sebagai model.

 

 

 

 

 

 

 

Puncak karier Anita yang melonjakkan nama ke persada antarabangsa?


Saya memulakan karier dalam bidang ini dengan menyertai pelbagai pertandingan. Dan dari situlah saya banyak belajar selok-belok dunia peragaan kerana saya tidak mendapatkan latihan khusus secara profesional. Ketika awal pembabitan saya, kebanyakan model bernaung di bawah agensi tetapi saya adalah satu-satunya yang melakukan secara freelance. Sukar dan mencabar kerana saya perlu keluar dari kepompong itu.

 

Apatah lagi tiada orang yang memberi tunjuk ajar dan panduan, justeru saya perlu bekerja keras. Maka dengan itu, saya memilih untuk menyertai pelbagai pertandingan. Pada 1995 saya menyertai Miss Malaysia Globe dan berjaya menjuarainya. Namun pada saya, pertandingan ratu cantik tidak memberi kepuasan sebenar kerana saya lebih menjiwai dunia peragaan. Pada 1997 saya berpeluang menyertai pertandingan Supermodel Malaysia.

 

Mungkin rezeki saya sudah tertulis dalam bidang ini dan berjaya merangkul gelaran juara lantas mewakili negara ke Miami, Amerika Syarikat. Itulah yang saya sifatkan sebagai puncak karier kerana menjadi impian saya untuk memenanginya dan merantau ke negara orang. Dan selepas saya kembali ke Kuala Lumpur, semuanya berjalan dengan baik. Rezeki semakin melimpah dalam bidang peragaan.

 

Saya berpeluang menetap di London selama lima tahun, saya meninggalkan Kuala Lumpur pada 2000 dan pulang semula pada 2006. Pada awalnya saya terbang ke sana untuk bekerja selama 10 hari (terlibat dengan sebuah pertunjukan). Tetapi sebelum itu saya memikirkan inilah peluang untuk saya belajar dan menimba pengalaman di negara  orang. Kerana maklum, sukar untuk membina nama di tempat sendiri kerana cabarannya saya bergerak secara freelance dan tidak seperti model lain.

 

Saya bulatkan tekad, kemaskan apa jua yang ada dan terbang ke kota London. Dalam masa 10 hari di sana (biarpun pertunjukan bukan diadakan setiap hari) saya gunakan peluang yang ada untuk melihat tempat orang itu dan ini. Namun dalam masa sama, saya struggle untuk meneruskan kehidupan sepanjang berada di sana. Sukar dan mencabar kerana saya seorang diri, tiada sesiapa yang membantu.

 

Walau macam mana susah sekalipun saya perlu tempuh. Ditambah pula dengan kadar pertukaran mata wang asing (ketika itu, nilai RM1 menyamai dengan 7 pound sterling) saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 150 pound seminggu.

 

Hinggakan jika mahu makan pun takut- takut kerana wang yang ada tidak sebanyak mana. Selama dua minggu saya tinggal di B&B. Makan sahaja apa yang ada dan sebelum keluar saya pastikan perut sudah kenyang kerana saya perlu bijak menguruskan segalanya.

 

Kira-kira sebulan di sana, ditakdirkan Allah saya berjumpa dengan seorang rakan yang juga bekas model Malaysia yang sudah berhijrah ke sana. Usai berbual itu dan ini dia bertanya sama ada saya mahu bekerja atau tidak kerana model- model di sana, mereka hanya bekerja ketika musim dan Minggu Fesyen tertentu sahaja. Tidak seperti di sini, ada sahaja Minggu Fesyen, pertunjukan itu dan ini.

 

Maka saya bekerja di sebuah syarikat di mana rakan saya bekerja. Syukur alhamdulillah kerana segalanya dipermudahkan. Saya memperoleh permit bekerja (visa) selama lima tahun di London dan semuanya menggunakan hasil wang simpanan saya.

