Oct 02, 2016 - 16053

Bagaimana Wanita Ini Sanggup Menjaga & Menyusukan Anak-anak HIV/AIDS, Dua Meninggal di Pangkuannya.

Ramai wanita berjiwa kental, berhati lembut malah mungkin mempunyai wang dan kekayaan. Namun belum tentu kaya hati.



Oleh: Lily Haslina Nasir 
 




SIAPA antara kita sanggup hamil demi menyusukan bayi yang diamanahkan kepada kita? Siapa pula yang sanggup bersusah menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kelantan kemudian kembali ke Kuala Lumpur semula semata-mata untuk membawa pulang bayi yang kurang seminggu umurnya untuk dijadikan anak angkat?

Payah bukan untuk kita yang biasa-biasa ini? Pengorbanan ini memerlukan jiwa luar biasa. Namun Norlina Alawi sangat tegar. Dia akan lakukan apa sahaja demi anak-anak dan keluarga besarnya.

 

CATATAN KASIH NORLINA HAJI ALAWI

"Tidak perlulah saya menyebutkan nama anak yang mana, namun saya tersentuh hati apabila dia bertanya, mengapa saya bersungguh mahu menjaganya? Mengapa suami saya tidak menghalau dia dari rumah? Paling menyayat hati, mengapa dia dibenarkan makan semeja bersama kami?"


“Mama, adik ada AIDS, ya? Dulu arwah mak pesan, kalau adik makan... adik tak boleh dekat dengan orang lain. Nanti orang geli!


Wanita berjiwa besar, berwajah jernih manis dengan hati yang sentiasa bercahaya ini sangat kalis ujian sebenarnya. Perkahwinannya dengan Lt. Kol. Roslan Zakaria, dikurniakan tujuh cahaya mata yang dikandung sendiri. Famili kecil kini menjadi keluarga besar, menjangkau 50 orang anak-anak anugerah yang dianggap anak syurga. Laluannya tidak mudah. Setiap anak diterima dengan berlapang dada. Ada yang diberi orang. Ada yang ditinggalkan ibu. Ada yang kematian ayah ibu. Ada pula anak jalanan dari latar lorong gelandangan dan Norlina mengakui dia sanggup melalui segala kepayahan mengambil anak anugerahnya itu sebagai anak angkat yang sah, biarpun prosedurnya amat rumit dan kekadang penuh air mata.

Saya tersentap. Tidak mampu bersuara namun air mata saya laju mengalir. Semakin kuat saya mendakap anak itu. Semakin rapat kucupan kepadanya.




Bagi Norlina, anak-anak ini tidak berdosa. Mereka seputih kapas. Justeru dia sanggup menolak tepi isu bangsa atau asal-usul anak-anaknya. Ada yang mualaf, berdarah Filipina, ada yang bersusur-galur pendatang Indonesia, malah ada yang diambil penuh kudis buta bahkan buta huruf. Tentunya anak-anak anugerah Norlina ini ada yang dijangkiti HIV/AIDS yang mana dua daripada mereka telah menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan Norlina sendiri.

Anak kecil itu tidak perlu kata-kata sastera yang gah. Dia tidak memerlukan puisi meruntun jiwa untuk membuat jiwa saya berkocak. Hanya sedikit kata-kata dari lubuk hatinya membuatkan air mata saya mengalir laju. Ya Tuhan, murni sungguh jiwa anak ini. Tulus dan ikhlas tanpa sebarang niat yang terselindung.

Wanita yang baru menerima Anugerah Seri Kandi Negara dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ini, yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, menganggap cintanya kepada anak-anak ini tiada sempadan. Beliau yang dilahirkan pada 19 Disember 1971, di Kluang, Johor menganggap, kerja-kerja kebajikan yang penuh kemanusiaan ini harus diteruskan biar cabarannya amat besar.
 

“Mama, semua orang di sekolah lama benci adik. Cikgu pandang adik pun macam tak suka...”


Kenapa masih dibenci anak itu? Kenapa mesti dihina? Apa dosanya? Apa yang dia lakukan sehingga menerima hukuman sebegitu rupa?

