Dec 26, 2016 - 7419

Kisah Aiman, Anak Disleksia dan ‘Moderate Mental Retarded’ — Kini Pelajar Automotif Noble School of Engineering!

“Biar mak mati, asal kamu hidup!" Si ibu merayu kepada Allah sewaktu dia bertarung nyawa melahirkan anak sulungnya, Aiman. Satu perkara yang dia tidak tahu, betapa tujuh tahun selepas kelahiran itu Aiman disahkan Disleksia dan 'Moderate Mental Retarded'.

 

Oleh: Onlia Mohd Dom

 

 

SEBAIK menolak pintu gelongsor kaca, langkah saya terhenti memandang tanpa kerdip dua bulatan hitam besar terpampang pada dinding di ruang tamu. “Apakah ini?” Tanya hati. 

 

Tiba-tiba seorang anak berdiri di hadapan sambil senyuman lebar. “Aiman lukis mata. The eyes that watching you.” 

 

Lalu anak itu bergerak ke arah dinding yang dilukis sepasang bulatan besar sambil mendepangkan kedua-dua tangan yang comot dengan kesan pen marker. Anak itu membulatkan matanya besar-besar menunggu si ibu yang keletihan dari tempat kerja memuji perbuatannya.

 

Kelahiran yang ditunggu

Aiman ialah anak sulung saya. Saya mengandungkannya selepas sebulan lebih bersanding. Kami bernikah gantung pada September 1997 dan bersanding pada Februari 1998. Aiman dilahirkan pada 12 Disember 1998. 

 

Sememangnya saya dan suami menunggu kedatangan Aiman dalam hidup kami. Suami melayan saya bagai puteri tatkala diberitahu saya mengandung. Namanya pun sudah kami pilih sebaik sahaja doktor mengesahkan jantinanya. Dalam kandungan, Aiman agak aktif kerana kami rajin berbual dengannya. Suami juga gemar membaca Al-Quran untuk Aiman. 

 

Demi Aiman, saya memilih bersalin di klinik perbidanan swasta. Biarpun waktu itu gaji kami cukup-cukup makan, tapi demi anak sulung, kami sanggup tidak membeli kenderaan. Kami menyimpan duit supaya cukup untuk membiayai kos bersalin di klinik swasta yang tersohor waktu itu. 

 

>>>[KLIK DI SINI] Bagaimana Lelaki Ini Mendidik 11 Anak Syurga yang Autistik, ADHD dan Disleksia Dengan Ikhlas, Bacalah<<<

 

 

Biar Mak Mati, Asal Kamu Hidup

Doktor meramalkan tarikh bersalin saya pada 12 Disember. Saya diwajibkan datang untuk check-up pada tarikh tersebut. Mungkin disebabkan saya sangat gelisah, berdebar-debar dan takut mengenangkan proses bersalin, Aiman kerap mengeraskan diri sehingga saya mengaduh kesakitan beberapa hari sebelum 12 Disember. Mujurlah emak dan ayah sudi datang dari kampung menemani saya. 

 

Saya mengambil cuti awal supaya tidak kelam kabut. Tepat pada tarikh check-up, selepas bersarapan ringkas, emak menyuruh saya minum air kopi yang dicampur telur ayam mentah. Saya ikutkan saja kerana menurut emak, minuman itu memberi tenaga tambahan. 

 

Kami tiba awal di klinik, sebelum jam 7.00 pagi dan menjadi pasangan pertama mendaftar, tepat jam 7.00 pagi. Semasa diperiksa, doktor menyarankan supaya saya menggunakan kaedah induce yang boleh mempercepatkan proses bersalin. Lagipun kandungan saya sudah cukup matang. Kami yang tiada pengalaman dalam bab ini mengikut saja saranan doktor. 

 

Saya dibawa masuk ke bilik bersalin, disuruh menukar pakaian, dipasangkan drip dan terus dimasukkan air bercampur ubat. Saya tidak dibenarkan bergerak sebaliknya berbaring dengan perut dipasang alat pengesan denyutan jantung bayi. Bagi menenangkan perasaan, saya berzikir, beristigar, berselawat dan membaca doa Nabi Yunus tanpa henti. 

 

Menjelang tengah hari, tiada tanda-tanda saya akan bersalin. Tiada rasa sakit sedikitpun. Perut saya pun sudah berbunyi-bunyi minta diisi.

