Dec 04, 2016 - 7682
Oleh: Norhaizan Ahmad
Kredit foto: cdn.skim.gs
Apabila membicarakan mengenai fibroid, saya terkenangkan seorang teman (dia masih bujang ketika itu) yang berhadapan masalah perut buncit kronik bagaikan wanita hamil enam bulan. Keadaan fizikalnya yang begitu sering menjadi bual bicara teman-teman mahupun individu yang baru mengenalinya. Malah, pernah ada yang bertanya, “Bila dijangka bersalin ni?” Oops! Pertanyaan yang sungguh menyentap perasaan.
Dek kerana naif bab penyakit juga tidak berkisah tentang penjagaan kesihatan, si teman saya tadi tidak mengambil sebarang tindakan yakni berjumpa dengan doktor! Akhirnya dia dimasukkan ke hospital kerana saiz fibroidnya yang kian membesar itu berdarah dan menyebarkan ‘racun’ ke seluruh tubuh sehingga menyebabkan tubuhnya jadi lemah. Nasib baik umurnya masih panjang!
Jika anda mempunyai fibroid (boleh tumbuh sama ada di dalam, di luar atau di dinding rahim), usah panik kerana ia bukannya barah. Fibroid dianggap masalah biasa yang dialami dalam kalangan wanita berusia 30 hingga 40 tahun, malah kebanyakan wanita tidak tahu pun bahawa dia berhadapan dengan ketumbuhan dalam rahim ini.
Kenali 6 Simptom Fibroid
Lazimnya fibroid tidak menunjukkan sebarang simptom. Pun begitu, ada beberapa simptom yang agak ‘lemah’ dan boleh dikaitkan dengan fibroid. Antaranya, darah haid keluar dengan banyak berbanding normal. Jika fibroid berdarah atau menekan organ lain simptom yang akan muncul adalah:
- Haid yang lama dan anda kerap berasa kejang.
- Rasa perut ditekan atau penuh.
- Sakit bahagian bawah belakang.
- Sakit ketika hubungan kelamin.
- Kerap membuang air kecil yang tidak boleh ditahan-tahan.
- Anemia (disebabkan darah haid yang banyak), tubuh berasa lemah dan letih.
Diagnosis
Pertama sekali, doktor akan bertanya mengenai simptom yang anda alami. Kemudian pemeriksaan bahagian pelvis akan dibuat. Dan cara paling mudah adalah menggunakan mesin ultrabunyi yang boleh memeriksa ruang dalam rahim. Dengan imbasan, doktor boleh mengukur saiz fibroid dan kedudukan fibroid di dalam rahim.
Jenis Rawatan
1. Sakit dan pendarahan yang teruk boleh ditangani dengan mengambil pil yang dibekalkan oleh doktor. Biasanya ubat yang diberi adalah pil perancang keluarga yang bertindak mengurangkan jumlah darah yang banyak.
2. Anemia ditangani dengan pengambilan pil zat besi atau memakan makanan yang mengandungi zat besi yang tinggi seperti daging, kekacang dan sayuran hijau.
3. Jika simptom fibroid terlalu menyakitkan, anda disaran berjumpa dengan doktor. Ada dua jenis pembedahan untuk fibroid:
- Myomectomy – anda masih boleh mempunyai anak tetapi fibroid masih berisiko untuk tumbuh kembali
- Hysterectomy – pembedahan mengeluarkan rahim, menyebabkan anda tidak boleh hamil dan satu-satunya cara untuk memastikan fibroid tidak menyerang semula.