Jun 26, 2018 - 6574

“Saya Tegas Perihal Agama, Anak Mesti Khatam Al-Quran” — Ini Didikan DATIN SERI UMIE AIDA yang Boleh Anda Teladani

Ramai yang tidak tahu Datin Seri Umie Aida seorang ibu yang penyayang dan tegas dalam menguruskan kehidupan anak-anaknya. Ikuti temu bual eksklusif kami bersama wanita istimewa ini.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

DATIN SERI UMIE AIDA:

Sempurna rasanya kala berjaya mendapatkan Datin Seri Umie Aida untuk berbicara mengenai isu Hari Ibu dalam naskhah ini. Selain sibuk dan aktif mempromosikan filem Dukun, apa lagi yang memenuhi agenda Datin Seri?

Alhamdulillah syukur. Jika sibuk bekerja bermakna Allah masih memberi kekuatan dan kudrat kepada saya untuk berkongsi bakat yang dianugerahkan-Nya bersama semua. Malah saya menitipkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana sambutan yang diterima menerusi Dukun amat memberangsangkan.

 

Walaupun masih dibelenggu dengan isu cetak rompak, namun masih ramai yang benar- benar menghargai karya anak seni. Saya kini memenuhi aktiviti biasa seperti sesi penggambaran untuk telefilem, sesi fotografi selain mempromosikan Dukun di seluruh negara juga di Singapura.

 

 

 

Beralih kepada topik InTrend edisi ini, iaitu sempena meraikan Hari Ibu. Jika tidak keberatan, boleh kongsikan pada ketika usia berapa Datin Seri bergelar ibu dan bagaimana naluri keibuan itu lahir dalam jiwa kala itu?

Saya bergelar ibu pada usia 20 tahun. Dan sudah semestinya ia berbeza seperti pusingan 360 darjah. Tetapi sifat dan naluri keibuan itu lahir atas rasa tanggungjawab.

 

Umpamanya tanggungjawab itu secara automatik melahirkan sifat-sifat semula jadi seorang ibu. Dan tanggungjawab itu datang dengan izin-Nya tanpa dipaksa-paksa atau atas suruhan sesiapa.

 

 

 

 

 

 

 

Daripada segi cabaran pula bagaimana? Pasti bukan mudah bergelar ibu pada usia yang sebegitu muda, lantas bagaimana Datin Seri menempuhinya ketika itu?

Sudah tentu tidak mudah dan berlainan sama sekali. Mereka adalah manusia dan bukannya kita berbicara mengenai makhluk Allah yang lain misalnya seperti kita membela kucing atau apa-apa sebagai haiwan peliharaan (ketawa).

 

Manusia yang diciptakan Allah dan dianugerahkan akal fikiran, semakin hari semakin membesar, semakin hari bijak berkata-kata dan boleh bersoal jawab itu dan ini. Justeru didikan itu harus selari dengan peredaran zaman.

 

Pada saya tidak adil jika kita samakan zaman mereka dengan apa yang pernah kita lalui berpuluh tahun lalu umpamanya.

 

 

 

 

Ketika itu Datin Seri memikul peranan sebagai ibu dan bapa. Bagaimana menyesuaikan diri dan switch on-off kedua- duanya?

Memang susah kerana saya seorang wanita bujang, tidak pernah punya pengalaman. Kerana itulah saya bertindak tegas dalam mendidik mereka. Dulunya saya seorang ibu yang garang.

 

Saya amat tegas dalam perihal solat. Dari dulu hingga hari ini saya masih lagi mengingatkan mereka, bertanya sama ada sudah solat atau belum. Memandangkan kedua-duanya lelaki, maka saya dapatkan bantuan seorang ustaz (yang telah mereka kenali sejak berusia sembilan tahun hingga hari ini) yang sudah dianggap seperti bapa angkat.

 

Alhamdulillah walaupun sudah khatam Al-Quran tetapi hingga hari ini saya masih menghantar mereka untuk mengaji. Saya amanahkan ustaz itu untuk membantu dalam mendidik mereka, apatah lagi kala meniti usia remaja dahulu.

 

 

 

 

 

 

 

 

Jika boleh kongsikan pengalaman menjaga dua anak lelaki, bagaimana cabaran dan kesukaran yang perlu ditempuhi?

Saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri. Anak yang bertanggungjawab dan menyenangkan juga adalah rezeki daripada-Nya. Mereka mendengar kata dan tidak memberikan masalah pada saya. Semuanya dengan izin Allah SWT.

