Jun 30, 2018 - 35414

“Kau Jual Tudung?! Boleh Hidup Ke?” — Dulu Kena Kecam, Kini Pengasas Tudung People Untung Ratus Ribu

Tudung People jenama hijab tidak asing lagi, setiap koleksi dihasilkan mempunyai kisahnya tersendiri. Bagaimana jenama ini menjadi rebutan wanita hijabi, anda perlu baca ini…

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

MELALUI pelbagai jatuh bangun, ia tidak mematahkan semangat Fazrena Abdul Aziz, pengasas Tudung People untuk terus yakin kepada kebolehan jenama ini. Melangkaui apa yang dihasilkan selama ini, baginya menjual tudung juga adalah sebahagian saham akhirat dan dakwah dalam pendekatan yang tersendiri.

 

Ia jua antara buah fikiran yang mampu dicakna untuk membantu semua wanita ke arah mendekati dan memahami Syariah bertudung yang digariskan dalam agama.

 

 

 

Perkenalkan diri anda dan jika tidak keberatan kongsikan siapa anda sebelum dikenali sebagai pengasas jenama tudung seperti hari ini lantas bagaimana segalanya bermula?

 Nama saya Fazrena Abdul Aziz. Dahulunya saya belajar dalam jurusan Seni bina di universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Sejujurnya saya tidak pernah terdetik jauh lagi terfikir mahu menjadi usahawan dalam perniagaan berasaskan tudung kerana saya amat meminati bidang seni reka.

 

Saya enjoy melukis dan mewarna. Dalam masa sama juga saya turut meminati bidang grafik. Malah saya lihat ada keterkaitan antara minat saya ketika itu dengan jurusan yang saya pelajari.

 

Sejak zaman persekolahan lagi, ketika di bangku sekolah menengah, saya diberi kepercayaan memegang jawatan editor dalam sidang redaksi majalah sekolah. Dan ketika itu, perisian (software) Photoshop masih baru dan saya pernah merasai pengalaman menggunakannya.

 

Ayah saya pula adalah seorang usahawan, dia memiliki syarikat perkilangan di Pulau Pinang. Biarpun saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang perniagaan, tetapi saya membesar dengan melihat sendiri bagaimana rutin ayah dalam mengharungi bidang ini.

 

Apa yang dia lakukan, bergerak dari satu tempat ke satu tempat, mesyuarat sana sini dan lain-lain. Secara tidak langsung, mungkin ia serba sedikit memberi input kepada saya untuk turut sama menceburi bidang perniagaan.

 

Saya memulakan perjalanan karier dalam bidang perniagaan berasaskan tudung sejak menuntut di UIA lagi. Apabila berada dalam kalangan rakan-rakan yang mempunyai latar belakang artistik, ia banyak membantu untuk saya memulakan perniagaan ini.

 

Model pertama saya adalah rakan begitu juga dengan jurufoto – semuanya terdiri daripada rakan-rakan.

 

Saya dapatkan bantuan mereka kerana saya percaya, sesiapa yang mempunyai latar belakang atau punya sentuhan seni pasti mampu menghasilkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. bukan bermaksud saya memanipulasikan kebolehan rakan-rakan tetapi mereka juga turut sama membantu untuk saya memulakan langkah pertama dalam perniagaan ini.

 

Tetapi untuk mengedit gambar, saya melakukannya sendiri kerana turut mempunyai kemahiran dalam skop ini.

 

Walaupun bidang seni reka secara umumnya tidak mempunyai kaitan dengan dunia perniagaan tetapi ia mempunyai banyak persamaan dalam soal fesyen.

 

Saya dan rakan-rakan ketika itu memahami apa yang mahu dilihat oleh orang ramai, mengapa menjadi keperluan untuk melakukan sesi fotografi untuk sesebuah kempen dan sebagainya.

 

Sewaktu itu terdapat jurang yang luas apabila orang menyebut jenama online. Misalnya boleh merakam foto berlatar belakangkan dinding, atas katil dan seumpama dengannya. Tetapi saya dan rakan-rakan ketika itu mengambil inisiatif yang serius dalam soal ini.

