Oct 10, 2016 - 27934

“Cinta Laksana Embun Suci dari Langit. Jika Jatuh ke Tanah Subur, Tumbuhlah Ikhlas Suami Isteri” — ZAHIRIL ADZIM

Kadang-kadang orang lelaki tak pandai berkata-kata. Tapi dia lafazkan cinta dengan sebuah puisi.

 

Oleh:

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

DALAM banyak-banyak pasangan selebriti, hati saya terpanggil untuk mencungkil kisah cinta mereka. Tidak banyak kontroversi atau gosip panas yang terpalit. Masing-masing merendah diri dan fokus pada kerjaya sebagai anak seni. Namun itulah harganya apabila bergelar selebriti. Jika tidak banyak, hatta sekelumit inci berita sekalipun yang melibatkan mereka, pasti ingin dibongkar. Namun ia dilalui dengan hati yang tabah.

Perkenalan selama setahun antara pasangan selebriti Zahiril Adzim dan Shera Aiyob, sama sekali tidak menyangka tempoh singkat itu berakhir dengan ikatan pertunangan langsung ke gerbang perkahwinan.




decfecfe.jpg

 

 

Sumber: sheraaiyob

 


“Sekejap saja, kenal cuma setahun. Lepas tu, enam bulan bertunang lalu berkahwin. Tapi tempoh berkawan dan bertunang tidak lama. Tahu-tahu saja kahwin!” Shera mengimbas kenangan lalu sambil tersenyum lebar. Berkongsi cerita detik mula perkenalan, Zahiril Adzim sudi membongkar rahsia.

“Sebenarnya saya yang kenal dia dahulu tapi dia tak kenal saya. Waktu tu Shera merupakan pengacara Wanita Hari Ini. Kebetulan Shera menjadi hos untuk pelancaran drama lakonan saya Merah Putih sekitar 2009. Waktu itu saya mula-mula nampak dia. Bagaikan datang satu gesaan dan naluri untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Nak tahu juga Shera ini macam mana orangnya, “ ceritanya sambil kedua-duanya tertawa mengingati semula momen itu.

Sambung Zahiril lagi, “Tiga tahun selepas itu, saya jumpa dia dalam sesi baca skrip untuk filem Ada Sesuatu yang Tertinggal. Memang kenalah tajuk filem tu sebab ada sesuatu yang tertinggal kat dia,” ulasnya sambil sesekali Shera ketawa kecil. 
 

 

Sumber: sheraaiyob

 

Biarpun ia tidak dinyatakan bahawasanya Zahiril dalam diam mengagumi keperibadian Shera, namun perasaan itu seakan dapat dihidu Shera. Malah Zahiril terlebih dahulu memulakan langkah pertama. Ujarnya, “Saat itulah saya mula mengenal keperibadiannya, peri lakunya, cara pemikirannya. Kemudian saya cakap kepada dia secara bersahaja, yang saya menyukainya. Tapi dia menjawab, kita berkawan-kawan sajalah."

Shera tertawa mendengar bicara Zahiril, lalu tersenyum nakal. Bangkit untuk menegakkan pendiriannya kala itu, Shera menyambut, “Dia bukannya berterus-terang memberitahu yang dia menyukai saya pun, kan? Tapi saya suka dengan gaya dan cara dia cuba menyampaikan hasrat hati dan maksud tersirat. Contohnya, kalau nak keluar beramai-ramai, dia akan pastikan saya ada bersama. Melalui gerak-gerinya, perbuatannya dan selebihnya... ahh, faham-faham sendiri sajalah! Namun saya tetap menegaskan we are just friends. Saya telah melukiskan sempadan itu. Syukur dia faham dan amat menghormatinya," jujur Shera memberitahu, sambil tersenyum manis, mengerling kepada suami. 
 

Sumber foto:  


Sukar pada mulanya untuk meraih petak selesa dalam hati Shera. Zahiril mengakui isterinya kala itu ‘jual mahal’. 


Tambahnya lagi, “Dia tak mengaku dia suka saya. Tapi apabila saya lepak atau berkawan rapat dengan orang lain, dia cemburu juga rupa-rupanya. Dia akan cakap pergilah lepak dengan orang tu. Jadi di pihak saya, barulah saya tahu sebenarnya dia suka tetapi sukar sekali untuk dia meluah perasaan dan menunjukkan warna sebenar hatinya,” terang Zahiril. Celah Shera pula, “Dia tidak minta pun nombor telefon saya. Dan saya pula jenis kalau ada lelaki yang cakap suka kepada saya secara berterus-terang, susah saya nak terima. Macam boleh tertutup suis terus!"

