Jul 17, 2017 - 47143
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: Getty Images
MENJELANG hari bahagia memeterai cinta pastinya mencetuskan pelbagai rasa. Gembira, teruja, berdebar dan segala macam perasaan semuanya ada. Kurangkan tekanan yang dirasa dan apa yang lebih penting tampilkan diri kamu sehabis cantik!
Istimewa bulan ini, InTrend kongsikan 12 petua yang kami rasakan perlu dan mesti kalian cuba saat diri diikat sebagai isteri. Kecantikan dan seri pengantin itu pasti menjadi milik kalian dengan aplikasi petua warisan zaman berzaman.
1. Seri Wajah Pengantin
Untuk menaikkan seri muka, kami sarankan bakal pengantin mencuba petua ini. Makan kelopak bunga mawar selama 44 hari sebelum tarik perkahwinan. Mulakan dengan bacaan selawat ke atas nabi dan surah Al-Fatihah , insya-Allah wajah kamu kelihatan berseri-seri di hari perkahwinan nanti.
2. Mencantikan Kuku Tangan dan Kaki
Letakkan lima hingga 10 keping asam keping dan garam halus ke dalam sebesen air suam. Biarkan selama 15 minit dan rendamkan tangan atau kaki selama 20 hingga 30 minit. Insya-Allah kuku kelihatan lebih bersih dan cantik.
3. Memutih dan Mengilatkan Gigi
Ambil beberapa helai daun kelapa kering. Kemudian bakar sehingga menjadi abu. Gosokkan gigi dengan abu daun kelapa tersebut. Ulangi proses ini untuk dapatkan gigi yang lebih putih dan berkilat.
4. Hilangkan Lebam Bawah Mata
Lekap pada bawah mata dengan uncang teh yang telah digunakan. Biarkan semalaman dan lakukan tiga kali seminggu sebelum tidur.
Kredit foto: Getty Images
5. Merahkan Bibir dan Muka
Sapukan bibir dan muka dengan madu lebah asli setiap malam. Lakukan selama seminggu dan hasilnya, kulit muka dan bibir kelihatan kemerah-merahan secara semula jadi.
6. Hilangkan Daki Pada Kulit Tubuh
Amalkan menggosok hampas kelapa pada keseluruhan tubuh untuk menanggalkan daki. Gosokkan juga pada bahagian pelipat seperti leher, pangkal paha dan bawah lengan. Lama- kelamaan, daki beransur hilang dan kulit tubuh lebih bersih.
7. Haluskan Kulit Kaki dan Tangan
Sapukan minyak kelapa pada kaki atau tangan setiap malam. Biarkan selama 20 minit lalu gosokkan hampas kelapa pada kaki dan tangan. Selepas itu basuh bersih dengan air suam. Insya-Allah hasilnya kulit kaki dan tangan lebih halus dan lembut.
8. Mata Bersinar
Sepasang mata nan ayu dan segar pasti jadi dambaan kamu bukan? InTrend kongsikan rahsia mata bersinar secara semula jadi. Basahkan kapas dan masukkan ke dalam air teh pekat yang sejuk.
Kemudian, pejamkan mata dan letakkan kapas tersebut pada mata beberapa ketika. Amalkan beberapa kali dalam seminggu dan insya-Allah mata kamu sentiasa segar dan bersinar.
Kredit foto: Getty Images
9. Rambut Selembut Sutera
Jika kamu bercadang membasuh rambut pada keesokan hari, lurutkan rambut dengan minyak bijan sebelum tidur. Selepas bangun tidur pada waktu pagi, syampu rambut dan bilas sampai bersih. Lap rambut sehingga hampir kering.
Kemudian, ambil sedikit minyak bayi atau minyak zaitun untuk dijadikan perapi rambut. Jika kamu berambut lurus, bolehlah disikat terus. Tetapi jika kamu memiliki rambut kerinting, seelok- eloknya biarkan seketika dan kemudian barulah disikat. Ia bertujuan mengelakkan hujung rambut daripada putus dan bercabang.
10. Kulit Cerah dan Licin
Bosan dengan ritual mandi susu dan pupur untuk dapatkan kulit tubuh yang cerah? Cuba ini, ambil sebiji limau nipis dan belah dua. gosokkan pada muka dan seluruh badan ketika mandi. Insya-Allah, kulit akan kelihatan cerah, licin dan harum.
11. Kulit Muka Kembali Bermaya
Tumbuk beberapa helai daun kubis dan perah airnya. Campurkan sedikit air dan satu camca besar madu asli. Kemudian sapu ramuan ini pada leher dan muka. Biarkan lebih kurang 15 minit, kemudian cuci dengan kapas menggunakan air suam.
Hasilnya, kulit wajah tegang, lembap, lembut, rasa lebih segar dan licin. Amalkan tiga hingga empat kali sebulan dan kamu akan memiliki kulit wajah yang cantik bermaya.
12. Mewangikan Rambut
Ambil air perahan 10 helai daun pandan wangi yang ditumbuk lumat. Kemudian sapukan ke kepala, Biarkan beberapa ketika selepas itu barulah dicuci menggunakan air suam. Ia boleh mewangikan rambut dan mencegah uban.
Kredit foto: Getty Images