 

Kami melakukan sesi fotografi yang proper di studio, mengaplikasi teknik penataan gaya dan lain-lain. Elemen seperti inilah yang memberikan kelebihan ketika detik awal saya mula membina nama Tudung People.

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan soal rekaan tudung, Fazrena sendiri yang merekanya atau bagaimana?

Pada peringkat permulaan saya reka sendiri tetapi selepas perniagaan mula dikenali, saya beri kepercayaan kepada staf untuk menyempurnakannya kerana saya banyak melibatkan diri dalam bidang pentadbiran.

 

Tetapi secara keseluruhannya, saya menyelia semua bahagian. Sini sikit, sana sikit, semua benda saya akan buat.

 

 

 

 

 

 

Mengapa tudung dan tidak cabang lain sebagai fokus utama dalam perniagaan?

Ketika menuntut di UIA dahulu, terdapat banyak kedai yang menjual tudung. Tetapi materialnya tidak sesuai dengan iklim dan cuaca negaraa kita yang panas.

 

Bayangkan, material yang tebal dan terlalu lebar kurang sesuai dengan susuk tubuh orang kita yang kecil. Dan yang ada pun cuma pashmina sahaja.

 

Dalam masa sama, jika kita tercari-cari tudung, pasti destinasi yang dituju adalah Jalan Tuanku Abdul rahman. Tetapi tudung- tudung yang berada di pasaran ketika itu (2011) hampir semuanya hadir dalam saiz yang kecil.

 

Saya fikir mengapa tidak saya cipta tudung yang terdiri daripada pelbagai saiz misalnya mempunyai variasi daripada segi bidang kain?

 

Lantas saya tampil dengan koleksi pertama Tudung People, numa. ia adalah koleksi yang mempunyai saiz dalam fesyen tudung. Kemudian ia menjadi ikutan jenama-jenama lain untuk tampil dengan kaedah yang sama.

 

Ketika itu juga fesyen tudung rancak dengan trend color blocking. Dan kami pastikan biarpun boleh digayakan dengan pelbagai stail, tetapi masih menepati Syariah misalnya tudung yang labuh. Malah pendekatan tutorial sudah diaplikasi ketika itu.

 

Saya mula war-warkan jenama Tudung People menerusi Facebook. Selepas koleksi foto tudung dimuat naik di dalam album dan orang ramai mula menyedari kehadiran jenama tudung ini; mereka akan memesan menerusi e-mel.

 

Saya masih ingat lagi ketika awal melakukannya, saya sendiri yang membungkus tudung dan sembur minyak wangi DKNY pada helaian skaf.

 

Pesanan yang diterima walaupun sedikit tetapi masih ada, sekitar dua ke tiga helai sehari. Tetapi selepas mula menerima pesanan yang semakin hari semakin banyak, tak sanggup lagi nak sembur minyak wangi (hahaha).

 

 

 

 

 

 

 

Lantas apa yang membuatkan Fazrena yakin untuk serius sekali gus membuka perniagaan berasaskan tudung dan bagaimana nama Tudung People tercetus?

Sekitar tahun 2011, pada saya ia terkenal dengan tahun yang mengetengahkan elemen hipster. Kumpulan muzik underground seperti Hujan mula melonjak naik, Yuna mula dikenali dan sebagainya.

 

Dan sekitar tahun yang sama juga, orang ramai mula menggunakan perkataan arabisasi dalam pertuturan harian seperti hijab. Nama Hana Tajima mula menjadi sebutan kerana pada firasat umum dia seorang hijabster.

 

Tetapi saya tidak mahu menggunakan perkataan hijab kerana mahu mencari perkataan yang lebih cool. Lantas saya terfikir mengapa tidak saya tukarkan hijab dengan tudung.

 

Dan kemudian tercari-cari apa perkataan yang sesuai dipadankan dengan tudung jika bukan people yakni orang yang memakai tudung.

 

Maka tercetuslah ilham Tudung People berserta tagline making tudung for the people by the people. Dan saya aktif menggunakan tagline itu tetapi tidak pada hari ini, rasa macam segan pula (ketawa)


Saya bukanlah mahu berlaku bias terhadap mereka yang tidak bertudung. Tetapi saya percaya, hanya yang memakai tudung sahaja akan memahami apa yang diperlukan oleh kelompok ini. Justeru, semua kakitangan Tudung People terdiri daripada mereka yang memakai tudung.