 

Namun Zahiril pula, dia ada cara yang tersendiri. Contohnya, melalui puisi. Malah dalam puisi itu pun dia tak terangkan yang saya suka kepada awak. Dan saya hanya mendapat tahu bahawasanya puisi itu ditujukan khas buat saya hanya selepas kami bertunang. Puisi itu dia tulis waktu kami sedang shooting, ceritanya lagi. Zahiril Adzim rupa-rupanya memiliki bakat menulis dan meriwayatkan puisi cinta kepada Shera yang turut dikompilasikan dalam buku bertajuk ‘Bogel Menuju Tuhan’ yang diterbitkan pada 2011.





Ceritanya lagi, “Puisi saya bukan puitis atau ayat yang berbunga, tetapi lebih kepada puisi kontemporari. Dan kalau orang baca akan tahu, oh dia suka kepada perempuan ini. Gambaran saya terhadap Shera dalam puisi itu adalah peristiwa yang hanya saya dan Shera faham. Contohnya, macam yang saya tuliskan tentang tempat gantung berus gigi, haha! Aneh bukan? Momen itu hanya Shera seorang sahaja yang faham dan tahu. Dan saya tak perlukan orang lain yang membaca untuk faham maksud puisi itu sebab tafsiran dan maksud di sebaliknya menceritakan tentang saya dan dia,” jelas Zahiril sambil merenung tepat ke mata isteri.



Kedua-duanya pernah mengalami episod cinta yang tidak kesampaian. Tambah Zahiril, “Kadang-kadang kita perlu melalui satu fasa di mana kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum berjumpa dengan orang yang betul untuk dijadikan suri hidup. Dan kelebihannya, bagi saya, saya dapat belajar untuk kenal hati budi seseorang. Pernah juga saya berkawan dengan orang lain dalam tempoh yang lama tapi setakat berkawan sajalah. Tiada apa-apa di penghujungnya. Mungkin juga sebab Allah kata, kalau dah bukan jodoh, sekadar berkawan sajalah. Dengan Shera, kurang setahun berkawan dan lepas itu terus bertunang. Jadi itulah kuasa jodoh yang Allah sudah tetapkan,” ujarnya tenang.
 



Lumrah sifat manusia, dikurniakan dengan kelebihan dan kekurangan agar ia saling melengkapi. Begitu juga dengan pasangan selebriti ini. Bagi mereka, kekurangan yang ada pada diri masing-masing itu sebenarnya adalah kekuatan yang mengukuh lantas menjulang hubungan mereka ke satu fasa baru. Satu fasa di mana suami dan isteri ikhlas untuk saling berkorban, bahkan telah sama-sama bersetuju untuk memikul segala beban dan kesusahan, sama-sama sepakat untuk merayakan kenikmatan hidup bersama-sama, tanpa perlu berdusta atau menyembunyikan apa-apa.

Bersetuju dengan hukum alam ini, ujar Shera, “Saya ini cepat panik dan paranoid. Contohnya kalau ada masalah, saya selalu memikirkannya siang malam, malah cuba kupas itu dan ini. Tapi Zahiril takkan fikir hingga ke tahap itu. Dia lebih relaks,” ujarnya.





Celah Zahiril pula yang setia melayani kerenah Anaq, “Bagi saya kedua-dua pasangan tidak boleh fikir atau panik dengan cara yang sama. Macam saya sendiri, sebelum berkahwin, tak pernah terfikir masalah masalah yang remeh kerana saya abaikan saja. Tapi sesudah berkahwin, ia datang secara tak sengaja. Maka perlu ada keseimbangan. Walau gelabah macam mana sekalipun, saya perlu relaks dan tenangkan Shera,” katanya.

 

Celah Shera pula, “Contohnya, waktu single dulu, boleh saja nak uruskan sendiri apa jua urusan. Tapi apabila kita sudah berkahwin, kita tahu ada orang yang menjaga kita. Dan kadang-kadang tu mulalah nak manja sikit atau mengada-ngada, haha! Sebab kita tahu ada orang yang akan melayan,” ujarnya sambil menjeling manja ke arah Zahiril.

 

Mengakui kelebihan si isteri dalam soal masak-memasak, ada satu kenangan lucu dikongsi. Ujar Zahiril, “Pernah terjadi, punyalah mahu tunjuk betapa saya menghargai dia, jadi satu hari saya tiba-tiba rasa terpanggil nak masakkan nasi goreng, kira macam satu persembahan istimewalah! Memandangkan saya dah biasa goreng kentang dan lain-lain, jadi saya ingat caranya sama. Tuang minyak...” Zahiril berhenti di situ, ketawa, lantas Shera mencelah, “Nasib baik saya masuk dapur cepat. Usaha dia tu memang patut dipuji tapi yang paling kelakarnya, dia tuang minyak dalam kuali banyak sangat... macamlah nak goreng seekor ayam!” 

 

 

Biarpun senja berarak membawa malam, si kecil Anaqi pula mula menunjukkan tanda-tanda keletihan, manakala team editorial pula sibuk mengemas lalu menyimpan perkakas dan pakaian penggambaran; sejoli merpati ini masih punya energi untuk meneruskan temu bual.

