Oct 10, 2016 - 819

Bilakah Zina Bermula?

Ini bukan dongengan. Ini satu kenyataan. Jika pada usia 11 tahun sudah bisa melahirkan, bilakah zina bermula?


Oleh:

 

Sumber: Corbis 
 

MASIH ingatkah anda pada satu kes yang berlaku pada tahun 2015, di mana seorang budak perempuan berumur 11 tahun mengandung lalu melahirkan anak asmara?

Pernahkah anda membayangkan anak perempuan sekecil itu (berumur 11 tahun), bertarung nyawa demi nyawa yang lagi satu? Si kecil yang sepatutnya tekun belajar di Tahun 5 sekolah rendah ini telah melalui satu pengalaman yang dahsyat. Ia jauh lebih ‘hebat’ daripada debaran menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah! 

Jika teman sebaya masih mengelek anak patung, dia pula sudah memiliki anak sendiri. Ya, mengenang pengalaman sendiri ketika melahirkan, sakitnya tidak tertanggung. Itu diri saya yang melaluinya ketika usia lewat 20-an, mana mungkin sakitnya berbeza jika dialami oleh kanak-kanak?

Di sini saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa. Apa yang perlu difikirkan adalah langkah awal mendidik anak-anak kita sendiri. Supaya anak-anak kecil kita itu mengenal ‘harga diri’ dan tidak sewenang-wenangnya menjual ‘body’!


Sumber: www.eonline.com 

 

GEJALA SEKS PADA USIA MUDA

Saya yakin kisah ini bukan kisah terpencil. Cuma kali ini kita berpeluang membacanya di dada akhbar. Kemungkinan besar lebih banyak kes sebegini yang berlaku di seluruh negara namun ia tidak pernah dilaporkan. Menjadi warga media membolehkan saya menemu bual beberapa mangsa rogol (segelintirnya melakukan seks di bawah umur) sepanjang berkerjaya sebagai wartawan. Banyak perkara yang dapat saya pelajari dan banyak juga yang perlu saya dalami untuk dijadikan analisa buat diri sendiri.

Dua berita yang serupa, satu di Bahau dan satu di Kuantan menggemparkan masyarakat. Masakan tidak, dua kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melakukan hubungan seks dengan teman lelaki masing-masing sehingga melahirkan anak. Inilah bukti bahawa gejala seks pada usia muda adalah benar. Tidak kiralah sama ada secara suka mahupun terpaksa. Malah kes sebegini sudah terlalu membusung dalam masyarakat kita.

Seorang pengguna media sosial yang juga guru kaunseling berkata, “Kes remaja melakukan seks adalah seawal 10 tahun. Ketika di sekolah menengah mereka menjadi remaja ketagih, merosak dan dirosakkan anak orang lain pula. Dan isu gejala sosial ketagihan seks ini bagai barah tahap empat di Malaysia. Tolong lakukan sesuatu. Selamatkan generasi kita.”


Sumber:myniceprofile.com.

 

PENGAJARAN UNTUK ANAK REMAJA

Tahukah anda, majoriti kes buang bayi adalah daripada gadis berusia sekitar 13-15 tahun? Sebenarnya itu bukan bermakna anak itu baru melakukan hubungan seks pada usia itu. Justeru, sebagai ibu bapa, rajin-rajinlah memantau anak kecil kita ya!

Ini kerana hasil kajian jelas menunjukkan bahawa terlalu banyak kes zina telah berlaku sejak sekolah rendah lagi. Banyak juga kes yang bermula sejak tadika tanpa kita ketahui.


Sumber: favim.com 


Sesekali anda kena periksa buku sekolah anak-anak. Kerana ada ibu yang mendapati ada gambar lukisan aksi senggama dilukis oleh seorang pelajar sekolah rendah di buku anaknya. Apabila ditanya, anaknya menceritakan apa yang diterangkan oleh rakan sebaya itu mengenai gambar yang dilukisnya. Terkejut? Dalam era internet di hujung jari, jangan buat-buat terkejut dengan cerita sebegini.

Justeru, saya menyeru ibu bapa agar segera bangkit memperbetul tadbir urus rumahtangga, khususnya dalam hal mencegah zina sejak anak berada di tadika lagi.

Dalam kes ini, jika anak ini melahirkan ketika Darjah 5, bilakah anda rasa zina sudah bermula? Sama- samalah kita fikirkan. Sudah tiada gunanya lagi kita meraung menuding jari kepada pihak sana dan sini. Jika kita tidak boleh ubah mereka untuk menyelamatkan anak-anak kita, maka mari kita berlapang dada dan ubah cara kita dalam mendidik anak-anak. Fikir-fikirkan…


TAHUKAH ANDA?

FAKTA 1 Hal ini turut menarik perhatian Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Malaysia (MyWomen) yang aktif memperjuangkan nasib ibu tunggal dan remaja tidak terbela. Presidennya, Datuk Geethanjali G menjelaskan kebimbangannya terhadap peningkatan kes seumpama itu yang menunjukkan angka menaik setiap bulan. Siasatan MyWomen mendapati statistik direkodkan oleh sebuah hospital awam di Klang menyaksikan hampir 12,000 atau 14 peratus bayi dilahirkan setiap tahun oleh remaja bawah umur yang belum berkahwin.

FAKTA 2 Kehamilan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sangat berisiko tinggi. Mereka adalah golongan yang mempunyai risiko dua kali ganda mengalami komplikasi sehingga boleh meninggal dunia ketika melahirkan anak berbanding yang berusia 20-an.

FAKTA 3 Gadis hamil bawah 18 tahun dan bayi mereka dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

FAKTA 4 Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak perempuan yang hamil ini datang dari keluarga bermasalah, berpendapatan rendah dan tidak berpendidikan.




 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Cinta Laksana Embun Suci dari Langit. Jika Jatuh ke Tanah Subur, Tumbuhlah Ikhlas Suami Isteri” — ZAHIRIL ADZIM

  • Seterus →

    Wanita Berani Ini Telah Lalui 16 Kali Kemoterapi dan 21 Kali Proses Radiasi. Dia Pejuang Kanser Payudara