 

Saya mahu memberi mesej terutamanya kumpulan pereka Tudung People agar mereka dapat mengetahui bagaimana rasanya apabila memakai tudung.

 

Maka dengan itu saya terapkan kepada pelanggan bagaimana mahu tampil bergaya dan dalam masa sama masih menepati Syariah misalnya memakai helaian tudung yang labuh.

 

 

 

 

 

 

 

Soal perniagaan adalah sesuatu yang serius bukan? Justeru pada mulanya tidakkah Fazrena berasa gentar, ragu-ragu untuk decide menceburi bidang ini?

Tudung People bermula di Pulau Pinang. Ketika itu saya masih menjadi tanggungan kedua- ibu bapa. Makanya soal makan minum tak perlu dihiraukan, semuanya serba-serbi cukup. Tetapi pada mulanya ayah saya menentang keputusan saya untuk menceburi perniagaan tudung.

 

Katanya, “Jual tudung boleh hidup ke? apa benda jual- jual tudung ni?” tambahan pula saya menjualnya secara online.

 

Lantas saya berpindah ke Kuala lumpur kerana pembekal semua beroperasi di sana dan dalam masa sama saya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana semata-mata untuk memuaskan hati kedua ibu bapa.

 

Saya maklumkan kepada mereka jika saya tidak bekerja dan menceburi bidang seni bina, saya akan bekerja dalam sektor korporat. Jadi, saya ambil jurusan Mba tetapi hanya bertahan pada semester pertama sahaja, hahaha...

 

Sukar untuk saya bahagikan masa bekerja kemudian perlu ulang-alik ke kelas saban hari. ia adalah rutin yang memenatkan. Saya benar-benar kagum mereka yang mampu melakukannya.

 

Saya berhenti daripada melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana tetapi saya tidak maklumkan kepada ibu bapa terlebih dahulu. Hinggalah mereka hairan dan berkata, “Takkan belajar tak grad lagi? bila konvo?” dan sebagainya. Kemudian, barulah saya berterus-terang dan menceritakan duduk perkara sebenar.

 

Sejak mula ditubuhkan, saya tidak pernah menggunakan dan membelanjakan wang keuntungan hasil jualan Tudung People. Malah ketika mula membuka perniagaan dahulu, saya juga tidak pernah mengambil skim pinjaman sebaliknya keuntungan itu terus berkembang perlahan-lahan.

 

Saya tidak meletakkan sebarang cagaran ataupun menggadaikan apa-apa sebaliknya semua urusan dikendalikan menggunakan wang tunai. Daripada keuntungan yang diraih, saya rolling duit yang masuk dan keluar untuk terus menjana pendapatan.

 

Saya memulakan perniagaan ini bersama abang saya. bermodalkan RM2,500.00 alhamdulillah ia semakin berkembang hingga hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan ujian dan dugaan yang ditempuhi sejak detik mula perniagaan ini beroperasi, kongsikan?

Apabila mula mendapat permintaan dan sambutan daripada pelanggan, kami cuba mengekalkan kos serendah yang mungkin. Dan ketika itu kami menggunakan khidmat tukang jahit dan apabila tukang jahit itu tidak dapat menampung permintaan yang tinggi kami mendapatkan khidmat tukang jahit yang lain juga.

 

Apabila menggunakan khidmat tukang jahit, anda sebenarnya perlu mengawal mereka dan ia sebenarnya memakan kos yang tinggi.

 

Kebetulan kami berjuma dengan syarikat pengeluar yang kononnya profesional tetapi apabila bekerja, mereka tidak membuktikan profesionalisme yang sebenar. Sekali lagi kami terpaksa menanggung kerugian kerana kos yang tinggi.

 

Selain itu, kami hilang kepercayaan pelanggan kerana material dan fabrik yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Produk kami umpamanya sudah hilang kualitinya.

 

Beberapa tahun lalu kami membuka production house sendiri tetapi sukar untuk kendalikannya kerana faktor kos. Pada saya, “Kalau susah sangat dengan tukang jahit ni, apa kata kita hire tukang jahit kita sendiri?” namun malangnya ia bukanlah idea dan solusi yang bijak.