 

Berbekalkan bantuan rakan, jalan saya dipermudahkan. Dan dalam tempoh itu, saya bekerja dan melakukan modelling dalam masa yang sama. Pelbagai kerja saya lakukan dan pekerjaan terakhir yang saya lakukan adalah bekerja di kedutaan Malaysia.

 

Pengalaman bekerja di pejabat, mempelajari selok-belok protokol dan dalam masa sama berkhidmat untuk kerajaan saya sifatkan sebagai guru terbaik sepanjang lima tahun menetap di London. Banyak yang saya pelajari.

 

Setiap hari saya bersemangat untuk bangun pagi dan pergi bekerja. Dan saya biasakan diri tiba lebih awal di pejabat. Perasaan teruja, seronok dengan persekitaran juga suasana bekerja membuatkan saya berkobar-kobar kerana sebelum ini saya tidak pernah bekerja di pejabat dan lebih bangga apabila saya bekerja untuk negara sendiri.

 

Malah lebih terharu apabila Datuk Aziz (duta Malaysia di London ketika itu) memperkenalkan saya kepada kakitangan kedutaan saya sebagai anaknya kerana kebetulan nama bapa saya Aziz, serupa dengan namanya.

 

 

 

 

 

 

Berbekalkan 26 tahun pengalaman sebagai model profesional yang pernah bekerja dengan barisan pereka fesyen, jenama lokal dan antarabangsa; apakah perbezaan yang dapat dikenal pasti?

Pada saya, industri peragaan dan cara kerja di sini lebih tersusun berbanding luar negara. Misalnya daripada segi Minggu Fesyen, umpamanya pertunjukan biasa sahaja. Namun ada satu cerita mengenai pengalaman saya melakukan Minggu Fesyen di Karachi, Pakistan.

 

Kita sudah terbiasa dengan cara kerja yang sistematik dan apabila tiba di sana, mereka hanya menulis senarai nama model dan menunjukkan turutan yang perlu dilakukan.

 

Terdetik dalam hati saya, di Malaysia sudah lama mempraktikkan cara tersebut malah lebih tersusun semuanya. Namun saya fikir, itu tidak berlaku di semua negara. Mungkin sesetengah daripadanya sahaja. Tetapi bayarannya lumayan.

 

 

 

 

 

Tidak ramai model yang memilih jalan penghijrahan dan tampil dengan imej berhijab. Ceritakan bagaimana, apakah turning point yang menjentik hati Anita dan bilakah ia berlaku?

Sebenarnya apabila berada di luar negara, segalanya berbalik kepada pegangan yang ada dalam diri sendiri. Kata orang sama ada anda culture shock atau berubah menjadi lebih baik. Dan pada saya, syukur alhamdulillah saya berubah ke arah kebaikan. Perkara yang saya lakukan di sini, saya tidak ulanginya di sana.

 

Mungkin kerana saya seorang diri, tiada sesiapa untuk saya bergantung harap atau meminta itu dan ini, maka saya perlu jaga diri sendiri. Apabila tiba bulan puasa, saya fokus berpuasa.

 

Tetapi ada juga rakan-rakan berkata, “Beb, kau nak puasa buat apa? You are here beb.” Namun saya membidas, “You are here then you tinggalkan Tuhan you? You sampai sini so Tuhan you tiada di sini? It’s up to you. Apa yang you all nak buat, buat. But do not force me not to do.”

 

Dan segalanya bermula apabila saya bekerja di kedutaan kerana kebanyakannya adalah orang kita. Dalam masa sama, saya berkenalan dengan seorang lelaki bernama Bobbi.

 

Dia dilahirkan di Malaysia dan dibesarkan di London. Tetapi menariknya mengenai keperibadian Bobbi, biarpun dibesarkan di London namun pegangan agamanya kekal utuh.

 

Apatah lagi apabila dijadikan cerita suatu hari kami dan beberapa rakan mahu keluar. Tetapi memandangkan sudah masuk waktu solat, dia singgah sebentar ke rumah saya untuk bersolat. Saat dia bertanyakan di mana arah kiblat, saya tidak mampu menjawab kerana tidak tahu. Allahuakbar, sukar saya gambarkan perasaan ketika itu.