Banyak perkara menurut Norlina, membuatkan dia amat tegas menjaga maruah anak-anaknya. Malah hal agama tiada kompromi baginya. Mengaji, solat berjemaah, tazkirah adalah perkara wajib di rumah. Agama mampu menaikkan martabat maruah seseorang. Demikian prinsip Norlina.

"Perkara beginilah yang menyebabkan saya tidak tergamak menyelongkar ke akar umbi susur-galur anak-anak belaan saya. Masing-masing ada cerita hitam. Masing-masing mengusung kisah sendu tersendiri. Kalau mereka bercerita saya mendengar dengan lapang dada. Cerita mereka terlalu sayu. Terlalu sedih untuk saya telan. Air mata saya mengalir. Tapi cepat-cepat saya seka titisan air mata yang mengalir, bimbang mereka melihatnya. Kerana saya tidak mahu mereka berasa lemah. Saya mahu tunjuk kepada mereka bahawa kami kuat. Bersama-sama kami kuat untuk mengharungi cerita ini.”

Wanita kaya anak dan kaya kasih sayang ini tidak jemu menitip pesan kepada anak-anak anugerahnya. "Itulah sebabnya saya sering berpesan kepada anak-anak saya; jaga diri, jaga tingkah laku. Esok lusa, kalau terdampar di mana sekalipun saya yakin mereka boleh berdikari. Biar dicampak ke darat, pasti menjadi gunung yang gah, dan jika dicampak ke laut, menjadi pulau yang indah. Itu yang saya impikan selama ini."

"Saya sering memikirkan, kalaulah saya sudah tiada, apa nasib anak-anak ini? Saya hanya mampu berdoa moga-moga anak-anak saya yang lain akan meneruskan perjuangan saya yang tidak seberapa ini."

Perjuangan seawal tahun 2001, dengan memberi perlindungan kepada seorang wanita berusia 23 tahun yang hamil tujuh bulan dan disahkan HIV/Aids tanpa diduga membuka segala pintu semangat membuat kerja insani di hati Norlina.

"Saya amat bersyukur. Dengan segala keperitan, Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman, Malaysia (PERNIM) akhirnya sempurna didaftarkan pada 17 Mac 2004. Semua yang saya lalui bukan yang indah-indah belaka. Biarpun sesekali saya keluar di dada akhbar, ditemubual wartawan, namun tidak sebesar hama saya berasakan dunia berubah. Kenapa? Kerana saya tetap terus dihina oleh masyarakat sekeliling kerana masih terus-terusan membela anak-anak HIV/AIDS. Mereka seolah-olah tidak letih berkata dan mengutuk saya. Kutukan demi kutukan saya terima daripada mereka yang berusaha benar untuk menjatuhkan Norlina dengan anak-anak syurganya. Dendamnya mereka terhadap saya, Tuhan saja yang tahu."



Cemuhan bagi Norlina adalah warna-warni yang membangkitkan semangatnya.


Ah, Norlina Alawi tu gila bela budak ada penyakit AIDS!

Perempuan gila glamor!

Oh, dia tu… dia bela anak orang tu sebab nak kutip duit. Nak pungut derma!


"Macam-macam perkara sudah saya dan anak anak syurga ini rasai. Orang menuduh saya menyalahgunakan wang. Orang mengata saya suka glamor. Namun hakikatnya, kamilah yang sering ditipu. Sahabat sesama sendiri pernah memperguna nama dan gambar kami. Wajah dan nama saya dijaja di setiap pasar malam tanpa pengetahuan saya, bayangkanlah? Derma dikutip, akhirnya nama sebusuk tembelang melekat kepada saya dan anak-anak ini. Apalah yang mampu saya katakan? Saya hanya boleh berdoa." 

Menurut Norlina, solat umpama kerehatan dan penyerahan jiwa kepada Tuhan, pasrah untuk mengadu segala kegetiran yang dialaminya.

"Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan membuka pintu hati orang ini agar mereka sedar. Saya teringin bertanya kepada mereka, salahkah saya membantu anak-anak malang yang mendapat penyakit HIV? Adakah menjadi satu kesalahan untuk saya membuat kebajikan di atas muka bumi ini?"