 

Hal ini kerana sukar untuk saya kawal dan memberi arahan kepada kakitangan yang bukannya terdiri daripada kalangan orang kita. Dari situlah saya mula sedar bahawasanya orang kita ini lemah-lembut, tidak degil, boleh bertolak-ansur dan sebagainya.

 

Namun sebagai pengasas, saya dan kakitangan lain belajar daripada kesalahan kami dan cuba perbaikinya. Pengajaran paling mudah yang saya kutip adalah tidak terlalu percayakan orang dengan sebegitu mudah.

 

ebetulan kami turut berhadapan dengan masalah apabila terlalu banyak jenama tudung yang tumbuh bagaikan cendawan. ia berlaku sekitar 2015.

 

Lantas saya putuskan untuk revamp semula Tudung People pada 2016 dan daripada situlah saya olah semula daripada titik kerugian menjadi keuntungan. Bukan mudah sebenarnya apatah lagi banyak perkara yang harus dilakukan untuk meraih semula kepercayaan pelanggan.

 

Alhamdulillah Tudung People mulai meraih semula kepercayaan pelanggan pada 2017. Pada saya cabaran lain termasuk isu tiru-meniru. Ia agak mengguris rasa kerana saya dapati ada yang meniru rekaan kami dan menjual koleksi Tudung People inspired.

 

Di Vietnam sudah mula menjual Tudung People inspired walaupun saya tidak mempunyai pembekal atau syarikat pengeluar di sana. Ini adalah cabaran baru kepada jenama-jenama tudung yang berada dalam pasaran apabila ada yang meniru terang- terangan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Siapa guru Fazrena dalam selok-belok perniagaan?

Saya menghadiri banyak kelas, kursus jangka pendek dan belajar semula tentang selok- belok perniagaan. Misalnya saya dalami apakah kekurangan Tudung People, adakah daripada aspek pengurusan, pengenalan jenama ini dan lain-lain.

 

Saya berjumpa dengan ramai orang malah Fashion Valet banyak membantu dalam soal ini. Misalnya jika ada isu berbangkit, saya tidak malu bertanya dan mendapatkan bantuan Vivy Yusof untuk sama-sama mencari solusi.

 

Dalam masa sama, saya bertukar pandangan dan idea sesama rakan peniaga yang lain untuk mencari rentak apa yang bagus untuk diaplikasi dan sebaliknya. Umpamanya kaedah trial and error itu masih lagi diadaptasi dan mana yang berkesan akan dipraktikkan.

 

Secara tidak langsung, kami telah mencipta komuniti bisnes yang positif untuk berkongsi apa yang bermanfaat dan berguna untuk direalisasikan.

 

 

 

 

 

 

Signature dan kekuatan Tudung People terletak kepada elemen apa sebenarnya?

Kekuatan Tudung People berlandaskan kepada elemen keselesaan dan praktikaliti. Kami sentiasa menekankan aspek mesra Syariah dan apabila berbicara mengenai soal ini, ia sebenarnya mencerminkan mereka yang menutupi aurat sepenuhnya.

 

Dan apabila ia berkisarkan untuk menutupi keseluruhan, anda sebenarnya perlu mencari elemen yang betul agar ia selesa dipakai. Maka dengan itu keselesaan menjadi tunjang utama DnA Tudung People dalam setiap koleksi.

 

Kedua ialah praktikaliti kerana mengapa saya memulakan perniagaan Tudung People? Saya tidak mahu cipta atau mereka tudung untuk kumpulan wanita yang bertudung sahaja tetapi saya memperkenalkannya untuk membuatkan orang mahu memakai tudung.

 

Misalnya apabila melihat rekaan Tudung People, seolah-olah ada bisikan yang mendorong mereka untuk bertudung.

 

Dan pada saya Tudung People bukan sekadar perniagaan semata-mata tetapi juga saham akhirat untuk saya dan kakitangan saya. Saya bukanlah mahu menidakkan sesiapa yang mengenakan tudung singkat itu salah.

 

Itu terpulang kepada hala tuju dan pendekatan masing-masing kerana setiap jenama itu mempunyai cara tersendiri untuk mendidik pelanggan. Tetapi cara kami adalah anda boleh kelihatan fashionable dengan mengenakan tudung yang mesra Syariah, tetap selesa dan kelihatan cantik.

