Jan 08, 2017 - 8508

“Makan Bahagian Sulit Harimau, Nanti di Bilik Tidur Macam Rimau, Mengaum!” — Erkk, Saya Kata NO THANK YOU!

Dikatakan bahawa makanan eksotik itu, kalau masih berdarah, semakin mahal harganya. Penulis terkedu di depan belanga.

 

Oleh Lily Haslina Nasir 

 

 

Sumber: Shutterstock.com 

 

 

SAYA tidak cerewet makan. Bubuhlah apa saja depan saya, selagi ianya halal dan menyenangkan selera, saya tidak tolak. Mungkin kerana itu, jarum penimbang berat badan jarang mahu berganjak biarpun macam-macam ubat kurus saya ambil. Sewaktu hamil, berat badan menjadi-jadi naiknya. Malah anak-anak saya yang layak diiktiraf sebagai mulut orang Melaka, menyebut keadaan saya sama seperti paus yang terdampar di laut cetek kalau emaknya sedang berbaring. 

 

Kelahiran anak terakhir beratnya 4.5 kilogram, dan seperti dijangkakan, anak yang bulat, apabila membesar dan lasak semakin panjang dan kurus. Tetapi emaknya? Oh, tidak juga susut-susut!

 

Namun keadaan yang luar biasa dan tidak dijangkakan berlaku sewaktu saya ke Hong Kong. Wah, 14 hari di sana, saya mampu menyarung semula skinny jeans yang hanya muat tujuh tahun lalu! 

 

Tapi seperti juga ramalan lazim saya, keseronokan itu hanya sementara! Makanan di Malaysia memang syurga. Itu sahaja mampu saya kata. Di Hong Kong, em sukar saya mahu katakan... dan perkara inilah yang ingin dikongsi bersama.

 

Bayangkan sewaktu menyusuri Temple Street saya terpaksa melalui restoran-restoran yang berbumbungkan payung besar. Berdesir-desir bunyi nyonya atau amoi menumis dan menggoreng dalam kuali. Baunya... memang kuat semerbak aroma bawang putih. Saya bersama tiga orang teman, puas menahan nafas seperti mahu menyelam 10 meter.

 

“Jangan risau! Halal! Itik ini disembelih.” 

 

Navin, pemandu pelancong berkali-kali menegur saya yang sekadar mencuit-cuit hidangan setiap kali waktu makan. “Kamu tidak adventoruus!” Sampai satu ketika rungutannya berubah amarah kerana letih melihat saya tidak pernah mahu makan kecuali dibawa ke restoran India Muslim. 

 

“Saya diet!” Itu jawapan paling sopan. Dan Navin akan mencebik dan saya pun tak kecil hati sebab sedar diri ukuran badan bukan seperti waktu di kampus dahulu.

 

>>>[KLIK DI SINI] 9 Primadona Jalan Ampas Paling Cantik! Tak Perlu Botoks, Tak Payah Edit Gambar Tapi Ya Ampun Lawanya…<<<

 

Sumber: Getty Images 

 

 

Makanan Untuk Kuatkan Daya Seks

Macam manalah tidak lalu mahu makan kalau setiap kedai makan yang dibawa berjiran dengan hidangan eksotik. Hong Kong memang cukup berani dalam bab-bab makan. Malah Navin yang handsome tapi sayang, bangga mengakui diri gay, berkali-kali bercerita, dia makan apa saja, yang berkaki atau tidak, yang terbang atau merayap, kecil besar, semuanya diterima dengan senang hati. 

 

Ya hanya mereka yang sudah mencuba mampu menceritakannya. Dan, saya sebagai wartawan yang taat, mendengar penuh minat, menyalin penuh tekun, biarpun terasa mahu muntah hijau berbaldi-baldi. 

 

Yang jelas setiap khasiat yang disebut itu pasti sahaja dikaitkan dengan seks. Bayangkan kaki beruang dipotong beruas-ruas, malah masih meleleh-leleh darah segar. Kalau masih berdarah, semakin mahal harganya. Maklum itu tanda hidangan masih segar dan baru. Itu tidak termasuk dengan bertalam-talam daging musang pulut, kucing liar, tenggiling, tupai, ular berbisa, ular tak berbisa, kemaluan badak, telur harimau dan entah segala macam jenis binatang yang patutnya bebas lepas di rimba. Atau, paling afdal pun segala perkara yang berkaitan organ haiwan ini layaknya duduk di makmal sains. Bukan di dalam kuali, di dalam belanga atau di dalam stimbot!

 

Paling menyayatkan hati apabila terpandang sekilas, sepasang anak muda, menyedut otak monyet yang dicurahkan dengan arak. “Itu pasangan baru kahwin. Mereka mahu menghilang lenguh-lenguh badan!” 

 

“Dengan otak monyet yang mentah?” Saya dan rakan bertanya. Navin mengangguk selamba. “Monyet itu ditetak hidup-hidup.”

 

Lebih tragis apabila saya melihat kulit binatang seperti beruang, kucing dan ular ditayang dan digantungkan. Itu bukti bahawa daging yang sudah siap dimasak atau lauk hidang mereka benar-benar tulen. 

 

“Makan hati harimau, bahagian sulit harimau, nanti di bilik tidur pun macam harimau! Boleh mengaum!” Navin berlawak. 