 

 

 

 

Pada pandangan Datin Seri, jika dahulu tidak ramai selebriti, golongan public figure yang mengambil anak angkat. Tetapi kini ia dilihat sebagai satu trend. Boleh komen sedikit?

Terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi pada saya jika berbicara mengenai soal ini ia bukan perkara mudah. Ia adalah soal tanggungjawab. Ada yang perlu kita tanggung dan jawab di hari akhirat.

 

Soal mendidik misalnya, bukan hanya diri kita sahaja akan dipersoalkan tetapi apa yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Justeru ini bukan soal main-main, syok sendiri atau trend dan sebagainya. Jika anda sudah bersedia memikul tanggungjawab sebenar-benarnya, maka silakan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lantas apa yang membuatkan Datin Seri memilih untuk memikul tanggungjawab ini?

Semuanya dengan izin Allah. Dia yang menggerakkan hati saya, Dia yang mengatur segalanya buat saya tanpa saya meminta atau terlintas sekalipun dalam fikiran untuk berkata yang saya menginginkannya.

 

 

 

Daripada segi hala tuju dan cabang bidang yang diceburi anak-anak, adakah Datin Seri memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk memilih atau bagaimana?

Oh, tidak. Saya tidak pernah menyekat atau menghalang apa jua bidang yang ingin mereka ceburi. Cuma saya sering mengingatkan mereka agar belajar dengan rajin dan bersungguh- sungguh.

 

Oleh kerana mereka lelaki, maka secara tidak langsung sudah tergalas tanggungjawab di bahu mereka. Mereka bakal menjadi ketua keluarga dan mencorak sendiri ke mana mereka akan pergi.

 

Mereka harus bijak membuat keputusan, berfikir dengan bijak untuk meneruskan hidup. Saya tidak menentukan kerja apa yang mereka harus lakukan. Selagi ia halal dan jujur dengan kerja yang dilakukan, itulah yang saya titikberatkan kepada mereka.

 

 

 

 

 

 

 

Kebelakangan ini kita lihat, kurang lelaki yang benar-benar berkualiti dalam semua segi. Tidak ramai yang memiliki ciri-ciri lelaki sejati, bersifat pelindung, berwibawa, berkepimpinan dan sebagainya. Pandangan Datin Seri sebagai ibu kepada dua anak lelaki dalam melihat situasi ini, bagaimana?

Saya tidak berani untuk memberi komen atau mengupas selanjutnya. Ia terpulang kepada cara didikan kita. Dan saya percaya semua ibu bapa mempunyai kaedah atau pendekatan yang berbeza dalam mendidik anak-anak.

 

Cuma apa yang saya boleh katakan mengenai diri saya dan anak-anak adalah, apa sahaja yang mereka mahukan; mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya. Bukan sewenang-wenang mereka meminta duit kepada saya untuk membeli sesuatu dan saya akan beri.

 

Tidak, itu bukan cara saya. Dan apa yang mereka lakukan adalah, selepas tamat persekolahan (sementara menunggu keputusan SPM) mereka akan keluar bekerja mencari duit sendiri. Misalnya anak sulung saya, Danial dia pernah bekerja di kedai buku.

 

Saya lebih rela membiarkan mereka belajar sendiri bagaimana susahnya mencari duit. Lebih-lebih lagi mereka lelaki. Akhirnya nanti mereka akan membina sebuah kehidupan. Mereka akan mempunyai isteri, anak dan keluarga.

 

Jadi, biar mereka belajar dan mengerti susah-payah kehidupan dari awal. Biarlah pengalaman yang mengajar mereka memahami apa itu kesusahan andai saya tiada suatu hari nanti. Pada saya, tidak salah kalau ajarkan anak- anak kecil tentang kepayahan dan kesusahan hidup.

 

Ia akan memberikan kefahaman jelas kepada mereka mengenai nilai sesuatu yang mereka peroleh. Jika tidak, mereka takkkan faham dan tidak menghargai apa yang ada di sekeliling mereka.

 

Seperkara lagi, saya amat menitikberatkan didikan agama kepada mereka sejak kecil lagi. Dan jika berlaku apa-apa kepada saya, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya dalam soal didikan agama sudah lepas.

 

Saya sudah sempurnakan tanggungjawab saya berkaitan agama sebaik-baiknya. Maklum sahajalah, bukan mudah untuk mendidik anak kecil terutamanya bab solat. Sebut apa sahaja yang tidak pernah kena libas? Hanger, rotan? Ya, saya memang garang mengajar mereka terutamanya jika tidak solat.