 

Malunya hanya Allah sahaja yang tahu. Dan tiba-tiba perasaan itu hadir lantas terdetik hati untuk berubah menjadi seorang hamba yang lebih baik. Kami berkawan baik dan sejak itu dialah yang banyak mengajar saya mengenai serba sedikit perihal agama.

 

Dia seorang lelaki tipikal Melayu, berwajah Melayu tetapi tidak boleh bertutur Bahasa Melayu dengan fasih. Tetapi jika kami berada di luar dan masuk waktu solat, dia akan berhenti dan solat.

 

Di mana jua, misalnya di tepi-tepi jalan sekalipun dia akan berhenti dan solat. Itu satu perkara yang membuatkan saya mengaguminya kerana saya tidak pernah lihat di negara kita. Sekali gus membuatkan saya berasa segan dengannya.

 

Pada 2006 saya pulang semula ke Kuala Lumpur, atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat saya kongsikan. Dan saya sudah berubah hampir keseluruhannya. Saya tidak lagi melakukan perkara yang lazimnya saya buat. Sehinggakan kakak saya hairan dan takut melihat perubahan saya.

 

Misalnya saya tidak lagi keluar bersosial, berjumpa kawan- kawan dan lebih suka memerap di rumah. Kebetulan ketika itu bulan puasa, setiap hari saya bangun awal pagi, kejutkan semua orang dan siapkan juadah bersahur. Saya tinggal bersama ibu dan kakak dan hampir setiap waktu saya isi dengan memasak juadah berbuka puasa dan membuat kuih raya.

 

Solat juga saya tidak pernah tinggal. Semua itu tidak pernah saya buat sebelum ini. Dan saya bersyukur kerana ia berlaku tanpa dipaksa-paksa, bukan kerana seseorang atau bukan sempena apa-apa peristiwa. Semuanya atas kerelaan hati sendiri dan secara tiba-tiba.

 

Niat untuk berhijab pula sebenarnya sudah lama tertanam dalam hati. Tetapi memikirkan karier saya sebagai model, takkanlah pula saya perlu membuka hijab ketika menerima undangan fashion show bukan? Maka saya putuskan untuk mencari waktu yang sesuai dan baik.

 

Dan masa yang sesuai untuk berhijab sepenuhnya adalah ketika berkahwin. Dalam masa sama, saya sudah memasang niat untuk bersara daripada dunia peragaan usai berkahwin. Pada saya enough is enough. I’ve been there, done that. Tiada apa lagi yang mahu saya kejarkan.

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula terbuka pintu hati untuk berkahwin biarpun sudah agak berusia ketika itu?

Dengan izin Allah saya bertemu dengan suami sekitar September 2012. Pada awalnya kami saling tidak mengenali antara satu sama lain malah detik perkenalan kami adalah melalui rakan. berkawan, mengenali hati budi masing-masing lantas kami mengikat tali perkahwinan pada Disember tahun yang sama.

 

Dan seminggu sebelum berkahwin saya mula menyarung hijab. Pada mulanya suami tertanya-tanya mengapa saya mahu memakai tudung sebelum berkahwin kerana dia tidak kisah jika saya tidak bertudung melainkan selepas kami bernikah.

 

Tetapi saya mahu rasai bagaimana perasaannya jika memakai hijab. Malah saya tidak mahu memakainya terlalu mendadak. Dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

 

 

 

 

Perasaan tatkala menyarungkan hijab — kekok, janggal, panas atau lebih tenang?

Syukur kerana saya tidak pernah merasai semua itu. Saya rasa lebih bebas, tenang dan sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Walaupun jika mahu dibandingkan dengan apa yang saya pakai dahulu dengan pakaian seperti hari ini – semuanya panjang, labuh dan bertutup. Alhamdulillah dipermudahkan-Nya malah tidak pernah sekalipun saya rimas atau merasa panas.

