Jan 16, 2017 - 85243

Persediaan Malam Pengantin — Para Wanita Bujang Perlu Baca Artikel Ini

Gusar menempuh ‘gelora’ malam pertama? Atau bimbang hormon berubah selepas kahwin? Ikuti penjelasan pakar, ia merungkai kekusutan anda.

 

Oleh: Nurul Huda Hussain

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

KETEPIKAN seketika persiapan baju, hantaran, katering dan sebagainya kerana selain perkara itu terdapat perihal penting yang perlu kalian khususnya wanita yang bakal berkahwin persiapkan. Soal malam pertama, masalah seksual selepas berkahwin dan pelbagai hal lain yang berkaitan dengan hubungan intim pasti bermain di fikiran.

 

Mungkin ada yang gusar dengan perubahan bentuk badan selepas berkahwin dan tak kurang juga ada yang berasa takut untuk melalui malam pertama.

 

InTrend berpeluang menemu bual Konsultan Perbidanan dan Sakit Puan, Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Klinikal, International Medical University (IMU); Profesor Madya Dr. Sharifah Sulaiha Syed Aznal untuk merungkai sebahagian dilema anda.

 

 

 

Adakah rasa sakit ketika melakukan hubungan intim buat kali pertama bagi wanita adalah normal? Komen Doktor mengenai hal ini?

Adalah agak normal bagi seorang wanita mengalami kesakitan pada kali pertama melakukan hubungan intim terutamanya jika wanita tersebut tidak mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai tubuh dirinya dan pasangan atau pengetahuan tentang hubungan intim tersebut. Maka adalah tidak mustahil bahawa rangsangan pada kelenjar- kelenjar di bahagian kemaluan gagal merembes lelehan yang cukup. Kemungkinan otot-otot pada bahagian vagina gagal untuk tidak mengejang atau spasm.

 

Selain pendarahan, apakah simptom lain yang menandakan seorang wanita telah mengalami koyakan pada selaput dara? 

Segelintir wanita berkemungkinan tidak mengalami pendarahan kerana terdapat variasi jenis dan ketebalan pada selaput dara mereka. Kemungkinan lain yang boleh dialami adalah rasa perit pada kemaluan.

 

Adakah terdapat ujian dan rawatan yang disarankan Doktor untuk mengatasi masalah pada organ-organ reproduktif wanita?

Ujian untuk melihat sekiranya bentuk organ-organ tersebut adalah normal boleh dilakukan melalui ujian ultra sound pada bahagian pelvis. Ujian lain seperti ujian kesuburan boleh dilakukan melalui ujian darah untuk hormon-hormon reproduktif atau juga melalui ujian ultra sound pada hari-hari tertentu berdasarkan kitaran haid wanita tersebut.

 

>>>[KLIK DI SINI] 8 Panduan Rumahtangga Cara Rasulullah SAW Anda Mesti Amalkan Supaya Terhindar Daripada Orang Ketiga<<<

 

 

Sumber foto: Getty Images 

 

 

Apakah masalah seksual lain yang lazim dialami wanita yang baru berkahwin? 

Dalam keadaan tertentu di mana pasangan mungkin telah mengalami jangkitan hubungan kelamin atau sexually transmitted infection, jangkitan tersebut boleh dialami oleh pasangannya menyebabkan masalah keluarnya cecair lendir yang tidak normal dari bahagian faraj atau berlaku kesakitan pada bahagian kemaluan atau pelvis dan kadang-kadang demam.

 

 

Adakah terdapat sebarang perubahan hormon yang lazim berlaku kepada wanita yang baru berkahwin?

Perubahan hormon mudah berlaku kepada pasangan yang baru berkahwin kerana mereka mungkin mengalami perubahan yang agak besar dalam kehidupan di mana ia mungkin
agak mengganggu emosi dan mental. 

