Oct 29, 2016 - 15907
Oleh:
PENDIDIKAN agama sangat relevan diserapkan dalam pemikiran anak-anak sejak usia muda supaya mereka faham bahawa keganasan seksual itu tidak betul. Dan bukannya membebani mereka dengan ilmu keduniaan.
Ustaz Kazim Elias, penceramah bebas dari Pusat Pendidikan Al Barakah yang terkenal dengan rancangan kelolaannya iaitu Kalau Dah Jodoh… menegaskan; hubungan pasangan suami isteri perlu berlandaskan agama dan peraturan (antara pasangan) untuk menghindari berlakunya keganasan seksual. Berdasarkan ayat Al-Quran yang bermaksud, “Mereka (para isteri) adalah sebagai pakaian bagi kamu dan demikian sebaliknya kamu juga ibarat pakaian bagi mereka…” (Surah Al Baqarah, ayat 187)
“Justeru, pakaian perlulah bersih, dibasuh, digosok dan kalau butangnya tertanggal digantilah dengan butang yang baru. Biar nampak molek di pandangan mata. Dikiaskan dalam rumahtangga, hubungan intim itu perlu berlandaskan kasih sayang. Kalau rosak maka hubungan itu tidak ceria, tidak bahagia,” ujarnya.
Selain itu, firman Alah SWT yang bermaksud, “Isteri-isteri kamu adalah ladang bagi kamu dan datanglah kepada ladang kamu mengikut yang kamu suka dan kehendaki…” (Surah Al Baqarah, ayat 223). Dan menurut Ibnu Jairi At Tabari, ‘ladang’ bermaksud tempat menanam benih. Sementara maksud perkataan ‘datangilah mengikut yang kamu kehendaki’ ialah boleh melakukan persetubuhan dengan isteri dalam pelbagai cara, teknik dan posisi yang sesuai asalkan melalui kemaluannya (kemaluan isteri) dan tidak melalui duburnya!
Kesimpulan daripada kalimat-kalimat kinayah dalam ayat tersebut mempunyai dua pengertian: (1) Boleh bersetubuh dengan isteri pada bila-bila masa setiap kali timbulnya nafsu dan keinginan seks terhadap isteri (kecuali isteri dalam keadaan haid, nifas, puasa di bulan Ramadan dan sebagainya iaitu masa yang dilarang oleh syariat untuk bersetubuh); (2) Boleh bersetubuh dengan pelbagai cara dan teknik yang dikehendaki mengikut penyesuaian diri masing-masing
(kecuali dubur).
“Justeru, datangilah isteri kamu mengikut yang kamu suka selagi mana dihalalkan oleh syarak. Namun jangan hampiri isteri ketika haid. Tidak boleh bersetubuh dalam keadaan haid. Itu haram hukumnya. Rasulullah juga pernah berpesan, jangan menggauli isteri dalam keadaan dia tidak sihat atau penat. Elakkan memukul isteri pada siang hari, tetapi mahu berhubungan intim dengannya pada malam hari. Ini kerana sebagai suami, dia perlu melayan isteri dengan penuh kebaikan.”
“Nafkah batin itu adalah sesuatu perkara yang dilakukan untuk menggembirakan hati isteri. Tetapi kebanyakan suami zaman sekarang ingat seks itu sebagai satu cara untuk membuktikan dirinya ‘kuat’. Sehingga ada yang mengambil ‘ubat kuat’ ataupun memasang peralatan pada ‘anunya’ bagi membuktikan kehebatannya di kamar tidur, sekali gus meningkatkan lagi syahwat agar hubungan intim menjadi lebih menyeronokkan. Akibatnya isteri yang menanggung sakit. Jika mendatangkan kesakitan, si isteri janganlah 'kunci mulut' mendiamkan diri. Segera minta bantuan agar keganasan seksual dapat dibendung.”
Apa Hukum Liwat dan Rogol Isteri?
"Ya, kita tidak boleh nafikan bahawa setiap orang itu memiliki keinginan seksualnya yang tersendiri. Firman Allah SWT bermaksud, “Dihiasi bagi manusia itu dengan perasaan dan keinginan kepada sesuatu, iaitu syahwat kepada wanita…” (Surah Ali Imran, ayat 14). Namun jika tidak dikawal, ini boleh menyebabkan berlakunya keganasan seks seperti rogol, liwat dan sumbang mahram."