 

Tetapi alhamdulillah, apabila sudah meningkat dewasa, mereka sudah faham. Ke mana mereka pergi, apabila masuk waktu mereka akan solat. Dan pada saya itu sudah cukup, syukur alhamdulillah. Malah saya percaya, itu semua dengan izin Allah dan rezeki yang dikurniakan-Nya.

 

 

 

 

 

 

 

Apa yang dimewahkan terhadap anak-anak?

Kasih sayang dan perhatian. Sejak mereka kecil lagi, saya manjakan mereka dengan kasih sayang. Bukan harta benda. Jika mereka mahukan harta atau inginkan sesuatu; mereka perlu mencari dan berusaha sendiri.

 

Walaupun saya boleh beri tetapi saya tidak biasakan mereka sebegitu. Dari dahulu sampai sekarang, semua yang mereka peroleh adalah atas hasil usaha sendiri. Dan apabila mereka meningkat usia remaja (di peringkat sekolah menengah) saya sudah mula mengajar mereka agar lebih berdikari, nilaikan kehidupan. 

 

Alhamdulillah dengan izin Allah juga, kala menghadiri sesi temu duga kali pertama sahaja sudah berjaya ditawarkan kerja. Itu rezeki mereka yang Allah aturkan.

 

 

 

 

Boleh kongsikan pandangan dan saranan Datin Seri kepada ibu-ibu muda di luar sana yang mungkin mengeluh dek kepenatan berhadapan dengan kerenah anak-anak dalam proses membesarkan mereka?

Memang benar saya akui. Tidak mudah untuk mendidik dan menjaga anak. Ia satu amanah yang disertakan dengan tanggungjawab yang besar. Pada saya, tak mengapa kalau mengeluh untuk sementara.

 

It’s okay kerana hakikatnya kita manusia biasa dan bukanlah sempurna segala-galanya. Sebabnya memang penat menjaga anak apatah lagi ketika usia mereka masih kecil. Tetapi selepas itu, pulihkan semula dan kembali ke landasan yang betul.

 

Mohonlah kepada Allah. Merayulah kepada-Nya dengan banyakkan berdoa agar semuanya dipermudahkan untuk kita dalam mendidik anak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jika tidak keberatan, boleh kongsikan cara atau kaedah yang diaplikasi Datin Seri kala menangani apa jua isu berbangkit ketika anak di usia remaja, ada pendekatan tertentu atau bagaimana?

Ketika mereka beralih ke peringkat remaja, saya cuba meletakkan diri sebagai rakan mereka. Cuba slow talk dengan mereka. Jika mereka terbuka untuk berkongsi dan bercerita apa jua masalah, saya akan mendengar.

 

Namun jika sebaliknya atau mereka tidak bersedia, saya okey. Saya hormati pendirian mereka dan tidak akan mendesak. Biarkan mereka tangani selagi terdaya. Cuma saban hari saya menasihati mereka agar jangan tinggal solat, jangan jatuhkan maruah keluarga dan jaga adab.

 

 

 

Pada pandangan Datin Seri, apa lagi nilai yang kurang dipraktikkan dalam kalangan generasi hari ini yang perlu diberi perhatian?

Aspek perikemanusiaan. Dari kecil lagi saya biasakan mendidik mereka untuk turut sama terlibat dalam kerja kebajikan. Misalnya ketika bulan puasa, mereka bersama saya meluangkan masa memberi makan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Dan aktiviti-aktiviti sebegitu.

 

Saya pernah berpesan kepada mereka, “Kalau ada duit satu hari nanti jangan lupa belanjakan sedikit dan beri kepada orang. Walaupun RM1, bantulah mereka,” itu sahaja. Ia bukanlah menjadi satu kemestian atau satu peringatan serius yang dititikberatkan.

 

Saya sekadar berkata sahaja. Ditakdirkan satu hari, anak kedua saya menyuruh saya menunggu sekejap di dalam kereta. Waktu itu kami baru mahu memulakan perjalanan. Katanya, “Kejap ibu.”

 

Dan dia berlalu pergi selepas itu masuk semula ke dalam kereta. Kebetulan ketika itu dia baru menerima wang pemberian pakciknya. Diberinya RM5 kepada seorang pemotong rumput di tepi jalan untuk beli air.