 

Jika dahulu selagi tidak ketat, singkat dan sebagainya selagi itulah saya bisa menyarung apa jua pakaian. Namun pada 2013, sewaktu memenuhi undangan sesi fotogra sebuah majalah, mereka memberikan pakaian daripada material lycra yang menampakkan liuk lentuk tubuh saya.

 

Entah mengapa saya tidak mampu menyarungnya apatah lagi memakainya dan melangkah ke set penggambaran. Itulah kali pertama saya berasa malu untuk menyarung pakaian sedemikian biarpun ia labuh dan menutup aurat. Pada saya semuanya berbalik kepada niat. Jika niat kita ikhlas pasti Allah permudahkan.

 

 

 

 

 

Apakah perkara yang cuba Anita tampung, perbaiki atau sempurnakan selepas berhijab?

Saya mula menghadiri kelas-kelas agama dan mengaji malah sebelum ini saya pernah pergi ke kelas-kelas tersebut tetapi tidak istiqamah dalam pelaksanaannya. Tetapi semenjak selepas berkahwin saya lebih aktif dan konsisten menghadiri beberapa kelas.

 

Misalnya kelas tafsir, belajar mengaji di Al-Baghdadi dan syukur alhamdulillah saya sudah talaqi. Semuanya kerana izin Allah, berkat istiqamah dan doa.

 

 

 

 

Bagaimana Anita sesuaikan diri dengan transisi gaya hidup hari ini berbanding dahulu, jika boleh kongsikan bagaimana perasaannya?

Alhamdulillah, syukur. Sukar untuk saya gambarkan kerana biarpun terlambat untuk berhijrah tetapi hidayah kan milik Allah? Kita cuma jangan berhenti meminta pada-Nya (mulai sebak lantas mengalirkan air mata keinsafan).

 

Dahulunya kehidupan saya lain, jahil.Saya sering berdoa, seboleh mungkin janganlah Allah memalingkan saya pada kehidupan lalu. Saya tidak mahu melaluinya lagi jauh sekali bergelumang dengannya. Saya takut memikirkannya.

 

 

 

 

 

 

 

Pernah menyesal dengan kehidupan lalu?

Jika mahu menyesal sekalipun, perkara sudah berlaku. Apa yang penting adalah masa sekarang. Yang lepas biarlah ia berlalu dalam lipatan sejarah kehidupan saya. Namun yang penting sematkan dalam hati,niat untuk kekal seperti ini selama- lamanya. Dan untuk itu, perlu sering berdoa, memohon keampunan dan titipkan juga agar tidak mengulangi kesilapan lalu.

 

Saya sering berdoa agar Allah tetapkan hati, kuatkan hati dan iman saya, jangan balikkan hati saya. Biarlah dalam ketetapan ini dan sentiasa dekat juga ingat kepada- Nya. Saya memohon agar jangan biar sesaat sekalipun saya melupakan-Nya. Setiap hari saya berdoa dan minta kepada-Nya kerana terlalu takut.

 

Apabila kita melihat orang jahat terlalu mudah sekali kita menjatuh hukum. Kita tidak tahu mungkin orang yang kita anggap jahat itu seandainya Allah berikan hidayah kepadanya, barangkali dia lebih baik dan mulia daripada kita. Memandangkan kini sudah berhijab, saya tidak mahu menuding jari atau menjatuh hukum kepada sesiapa yang masih belum menemui jalan ini.

 

Saya pernah melalui semua itu dan berpeganglah kepada kenyataan bahawasanya hidayah itu milik Allah. Insya-Allah, niat, ikhlaskan diri dan berdoa kerana jika punya niat ke arah kebaikan pasti dipermudahkan. Saya percaya kepada kuasa doa kerana sudah lama saya amalkan jika berkehendakkan sesuatu, berdoalah kepada-Nya.