 

Gangguan seperti ini boleh menjejaskan hormon yang mengawal kesuburan. Ramai juga pasangan yang secara mendadak mengalami perubahan pada berat badan kerana perubahan aturan pemakanan dan jadual kehidupan mereka. Ini juga boleh menjejaskan hormon yang mengawal sistem reproduktif sama ada lelaki mahupun perempuan.

 

>>>[KLIK DI SINI] Penulis Ini Beri Sebab Kenapa ‘Kamasutra’ Wujud dan Mengapa Suami Isteri Patut Mencubanya<<<

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

Adakah Doktor menggalakkan lelaki dan wanita yang akan berkahwin menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui tahap kesihatan mereka? 

Adalah lebih wajar sekiranya pasangan yang ingin berkahwin dan berkeluarga memastikan tahap kesihatan masing-masing adalah terhindar daripada penyakit kronik, berjangkit dan sebagainya sebagai langkah persediaan. Setiap perkahwinan selalunya mengimpikan zuriat yang sihat. Bakal-bakal bapa dan ibu yang sihat mental, fizikal dan emosional selalunya akan lebih bersedia dan kurang mengalami masalah seperti kesuburan atau keguguran. 

 

 

Daripada perspektif kesihatan, adakah wajar bagi wanita untuk merancang kehamilan pada awal perkahwinan? Komen Doktor?  

Wanita harus mempunyai perancangan yang baik dan munasabah mengenai kehamilan selepas perkahwinan. Banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa wanita yang membuat persediaan yang baik daripada segi fizikal dan mental dapat melalui kehamilan dan kelahiran bayi mereka dengan lebih baik dan kurang komplikasi. Perancangan yang teliti juga mampu membantu bakal ibu ini memastikan keadaan kesihatan mereka di tahap yang baik bagi mengelakkan komplikasi seperti anaemia, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya ketika hamil.

 

 

Bagaimana caranya untuk mengetahui tahap kesuburan seorang wanita?

Ia boleh diketahui dengan melalui ujian-ujian tertentu seperti ujian hormon melalui darah atau ujian ultra sound untuk melihat kilang ovari pada hari tertentu di dalam satu kitaran haid wanita tersebut. 

 

Cara lain yang kurang tepat tetapi mudah dan murah untuk dilakukan ialah dengan melihat kepada kekenyalan cecair faraj pada masa pertengahan kitaran haid. Cecair lendir yang kurang pekat dan likat yang mungkin dapat dilihat pada minggu kedua (hari ke 10-14) kitaran haid boleh memberi gambaran tentang tahap kesuburan bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tetap selama 28 ke 30 hari.

 

Adakah masalah keputihan yang serius boleh mempengaruhi dan menjejaskan peluang untuk wanita merancang kehamilan?

Sekiranya keputihan tidak normal menandakan tanda-tanda jangkitan pada faraj atau organ-organ reproduktif, ia boleh mengakibatkan masalah kehamilan kerana kesan jangkitan yang boleh mengakibatkan saluran peranakan tersumbat dan sebagainya.

 

Adakah kitaran haid yang tidak normal mempengaruhi kesukaran untuk hamil?

Ya. Ia boleh melambangkan masalah kesuburan di mana mungkin berlaku ketidakseimbangan hormon reproduktif untuk membantu pengeluaran ovum atau telur. Ia juga boleh menandakan kemungkinan masalah pada bahagian dalam rahim atau uterus di mana ketumbuhan pada dinding rahim yang dikenali sebagai fibroid boleh mengganggu kehamilan.

 

 

Adakah terdapat rawatan tertentu bagi mengatasi masalah radang kulit dan iritasi di bahagian vagina?

Bergantung kepada punca iritasi tersebut. Ia mungkin disebabkan oleh bakteria atau kulat. Ada juga yang disebabkan oleh masalah alergi. Sekiranya punca iritasi dapat dikenal pasti, rawatan tertentu lebih mudah diberi kepada wanita tersebut.

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.