Dia mengakui, tidak semua orang mampu menerima anak-anak anugerah apatah lagi yang menghidap HIV/AIDS.

"Kalau betul salah, tunjukkan saya undang-undang mana yang menyatakan salah untuk saya membantu anak-anak penderita HIV/AIDS ini. Ceritalah tentang mana-mana akta atau peraturan yang mengekang dan menghalang saya daripada mahu membela semua anak-anak syurga ini.”





"Jiran tetangga mencemuh. Memulaukan anak-anak saya. Malah di sekolah, tekanan diterima pada peringkat awal. Anak kandung turut menerima bahangnya. Saya cuma mampu menyuruh mereka bersabar. Cuma itu sahaja yang saya mampu minta daripada mereka."

Kepada suaminya, Tuhan saja mampu membalas pengertiannya. Perbelanjaan anak-anak Norlina cukup besar. Makan minum saban hari bukan kepalang belanjanya. Telur sekali masak sepapan, bil elektrik, air, malah beras sekampit boleh bertahan sehari dua. "Suami saya masih tenang melayani kerenah saya. Hatta terpaksa menggadaikan rumah kami di Kluang kepada bank untuk mendapatkan wang bagi perbelanjaan rumah. Dia lakukan segalanya untuk saya. Demi cintanya kepada saya, demi kasihnya kepada anak-anak, dia turuti semua keperluan kami."



Mana mahu mencari wang menyara anak-anak yang ramai? Spontan Norlina sebak dan menitiskan air mata. Dia mengakui selain harus berusaha keras mencari rezeki, dia tidak kisah terpaksa bergolok- gadai, harta yang ada termasuk barang kemas, biar semuanya harus dicagarkan di pajak gadai.

"
Biarpun ada ketika saya terpaksa bergadai barang kemas demi memastikan anak-anak ini cukup nasi, cukup susu dan ada duit untuk ke sekolah, saya tidak kisah. Berhujan, berniaga gerai, walau hanya bubur lambuk, asalkan saya mendapat duit halal menyara mereka. Puas rasa hati apabila melihat mereka yang selama ini buta huruf, merangkak membaca; kini sudah mendapat anugerah pelajar cemerlang di sekolah. Tidak pedulilah biarpun terpaksa mengikat perut sendiri, saya sanggup. Duit tuisyen, duit kelas aritmetik, duit kelas taekwando; semuanya saya sanggup sediakan. Saya mahu anak-anak saya merasai kehidupan sesempurna mungkin seperti anak lain."
 


"Ubat-ubatan? Usah cerita. Saya bersyukur kerana pihak hospital sudi membantu. Kepada anak-anak yang sakit, kuatkan hati. Jangan marah mama kalau mama leter. Jangan terasa hati kalau mama jerkah bila kalian lambat atau culas makan ubat. Mama sayang kalian, mama tidak mahu kalian sakit, paling penting mama tidak mahu kalian pergi terlalu awal. Belum puas mama memeluk dan mencium kalian. Ya, mama memang tamak. Tamak kerana mama memilih untuk menyayangi kalian semua. Bukan satu atau dua orang yang mama mahu sayang, tapi semuanya."

Melalui anugerah Kemanusiaan Mulia yang telah Norlina Haji Alawi peroleh, duit RM20,000 digunakan untuk mereka mengerjakan haji, dengan doa dan harapan, Allah memujuk hati suaminya.

"Peristiwa ketika anak-anak anugerah ini mengerjakan haji pada tahun 2006, tidak akan saya lupakan seumur hidup. Peristiwa bangunan runtuh di hadapan mata ketika di Makkah membangkitkan rasa insaf, takjub dan kerdil diri sendiri sebagai hamba terhadap kekuasaan Allah yang Maha Kuasa. Syukur alhamdulillah Allah selamatkan kita. Mungkin inilah berkat kita bela anak-anak yang tiada tempat berteduh. Kata-kata itu membuatkan saya sangat tersentuh. Ya Allah, inilah saat yang saya nantikan! Suami perlahan-lahan meredai segala usaha saya selama ini.”