 

Dan masa sahaja yang menjadi soal. Mungkin Allah makbulkan permintaan kita melalui pemberian rezeki dan datangnya daripada pelbagai cabang. Maka dengan itu, perlu sentiasa bersyukur.

 

Jika dahulu sewaktu aktif dalam dunia peragaan, hidup saya mewah. Tetapi duit yang masuk, pergi begitu sahaja. Tahu-tahu sudah habis. Dan selepas berhenti daripada dunia peragaan (setelah berkahwin dan berhijab) saya tidak lagi memiliki pendapatan sendiri.

 

Semuanya bergantung kepada suami. Kebetulan kakak ipar saya mempunyai kafe di Mahkamah Syariah (Jalan Duta) dan jika sibuk dengan urusan lain, dia akan meminta pertolongan saya untuk membantu di kaunter jualan sebagai cashier. Dari pagi hingga petang, saya duduk sahaja dan kakak ipar memberi RM50. Tetapi nikmat dan berkatnya (sambil mengalirkan air mata) saya berasa cukup bersyukur.

 

Saya tidak pernah ada perasaan itu dalam hati sebelum ini. Sedangkan dahulu, berganda-ganda daripada RM50 saya peroleh tetapi tidak pernah merasai berkatnya seperti ini. Allahuakbar, besarnya nikmat-Mu Ya Allah.

 

Dahulu mungkin bersyukur tetapi kita tidak tahu apakah jalan yang terbaik menterjemahkan perasaan syukur itu. Mungkin syukur di mulut tetapi tidak dalam hati dan perbuatan. Tetapi selepas penghijrahan ini, saya lebih menghargai setiap sesuatu yang diberikan kepada saya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejauh mana dengan menghadiri kelas-kelas agama dan majlis ilmu membantu meningkatkan istiqamah Anita dalam penghijrahan ini?

Apabila mendengar kisah-kisah tauladan, pelbagai cerita itu dan ini membuatkan hati takut dan beristighfar. Dari situ, membuatkan saya mahu terus mendekatnya diri dengan-Nya.

 

Alhamdulillah syukur Allah beri kesempatan untuk saya berhijrah biarpun terlewat tetapi perlu kuat. Pada saya kelas umpama input dan lebih daripada itu kita perlu kuat dan berdoa kepada Allah. Merintihlah kepada-Nya agar jangan melalaikan hati kita.

 

 

 

Apa perasaan Anita apabila melihat kembali foto-foto lama?


Allahuakbar... Sekarang, ada juga yang mengenali dan tidak kurang juga ada yang tidak perasan dengan imej saya hari ini. Misalnya ada yang bertanya, “Eh, I macam kenal you. You Anita Aziz kan?” Dengan pantas saya memintas, “Tak, you tak kenal I. Itu kembar I.” Seboleh mungkin saya tidak mahu orang tahu.

 

Jika ada yang mengenali sekalipun, saya tidak boleh buat apa-apa. Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu. Saya lebih selesa jika orang tidak kenal, ia lebih memudahkan perjalanan hidup saya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Apa komen Anita jika mereka yang belum berhijab mengatakan masih belum sampai seru, belum menerima hidayah, tidak bersedia dan sebagainya?


Tanya kepada diri anda terlebih dahulu. Selidik satu persatu dan perhalusinya. Janganlah pula anda berhijab kemudian buka semula, seolah-olah anda mempermain-mainkan agama. Ini soal komitmen anda dengan Dia.

 

Jika anda melakukan untuk-Nya, insya-Allah akan dipermudahkan. Pastikan niat anda berpaksi ke jalan yang betul.

 

 

 

 

Apa yang membuatkan Anita kuat semangat untuk terus kekal dengan imej ini?


Apabila saya melihat kembali dan terkenangkan diri saya yang dahulu. Saya tidak mahu lagi berada dalam kondisi seperti dahulu. Rasa malu yang teramat sangat, hanya Allah sahaja yang tahu. Pada saya tidak terlewat untuk saya berhijab.