 

Melihatkan saya gelisah dan mengadu lapar, doktor terus memberitahu kami yang dia hendak memecahkan air ketuban supaya saya cepat bersalin. Sekali lagi, kami yang tiada pengalaman dalam bab ini mengikut saja saranan doktor. Ternyata proses memecahkan air ketuban sangat tidak selesa dan menyakitkan. Saya tahankan juga demi melihat Aiman lahir ke dunia. 

 

>>>[KLIK DI SINI] "Ada Orang Kata, Anak Autistik Anak yang Gila, Ada Masalah Mental. Sabarlah Hati, Sabarlah…” — Zarina Zainuddin<<<

 

 

Doa Itu Allah Makbulkan 

Menjelang Maghrib, saya masih tidak berasa sakit. Jururawat bersilih ganti melihat keadaan saya. Ada yang menasihatkan saya supaya meneran. Saya pun ikutkan saja saranan jururawat sebab saya sudah tidak betah berbaring begitu lama dan sudah berasa teramat lapar.

 

Memasuki Isyak, emak dan ayah datang. Emak menangis melihat keadaan saya. Melihatkan emak menangis, saya tiba-tiba teringat untuk meminta ampun dan maaf. Waktu itu saya terasa bahawa saya mungkin akan mati bersama bayi dalam kandungan. 

 

Emak dan bapa saudara sebelah suami yang datang melawat, pun ikut menangis. Jururawat yang melihat keadaan itu kelam kabut menelefon doktor. Saya sudah tidak ambil tahu di mana doktor berada sebab berasa teramat letih dan lesu. Saya tiada tenaga hendak bergerak apatah lagi bersuara. Saya serahkan semuanya kepada Allah. 

 

Doktor datang sekitar jam 10.00 malam dengan wajah mencuka. Dia meminta saya supaya meneran sekuat mungkin. Mana mungkin saya ada tenaga untuk meneran waktu itu sebab saya sudah berusaha melakukannya sejak dari jam 7.00 petang lagi. Tanpa sebutir nasi, hanya dibenarkan minum sesudu dua air kosong saja, saya benar-benar tidak berupaya. Doktor sedikitpun tidak peduli keadaan saya, malah mengherdik saya supaya tidak membuang masanya. Dia punya keluarga dan saya sudah mencuri masanya bersama keluarga. Allah saja yang tahu perasaan saya kala itu. 

 

Andai saya punya tenaga, mahu saja saya bangun menanggalkan semua peralatan yang melilit perut dan keluar dari klinik tersebut. Dalam hati, saya merayu bersungguh-sungguh kepada Allah supaya mengizinkan bayi saya dilahirkan. Andai kata saya perlu mati waktu itu, saya reda, asalkan Aiman dapat melihat dunia. 

 

Saya tidak pasti doa saya atau doa emak yang dimakbulkan, tapi tiba-tiba saya berasa sakit dan berupaya meneran seperti sepatutnya. 

 

Detik Kelahiran Aiman Mendebarkan

Biarpun saya meneran sekuat hati, bayi seolah-olah tersangkut tidak bergerak, sekitar jam 11.00 malam, doktor terpaksa membuat potongan dari vagina hingga ke anus (four degree cut) dan menarik kepalanya menggunakan forcep. 

 

Tubuh Aiman yang ditarik keluar tidak merah tetapi berwarna ungu. Aiman juga tidak berbunyi seperti bayi lain. Di satu sudut tidak jauh dari katil, saya melihat jururawat dan seorang doktor lain menggosok-gosok belakang badan, menepuk-nepuk punggung, menggoncang-goncang tubuh lembik Aiman dan menyedut bahagian mulut untuk mengeluarkan lendir. 

 

Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu. Biarpun doktor sedang menjahit luka secara kasar tanpa bius, saya langsung tidak berasa sakit kerana tumpuan saya 100 peratus kepada Aiman. 

 

Saya menangis dan berdoa di dalam hati, “Tuhan jangan ambil nyawa anakku tapi ambillah nyawaku. Biar aku jadi galang gantinya Tuhan.”  

 

Habis berdoa, tiba-tiba saya mendengar Aiman menangis. Masya-Allah, anak saya hidup. Terima kasih ya Allah, anak sulung kami selamat.

