Oct 03, 2016 - 569
Oleh:
Sumber Foto: Affizam Amdan
ARTIKEL berjudul “RIDZUAN PUZI: Budak Gerai Nasi Lemak yang digilap Menjadi Bintang Oleh Lelaki Bernama Coach Affizam. INI KISAHNYA” (tersiar di laman web InTrend pada 23 September 2016), telah ditulis berdasarkan kisah benar dan pengalaman Coach Affizam bin Amdan, 46, yang mendampingi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi semenjak asuhan kesukanan pemuda Cerebral Palsy itu bermula secara terpencil, di bumi bertuah Perlis.
Coach Affizam boleh dikatakan antara individu terpenting yang telah membentuk asas kesukanan Ridzuan Puzi, sehinggalah pemuda OKU itu dilepas terbang ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus mengasah bakat di tangan jurulatih seterusnya.
Ternyata Ridzuan Puzi (Dek Wan) melawan takdir hidup anak Cerebral Palsy apabila dia menjadi atlet pertama berjaya membawa pulang pingat emas sulung negara. Ini bukan sejarah kecil-kecilan yang boleh kita perolok-olokkan. Dek Wan telah mengukir namanya dalam lembar sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik apabila menjuarai acara pecut 100 meter T36.
Dia telah menumpaskan tandingan dari seluruh bucu dunia.
Untuk seorang anak Cerebral Palsy yang tidak berupaya bertutur dengan jelas, tidak berkeupayaan meluruskan otot-otot tangannya, tidak juga mampu mengukir senyuman tanda terima kasih dengan sempurna — sebagaimana pria lain — tidakkah keluarbiasaan ini harus kita kenang dan raikan?
Menurut Dek Wan, seorang lagi individu penting yang tidak akan dilupakan jasanya sampai bila-bila adalah Chuah Heng Oon, 57. Heng Oon adalah orangnya yang telah menghadiahkan Dek Wan sepasang kasut sukan yang baru pada saat Dek Wan amat memerlukan, kerana kasut sukan yang bakal membawanya ke kota Kuala Lumpur — beberapa tahun yang lampau — sudah pun koyak dan terlalu buruk.
Tidak sampai seminggu kemenangan di Rio de Janeiro, Dek Wan pulang ke kampung halaman, ditemukan kembali dengan Heng Oon.
Sumber Foto: Affizam Amdan
Kedua-duanya bertukar dakap dan lafaz terima kasih (dengan bahasa Dek Wan yang tersendiri), dalam satu majlis yang amat mengharukan, disaksikan anak-anak watan Perlis yang menyimpan sentimen sama.
Sumber Foto: Affizam Amdan
Sumber Foto: Affizam Amdan
Dua lagi foto yang sampai ke tangan penulis InTrend adalah rakaman momen Dek Wan menjejakkan kaki buat kali pertama ke gerai nasi lemak, yang telah menyimpan sekian banyak sejarah tawa dan air matanya.
Gerai nasi lemak yang pernah diusahakan oleh Puan Mazni Jaafar (isteri Coach Affizam Amdan, juga seorang OKU) sewaktu Dek Wan mendiaminya suatu waktu dahulu, kini telah pun dirobohkan untuk tujuan pembangunan.
Dalam foto ini, Dek Wan berdiri betul-betul di atas tapak kamar tidurnya. Dia terkedu. Kenangan 10 tahun lalu; desir angin, ringkik cengkerik dan bintik embun, berpusar-pusar di mata dan telinganya.
Hanya Allah SWT yang tahu apa yang datang silih berganti ke kotak memorinya.
Sumber Foto: Affizam Amdan
Sumber Foto: Affizam Amdan
Sumber Foto: Affizam Amdan
Sumber Foto: Affizam Amdan
APA REAKSI NETIZEN SELURUH MALAYSIA?
Perkongsian sejarah kejurulatihan Coach Affizam Amdan dan cerita perjuangan anak Cerebral Palsy ini telah menerima respons yang amat luar biasa daripada netizen seluruh Malaysia. Ayuh, kita ikuti komen, reaksi dan pesanan mereka.