Kala ditanya tentang momen paling indah untuk dikenang sepanjang perkahwinan ini, ujar Zahiril, “Terlalu banyak kenangan manis. Setiap saat yang saya lalui dan setiap nafas yang saya hirup di muka bumi ini, sepanjang mendampingi Shera, bagi saya, itulah momen manis paling abadi.”


Mendengarnya, Shera merenung wajah Zahiril dengan mata berkaca- kaca. "Saya menyukai Jepun," pintas Shera pula. "Dan segala yang berkaitan dengan Jepun memang saya suka. Momen percutian ke Jepun bersama Zahiril dan keluarga merupakan antara saat paling indah yang akan saya kenang sampai bila-bila."



Pendekatan mereka mengurus cinta dan kasih sayang memang menarik. Mengapa saya katakan begitu? Masing-masing mengakui mereka bukanlah pasangan yang romantis, namun punya cara tersendiri untuk mengolah citra cinta mereka agar lebih bervariasi.


Jelas Zahiril, “Kami lebih relaks, chill, tidak terlalu formal, masih berpegang teguh pada soal adab dan budaya orang Melayu. Tapi selebihnya kami faham-faham sendiri. Momen lain macam waktu kami luangkan masa bersama macam pergi bercuti atau apa-apa aktiviti yang kami enjoy buat bersama,” terang Zahiril sambil Shera mengangguk tanda setuju. Baik suami ataupun isteri, kedua-duanya meminati dan menghargai seni seperti teater. Malah dalam masa sama, mereka sering berdiskusi mengenai filem sambil berkongsi pandangan.

 

Sumber: sheraaiyob

 


Dan mengulas lanjut mengenai sifat masing-masing, ada peristiwa yang dikongsikan Zahiril mengenai Shera. “Apabila pergi ke kedai mamak, kalau kucing lalu di bawah meja, pasti meja akan terbalik!” Belum sempat Zahiril menyambung ayat seterusnya, Shera kembali mencelah, “Saya fobia dengan kucing. Saya boleh langgar meja di kedai mamak macam itu saja,” sambutnya sambil ketawa.


Seperti pasangan suami isteri lain, mereka juga tidak dapat lari daripada realiti sebagai selebriti. Namun kunci perhubungan mereka berteraskan kesabaran.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, Zahiril melontarkan pandangannya, “Akan ada waktunya apabila tercetus sesuatu isu dan ia mencabar kesabaran suami serta isteri. Tapi pokok pangkalnya, kedua-duanya perlu sabar terutamanya lelaki kerana kata putus paling akhir itu terletak pada lidah lelaki. Walau sedahsyat mana amarah kita sekalipun, cuba kawal. Jangan sampai sebut perkataan itu." 
 

Sumber: sheraaiyob

 


Bersetuju dengan pandangan suaminya, Shera menambah, “Selain itu perlu hormat antara satu sama lain dan cuba terima kekurangan pasangan. Jangan melihat kekurangan pasangan itu satu kelemahan tapi sebaliknya cuba lihat ia sebagai satu keistimewaan,” ulasnya mengakhiri perbualan.

Memang benar kata cendekiawan tersohor, Hamka yang pernah meriwayatkan buah fikirannya yang berbunyi, “Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji.”
 

Sumber: sheraaiyob

 


Nyata begitu jualah yang dirasai mereka kini. Malah ia dilestarikan menerusi puisi yang disampaikan Zahiril pada majlis resepsi mereka empat tahun lalu yang berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor, masih segar dalam kotak ingatan.

Detik itu, Zahiril berpura-pura terjumpa kertas dalam tuksedo yang dipakainya. Malah ketika itu Shera sedang leka dan asyik mendengar alunan lagu I Will Always Love You yang didendangkan abang Zahiril. Tanpa Shera duga sama sekali, Zahiril tiba-tiba bangun dari kerusi pelamin lalu membacakan sepotong puisi buat isterinya. Sebuah mikrofon kecil yang tersembunyi di dalam tuksedo Zahiril, melantunkan gema puisinya. Persembahan puisi Zahiril menerima sorakan paling bergemuruh pada hari itu.

"Selagi hayat dikandung badan, dengan izin Allah, saya akan mengabadikan momen itu, biar saya tidak melupakannya, dan akan saya ceritakan kepada anak-anak dan seluruh keturunan kami nanti," ucap Shera.

Seperti mana harapan mereka agar ikatan suami isteri terus mengecap bahagia kekal hingga hujung nyawa, begitu jualah doa kami. Biar sekuat mana badai yang melanda dalam rumahtangga, berpegang utuhlah kalian kepada tali agama. Semuanya kerna ia nadi kekuatan dan penawar kesulitan. 

 


 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Ridzuan Puzi: Pemuda Cerebral Palsy yang Melawan Takdir Hidup. Apa Pesanan Netizen Buat Dek Wan?

  • Seterus →

    Bilakah Zina Bermula?