 

Alhamdulillah walaupun lambat, namun Allah beri juga hidayah kepada saya. Saya maklum dan tahu mengenai kehidupan masa lalu, apa yang sudah berlaku. Dan Allah beri peluang untuk saya dekatkan diri kepada-Nya.

 

Ini masa untuk saya tebus kembali segala kekhilafan saya yang jahil ketika itu. Apa jua pekerjaan yang menjurus pahala, itulah yang akan saya kejar.

 

 

 

 

 

 

 

Rezeki dan hikmah selepas berhijab?

Alhamdulillah rezeki sentiasa ada dan paling penting saya sering kirkan jika saya berada dalam kesusahan, masih ramai lagi atau ada orang yang lebih susah daripada saya. Sekurang-kurangnya saya tidur lena beralaskan tilam yang empuk.

 

Bagaimana dengan mereka yang benar-benar dalam kesusahan, hidup mereka pasti lebih sukar berbanding saya. Justeru, saya bersyukur dengan segala rezeki dan pemberian-Nya.

 

Siapalah saya untuk merungut atau tidak mensyukuri nikmat-Nya berbanding dengan orang lain yang terpaksa berjuang untuk hidup bukan? Biarpun sempit dan sukar, mereka masih lagi mampu untuk meneruskan hidup. Justeru, bersyukur dengan apa yang ada.

 

 

 

 

Pemikiran Anita terhadap mereka yang masih belum berhijab dan menemui hidayah seperti yang Anita rasai kini? Adakah Anita merasakan ia satu tanggungjawab untuk turut sama membantu dan mendorong mereka menemui jalan yang Anita lalui kini?

Sudah tentu. Saya melihat mereka umpamanya saya melihat diri sendiri ketika dahulu. Tetapi pendekatannya harus cermat, halus dan berhemah. Saya suka duduk dan bercakap (one-to-one) dengan baik kerana pada saya itu lebih berkesan. Semuanya dilakukan mengikut kemampuan saya. Selebihnya secara kiasan sedikit demi sedikit.

 

 

 

 

 

Rutin harian kini, banyak berubah berbanding dahulu?

Selain sibuk menguruskan rumahtangga, menjaga makan dan pakai suami; saya sibukkan diri sendiri dengan menyertai program kecergasan, bersenam sana-sini.

 

Jenama Budi Iman Couture, label fesyen adalah rekaan dan sentuhan suami saya. Buat masa ini, produk kami lebih memfokuskan kepada fesyen busana lelaki. Mungkin insya-Allah akan kami kirkan untuk tampil dengan rangkaian lain pula.

 

 

 

 

Siapa yang banyak memberi dorongan sepanjang kemunculan imej Anita yang baru?

Sudah tentu suami saya. Dia umpama guru kerana sering memberi dorongan dalam apa jua yang dilakukan. Selain suami, adik-beradik dan ipar-duai banyak memberi galakan kepada saya juga rakan- rakan yang sentiasa berada di sisi.

 

 

 

 

Cabaran bergelar model berhijab, apakah limitasi yang perlu dilalui?

Jika ada fashion show misalnya, saya bertanya kepada pihak penganjur jam berapa acara bermula. Kerana jika show bermula selepas waktu solat; saya akan mengambil wudhu dan solat awal terlebih dahulu. Dan jika sudah berwudhu, saya meminta agar jurusolek lelaki memakai sarung tangan.

 

 

 

 

 

Apakah perkara yang dahulunya tidak pernah dilakukan tetapi kini tidak boleh ditinggalkan?

Solat kerana jika tidak solat rasa bersalah sangat. Dan selepas bersolat, rasa syukur dan lega kerana sudah menunaikan salah satu kewajipan-Nya. Selagi tidak solat tidak senang hati rasanya.

