Jun 11, 2017 - 681

Pernahkah Anda Rasa Hidup Anda Tak Berguna? BACALAH Artikel Ini, Ia Bakal Ubah Kehidupan Anda

Mungkin pernah berlaku, sekali dalam hidup, anda berasa kehidupan anda itu hanya penuh dengan kesia-siaan. Bacalah artikel ini. Ia bakal mengubah cara anda melihat kehidupan.

 

 

 

Oleh: Dr. Mohd Faizal Musa

 

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

 

SIAPAKAH di antara kita yang berasa hidupnya tidak berguna sekarang ini?

 

Pernahkah anda mengalami satu pacuan atau pecutan yang kencang, laju dan ligat dalam kehidupan. Bayangkan: anda lulus cemerlang dari pengajian tinggi. Anda beroleh pekerjaan yang diburu. Anda mendaki tangga karier dengan deras. Anda dipuji melambung atas jasa dan bakti yang anda bajai dalam masyarakat. Anda ke luar negara, berehat dan bertenang. Anda tiba-tiba bertemu idaman hati yang ada iras-iras Flavio Parenti ketika percutian tersebut, persis, watak utama dalam filem Woody Allen, To Rome With Love.

 

Semuanya sempurna. Bertemu ibu-bapa. Berbincang seketika. Anda mengahwininya di sebuah hotel terkemuka. Ia bagaikan mimpi. Bagaikan sebuah putaran filem. 

 

Setahun kemudian anda hamil. Selepas berbincang dengan suami dan keluarga, anda berasa wajar (pada kala itu) untuk melepaskan jawatan tinggi. Puteri anda pun dilahirkan. Anda berasa bahagia kerana kini punya suami kacak yang penyayang dan dilengkapkan hidup dengan anak nan comel. Anak itu membesar di hadapan mata. Mendadak, anda kini seorang ibu yang meraikan pesta hari jadi anak pertama, kedua, ketiga…

 

Kemudian Anda Tersedar….

Pada satu hari yang sangat biasa, anak anda meragam lebih dari biasa. Ia mengamuk dan menghempas diri di lantai kerana tidak dilayani kehendaknya. Suami anda ke luar negara (dengan kerap) kerana satu urusan penting. Anda ingin menelefoni teman-teman untuk secangkir dua kopi di kafe seperti selalu. Tiba-tiba anda cemburu melihat teman-teman di laman sosial, di FB dan Twitter berceritera tentang bonus gaji tahun ini, tentang makan malam syarikat yang dihadiri, tentang sibuk kerja. Tiba-tiba anda iri dengan teman-teman yang mengemaskini status di FB kerana baru usai menonton filem, katakan, Django Unchained yang dibintangi oleh buah hati zaman remaja anda iaitu abang Leo Dicaprio. Tiba-tiba anda melihat sekeliling, orang lain, sedang  mengalami satu pacuan atau pecutan yang kencang, laju dan ligat dalam kehidupan. Sedang anda? 

 

Anda sedang meladeni kerenah anak yang tidak reti-reti bahawa coklat kitkat bukan boleh dimakan sampai 10 bungkus sehari, atau memahamkannya bahawa ada iklan tersela antara rancangan Ultraman, atau lebih murung menghadapi suami yang masam mukanya setelah pulang dari mesyuarat yang membingungkan benak. 

    

Orang Lain Seakan Berlari, Tetapi Anda Tetap Tersekat di Situ 

Kemudian anda tersedar, hidup anda telah berhenti. Anda tergendala. Anda terganjal. Anda tidak bergerak. Anda melihat orang lain sedang pantas berlari. Namun, anda sendiri sedang terbungkam. Bukannya anda meratapi kelahiran puteri. Aduh, orang lain berumahtangga sekian lama dan mendambakan anak comel seperti anda. Anda tidak kesal punya anak tentunya. Anda juga tidak menyesali berkahwin dengan lelaki yang anda temui kerana, meski ia selalu muram setelah pulang petang, tetapi ia masih suami yang ada iras-iras Flavio Parenti. 

 

Bukankah teman-teman lain sering memuji suami anda begitu begini sehingga menimbul cuak di hati?

 

Anda tersedar, kini anda tersekat dalam hidup. Anda tidak bergerak. Oh Tuhan apakah yang harus dilakukan?

 

Anda rasa terkurung, terperangkap, anda rasa anda ketinggalan, dan melulu anda rasa rendah diri. Pernahkah anda mengalami itu? Atau memang anda sedang mengalaminya? Kemudian perlahan-lahan ia meratah jiwa, kalbu dan sukma anda. Sekelip mata, kehidupan yang pantas itu terenggut, berhenti, dan anda jadi buntu.

 

Sesetengah waktu anda rasa anda seperti orang gila. Anda mahu menjerit meraung dan melolong untuk mendengarkan sekian isi hati, tetapi anda tidak berupaya tentunya. Apakah yang sedang berlaku? Adakah ia normal?

    

Bagaimana Sahabat Saya Ini, Seorang Wanita Jerman, Melihat Jalur Kehidupannya 

Dengarkan, Disember lalu saya mengunjungi seorang teman lama. Seorang wanita Jerman yang saya mesrai hanya sebagai Ellen. Dia dan suaminya, Joachim adalah teman rapat saya sewaktu berkelana di Jerman tujuh tahun lalu. Sewaktu mulai berkenalan dengan mereka, Ellen dan Joachim belum pun berkahwin. 

