Oct 11, 2016 - 8289

Wanita Berani Ini Telah Lalui 16 Kali Kemoterapi dan 21 Kali Proses Radiasi. Dia Pejuang Kanser Payudara

Demi keluarga tercinta, dia bangkit untuk pulih. Langit gelap yang menutup pandangannya, hanyalah ujian dunia yang fana. Kecundangkah dia dalam perjuangan hidup dan mati ini?


Oleh:





LANGIT terus menggelap. Kaki pula seakan tidak memijak bumi dan fikiran menerawang entah ke mana. Mengapa dalam ribuan wanita, aku yang Kau pilih untuk mengharungi ujian ini?

Itulah yang dirasakan Rosni Osman, 47 atau mesra dengan pangilan Kak Oni kala dimaklumkan dia menghidap penyakit kanser payudara tahap tiga. Peristiwa yang meninggalkan kesan dalam hidupnya hampir 11 tahun lalu kini masih segar dalam ingatan. 

 

“Kak Oni masih ingat, tahun 2004 dan anak kedua, Iylia Ezetty, berusia setahun empat bulan masih lagi menyusu badan. Entah bagaimana, waktu menyusukan dia akak terpegang bahagian bawah lengan kiri dan terasa seperti ada benjol. Tapi yang peliknya tidak rasa sakit. Dan dalam hati terus terfikir janganlah ada kanser atau apa-apa yang tidak elok,” luahnya yang amat berdebar-debar dan cemas jika sesuatu yang tidak baik berlaku ketika itu. “Kak Oni tidak sedap hati lalu pergi ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Doktor cuma memberi antibiotik.”

 

Menurut pemerhatian awal doktor, jika ia hanya kelenjar biasa, selepas seminggu, ketulan tersebut akan beransur mengecil. Namun ia berlaku sebaliknya bagi Rosni.

 

“Jadi, doktor minta akak pergi ke hospital dan sarankan berjumpa dengan doktor pakar (Datuk Dr M.Devanand – Pengasas dan Pengerusi Pink Ribbon Wellness Foundation) di Hospital Pantai, Bangsar untuk pemeriksaan lanjut,” tuturnya tenang mengimbas detik pahit yang dilalui ketika berumur 35 tahun.






Ditemani suami, Othman Abdul Rahman, Rosni kemudiannya menjalani pemeriksaan lanjut. Gusar mengenai proses yang perlu dilalui, dia bertanyakan kepada doktor mengapa sebegitu banyak prosedur perlu dilalui selain tertanya-tanya; mengapa sehingga berkerut wajah doktor kala melihat tompokan ketika menjalankan pemeriksaan ultrasound

 

“Banyak persoalan yang bermain dalam kepala akak. Kenapa muka doktor berkerut? Bahagian merah itu apa? Yang biru itu pula apa maksudnya? Dan doktor menerangkan bahawa bahagian bertompok merah adalah darah manakala berwarna biru adalah air pada tisu kulit payudara,” jelasnya terperinci. 

 

Hasil pemeriksaan ultrasound dan mammogram mendapati ketulan pada bawah lengan kiri dan sampel perlu diambil untuk mengesahkan sama ada ia adalah kanser payudara atau tidak. Nyata penantian satu penyeksaan namun ia diharungi sebaik mungkin.

 

>>>[KLIK DI SINI] Lelaki Ini Tinggalkan Gaji 5 Angka Untuk Jadi 'Suri Rumah', Rupanya Allah Ganti Benda Lebih Baik<<<

 

Usai empat hari, panggilan daripada Doktor Devanand disambut dengan debaran kencang di dada. Dan ungkapan itu meragut, merenggut, menjerut perasaannya! Kata Doktor Devanand, “Rosni daripada laporan yang saya terima, anda disahkan menghidap kanser payudara…"

"Waktu itu Kak Oni cuma mampu berdiam. Dalam hati sangat berdebar, Allah sahaja yang tahu. Suami di sebelah menangis, "Doktor cakap Ayang ada sakit ni. Ayang, macam mana ni?" Suaminya larut dalam tangis. Anehnya, Kak Oni yang meyakinkan suami agar bertenang dan pasrah. "Kak Oni cakap kepada suami, Abang kena relaks. Kalau Abang macam ni, Ayang tak kuat. Insya-Allah, mesti ada jalan penyelesaian,” ujarnya lagi mengimbas momen yang merentap segenap kegembiraannya. 

 

Seboleh mungkin kedukaan itu disisih jauh dari lubuk sanubari. Dia cuba menghimpun kekuatan selagi ada untuk terus berdiri. Di matanya, sudah terbayangkan wajah si kecil Iylia Ezetty yang baru berusia setahun empat bulan yang masih menyusu badan itu. Ya Allah, apakah ini takdir dan ujian-Mu buatku?