 

>>>[KLIK DI SINI] 6 Tahun Berkorban, Dr. Soo Wincci Dedahkan Mengapa Ijazah PhD Memburaikan Tangisan Pilunya<<<

 

 

Nampak Seperti Normal, Hakikatnya…

Mungkin disebabkan lahirnya dalam Disember, saya sentiasa menganggap Aiman sebagai late bloomer. Malah setiap kali saya membawa Aiman ke klinik untuk pemeriksaan rutin dan mendapat suntikan mengikut jadual dalam buku biru, doktor mengatakan anak saya ini manja dan lambat sedikit kerana lahirnya pun dalam bulan penghujung.

 

Saya memang sangat memanjakan Aiman. Tidurnya di atas dada dan tidak pernah berenggang sepanjang tempoh berpantang. Sejak pandai berjalan Aiman menunjukkan beberapa perbuatan yang mencabar kesabaran. Sesetengahnya dilakukan berulang kali biarpun jenuh saya marah. Antaranya, menabur habis berbotol-botol bedak ke atas lantai, tilam dan di atas kepalanya; mencurah syampu dan cecair sabun mandi ke dalam sink; memicit ubat gigi ke atas lantai bilik air dan mengutip serta memakan apa juga jenis serangga. 

 

Aiman juga tidak tahu bagaimana hendak membuang air besar biarpun setiap hari diajar sehinggalah usianya mencecah enam tahun. Dia payah hendak mengingat yang mana tangan kanan dan kiri serta tidak juga pandai menyarung selipar atau kasut dengan betul melainkan terpaksa dibantu. 

 

Waktu berusia lima hingga enam tahun, sikap Aiman semakin pelik. Dia pernah menendang pintu kaca gelongsor sehingga pecah kerana hendak mengambil bola di luar pintu. Alasannya, malas hendak buka pintu. Memecahkan daun pintu kabinet peralatan pandang dengar (audio visual) kerana hendak mengambil CD Ultraman. Menconteng setiap inci permukaan dinding rumah, sehingga saya hilang kata-kata hendak memarahinya. 

 

Biarpun berkajang-kajang kertas kosong diberi. Aiman tetap menjadikan dinding sebagai kanvas melepas ekspresi. Semua itu saya anggap sebagai sikap nakal seorang kanak-kanak. Lagipun sebenarnya Aiman seorang yang pendiam. Sangat susah hendak mendengar suaranya. Memang tidak terlintas sedikitpun dalam fikiran bahawa Aiman sebenarnya seorang kurang upaya.

 

 

Baru Kutahu Anakku Disleksia

Disebabkan Aiman membesar seperti kanak-kanak lain, saya menghantar dia ke tadika berdekatan rumah. Cikgu-cikgu menyukai Aiman kerana dia senang tersenyum dan tidak banyak ragam. Sehinggalah pada hari graduasi tadika, Aiman masih tidak mampu membaca apatah lagi mengira. 

 

Saya menyuarakan kebimbangan kepada cikgu tadika namun mereka menenangkan saya dengan mengatakan memang sesetengah kanak-kanak lambat menangkap tapi pasti Aiman akan pandai membaca dan mengira di sekolah rendah.

 

Saya terus berfikiran positif biarpun perasan Aiman tidak boleh melakukan dua pekerjaan dalam satu-satu masa seperti tidak boleh berlari sambil membawa bola, tidak mampu membuat lompat bintang atau berlari sambil bertepuk tangan.      

 

Bagaimanapun seminggu berada di dalam darjah satu, cikgu kelas meninggalkan pesan menerusi Aiman hendak berjumpa saya. Kelam seketika dunia apabila cikgu memberitahu saya yang Aiman mungkin tidak normal dan kebarangkalian seorang Disleksia (Dyslexia). Berhari-hari saya mencari maklumat mengenainya kerana waktu itu sistem pencarian Google atau Yahoo masih belum meluas. 

 

Cabaran Aiman di Sekolah yang Menyentap Perasaan 

Suatu hari, saya ke sekolah kerana hendak mendapatkan pandangan daripada guru besar. Saya melintas kelas Aiman yang kebetulan berada di tingkat bawah. Tanpa sengaja, saya terpandang guru kelas sedang mencucuk-cucuk bahu Aiman menggunakan pembaris kayu panjang sambil menjerit-jerit memanggil namanya. Aiman memang mudah termenung. Di mana-mana pun Aiman suka termenung dan bukan mudah hendak menyedarkannya. Dia seolah-olah tenggelam dalam dunia sendiri. 