 

Mengenai signature Tudung People pula, kami mempunyai plain shawl yang terdiri daripada lebih 10 jenis material fabrik. Kami memperkenalkan pelbagai jenis material untuk memberi pilihan kepada pelanggan untuk apa jua acara.

 

Misalnya satin silk dan silk, variasi tudung nipis seperti sifon, cotton sifon dan pelbagai lagi semuanya ada. Malah kami menawarkan koleksi juga untuk mereka yang baru berjinak-jinak memakai tudung.

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan koleksi tudung yang paling hit dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan?

Setakat ini mereka menggilai shawl print bermotif bunga-bungaan. Alhamdulillah ia laris dijual biarpun ada sesetengahnya hadir dalam edisi terhad. Kedua adalah koleksi sports hijab yang kami tampilkan dalam dua koleksi iaitu instant dan shawl.

 

Kami hasilkan tudung yang mempunyai efek cooling malah materialnya istimewa kerana ia mempunyai lubang.

 

Menariknya, jika dituang air panas ke atasnya kemudian dikibas dalam beberapa saat tudung itu akan menjadi sejuk. itu antara elemen teknologi disebalik penghasilan koleksi sports hijab.

 

Kami mula mengeluarkan koleksi ini pada 2016 dan ia sudahpun lama terjual. untuk koleksi seterusnya akan dikeluarkan pada bulan Jun.

 

Koleksi ini diilhamkan sebagai salah satu alternatif untuk wanita bertudung menjalani gaya hidup sihat. Apa jua jenis sukan yang anda lakukan, aspek keselesaan masih dititikberatkan dalam soal pemakaian tudung.

 

Kerana pada hemat saya, tidak banyak jenama di pasaran yang menampilkan koleksi tudung untuk cater skop ini. Dan ia bukan lagi alasan untuk anda bermalas-malasan ketika bersenam misalnya, kerana sudah ada koleksi tudung yang akan memastikan anda enjoy melakukan apa jua aktviti kecergasan.

 

 

 

 

 

 

Pada pandangan Fazrena, sejauh mana jumlah pengikut Tudung People di Instagram memberi efek dan membantu daripada segi jualan tudung yang dikeluarkan?

Pada saya angka tersebut tidak akan refleks terhadap kuantiti yang terjual. Kerana pengikut di instagram terdiri daripada pelbagai kategori. Ada yang mengikutinya kerana suka melihat koleksi tudung tetapi tidak membeli, ada yang mengikutinya sekadar meminati insta famous untuk sesebuah jenama dan banyak lagi kategori pengikut.

 

Tetapi apa yang penting adalah berapa ramai jumlah pengikut yang berkualiti anda miliki. Kerana merekalah kayu ukur bahawa anda meraih kepercayaan dan sokongan daripada mereka.

 

Pendekatan Tudung People melalui instagram adalah medium kami untuk salurkan maklumat dalam kaedah yang lebih santai, chill dan fun.

 

 

 

 

 

 

Ceritakan serba sedikit mengenai kempen ‘My Hijab My Story’ yang diperkenalkan di Instagram?

Ia adalah kempen yang kami perkenalkan bermula Aidilfitri ini. ia menampilkan lima ikon wanita berhijab yang mempunyai kisah dan memberi sumber inspirasi tersendiri. Pada saya terdapat banyak stigma bagi wanita berhijab bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

 

Isu pemakaian hijab di peringkat global misalnya, ada yang mengaitkan hijab dengan sesuatu yang kurang positif. Tidak kurang juga ada yang mengatakan memakai hijab hanya akan membuatkan anda berasa oppressed, memakai hijab ini punya limitasi terhadap perkara-perkara tertentu sahaja dan banyak lagi.

 

Dan dalam negara kita pula, pandangan mereka terhadap wanita berhijab ini adalah, jika anda berhijab bermakna mereka mengharapkan kesempurnaan pada diri anda dan lain-lain. Sebagai individu yang sememangnya menggunakan media sosial, itu antara jangkaan orang terhadap saya. bagi mereka, wanita berhijab ini lengkap serba-serbi.