 

Lain benar rasanya kerana dahulu tidak pernah solat. Dan tidak pernah sekalipun memikirkannya, langgar sahaja semua waktu solat. Solat pun apabila rasa mahu bersolat atau apabila berasa sedih dan kecewa umpamanya.

 

 

 

 

Komen Anita mengenai fesyen hijab hari ini?

Sejujurnya, saya agak kecewa dan sedih kerana tidak semuanya seiring dengan apa yang sewajarnya berlaku. Soal penghijrahan misalnya, ramai yang telah berubah dan merasai proses penghijrahan itu lantas memilih untuk berhijab, alhamdulillah. Tetapi tidak tahu niat mereka ke mana.

 

Sebabnya banyak yang salah pada penglihatan saya. Mungkin elemen fesyen lebih mendominasi umpamanya memakai tudung tetapi masih menampakkan dada, baju yang ketatdan sebagainya.Bukan itu yang sepatutnya ditonjolkan. Tetapi takut pula jika fesyen hijab sudah tiada, apakah mereka kembali membuka hijab?

 

Dan saya seringkali bertanya kepada rakan-rakan, apakah niat mereka berhijab? Kerana pada saya, jika niat tidak betul, maka terpesonglah jalannya. Sedih rasanya apabila melihat mereka sudah berhijrah dan berhijab namun tidak lama kemudian membuka hijab pula. Soal berhijab adalah komitmen kita dengan Allah.

 

Justeru itu anda harus fahami dan bersungguh-sungguh melakukannya. Namun terdetik pula, siapalah saya untuk berdakwah dalam soal ini. Mungkin tanggapan mereka, “Ah, engkau pun baru sehari dua bertudung. Diri sendiri pun belum cukup ilmu sudah pandai nak berdakwah dengan orang.” Tetapi saya tegur berpada-pada sahaja.  

 

Kadang- kala saya lebih suka muat naik status di laman sosial dengan kapsyen atau pengisian kerohanian. Ia adalah peringatan untuk diri saya sendiri dan bukannya ditujukan kepada sesiapa. Kerana maklum sebagai manusia biasa, hati kita sentiasa bergelora dan iman kita pasti diuji. Ada pasang dan surutnya. Justeru perlu sentiasa muhasabah diri.

 

 

 

 

 

Wanita berhijab yang dikagumi Anita juga yang memberi inspirasi sepanjang penghijrahan ini?

Suhara, saya mengagumi keperibadiannya kerana kami sudah lama mengenali diri masing-masing. Daripada segi penghijrahan, biarpun dia terlebih dahulu mengecap hidayah-Nya, tetapi saya tetap mengaguminya.

 

Selepas saya berhijab dahulu, dia berjumpa saya dan berkata, “Aku bangga dengan kau sebab kau sudah pakai full tapi aku belum boleh lagi.” Walaupun begitu, dia banyak membantu saya daripada pelbagai segi.

 

Dia sering mengingatkan kepada saya tentang apa yang telah kami lakukan dahulu dan ini masanya untuk kami sama-sama memperbaikinya.

 

 

 

 

Nasihat buat pembaca InTrend yang berjinak- jinak menggayakan hijab?


Tepuk dada dan tanya diri sendiri. Dan jika sudah berhijab, kekalkan istiqamah dalam soal ini. Pastikan niat dan keikhlasan seiring dalam apa jua yang dilakukan.

 

Jika ikhlas, insya-Allah segalanya akan dipermudahkan. Tekuni dan dalami ilmu agama buat bekalan. Kerana dalam soal agama, anda perlu menuntut ilmu dan berguru agar tidak timbul kekeliruan yang membuatkan kiran anda celaru.

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Allahu! Tulang Pinggul BAYI ITU Hancur, Sehancur Hati Si Ayah Bila Selimut Terselak” — Wanita Ini Kongsi Kisah Rakyat Syria

  • Seterus →

    Hijrah Lahir Dari Dalam Diri, Bukannya Pada Hijab —Model Ini Dahulunya ALPA, Kini Mahu Bergelar Muslim Sejati