 

Tersentap melihat keadaan itu, saya terus ke kelas meminta izin cikgu membawa Aiman pulang. Keesokan harinya saya berjumpa guru besar dan memaklumkan kepadanya, anak sakit dan perlu bercuti panjang untuk mendapatkan rawatan. Tidak sedikitpun saya cerita kejadian guru kelas mencucuk bahu Aiman kepada guru besar. 

 

Berpandukan maklumat yang sangat terbatas mengenai Disleksia, saya bawa Aiman ke Persatuan Disleksia Malaysia di Jalan Kuantan, Titiwangsa untuk menjalani ujian pengesahan berbayar. Hasil ujian itu mengesahkan Aiman mempunyai ciri-ciri kanak-kanak Disleksia. Tidak puas hati dengan ujian itu, saya membawa Aiman untuk pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya. Ujian demi ujian dibuat dan akhirnya, doktor mengesahkan anak saya seorang OKU.  

 

>>>[KLIK DI SINI] Bagaimana Wanita Ini Mengajar Anaknya Ikhtiar Hidup Selepas Dia dan Suami Hilang Pekerjaan<<<

 

 

Dia Semakin Pandai

Kehidupan kami sekeluarga berubah 100 peratus selepas doktor mengesahkan dia Disleksia serta Moderate Mental Retarded. Aiman tidak lagi ke sekolah sebaliknya menjalani beberapa sesi pemulihan di Unit Psikologi Kanak-kanak PPUM. Selepas setahun dan mendapat surat kelulusan daripada doktor, barulah Aiman sambung belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indah yang mempunyai kelas khas untuk kanak-kanak kurang upaya. 

 

Di sekolah itu, Aiman belajar membaca dan mengira. Dua tahun dalam kelas pemulihan, saya membuat rayuan kepada cikgu untuk membenarkan Aiman menduduki peperiksaan UPSR seperti kanak-kanak normal. Alhamdulillah pada usia 14 tahun, Aiman berjaya mendapat keputusan 3A, 2B dalam peperiksaan UPSR. Aiman juga berjaya mendapat keputusan 4A dalam peperiksaan PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Perdana sewaktu berusia 17 tahun.

 

Aiman Tak Kisah

Sebenarnya sangat mudah membesarkan seorang Aiman. Masaklah apa pun, dia akan makan. Dia tidak pernah cerewet. Makan nasi berlauk telur goreng tiga kali sehari, setiap hari pun dia okey. Katalah dia buncit, boroi, gemuk, gendut, berbulu, berjerawat, Aiman memang tidak kisah dengan apa juga gelaran. Tiada riak kurang senang pada wajah. Malah dihadiahkan kepada sesiapa yang mengata segaris senyuman. Suruhlah dia buat apa pun kerja, dia akan buat tanpa berkira. Tidak pernah sekali pun Aiman bertanya mengapa asyik dia saja yang disuruh.

 

Hari ini, Aiman sedang menyambung pengajian di Noble School of Engineering dalam bidang automotif. Ramai kawan-kawan kolej yang tidak tahu Aiman sebenarnya seorang OKU. 

 

Sikap Aiman yang banyak bertanya (salah satu sikap menonjol bagi golongan Disleksia) dianggap lucu oleh sebahagian kawan-kawan termasuk pensyarah. Kadang-kadang Aiman mengadu dibuli apabila lokernya dipecah dan barang peribadinya diambil tapi saya menasihatkan Aiman supaya bersabar. Ternyata, Aiman memang penyabar orangnya. Sehinggakan kawan yang suka membulinya dulu kini menjadi kawan baik. 

 

Alhamdulillah syukur, tidak siapa pun akan menyangka anak yang dulu sangat pendiam, suka termenung dan membuat pelbagai perkara aneh kini sudah boleh berbual berkenaan enjin kereta. Anak yang sangat saya bimbang apa akan jadi apabila dewasa kini sudah boleh berdikari tinggal jauh di Taiping, Perak. 

 

Doa saya, semoga Allah permudahkan urusan anak ini dan semoga Allah lindungi dia daripada bahaya. Amin. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Bagaimana Wanita Ini Mengajar Anaknya Ikhtiar Hidup Selepas Dia dan Suami Hilang Pekerjaan

  • Seterus →

    Sejak Kecil Makan Jeruk Ikan, Kini Hidupnya Mewah Raih RM15 Juta Setahun — Ikuti Kisah Doktor Bergelar Jutawan