Jul 07, 2017 - 3860
Oleh: Norhaizan Ahmad
Kredit foto: Getty Images
1. Cetuskan ketenangan diri dan persekitaran
Nasihat ini kerap kamu baca, sebab ia penting. Perasaan yang terganggu akan ‘menekan’ kegembiraan. InTrend sarankan kamu mandi air rebusan daun pandan, dengar alunan muzik sentimental dan tarik nafas panjang-panjang. Ini bisa membantu kamu mencapai ketenangan, sekali gus menyuntik rasa ingin dibelai sepanjang malam. Aduh, bahagianya!
2. Ubah suasana kamar tidur
Tanpa perlu berbelanja besar, ubah kedudukan katil, ganti cadar dan langsir, juga bersihkan kamar daripada barang-barang permainan anak. Suasana baru dan segar dalam kamar menyuntik semangat untuk bercumbu-cumbuan. Mungkin kamu dan pasangan boleh membayangkan bulan madu terindah di rumah sendiri.
3. Cahaya suram hangatkan malam
Jangan lokek keluar duit beli lampu tidur baru. Pilih lampu yang membiaskan cahaya suram agar siluet indah tercipta. Lantas kamu rasa teruja bagi menghangatkan suasana berdua.
4. Lakukan senaman pelvik
Baring, bertenang dan angkat punggung perlahan- lahan. Ini menambah pengaliran darah ke bahagian pelvik, menjadikan kamu lebih mudah terangsang. Cukup mudah diamalkan dan hanya mengambil masa singkat untuk dilakukan.
5. Angan-angan berahi
Jika realiti tidak begitu indah, cubalah berangan-angan dahulu sebelum berhubungan intim. Ingat kembali saat paling indah kamu dan pasangan. Semoga angan-angan menjadi kenyataan.
6. Nikmati sentuhan
Jangan kedekut dengan sentuhan. Belai manja pasangan, mungkin si dia juga mendambakan sentuhan lembut daripada kamu. Percayalah, nikmat sentuhan mendamaikan perasaan dan mengembalikan kemesraan.
7. Fokus kepada yang positif
Walaupun pasangan kamu ada kekurangan, tumpukan kepada sifat positif dan kelebihannya yang menyenangkan kamu. Kamu tidak perlu menipu diri, setiap orang ada kelemahan dan kekurangan.
8. Rangsang sistem saraf
Bersenam, tonton filem seram, naik roller-coaster, apa-apa sahaja kegiatan yang mempercepatkan degupan jantung. Kajian mengatakan yang dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas pengalaman itu, tubuh kamu lebih mudah terangsang.
9. Kongsi keinginan
Cara terbaik untuk hangatkan asmaramu adalah berkongsi keinginan dengan pasangan. Setelah memahami apa yang dia mahu, cuba untuk penuhi permintaannya itu. Usah malu-malu kerana manfaatnya hanya kamu berdua yang tahu. Berbincanglah dari hati ke hati agar asmaramu kembali berapi.
Selepas mengamalkan semua tips yang diberi, namun kamu masih tidak berminat dengan seks, langkah seterusnya ialah berbincang dengan seseorang yang dapat membantu atau temui pakar. Semoga cubaan kamu untuk menghangatkan asmara kali ini membuahkan hasil.