“Meliwat dan merogol hukumnya haram. Justeru, Islam itu sendiri menyarankan agar orang lelaki sentiasa menundukkan pandangan agar tidak melihat perkara-perkara yang boleh merangsang nafsu syahwatnya. Manakala wanita pula diminta agar tidak menyarung pakaian yang menjolok mata. Malah, kita juga digalakkan untuk menjauhi benda-benda yang mendorong perlakuan seks melampau ini misalnya melihat gambar-gambar lucah ataupun perkara yang bisa menimbulkan rasa ghairah di dalam media cetak dan media elektronik.”
Ajakan Asmara Ditolak Ada Sebabnya…
“Isteri tidak boleh menolak jika suami mengajak untuk berhubungan intim. Jikalau mengikut hukum, boleh dipaksa, namun ini akan menyebabkan ketidakharmonian dalam rumahtangga. Jika ini berlaku, masih ada jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak (suami dan isteri). Pertama, suami perlu menasihatkan isteri mengikut hukum syarak, hukum akal agar isteri lebih memahami tanggungjawabnya dalam melayan suami di kamar tidur. Kedua, jikalau suami masih tidak dapat menasihati isteri, maka boleh minta bantuan daripada ahli keluarga, jika tidak berjaya juga boleh usahakan bertemu dengan jabatan agama, pakar kaunseling dan sebagainya. Ketiga, berpisah tempat tidur dengan isteri yang bertujuan memberi pengajaran. Jika sudah berpisah kamar tidur dalam tempoh yang sepatutnya dan si isteri masih tidak berubah maka isteri boleh dipukul, itu pun dengan sebatang lidi ya! Ingat, memukul isteri sekadar ingin memberi peringatan dan bukan mencederakannya!”
“Menurut ilmu fekah, tidak akan selesai masalah buruk dengan cara yang buruk. Jika dirujuk hal keganasan seksual antara suami isteri, kita perlu menangani dengan cara lemah-lembut. Bak kata pepatah, memadam api adalah dengan air. Dan bukannya memadam api dengan api.”
“Jika berlaku situasi yang mana isteri menolak jika diajak berhubungan intim, maka suami perlu memikirkan apa sebabnya? Mungkin isteri keletihan pada hari tersebut, atau isteri tidak tahan dengan tenaga seksual suami yang sentiasa berada di puncak. Yalah, perlu layan kehendak seks suami yang menggila, siapa yang larat? Cubalah si suami fikir-fikirkan.”
Strategi Pencegahan
“Pencegahan perlu bermula ketika usia masih muda iaitu ketika zaman kanak-kanak. Kalau dah dewasa baru nak buat perubahan, memanglah susah. Sepatutnya kita ajarkan ilmu yang betul kala anak-anak masih kecil, masih di bangku sekolah. Maksud saya di sini adalah menuntut ilmu bagaimana menguruskan hati dan perasaan, menguruskan keluarga, menguruskan anak, menguruskan hal ehwal kewangan dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan kita selepas tamat persekolahan.
“Ini tidak, anak kita diajar Geografi, namun selepas tamat sekolah, si anak bekerja sebagai penjaga tol. Belajar Matematik Tambahan kala di menengah atas tetapi akhirnya menjawat jawatan kerani sahaja! Mana logiknya? Sedangkan kalau kita ajarkan ilmu seperti yang sebutkan tadi, itu lebih bermakna dalam kehidupan anak-anak pada masa depan. Kerana kes keganasan seksual berlaku apabila pelaku tidak dapat mengawal nafsunya, tidak kurang juga disebabkan masalah kewangan iaitu kemiskinan.”
4 Perkara Boleh Cegah Keganasan Seks
● Jika seseorang itu tidak mampu berkahwin kerana tiada keinginan maka dia perlu menyibukkan diri dengan beriadah. Dengan melakukan pelbagai aktiviti akan membuatkan dia ‘lupa’ masalah yang dihadapi.
● Jika seseorang itu ada keinginan untuk berkahwin, namun tiada kemampuan daripada segi kewangan maka dia perlu perbanyakkan berpuasa bagi menahan nafsu syahwatnya.
● Jika seseorang itu ada keinginan dan mampu daripada segi kewangan, namun tidak berkahwin kerana gemar bertukar pasangan ataupun melanggan pekerja seks/pelacur, maka dia boleh dipaksa untuk berkahwin.
● Jika seseorang itu sudah beristeri tetapi masih belum dapat memenuhi kehendak nafsunya, maka dia disarankan untuk berpoligami.