 

Menurut Doktor Devanand lagi, Rosni perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelak sel-sel kanser merebak. Kata Doktor Devanand lagi, “Anda perlu berhenti menyusukan anak. Kerana apabila proses penyusuan itu berlaku, ia sebenarnya mengurut lalu merangsang sel-sel kanser bergerak, lalu kerana itu pembedahan perlu dilakukan,” katanya. 

 

Namun Rosni buntu lantas meminta izin agar pembedahan tersebut ditangguhkan. Memandangkan anaknya tidak pernah diberi minum susu formula dan menyusu badan sepenuhnya, dia perlu mengambil masa untuk mencari alternatif. Pelbagai liku terpaksa dilalui dan runtun hatinya kala melihat anak bongsu kesayangan menangis mencari susu ibu

 

“Bayangkanlah, hati ibu mana yang tidak sedih apabila lihat anak menangis mencari susu? Apabila beri susu formula, dia cirit-birit, muntah dan macam-macam lagi. Tapi Kak Oni nekad dan bertawakal kepada Allah, beri juga susu badan kepadanya. Hinggalah Abang di kampung tolong cari orang untuk berubat cara tradisional supaya Zetty sukakan susu botol. Dan alhamdulillah, ikhtiar kami berkesan. Zetty akhirnya minum susu botol." 

 

>>>[KLIK DI SINI] Bagaimana Zero Melawan Kemiskinan Selepas Kematian Bapak yang Bisu dan Pekak, Ini Kisah Ikhtiar Hidup<<<

 

Kala memaklumkan kepada ibu bapanya, ujar Rosni, mereka turut redha dengan ujian Allah. Malah memberi kata-kata semangat agar Rosni terus menjalani rawatan. “Kata arwah bapa Kak Oni, kalau meninggal dunia kerana kanser dan berubat cara kampung ayah tak reda. Tapi kalau ikut berubat cara hospital, ayah sokong dan doakan untuk Oni,” ujarnya dalam nada sebak.

 

Selesai permasalahan anak bongsu, pembedahan yang sepatutnya dijalankan, ditangguhkan lagi untuk kali kedua. Mesej Rosni kepada Doktor Devanand, “Doktor saya ada lagi satu permintaan. Boleh atau tidak jika saya nak minta tangguh pembedahan kerana ingin menyambut hari jadi suami saya pada 21 Februari,” ujarnya yang ingin kelihatan sihat semasa meraikan ulang tahun pasangan sejiwa yang dicintainya itu. 





Itulah pengorbanan tulus ikhlas seorang isteri kepada suaminya. Biarpun kondisi diri menderita kerana kanser payudara, namun si isteri tetap mahu kelihatan cantik dan ceria seperti biasa, persis tiada apa yang berlaku pada dirinya. Hanya ingin berikan yang terbaik selagi mampu, Rosni tetap cekal mengharungi setiap susur-galur qada’ dan qadarnya. 

 

Lantas Doktor Devanand akur dengan permintaan Rosni. Pembedahan pertama hanya dilakukan pada 28 Februari. Kentalnya jiwa insan bernama Rosni Osman, pembedahan yang membuang sebelah payudaranya berjaya dilakukan selama hampir enam jam. Pembedahan tersebut memakan masa yang lama kerana sel-sel kanser telah melekat pada urat maka doktor perlu berhati-hati selain memastikan semua sel-sel kanser dibuang. 

 

Tambah runtun nurani saya kala Rosni berkongsi cerita mengenai anak sulungnya, Ikmal Hijjaz Othman yang ketika itu berusia enam tahun. Katanya, “Anak Kak Oni yang sulung cakap, tak mengapa ibu, nanti Abang Long jaga ibu kat hospital, ya? Kalau adik merengek, Abang Long akan jaga,” bisiknya lagi menahan sebak. 

 

Kekuatan semangat Rosni melawan kesakitan yang ditanggung melangkaui segalanya. Dia mahu segera sembuh dan kembali sihat demi anak-anak yang masih kecil dan memerlukannya. Selepas pembedahan, dia tidak banyak mengalami kesukaran yang membataskan pergerakan. Malah berbekalkan semangat positif, dia mampu berjalan perlahan-lahan selain membaca surat khabar seperti biasa.

 

Mungkin itulah kekuatan dalaman kurniaan-Nya yang telah meresap dalam jiwa yang ingin segera pulih seperti sedia kala. Memulakan hari dengan rutin baru, misalnya memakai pakaian dalam khas, Rosni cekalkan dirinya agar dapat membiasakan diri sebaik mungkin. 


 

Tambahnya lagi, “Kak Oni perlu pakai sport bra dan perlu tahan sakit apabila nak menyarungkannya. Almaklumlah, dah buang sebelah tapi sebab nak cepat baik Kak Oni gagahkan juga. Minum air pula tak boleh sebarangan, semua kena sukat. Minum air tak boleh terlalu banyak sebab takut nanti air 'masuk' pada bahagian yang dibedah itu. Tetapi alhamdulillah, berkat doa dan kuat semangat, Kak Oni buat aktiviti macam biasa misalnya balik rumah lepas pembedahan terus masak untuk anak-anak dan suami,” jelasnya.

 

Sebulan selepas pembedahan, Rosni seperti pesakit-pesakit kanser payudara yang lain; perlu menjalani sesi kemoterapi. Memandangkan dia adalah penghidap kanser payudara tahap tiga yang memasuki tahap keempat selain mempunyai positive hormone, pengambilan dos ubat yang kuat perlu diberi demi mengurangi pengaktifan hormon-hormon kanser. Biar ia tidak merebak. 

 

Ceritanya lagi, “Kak Oni menjalani rawatan kemoterapi selama setahun lebih dan setiap kali pergi hospital untuk rawatan kemo, Kak Oni memandu sendiri. Tapi Kak Oni tetap positif dan yakinkan diri yang Kak Oni boleh buat. Apa yang menyedihkan, selepas kemoterapi, rambut semakin gugur. Hati bagai disiat-siat apabila lihat rambut gugur waktu makan nasi, waktu mandi. Malah pabila bangun tidur rambut gugur dan melekat pada bantal. Lama-kelamaan Kak Oni putuskan untuk membotakkan kepala. Minta bantuan jiran yang dah rapat macam adik-beradik sendiri untuk cukurkan rambut Kak Oni. Kak Oni panggilnya Ma. Dia pula yang menangis sewaktu mencukurkan rambut. Suami dan anak-anak pun membotakkan kepala mereka tanda sepakat dan menyokong Kak Oni. Itu yang buat Kak Oni terharu dengan keluarga yang cukup supportive dan memahami penderitaan ini,” terangnya lagi. 

 

>>>[KLIK DI SINI] Bagaimana Diana Danielle Keluarkan Keluarga daripada Kemiskinan<<<

 

Akur dengan proses kemoterapi yang benar-benar menguji kesabaran diri, mental, fizikal juga spiritual; bagi Rosni, tatkala dia ke hospital melihat pesakit-pesakit lain, lebih menginsafkan diri. “Apa yang Allah beri, inilah masa untuk Kak Oni muhasabah diri. Gunakan peluang dengan usia yang masih Allah pinjamkan untuk berbakti kepada keluarga dan masyarakat, selagi Kak Oni mampu. Dan Kak Oni buat semua pun kerana sayang dan cinta kepada keluarga Kak Oni,” tuturnya sayu.

 

Bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa memberi semangat dan sumber kekuatan diri, ujarnya, “Suatu hari Kak Oni cakap kepada suami. Abang boleh terimakah Ayang macam ni? Ayang dah tak macam dulu lagi?” 

 

“Jawabnya, sejak kahwin dulu pada mata Abang, Ayang tetap sempurna. Itu yang membuat Kak Oni berganda kuat,” jelasnya. 





Makrifat Allah SWT, tiada seorang pun yang mampu menduga. Nyata di sebalik kesakitan dan penderitaan yang ditanggung, tersimpan 1001 hikmah buat Rosni. Biarpun tidak hadir dalam bentuk wang ringgit mahupun kesenangan fizikal yang lain, baginya hikmah penyakit ini mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga, selain mendorongnya menjalani hidup bermasyarakat yang lebih sempurna. 

 

“Syukur kerana rezeki tidak pernah putus. Hikmah lain, dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan menghadiri kelas mengaji. Malah, membantu pesakit lain yang sama macam Kak Oni."

 

Menjalani proses radiasi sebanyak 21 kali, selain mengambil pelbagai ubat-ubatan sepanjang tempoh ini, menurut Rosni, rezeki yang dinikmati hari ini memberi ketenangan kepada dirinya. Rosni reda melalui episod getir ini. Sekadar menjalani pemeriksaan biasa dan ujian mamogram sekali setahun, Rosni kini lebih memelihara kesihatan diri. 

 

Kini dia aktif sebagai sukarelawan di Pink Ribbon Wellness Foundation, juga di Hospital Kuala Lumpur sebagai tenaga pengajar kemahiran kraftangan. Dalam masa sama, Rosni menguruskan perkhidmatan katering yang kini memasuki tahun kedua. Doa kami agar Rosni sentiasa diberikan kesihatan yang baik. Moga kisah ini memberi inspirasi buat semua wanita agar melihat sesuatu musibah itu daripada perspektif yang positif.




 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Bilakah Zina Bermula?

  • Seterus →

    Prof Dr Muhaya: “Kita Semua Ada Timbangan di PADANG MAHSYAR Nanti. Berhentilah Menjadi HAKIM…”