 

Seolah-olah hijab itu melambangkan diri dan personaliti seseorang. Tetapi pada saya, pemakaian hijab ini adalah satu tanggungjawab. it is you that defines your hijiab.

 

Konsep ‘My Hijab My Story’ ini adalah ada sesuatu yang lebih daripada sekadar berhijab. Ada kisah di sebalik pemakai hijab ini. Kami memilih lima personaliti wanita yang terdiri daripada pelbagai bidang.

 

Antaranya seorang wanita Korea yang menganut agama islam dengan kerelaan hatinya dan bukannya kerana mahu berkahwin dengan lelaki islam. Kemudian kami tampilkan doktor yang terkenal kerana kerja amalnya membantu mangsa perperangan sanggup mengorbankan masanya demi menabur budi kepada mereka yang memerlukan.

 

Kelima-lima kisah inspirasi ini mampu mendidik masyarakat kita untuk lebih memahami penceritaan di sebaliknya, dilema wanita berhijab, pandangan umum dan sebagainya. Ada pelbagai mesej yang disampaikan bahawa memakai tudung bukanlah satu penghalang untuk anda melakukan apa jua.

 

Sekali gus kami mahu buktikan bahawa Tudung People bukan sekadar jenama yang menjual tudung tetapi besar harapan kami agar ia menjadi intipati untuk diteladani dan diikuti buat pedoman hidup kita saban hari.

 

 

 

 

 

 

 

Apa yang Fazrena mahu didik atau terapkan kepada pelanggan bahawa tudung ini bukan sekadar menutup kepala sahaja tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu?

Pada saya memakai tudung ini adalah salah satu tanggungjawab kita dengan Allah. Dan apabila menyentuh soal tanggungjawab, ia haruslah dan selayaknya difahami dengan lebih mendalam.

 

Benar ia satu tugas yang berat tetapi ada cara untuk kita tidak memperlekehkannya. Ia membantu untuk mengingatkan diri kita tentang apa yang boleh dilakukan dan sebaliknya. umpamanya ia adalah perisai yang meletakkan jurang dan garis pemisah.

 

Peradaban, akhlak, tutur bicara, pemikiran, perilaku dan sebagainya sewajarnya biarlah selari dengan apa yang diletakkan di atas kepala. Tudung itu bukan sekadar perhiasan kepala semata-mata tetapi satu bentuk wadah dan dakwah kita sebagai seorang yang beragama islam.

 

Dan memakai tudung ini sebenarnya memberi tanggapan bahawa ia adalah identiti seorang muslim. Tidak bermakna jika anda bertudung anda sudah lengkap dan sempurna, tiada cacat cela dan sebagainya. Tetapi ia membantu untuk sekurang-kurangnya memotivasikan kita ke arah yang lebih baik.

 

 

 

 

 

 

 

Harapan kepada Tudung People selepas ini?

Sudah pasti saya harap kami dapat terus meluaskan perniagaan ini. Walaupun kami perlahan-lahan berkembang tetapi masih ada lagi segelintir dalam kalangan masyarakat kita yang tidak percaya kepada kemampuan jenama muslimah ini.

 

Pada mereka, “Oh jenama muslimah ini memang untuk muslimah sahaja ke?” “Jenama muslimah ini boleh sampai ke peringkat global ke?” Malah secara tidak langsung, ia meletakkan cabang perniagaan ini agak rendah berbanding cabang perniagaan utama yang lain.

 

Maka dengan itu saya berharap dapat membantu untuk mengurangkan jurang ini. Sehinggakan ada yang berpendapat takut jika dilabelkan sebagai jenama fesyen muslimah. Sedangkan saya fikir tiada isu yang timbul. ia sewajarnya menjadi kebanggaan andai anda memegang label fesyen muslimah.

 

Saya berharap lebih ramai yang terbuka dalam soal ini supaya dapat terus memupuk sikap berdaya saing dalam kalangan usahawan di negara kita.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Saya Tegas Perihal Agama, Anak Mesti Khatam Al-Quran” — Ini Didikan DATIN SERI UMIE AIDA yang Boleh Anda Teladani

  • Seterus →

    “Ya, Saya Ibu yang Garang dan Shidi Pula Lebih Cool” — Ini Cara VANIDAH IMRAN Mendidik Anak-anaknya