 

Kalau di Bangkok, Cheing Mai memang biasa saya memandang pelbagai serangga dijadikan kudap-kudapan hatta lipas dan cengkering! Yang moden sikit mencelupnya dengan coklat. Di Bali pun memang tidak terkecuali. Memang ada pasar basah yang menjual ular, monyet, kura-kura untuk dibuat lauk.

 

Sukar dibayangkan, lelaki yang mengaku dirinya amat moden seperti Navin dan khabarnya setiap musim sejuk dihabiskan masa enam bulan di dalam kapal layar di Britain, masih mengamalkan kepercayaan tradisi dalam perihal makanan. Melihat susuk badannya yang beruas-ruas, memang Navin mengakui menghabiskan masa tiga atau lima jam di gimnasium jikalau tidak perlu menjadi pemandu pelancong. 

 

Namun bab makan, dia memang masih ortodoks! Seperti katanya, kalau mendaki puncak Lantau Island yang berhampiran dengan tanah Hong Kong, dia tidak gusar diganggu ular berbisa. “Saya akan parangkan kepalanya, belah minum darahnya, makan hempedu dan bakar dagingnya! Jadi lauk sewaktu berkhemah!”

 

 

Katanya Bukan Macam Viagra

Tambah Navin lagi kesan makanan eksotik ini tidak sama dengan viagra. Katanya tersalah makan, pil itu boleh mengancam jantung. Boleh menyebabkan seseorang terus putus nyawa. Kemunculan Viagra di pasaran tempatan pada 1998 pernah diramal akan mengurangkan permintaan terhadap daging haiwan liar ini tetapi ia tidak berlaku dalam kalangan negara Asia di kala hampir 20 juta lelaki di seluruh dunia menggunakan Viagra dan 96 peratus gembira dengan hasilnya.

 

 

Selain Viagra, kemunculan dua lagi pil yang dikatakan lebih hebat iaitu Cialis (Tadalafil) dan Levitra (Vardenafil) tahun lalu masih gagal mengubah persepsi masyarakat meskipun dua pil baru itu tidak mempunyai sebarang kesan sampingan dan lebih selamat lagi berkesan berbanding Viagra. Pertubuhan bukan kerajaan, WildAid, yang terbabit dalam pembanterasan penyeludupan hidupan liar melaporkan bahawa kebanyakan hidupan liar serta organ binatang yang dikatakan berkhasiat diseludup dibawa dari Asia Tenggara menerusi pekan Taichilek di sempadan Thailand-Myanmar khusus untuk dipasarkan di China. 

 

Sebenarnya nama Tachileik hanya satu daripada berpuluh-puluh pusat penyeludupan di sepanjang kawasan sempadan itu yang membawa keluar pelbagai flora dan fauna untuk memenuhi permintaan tinggi di China. Malah kalau dijengah di pasar Shanghai, Shenzen atau Guangzhou, China berbanding di habitat semula jadi binatang berkenaan. Tanpa disedari lebih 10,000 tan tuntung diperdagangkan saban tahun di rantau Asia sebagai hidangan eksotik. 

 

Khabarnya kalau 10 tahun dulu, seorang pemburu di Laos boleh menjual seekor tuntung emas dengan harga RM380 kerana darahnya dikatakan berkhasiat mengubati barah, harganya kini melambung sehingga RM3,800. Jika seorang jutawan China menghidap kanser, dia akan sanggup berbuat apa saja bagi mendapatkan darah tuntung emas ini. Dianggarkan lebih 20 juta kuda laut ditangkap setiap tahun, terutama di Laut China Selatan dan 95 peratus daripadanya dibekalkan ke kedai tabib Cina di serata dunia. 

 

Al-kisah kuda laut juga punya magik menyembuh masalah mati pucuk. Sebenarnya bukan di Asia sahaja yang menebal kepercayaan ini. Saya masih terbayang-bayang hidangan di depan mata sewaktu di Hotel Riviera, Beirut, Lebanon. Waktu itu mata masih mamai kerana penerbangan yang amat panjang dari Malaysia hanya singgah dua jam di Dubai. Ada dua biji macam bebola disusun cantik ada pula macam daging sosej yang panjang. Ganjil melihatnya. Saya yang masih berkali-kali menguap besar, bertanya selamba, "Apa benda ni..." kepada Pak Arab yang menghidang. 

 

Ini telur benda sulit kambing jantan puan! Puan letih, ini bagus mengembalikan tenaga. 

 

Ohhhh, tidak! Biarlah saya berlapar. Tidak sanggup saya makan benda-benda pelik itu. Baik dari Hong Kong atau Beirut, kala menjejak saja kaki ke airport aya menggelupur mencari nasi lemak. Entahlah, selera dan tekak saya masih Malaysia!

 

>>>[KLIK DI SINI] “Satu Hari Sebelum Ramadan, Allah Kuatkan Hati Saya Untuk Keluar Pakai Hijab” — Sharifah Aleya<<<

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Penulis Ini Beri Sebab Kenapa ‘Kamasutra’ Wujud dan Mengapa Suami Isteri Patut Mencubanya

  • Seterus →

    Persediaan Malam Pengantin — Para Wanita Bujang Perlu Baca Artikel Ini