 

Saya bertanya, “Adik buat apa?” Jawabnya, “Adik beli air untuk dia, kesian dia haus,” dan terdetik di hati saya, Ya Allah Ya Tuhanku; alhamdulillah... bersyukurnya saya kerana ajaran saya didengari dan difahami oleh anak saya. Tanpa saya sedari, ajaran saya sudah melekat dalam ingatan mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

MOHD DANIAL FIRDAUS:

Sukar atau tidak beribukan kepada selebriti tersohor Malaysia seperti Datin Seri Umie Aida?

Hahaha... wah, soalan pertama ni mencabarnya (ketawa). Sejujurnya pada saya lebih kepada bersyukur. Kerana tanpa ibu saya dan adik (Mohd Dzulhelmy) mungkin tidak berpeluang hidup seperti ini. Tolak ke tepi soal glamor, dikenali dan sebagainya. Itu semua rezeki yang Allah sudah beri. Insya-Allah, we turn out to be good (sambil tersenyum).

 

 

 

Pernah berasa tertekan dek kerana tempias populariti ibu?

Tidak ketara. Walaupun jika keluar mungkin ada yang kenal atau tidak tetapi seboleh mungkin saya akan cuba menyangkal. Namun tetap tidak dapat mengelak terutamanya mereka yang tahu saya adalah anak kepada Umie Aida.

 

Dan kalau lihat di Instagram misalnya, lagilah saya tidak boleh kata apa-apa. Ada juga yang masih kenal walaupun dulu saya ada rambut dan kini tiada rambut (hahaha). Malah ibu juga seorang yang merendah diri.

 

Dia bukanlah orang yang mengejar populariti walaupun bergelumang dalam dunia glamor. Kerana saya dan adik banyak belajar daripada ibu bahawasanya unsur material, duit, glamor dan seumpamanya bukanlah segalanya. Selagi kita kenal diri kita, ingat dari mana asal usul itu sudah memadai.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketika remaja dahulu, pernah berasakan ibu tidak memahami jiwa remaja ketika itu?

Oh, tidak pernah. Biasalah remaja, jiwanya rebellious. Kena penampar sekali, selesai masalah (hahaha). Ibu seorang yang amat tegas dan garang ketika membesarkan kami. Saya ingat lagi ketika saya dan adik masih kecil dahulu, mahu tonton televisyen pun takut-takut.

 

Misalnya kalau terdengar pintu dikuak, kami cepat-cepat tutup TV atau buat-buat tidur depan TV ataupun lari masuk ke bilik sebabnya takut dimarahi ibu, hahaha...

 

Pada saya peralihan dari zaman persekolahan hingga ke peringkat universiti, kami sudah boleh berfikir apa yang baik dan buruk juga belajar untuk tanggung sendiri apa jua tindakan kami.

 

Malah sejujurnya, setiap kali keluar saya selalu ingat dan tanamkan dalam fikiran bahawa my mum is someone. Apa jua yang saya lakukan akan refleks semula saya anak kepada ibu dan orang akan tahu.

 

Bukan soal beban tetapi saya berpegang kepada ajaran ibu bapa menonjolkan siapa diri anda. Sudah lumrah bukan, jika sesuatu perkara berlaku, baik atau buruk pasti orang bertanya, “Eh, anak siapa ni?” Jadi perkara-perkara sebegitu sentiasa saya jaga.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejak kecil hingga ke hari ini, apakah nilai atau didikan yang ibu ajarkan lantas menjadi pegangan?

Kerja keras, rajin berusaha dan jangan mudah putus asa. Sebelum ibu berkahwin malah sampai hari ini, dia masih bekerja. Saya melihat apa yang ibu lalui. Daripada zaman kegemilangannya, aktif berlakon drama, teater, filem hinggalah kepada mengusahakan perniagaan sendiri, ups and downs; banyak yang ibu lalui.

 

Rajin, bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa itulah ibu. Dan nilai inilah yang membuatkan saya benar-benar mengagumi dan menghormatinya. Kalau pada pandangan orang, oh kehidupan artis senang-lenang, mewah sana-sini, kehidupan dilimpahi glamor, boleh dapat apa jua yang diingini.

 

Tetapi sebenarnya itu hanya imaginasi sahaja. Realitinya mereka manusia biasa, ada jatuh dan bangunnya. Seperkara lagi ibu amat mementingkan solat dan dia akan marah kami (saya dan adik) kalau tidak solat.