 

Kemudian, dalam tempoh tujuh tahun itu, mereka berumahtangga. Mereka datang berbulan madu di Malaysia, mereka ke Pulau Pangkor dan sempat hadir di rumah saya di Melaka. Kedua-duanya menurut saya mempunyai sikap yang agak terkeluar dari landasan tentang kehidupan. Misalnya, kedua-duanya antitelevisyen. Maka set TV mereka dihalau keluar. Kedua-duanya malas mendengar tetek bengek daripada orang sekeliling, justeru majlis perkahwinan mereka dilakukan senyap-senyap di sebuah pulau yang kecil di utara Jerman. Hatta kaum keluarga pun tidak diundang datang kerana menurut Ellen, dia tidak kuasa mendengar rungutan pak cik atau mak ciknya tentang wine yang tidak bermutu atau ‘puff’ yang tidak sedap. ‘Mereka hanya akan merosakkan hari indah saya.’ Demikian kata Ellen.

 

Mereka juga sangat teguh dengan agama, kalau merujuk pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie misalnya, bintang berdua itu akan dirujuk sebagai pasangan penzina kerana bersekedudukan dan tidak berkahwin. Dan sikap sedemikian adalah janggal di Barat sekarang ini.

 

Ellen melanjutkan pengajian sehingga ijazah pertama dalam bidang pengajian Melayu (dia boleh membaca novel 1515 saya dalam Bahasa Melayu!), boleh berbahasa Sanskrit, dan bukan sebarangan wanita. Pendek kata, Ellen seorang perempuan yang bijak. Suaminya, meski lebih banyak diam, juga seorang yang inteligen. Dia kini sedang melanjutkan pengajian doktorat di Universiti Frankfurt tentang sastera suratkhabar di Indonesia. Disember lalu saya menghadiri mereka di Offenbach atas undangan makan siang yang lazat dan mengenyangkan sekali.

 

Saya lupa untuk memberitahu, mereka berdua dikurniai seorang putera gagah bernama Nicolas, yang hanya mahu dipanggil Nick. Rambutnya kuning keemasan dan ia petah sekali berkata-kata.

 

Selepas makan dan mengawasi anak-anak yang sedang bermain (anak saya dan Nick sedang menyusun lego). Saya memberitahu bahawa saya sudah menemui salah seorang teman lama kami yang pada mulanya mengelak untuk bertemu (sudah baca tulisan saya keluaran lalu?). Ellen gesit bertanya mengapakah si teman itu menghindari saya?

 

Saya membalas, ‘Mungkin kerana ia tiada perkembangan dalam hidup justeru ia malas bertemu orang. Ia terasa orang lain berkembang sedang ia terhenti.’

 

Dengan segera dan cekap sekali Ellen menyedarkan kami (saya dan isteri) dengan kata, ‘Saya juga berasa tersekat dalam hidup. Saya ada ijazah dan mahu sekali bekerja di luar sana. Separuh hidup saya sudah terlalu sibuk dan kini tiba-tiba saya tidak tahu bagaimana saya akan meneruskan hidup. Saya bagaikan kelu dan tidak tahu untuk bergerak, kerana kalau saya berlari seperti dulu makanya apa yang akan berlaku kepada Nick dan Joachim? Jadi saya, mengambil sikap yang tidak gamam. Ya, saya tempuhi dan biarkan sahaja, saya tahu episod lain akan datang dan memberi saya pengajaran baharu. Saya tahu saya akan tidak selama-lamanya terhenti di perhentian ini. Tetapi buat masa ini, saya berhenti, ya, dan mengapa saya harus memikirkan tentang orang lain yang tidak berhenti. Mereka juga akan alami ini seperti saya!’

 

 

Kehidupan Kita Ada Satu atau Lebih Perhentian, Anda Mahu Berhenti atau Terus Tercungap?

Memang dalam hidup, pasti ada perhentian; kalau tidak sekali (mungkin ia perhentian yang panjang), akan ada beberapa kali. Tetapi, ya mengapa takut berhenti? Bukankah lebih baik menghirup nafas daripada terlalu mencungap? 

 

Saya tahu, ramai perempuan berasa terperangkap, tertangkap dan tersungkap dalam banyak keadaan. Jika ia perangkap yang mendurjanakan, maka eloklah keluar, berusaha mencari laluan. Jika ia sungkap yang memang menjadi pilihan (suami dan anak) maka harungi ia sebaiknya. Positifnya, kita sedang membantu orang-orang tercinta untuk memacu, memecut dengan kencang, melaju dan meligat dalam kehidupan. Dan anda? Apa salahnya sesekali menjadi pemerhati sahaja dalam kehidupan? Bukankah pelari pecut juga, sesekali (atau buat selamanya) akan berhenti dan duduk di kerusi penonton?

 

Dan jangan sesekali melakukan kesilapan; berhenti dan tidak berlari itu juga adalah sebenarnya satu perkembangan dalam kehidupan!

       

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Dulu Dia Cuci Pinggan di Kedai Orang, Hari Ini Dia Bergelar ‘CEO’! Ini Rahsianya, Anda PERLU BACA

  • Seterus →

    “Kemalangan Ini Dahsyat. Abah Kamu disambut Malaikat!” — Ini Kisah Kasih LUAR BIASA Seorang BAPA, Bacalah