Oct 08, 2016 - 544
Oleh: Norhaizan Ahmad
TIADA seorang pun yang mahu dirinya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Justeru, setiap kali sebelum memulakan perjalanan, saya amalkan membaca doa menaiki kenderaan. Tujuannya supaya diri lebih berhati-hati kala mengemudi kereta sewaktu berpergian. Kali ini, saya mahu kongsi pengalaman sendiri yang mengalami trauma untuk memandu kenderaan selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 189.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada 16 Mac 2015.
Ketika kemalangan pada jam 6.00 pagi itu, kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas majlis kenduri arwah anak kedua di Johor. Kemalangan berpunca apabila sebuah kereta Perodua Kancil rosak selepas dikatakan terlanggar belakang lori menyebabkan lampu kereta terpadam, lalu behenti di tengah jalan (lorong kiri).
Disebabkan jalan yang gelap kerana tiada lampu jalan selain pemandu kereta tidak meletakkan sebarang tanda amaran yang keretanya terhenti di tengah jalan membuat kenderaan kami merempuh kereta tersebut.
Akibat pelanggaran itu, kereta kami berpusing beberapa kali dan terhenti dalam keadaan melintang di antara lorong kiri dan kanan lebuh raya (lebuh raya berdekatan susur Ayer Keroh hanya ada dua lorong). Memandangkan kami memakai tali pinggang kaledar dan airbag berfungsi dengan baik maka tahap kecederaan tidaklah kritikal.
Cuma keadaan menjadi cemas apabila pintu di sebelah tempat duduk saya tidak boleh dibuka kerana remuk teruk walhal pengguna jalan raya pada pagi itu sudah memberikan lampu tinggi dan membunyikan hon bertalu-talu. Suasana yang tegang membuat emosi saya terganggu kerana tidak pasti sama ada saya sempat menyelamatkan diri ataupun tidak. Saya memang cukup takut mendepani saat ini. Hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam fikiran saya ketika itu.
Saya bersyukur apabila berjaya keluar dari kereta selepas pintu kereta dibuka oleh pengguna lebuh raya yang berhenti menghulurkan bantuan. Meski selamat, namun emosi saya sedikit tergugat. Adakah saya alami trauma?
Ya, menurut Presiden Persatuan Kaunselor Profesional Berdaftar Malaysia (Pakar), Mohd Noor Idris, definisi trauma difahami sebagai keadaan tubuh yang lemah akibat luka atau disebabkan oleh sesuatu tragedi atau kemalangan, namun situasi ini lebih dikenali secara psikologi yang mana sesuatu peristiwa atau tragedi yang dialami oleh seseorang memberikan kesan secara nyata kepada emosi (renjatan emosi).
Walaupun tidak menunjukkan tanda secara lahiriah akan tetapi gangguan emosi ini boleh menjejaskan perilaku normal kebiasaan seseorang. Reaksi emosi yang serius ini jika tidak ditangani secara berkesan di peringkat awal boleh menjejaskan prestasi dan motivasi kehidupan seseorang.
Trauma yang dialami menyebabkan saya berasa takut dan tidak lagi berani untuk memandu sendiri dan sangat berhati-hati apabila berada di dalam kereta walaupun hanya sekadar menjadi penumpang. Saya juga tidak berani memandang ke depan ketika berada di dalam kereta kerana asyik terbayangkan saat kemalangan itu berlaku sehinggakan saya fobia melihat garis putus-putus di jalan raya kerana itu pandangan terakhir saya sebelum muka ditutupi airbag dan kereta kami berpusing beberapa kali.
Sumber: www.images.wisegeek.com
Lebih kurang dua minggu saya alami trauma, namun alhamdulilah atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, kini saya berani memandu kembali setelah perasaan takut hilang dan reaksi emosi kembali normal.
Pesan saya, jadikan amalan memakai tali pinggang kaledar sebagai satu kemestian. Walau ke mana sahaja anda pergi, jauh ataupun dekat destinasi yang mahu dituju. Pastikan anak-anak yang duduk di kerusi belakang juga turut memakainya. Jika saya, suami dan anak-anak tidak memakai tali pinggang kaledar ketika kemalangan berlaku, mungkin kami sudah tercampak keluar dari kereta dan tidak tahu apa nasib yang bakal kami alami. Seperkara lagi, apabila tali pinggang keledar dipakai maka secara tidak langsung airbag berfungsi sebaik pelanggaran berlaku. Ya, ajal maut di tangan Allah, namun kita disaran mengambil langkah keselamatan.
TAHUKAH ANDA?
Kepentingan ‘Airbag’ Kenderaan
1. Airbag adalah elemen keselamatan yang perlu ada pada setiap kenderaan. Ia berfungsi untuk melindungi tubuh (terutama bahagian kepala, leher dan dada) daripada alami kecederaan parah jika terjadinya kemalangan.
2. Airbag biasanya dipasang oleh pembuat kenderaan untuk keselamatan pemandu dan penumpang. Lazimnya, airbag keluar dari stereng, dashboard dan pintu kenderaan.
3. Ketika kepala anda menyentuh airbag, ia mulai mengempis secara perlahan sehingga membolehkan anda keluar dari kenderaan.
4. Pesanan penting! Airbag tidak berfungsi jika anda tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu.