Jan 06, 2017 - 66308
Oleh: Norhayati Berahim
MEMBUAT keputusan berkahwin bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya apabila melibatkan warga asing. Seringkali terfikir, bagaimana nanti mahu menghadapi budaya yang berlainan, bagaimana berinteraksi dengan keluarganya? Bagaimana dan bagaimana itu memang sentiasa menujah perasaan ketika itu.
Hajat di hati memang mahu berkahwin dengan lelaki sebangsa supaya tidak timbul pelbagai konflik nanti. Tetapi semua ini ketetapan Allah SWT yang sukar kita sanggah. Bagaimana kita bermohon dan bagaimana kita berharap, jika Allah SWT tidak izinkan ia terjadi maka ia tidak akan terjadi.
Sebenarnya saya mengenali suami lebih lima tahun sebelum berkata bersetuju untuk mengahwininya. Sebelum membuat keputusan berkahwin dengan beliau, saya berada di persimpangan. Seminggu saya membuat solat istikharah dan akhirnya Tuhan buka hati saya menerima beliau.
Sebagaimana manusia, pergantungan kita hanya kepada Allah SWT ketika itu dan segalanya kita serahkan kepada SWT Allah untuk menentukan. Perjalanan kehidupan kita semuanya rahsia Allah SWT. Kita boleh merancang dan berdoa. Selainnya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
Penerimaan keluarga ketika itu biasa sahaja, saya berkahwin dalam usia 36 tahun. Apabila saya suarakan keinginan mahu berumahtangga, ayah tidak membantah. Mungkin memikirkan saya sudah dewasa, sudah boleh menentukan hidup sendiri jadi tidak ada apa-apa pertanyaan atau kebimbangan yang diutarakan. Proses peminangan dan pernikahan dijalankan dalam jarak satu bulan sahaja. Alhamdulilah ini satu proses yang Allah SWT permudahkan.
Cabaran Menghadapi Perbezaan Budaya
Berkahwin dengan warga asing ini sebenarnya tidak mudah. Kebimbangan mengenai perbezaan budaya memang ternyata sangat berasas. Hal yang sangat mengejutkan selepas berkahwin apabila suami lebih suka berada di luar bersama kawan-kawan, dengan erti kata sebenar melepak selepas waktu kerja daripada berada di rumah. Kadangkala pukul satu pagi baru balik, kadangkala sampai tujuh pagi! Saya terfikir ini budaya atau ini perangai individu?
Bayangkan apabila kita bangun tengah malam suami masih tidak balik? Pelbagai perasaan berkecamuk di dalam hati. Rasa sedih bertindih dengan rasa kecewa. Kadangkala kita sebagai seorang isteri akan memikirkan yang bukan-bukan. Kemalangankah di jalanan? Dipukul orangkah atau dirompak?
Lama-kelamaan timbul pergaduhan. Namun satu hari saya berjumpa dengan seorang wanita yang berkahwin dengan warga Turki juga jadi saya utarakan persoalan ini. Beliau ketawa mendengar keluhan saya.
“Mereka datang dari negara empat musim. Waktu musim panas adalah waktu yang sangat dinanti oleh mereka. Mereka akan keluar rumah, melepak, minum teh panas dan berbual sampai pagi. Itu biasa. Jangan bimbang mengenai hal ini lama-kelamaan mereka akan bosan kerana Malaysia sentiasa mempunyai musim panas. Bersabarlah...”
Ternyata apa yang diperkatakan oleh wanita ini ada benarnya. Selepas beberapa tahun, suami sudah mula bosan untuk keluar rumah. Jarang sekali balik lambat kecuali bekerja kerana Malaysia mempunyai musim panas sepanjang tahun, bukan tiga bulan setahun seperti Turki!
Perbezaan budaya Melayu dan Turki memang sangat ketara. Orang Melayu pantang dipegang kepalanya, pantang dicuit. Sedangkan orang Turki suka bergurau dengan menepuk dahi atau kepala secara lembut. Pernah terjadi suami bergurau dengan seorang kanak-kanak di sebuah pasaraya di Malaysia dengan menepuk dahinya dan ibu anak itu menyerang suami. Saya beritahu ibu tersebut suami bergurau sahaja sebenarnya.
Tetapi wanita itu tetap menyinga… hahahaha.
Orang Turki sangat meraikan tetamu. Apa sahaja makanan yang ada akan diberikan kepada tetamu. Mereka biasanya tidak makan bersama tetapi menunggu kita yang menjadi tetamu ini habis makan. Sebaik sahaja makanan habis di pinggan mereka akan tambah.
Perkara ini kadangkala membuat kita tidak selesa kerana budaya Melayu, kita dengan tetamu akan makan sekali sambil berbual. Tetapi ketidakselesaan itu harus dipelajari dan dibiasakan supaya tidak ada renggang yang menimbulkan salah faham atau perselisihan.
Perempuan Turki kebanyakannya suri rumah. Mereka sangat rajin, rumah sentiasa dikemas, tingkap sentiasa dilap. Tidak Terbuat saya memandangkan wanita di Malaysia ini bekerja. Mereka juga suka berkelah di taman bunga. Mungkin kerana musim panas adalah musim cuti, maka akan terlihatlah di musim panas ini taman dipenuhi dengan wanita yang membawa makanan bersama teman-teman wanita walau sudah berkeluarga dan anak-anak kecil akan dibawa sekali. Kita pula biasanya kalau sudah berkeluarga, mahu berkelah harus bersama keluarga bukan bersama-sama rakan.
Cumanya untungnya saya, budaya wanita yang sudah berkahwin ini keluar bersama teman teman wanita mereka, dapat diserap dalam rumahtangga saya, di mana suami tidak pernah melarang saya keluar bersama teman, bercuti bersama teman saya dan tidak pernah menghalang saya mahu ke mana- mana asalkan saya pandai menjaga diri. Bahkan setiap kali ada rakan yang datang ke rumah, beliau akan mengambil dari lapangan terbang atau menghantar mereka ke lapangan terbang.
Masalah Pemilikan Harta
Apabila sudah berkahwin, sudah pasti kita mahu mengumpul harta, membeli rumah atau kereta. Tetapi disebabkan warga asing tidak boleh membeli rumah di bawah harga tertentu atau sukar membeli kenderaan maka semua itu harus saya lakukan sendiri.
Paling saya bersyukur suami tidak pernah mempertikaikan jika mana-mana rumah atau premis diletak nama saya walau semua itu adalah hasil daripada titik peluh kami berdua. Masalah begini juga menjadikan saya arif mengenai pembelian rumah, kenderaan dan beberapa hal lain dan menjadikan saya seorang yang sangat mandiri.
Bukan setakat membeli rumah atau kereta tetapi mendaftarkan talian telefon, membeli perkakas rumah dan apa sahaja hal yang melibatkan ‘authority’ di Malaysia saya harus menyelesaikan sendiri. Walau kadangkala tertekan dan tidak dapat dibantu oleh suami tetapi ditemani ke sana ke mari sudah mencukupi sekali gus menanam rasa syukur dengan apa yang saya miliki.
Kata-Kata yang Ringkas Tapi Signifikan
Kegagalan dalam sesebuah perkahwinan berpunca daripada banyak perkara. Termasuklah masalah komunikasi antara pasangan. Suami tidak banyak bercakap hanya mendiamkan diri dan isteri yang terlalu banyak membebel sehingga tidak memberi peluang kepada pasangannya bersuara kerap kali berlaku dalam sesebuah rumahtangga.
Dalam kehidupan saya seharian, sebenarnya saya tidak pandai membebel tetapi suami sebaliknya. Sudah sifat orang Turki yang selalu vokal. Suami akan bercakap dengan suara yang kuat. Pada awal perkahwinan apabila suami marah saya akan membalas balik dengan kemarahan. Tetapi apabila proses kehidupan berjalan, mencari titik sesuai antara pasangan yang seharusnya lengkap melengkapi, saya lebih banyak mengambil jalan damai.
Apabila suami marah atau menjerit saya diam sahaja, hanya membiarkan kemarahan diluahkan kerana saya sedar kalau saya menjerit, suami menjerit. Saya tidak mendengar suami bercakap dan suami tidak mendengar apa yang mahu saya perkatakan. Kadangkala kalau suami marah dan kemarahan itu tidak dapat dihentikan, saya akan datang kepadanya, memeluknya dan ajak sama-sama beristighfar dan akhirnya dia akan ketawa sendiri.
Satu hal yang saya lihat yang sangat baik pada diri suami, dia seorang yang sering mengucapkan perkataan sayang terhadap saya dan anak. Bahkan dia memanggil anak saya Qaisara dengan panggilan kizim (anak perempuanku).
Dua Perkataan Ajaib Dalam Rumahtangga
Ada dua perkataan ajaib yang dapat menenangkan rumahtangga tetapi bagi sesetengah pasangan amat berat untuk diucapkan, iaitu “Maaf” dan “Terima Kasih”. Perkataan ini sangat ringkas, mudah disebut tetapi seperti tidak membudaya dalam kehidupan kita sehari-harian sedangkan ia sangat signifikan.
Perkataan terima kasih dan maaf memang sangat dipraktikkan dalam rumahtangga kami. Setiap kali selesai makan suami akan melafazkan perkataan terima kasih. “Terima kasih sayang, awak masak sedap hari ini. Terima kasih masakkan saya.”
Sama seperti perempuan lain di luar sana, menerima ucapan terima kasih daripada seorang yang kita sayangi sudah cukup membersihkan segala kelelahan daripada sedikit usaha yang memerlukan tenaga. Setiap kali lepas makan, memang ucapan itu tidak pernah gagal dituturkan oleh suami bahkan apa sahaja masakan isterinya adalah sedap. Selama hayat rumahtangga kami, ucapan itu sentiasa bermain di bibir.
Kalau berbuat silap, memang suami tidak ragu-ragu mengucapkan perkataan maaf kalau dia tahu dirinya bersalah. Bahkan anak saya Qaisara juga tidak silu memohon maaf jika telah melakukan kesilapan. Kadangkala sebagai manusia, suami tidak perasan sudah menyakitkan hati saya. Qaisara yang sangat sensitif dan perasan dengan perubahan saya akan memberitahu babanya dan menyuruh si baba meminta maaf dengan segera.
Keadaan selalu menjadi lucu apabila Qaisara menyuruh babanya memeluk, mencium atau melutut memohon maaf daripada saya. Keadaan ini akan menjadikan rumah riuh, rasa sakit hati dan merajuk deras sahaja pergi.
Kita Perlu Terima Kekurangan Pasangan
Kita selalu berharap orang lelaki menjadi pemimpin kita. Orang lelaki akan menjadi imam kita dan kita berharap suami kita adalah orang yang paling sempurna. Tetapi kita lupa, lelaki ini adalah manusia, manusia yang bersifat insan. Insan sifatnya kekurangan, jauh daripada sempurna.
Walau dia lelaki, dia juga tidak sempurna seperti kita. Harus dibimbing oleh si isteri. Contoh setiap pagi saya pasti kejutkan suami bersolat tahajud. Saya bangun dahulu biasanya. Selepas bertahajud empat atau enam rakaat saya akan kejutkan suami. Kejut pun kena ada skill, kena ada cara supaya suami tidak marah. Pegang kakinya, tepuk bahunya perlahan. Saya akan puji dia dahulu.
“Suamiku yang tampan, bangun dah nak dekat pukul lima. Solat tahajud...”
Kalau sekali dia tak bangun, saya akan kejutkan lagi, kalau tidak saya akan kejutkan lagi. Hari ini dia tak bangun esok mungkin dia bangun. Suami ini walau dah 13 tahun kahwin, tetapi jam masih ikut jam Turki. Tidur pukul dua-tiga pagi. Jadi selalu pesan tidur awal supaya dia boleh bersolat tahajud. Kadangkala dia ikut, kadangkala tidak. Kita kena terima kekurangan dia. Subuh pun saya akan kejutkan.
Kadangkala saya marah juga, kenapa saya harus kejut dia setiap kali solat Subuh? Tetapi setiap kali itu dia akan bercerita kepada saya. “Ayah saya dahulu tukang azan di masjid, kemudian akhir hayatnya menjadi imam. Setiap kali nak bangun ke masjid emak saya kena kejut. Kalau emak saya terlambat bangun... orang di kawasan sekitar tak bangun solat, tak ke masjid... sebab tukang azan tak sedar. Apabila ayah bersara, emak saya minta duit ayah saya separuh. Kata emak itu duit kejutkan ayah saya...”
Suami akan ketawa. Kami akan ketawa bersama dan kami meraikan kekurangan masing-masing dengan hati yang terbuka. Mungkin cara didikan dia dari kecil, melihat ibunya membangunkan ayahnya. Cara didikan saya pula berlainan. Saya dibesarkan dengan ayah yang bangun awal. Bangun tiga pagi bertahajud, kemudian ke masjid mengaji Al-Quran. Membangunkan anak-anak dengan laungan suara yang kuat.
Jangan Ada Sikap Suka Mengungkit
Saya sangat beruntung mendapat suami yang tidak suka mengungkit dan seringkali lupa dengan apa yang telah dilakukannya. Sesuatu hal yang menjadikan rumahtangga seseorang itu bergoyang atau bergoncang dan tidak damai kerana sikap pasangan yang suka mengungkit. Saya pula jenis yang akan sekali-sekala mengungkit. Tetapi apabila sudah lama berkahwin saya cuba menjadi seperti suami yang tidak pernah mengungkit.
Kalau saya mengungkit dalam sesuatu hal pula penerimaan suami adalah sangat matang, beliau akan ketawa berdekah- dekah sambil berkata saya sudah buka kitab cerita nenek moyang!
Terima Apa Sahaja Pemberian
Suami seorang lelaki yang romantis dan ayah yang sangat menyayangi anaknya. Setiap kali suami keluar negara, suami akan membelikan kami sesuatu seperti pakaian, beg tangan atau mainan. Namun kerap kali suami membeli pakaian yang salah saiz, warna yang tidak berkenan di mata.
Tetapi saya selalu ingatkan kepada diri saya jangan sesekali memperkecilkan usaha suami yang mahu menggembirakan hati kami. Saya akan puji baju yang dibelikan cantik tetapi saya hanya pakai apabila saya sudah kurus (baju itu tidak muat sebenarnya, hahaha). Anak saya Qaisara sangat menitikberatkan hal feminin dalam berpakaian. Dia sama sekali tidak akan memakai pakaian yang berunsurkan maskulin. Maksud saya, tidak mahu baju yang designnya kotak-kotak, kasut sukan seperti lelaki, baju-T atau kemeja lelaki.
Pernah suami membawa balik banyak baju-T anak-anak lelaki apabila pulang dari Turki. Sudah pasti ini mengecewakan Qaisara. Lalu saya bertanya suami, kenapa dia membelikan anaknya t-shirt budak lelaki sedangkan dia amat arif mengenai karakter anaknya yang satu ini?
“Saya ke kedai bersama seorang kawan saya. Saya suruh dia pilih baju untuk Qaisara bersama saya. Saya lupa sama sekali anaknya semua lelaki. Jadi dia pilih semua baju anak- anak lelaki. Saya pula tidak periksa dan terus membayarnya. Baju perempuan yang saya bawa balik itu saya yang pilih dan baju anak-anak lelaki itu kawan saya yang pilih...”
Hal ini mungkin bagi sesetengah orang satu kesilapan yang menyakitkan hati tetapi saya sering memandang hal begini sesuatu yang lucu dan boleh ditertawakan bersama. Jadi, kami sama-sama ketawa dan akhirnya saya berjaya memujuk Qaisara memakai baju-T tersebut kerana mahu dia menghargai apa sahaja pemberian daripada babanya.
Cara Mendidik Anak
Selepas empat kali mengandung saya hanya berjaya melahirkan seorang anak. Namun saya anggap ini anugerah Allah SWT yang tidak ternilai dan sangat saya hargai. Qaisara anak perempuan saya sekarang berusia 10 tahun. Anak yang lemah-lembut dan seringkali menyejukkan perasaan. Kalau orang berkata anak adalah harta tetapi bagi saya anak adalah tanggungjawab yang banyak mengajar saya menjadi insan yang lebih baik.
Cara saya dididik satu ketika dahulu agak keras. Cara lama yang saya fikir kurang praktikal digunakan waktu kini. Jadi cara saya mendidik anak, adalah 100 peratus berlainan daripada apa yang saya terima.
Qaisara anak saya sentiasa diberi peluang bersuara dan bercerita. Tidak kisah apa sahaja cerita yang dia lihat dan dengar. Kisah mengenai kawannya, kisah di YouTube yang ditontonnya, kisah Donald Trump yang selalu membuat kenyataan tidak cerdik dan menimbulkan kemarahannya. Kisah orang yang mempunyai perangai OCD. Semuanya akan saya dengar dengan teliti supaya dia tahu kita mengambil berat terhadapnya dan kita sentiasa ada untuk mendengar.
Dalam mendidik anak, saya tidak pernah gunakan rotan, cubitan apatah lagi tamparan. Saya seorang ibu yang tidak sesekali akan menggunakan rotan untuk anak. Jadi apa senjata saya bagi melembutkan hati anak? Pelukan, berkata yang baik- baik dan doa. Setiap kali dia membantu saya walau mengambil sebatang pensil saya akan ucap terima kasih, setiap hari saya akan peluk dan cium dia sambil menyatakan syukur saya mempunyai anak sebaik dia dan terima kasih kepada Allah SWT yang memberikan saya anak yang baik.
Doa memang sentiasa kami praktikkan dalam keluarga kami. Doa sebelum tidur biasanya sangat penting. Kalau ada sahabat yang sakit saya akan beritahu Qaisara, “Ada kawan umi yang umi dapat tahu berada di hospital. Mari kita berdoa untuk dia.”
Maka kami akan berdoa bersama-sama. Kadangkala doa kami menjadi panjang kerana ada rakan yang sakit, ada rakan yang mahu berumahtangga atau bersalin.
Adab Anak Kita Amat Penting
Saya sangat menitikberatkan adab anak saya. Setiap kali ada pertemuan dengan guru di sekolah, pada hari mengambil kad laporan, hal pertama yang saya tanya kepada guru, apakah anak saya pernah biadap dengan guru-guru di sekolah? Biasanya jawapan guru memuaskan hati saya. Saya rasa sangat bersyukur. Keputusan pelajaran bagi saya, letaknya nombor dua, paling penting adab sopan anak yang perlu dijaga. Adab bukan setakat dengan guru sahaja, tetapi dengan rakan sekelas, dengan pekerja sokongan di sekolah bahkan dengan
pekerja kantin.
Saya juga amat rapat dengan anak buah, saya suka membawa mereka berjalan, menonton wayang, ke taman tema. Sebab itu kalau beli kereta saya harus beli kereta tujuh tempat duduk, supaya saya boleh bawa anak-anak buah saya keluar berjalan. Tidak kisah kereta jenis apa, asalkan tujuh tempat duduk.
Setiap kali balik ke kampung, saya rasa bersalah kalau tidak bawa anak-anak buah ini berjalan. Menggembirakan mereka. Tetapi dalam masa yang sama saya agak tegas dengan mereka. Contohnya selepas makan di restoran makanan segera, saya suruh mereka kemas, letak sisa makanan setempat, sorongkan kerusi di tempat asal dan buang tisu di tempat sepatutnya. Pelajaran yang kecil tetapi mengajar mereka makna tanggungjawab. Sehingga pernah satu hari pekerja menegah anak-anak buah melakukan tetapi saya tegaskan inilah salah satu cara saya mengajar anak mengenai kebersihan.
Keluar beramai-ramai juga ada sebabnya, saya mahu hubungan Qaisara dan sepupunya jadi rapat. Saya mahu Qaisara tahu asal usulnya, kenal dengan sepupunya dan rapat dengan emak dan bapa saudaranya. Hal ini sangat saya titikberatkan. Hal keluarga dan silaturrahim boleh menjadi renggang kalau tidak dibentuk dari sekarang. Apabila ada bapa saudara, sepupu atau saudara-mara yang sakit, saya akan bersegera balik dan membawa Qaisara menziarahi. Kalau perlu bercuti daripada sekolah, saya akan cutikan.
Saya bukan ibu yang bercita-cita tinggi. Ramai orang dari awal sudah berangan-angan mahu jadikan anak doktor, jurutera dan sebagainya tetapi saya mahu jadikan anak saya manusia dengan erti kata yang sebenar. Saya mahu Qaisara ada ilmu agama di dalam dadanya dan belajar bahasa yang dia suka. Selain itu terpulang kepada dia, mahu jadi apa? Saya mahu dia menentukan separuh daripada masa depannya dan yang separuh itu saya yang akan membentuknya.
Kalau ada masa atau hujung minggu saya selalu bertadarus bersama anak. Saya akan suruh dia dengar bacaan saya dan alhamdulilah Qaisara sudah pandai menegur kesilapan saya dalam membaca Al-Quran. Sesuatu yang manis sebagai seorang ibu apabila anak kadangkala lebih pandai daripada ibunya.
Penulis Novel Tapi Anak Tak Suka Baca Novel
Qaisara tidak suka membaca novel. Dia lebih suka membaca buku- buku fakta dan hadis. Ada sebuah buku mengenai 40 hadis daif, pernah dikhatamnya beberapa kali. Pernah dia bercerita ustazahnya memberitahu di dalam kelas, belajar Bahasa Arab adalah penting dan Bahasa Arab adalah bahasa syurga. Qaisara mengangkat tangannya dan membetulkan kesilapan gurunya. Kata Qaisara, hadis yang mengatakan Bahasa Arab adalah bahasa syurga itu daif dan palsu. Jadi ustazah tak boleh cakap begitu. Syukur ustazah menerima teguran itu dengan hati yang terbuka.
Dia juga sukakan Sains dan suka membaca fakta mengenai Sains. Suka membuat apa-apa sahaja uji kaji sains. Entah berapa banyaklah tepung saya yang sudah dihabiskan, berbotol botol gam, pewangi rumah dan sabun basuh semata-mata mahu membuat uji kaji. Saya layankan sahaja kerana bagi saya anak-anak tidak boleh disekat kreativitinya.
Hidup Tidak Mudah!
Dibesarkan dalam keadaan hidup yang mudah, saya tahu Qaisara harus diajar bersimpati dengan orang lain. Bagaimana mahu mengajar dia? Sedangkan di sekeliling dia semua yang dia kenal, agak senang hidupnya. Tinggal di taman perumahan sederhana yang sukar berjumpa dengan orang yang susah, bersekolah di sekolah swasta yang semua dari anak-anak keluarga mampu dan ibu bapa saudaranya bukanlah orang yang susah menjadikan saya sering terfikir, bagaimana mahu menjadikan Qaisara anak yang ada rasa simpati dan empati kepada orang lain? Sebab itu sejak berusia empat tahun saya sudah bawa dia tidur di rumah anak yatim. Berkongsi mandi kolah dengan anak yang tidak bernasib baik. Pernah di rumah anak yatim dia digigit ulat bulu sehingga bengkak seluruh badan. Semuanya pelajaran terbaik buatnya berkongsi rasa. Rasa susah seorang anak yang terpaksa tinggal di rumah anak yatim tidak punya ibu dan bapa.
Sepanjang bulan Ramadan memang saya bawa dia mencari asnaf di Sarawak dan di Melaka. Saya cutikan dia dari sekolah. Konsep saya mudah, pelajaran di sekolah dan mempelajari kehidupan orang lain sama pentingnya. Ada hal yang tidak dapat di sekolah tetapi berada di luar sana. Jadi saya harus memberi dia pelajaran tersebut dengan cara berkorban sedikit. Kami akan masuk ke kampung-kampung mencari orang susah untuk diberi bantuan zakat atau makanan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Walau kadangkala dia meragam sebab penat (bayangkan satu hari kadangkala kami turun naik 40 rumah asnaf) tetapi saya bagi dia kelonggaran kalau penat duduk di dalam kereta. Perhatikan kami bekerja.
Dia tidak mual atau geli masuk ke rumah orang tua yang berbau hancing. Dia tidak kisah masuk ke rumah orang yang sudah rebah dan buruk kerana dia sudah saya ajar sejak kecil. “Kalau umi tiada nanti, Qaisara sambunglah kerja umi nanti...”
Itulah yang selalu saya pesan dengan dia. Setakat ini dia tidak banyak membantah. Bahkan dia anak yang sangat menurut kata, senang diuruskan.