Suami Norlina, akhirnya menerima kehadiran anak-anak anugerah ini dengan hati terbuka dan penuh kasih sayang. Malah ada ketika dia lebih memanjakan anak- anak ini. Segala kerenah anak dilayan dengan penuh sabar. Namun menurut Norlina, ada ketika pedih hatinya apabila orang luar lebih tangkas meramal masa hadapan anak-anak anugerahnya seandai dia sudah tiada kelak.
 




“Alah, kalau dia dah tak ada esok lusa.. entah-entah budak-budak tu semua bersepah!”

“Yang senang esok lusa, anak-anak dia sendiri. Bukannya budak-budak yang dibela tu! Anak angkat tentulah anak angkat darjatnya!”

Untuk anak-anak mama, pegang kata mama ini. Biar apa jua penghinaan yang kalian terima, tabahkan hati. Sekalipun ada yang memencilkan kamu semua, pedulikanlah. Bumi Allah ini luas terbentang. Benar neraka ada di mana-mana, namun kitalah yang mencipta syurganya!

Biarlah rumah kita kecil, rumah kita sempit. Mungkin ada kala kalian merungut tidak selesa, namun di situlah syurga kita. Apalah yang mampu mama dan papa kamu beri kecuali kasih sayang! Kasih sayang yang takkan pernah surut mahupun pudar.

Mama tahu kalian tidak terkecuali menangis kala mahu tidur. Ya, hati siapa tidak sebak kalau orang memandang jijik kepada kita? Hati siapa tidak pilu, kalau orang mengejek kita ini bakal mati penuh kehinaan? Tak mengapalah, selagi mama ada, mama lindungi kalian. Mama berjanji akan sentiasa menjadi perisai untuk kalian berlindung. Mama mahu menjadi payung yang melindungi kalian daripada panas dan hujan.
 

Percayalah ketentuan Allah. Kalian sendiri tentu tidak pernah terfikir akan bertemu mama. Mama juga tidak pernah termimpi akan melakukan semua ini.


Demikianlah besarnya ketentuan Tuhan. Kita sudah dituliskan akan bersama. Ada cerita kita yang tertulis dalam silangan takdir kita. Mama yakin dengan segala ketentuan yang Allah SWT takdirkan selama ini.

Usahlah menangis lagi. Percayalah, kalau ditakdirkan kalian pergi menghadap Ilahi dahulu, mama akan berdoa dan tidak akan pernah jemu berdoa. Semoga kalian menghadap-Nya dengan roh yang harum mewangi. Wajah yang bercahaya dan penuh keredaan.

Namun, kalau mama pergi dahulu, mama cuma mampu berpesan, jagalah diri baik-baik. Biarlah orang mengata, buktikan kalian tetap anak yang soleh. Dan percayalah, sekarang ini pun, mama sentiasa berdoa, semoga doa mama akan selalu bersama kalian, biarpun jasad mama sudah hancur dikandung tanah. Hilang mama di muka bumi ini, tak bermakna hilang mama di hati kalian.
 

Sesungguhnya anak-anak, kita semua memang dijanjikan mati. Sama ada kita ini sihat atau punya peyakit, apa sahaja status kita; kita tidak boleh lari daripada mati.


"Ada HIV/AIDS atau tidak, mati itu sesuatu yang pasti. Redalah menerimanya. Kuatkan semangat, abadikan nama yang baik, malah kenangan yang manis buat orang yang kita tinggalkan serta ampunkanlah orang yang telah menghina kita. Insya-Allah, kita tenang di sana nanti. Cinta kita yang paling agung ini nanti, biar Tuhan sahaja yang membalasnya dengan syurga hakiki. Semua itu dengan izin Allah akan terjadi selepas kita menutup mata nanti. Doakanlah, anak-anakku…”

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Misi Bantu Anak Mangsa Perang di Bumi Berdarah PALESTIN — MIZZ NINA Nekad!

  • Seterus →

    Ridzuan Puzi: Pemuda Cerebral Palsy yang Melawan Takdir Hidup. Apa Pesanan Netizen Buat Dek Wan?