Dec 24, 2016 - 15435
SEBUAH akhbar luar negara pernah melaporkan penyanyi pop yang terkenal kerana kontroversinya, Britney Spears dilaporkan mempunyai masalah kaki berbau. Keadaan itu menyebabkan semua penumpang di dalam sebuah pesawat yang dinaikinya, menutup hidung dan mengomel sesama sendiri sebaik saja dia menanggalkan kasut. Bau kakinya yang amat busuk menyebabkan penumpang lain tidak selesa, malah seorang pramugari terpaksa meminta Britney memakai semula kasutnya.
Jika bau kaki sudah bikin penumpang di dalam sebuah pesawat mengomel sesama sendiri, bagaimana pula jika kamu terpaksa berhadapan dengan masalah badan berbau? Misalnya jika kamu terperangkap dalam kesesakan manusia di dalam LRT ataupun bas, mungkin bau badan mereka boleh membuatkan kamu pengsan!
Orang Mungkin Takut Dengan Kita Sebab Bau Badan
Memetik kata-kata Perunding Imej, Sheena Chahil, “Walaupun imej dikaitkan semudah ABC, A (appearance), B (behaviour) dan C (communication) ia tidak semudah dibawa kerana selalunya kita tidak membawa ABC bersama diri kita. Kadangkala A sudah bagus, tetapi C tertinggal. Ada juga penampilan sudah baik dan cemerlang, tetapi bau tubuh membuatkan orang takut mendekati diri anda.”
Ketahui punca masalah bau badan dan ikuti langkah untuk mengatasinya.
"Saya Mandi Dua Kali Sehari, Kenapa Badan Masih Berbau?"
Apabila meningkat dewasa, kelenjar apoccrine mengeluarkan peluh yang mengandungi lemak berlebihan sekali gus menyebabkan punca bau badan. Mungkin ramai yang tidak dapat menerima kenyataan ini kerana masing-masing mengakui “Aku mandi dua kali sehari, tak bersih lagikah?”
Selepas mandi badan kamu tidak berbau, tetapi setelah berpeluh aroma yang tidak menyenangkan ini mula mengeluarkan bau tidak enak. Peluh dihasilkan oleh kelenjar accrine dan apoccrine yang berada di lapisan kulit. Kelenjar accrine terdapat pada seluruh anggota badan malah telah wujud sejak lahir. Fungsi utamanya ialah mengatur suhu badan melalui proses perpeluhan.
Tetapi kelenjar apoccrine banyak terdapat di bahagian bawah lengan dan bahagian-bahagian lain yang berbulu. Kelenjar ini juga berfungsi mengeluarkan peluh dengan lebih aktif apabila meningkat remaja. Peluh yang keluar daripada kelenjar apoccrine mengandungi banyak lemak dan protein. Inilah punca kepada bau badan yang ‘menyengat’ sebaik sahaja kita meningkat remaja.
Kenapa Baunya Kurang Menyenangkan?
Ia berpunca daripada penguraian bahan-bahan protein di dalam peluh yang dikeluarkan oleh kelenjar apoccrine. Mikrob mengurai peluh untuk memperoleh sumber makanan. Penguraian ini menghasilkan sejenis bahan dikenali ammonia.
Umum mengetahui sifat ammonia berbau busuk dan inilah yang menyebabkan punca bau badan. Kulit tubuh kita terbina daripada jutaan sel yang membentuk tisu kulit dan sepanjang masa tisu ini akan mati lalu diganti dengan kulit yang baru. Tisu yang mati akan membentuk belulang nipis yang menyelaputi badan.
Jika tidak dibersihkan, mikrob akan ‘tinggal di sini’ dan bakteria akan memakan peluh. Sisa makanannya ialah ammonia yang menyebabkan punca bau badan. Untuk itu kamu perlu pastikan belulang tersebut dibersihkan setiap kali mandi.
Bolehkah Rerambut Halus Bawah Lengan Beri Kesan Pada Bau Badan?
Rerambut di bawah lengan juga berperanan menyebabkan masalah bau badan. Daripada perspektif sains, rerambut bawah lengan berfungsi memperluas permukaan untuk mengatur pengewapan peluh. Di pangkal rerambut, terdapat banyak pori-pori yang menjadi permukaan kelenjar peluh untuk mengalirkan peluh ke bahagian bawah lengan. Selagi kamu mementingkan penjagaan dan kebersihan tubuh, maka bau badan tidak akan muncul. Ini kerana, jika peluh yang dihasilkan kelenjar apoccrine hilang, maka bakteria tidak akan bertindak balas yang menyebabkan punca bau badan.
Tekanan dan Emosi Saya Juga Tak Stabil. Itukah Puncanya?
Jika berada dalam situasi cemas seperti ketakutan ataupun tertekan, lazimnya mengundang emosi seseorang berada dalam keadaan tidak terkawal.
Misalnya jika seorang individu terperangkap di dalam lif, emosinya pasti mencetuskan rasa takut dan tindakan refleks yang lazimnya berlaku ialah mula berpeluh. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan merangsang kelenjar apoccrine bekerja lebih efektif dan produktif sehingga menyebabkan peluh. Apabila kelenjar apoccrine mula mengeluarkan sedikit peluh dan jika tidak dibersihkan, ia akan bercampur dengan bakteria sekali gus menyebabkan badan berbau.
Jaga Apa yang Anda Makan
Aspek pemakanan juga mempengaruhi punca bau badan. Terdapat beberapa jenis sumber makanan seperti bawang putih dan sesetengah rempah-ratus yang memberi impak terhadap punca bau badan. Makanan seperti daging kambing, durian, bawang dan pengambilan makanan berlemak yang diambil secara berlebihan bukan sahaja memberi bebanan kepada hati, malah menyebabkan kelenjar sebum lebih aktif dan menggalakkan pertumbuhan bakteria.
Justeru, banyakkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan amalkan meminum air suam kerana ia dipercayai dapat mengurangkan masalah bau badan.