 

Waima walau sudah besar ni pun, ibu masih lagi bertanya dah solat ke belum dan sering mengingatkan kami agar jangan tinggalkan solat. Pada saya mungkin itulah kunci ajarannya yang melekat dalam kepala kami hingga hari ini.

 

 

 

 

 

Jika Danial masih ingat, pada usia berapa Danial dan Dzulhelmy diajar untuk lebih berdikari?

Ketika masuk sekolah menengah, jika tidak silap saya sekitar tingkatan dua (14 tahun) kami sudah diajar untuk masak sendiri, membantu ibu membasuh baju, mengemas rumah dan kerja-kerja rumah lain.

 

Kalau memasak, hanya menu ringkas sahaja. Contohnya jika ibu sudah perap ayam, saya atau adik hanya perlu menggoreng sahaja. Atau paling tidak pun kami akan masak menu ringkas seperti makanan dalam tin dan sebagainya.

 

Walaupun jadual kerja ibu tidak menentu, misalnya kadangkala pulang lewat malam, awal pagi; tetapi saya tetap menghormatinya. Dialah yang membayar bil itu ini, memenuhi keperluan asas kami adik-beradik dan memberikan hanya yang terbaik ketika kami tinggal bertiga dahulu.

 

 

 

 

Apa perkara yang menjadi kepantangan ibu?

Kalau rumah bersepah, bilik bersepah dan kalau tidak buang sampah ibu akan mula bising. Agak sukar bagi saya yang kini sudah bekerja (waktu pejabat) dan kadangkala pulang malam.

 

Adik pula bekerja sambilan, maka kami hanya punya waktu hujung minggu sahaja untuk mengemas rumah. Tambahan pula sekarang kami tiada pembantu rumah, maka semuanya perlu dilakukan sendiri.

 

 

 

 

 

 

Ketika zaman persekolahan dahulu, apabila dimarahi ibu apa yang lazimnya Danial lakukan?

Saya akan mendiamkan diri. Pada saya biasalah, kalau kena marah sebabnya ia akan membuatkan kita lebih peka dan sedar supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dan apabila sudah melangkah ke fasa dewasa; apabila diimbas kembali mengapa ibu melakukan itu dan ini ada sebabnya.

 

Kerana ia membentuk diri saya seperti hari ini. Benar pemilihan rakan juga akan mempengaruhi tingkah-laku anda tetapi pada saya ia tetap terletak kepada pendirian seseorang untuk menilai baik dan buruk sesuatu.

 

 

 

Ciri-ciri yang ada pada ibu lantas difikirkan mahu lihat ada dalam diri calon isteri Danial suatu hari nanti?

Pada saya ia akan menjadi klise. Misalnya ibu adalah seorang yang amat penyayang, rajin dan sebagainya. Namun itulah dirinya yang sebenar. Tetapi apa yang orang lain tidak nampak adalah etika kerjanya, betapa komitednya ibu, kesungguhannya menyempurnakan kerjanya.

 

Dia sentiasa menyokong ayah dan pada saya agak sukar untuk meletakkan senarai kriteria yang perlu dipenuhi calon isteri suatu hari nanti seperti apa yang ada dalam diri ibu. Pada saya tiada siapa yang mampu menandingi atau sama tingkatnya dengan ibu.

 

 

 

 

Hadiah Hari Ibu yang paling bermakna pernah diberikan?

Pada saya jawapan ini juga akan turn out to be cliché tetapi tanyalah kepada sesiapa sahaja, takkan pernah cukup apa jua pemberian buat ibu dengan segala pengorbanan yang dicurahkan untuk mendidik dan membesarkan kami. 

 

Pernah suatu ketika dahulu, ketika itu kami masih kecil lagi, beberapa kali kami membuat kejutan dengan menyediakan sarapan untuk ibu. Dan pemahaman saya mengenai Hari Ibu, hadiah buat ibu pada ketika usia kini lebih luas skopnya. 

 

Benar, takkan pernah cukup apa jua pemberian hadiah untuk satu hari sambutan jika dibandingkan dengan apa yang telah ibu lakukan kepada saya 25 tahun lalu. Takkan pernah sama nilainya sampai bila-bila.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Modal Cuma RM50 & Gunting Kain Sendiri, GADIS INI Dedahkan Bagaimana Jual Tudung Untung Ratus Ribu

  • Seterus →

    “Kau Jual Tudung?! Boleh Hidup Ke?” — Dulu Kena Kecam, Kini Pengasas Tudung People Untung Ratus Ribu