Aug 17, 2016 - 2014

Azizulhasni Awang "The Pocket Rocketman" MEROKET di Olimpik Rio!

Satu-satunya atlet Asia yang berjaya lolos ke acara berbasikal Men’s Keirin peringkat akhir Sukan Olimpik Rio 2016. Dan dia telah meroket di sana!

Oleh:


Sumber:  


SAYA seorang ibu. Saya faham bagaimana perang perasaan yang harus kita menangi apabila kita terpaksa memilih meninggalkan anak yang sakit, kerana perlu berangkat melangsaikan tanggungjawab yang belum selesai. Sewaktu Rania berumur empat tahun dan muntahnya berbusa-busa berhamburan menyelaputi pakaian pejabat saya, saya segera membersihkannya, menyuapkan ubat, menuam badan, bawah lengan dan kepalanya yang panas berapi. Selepas dia tertidur, saya menyucikan diri, mencium dahinya, lantas keluar meninggalkannya, mengeraskan hati yang menangis Ya Allah, lindungilah kami.

Saya harus menyudahkan kerja pejabat yang belum langsai. 

 
Saya percaya Azizulhasni Awang telah meranjau keresahan serupa. Dalam fikirannya yang disendati misi membawa pulang pingat emas buat negara, hatinya goncang kerana anak paling dikasihi, Amna Maryam (budak comel dalam video di atas) demam kuat. Terkemudiannya, Amna Khadeeja (adik Maryam) turut jatuh sakit dengan teruk.

Sumber:  


Sumber:  

Kedua-dua anak kecil ini mungkin tidak begitu faham, betapa besar erti pengorbanan yang harus mereka beri untuk meredai pemergian si bapa ke Rio pada saat-saat paling memerlukan. Tetapi ya, pengorbanan Ummi (Athiah Ilyana, isteri Azizulhasni) mengurus Amna Maryam dan Amna Khadeeja yang sakit kuat dan kerinduan  telah Tuhan balas dengan indah.  
 

Sumber:

 

Foto: Ihsan ASTROView


Pelumba basikal elit negara, Azizulhasni Awang aka “The Pocket Rocketman”, akhirnya meroket di Velodrom Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan menyambar pingat gangsa untuk negara! 


Pertarungan akhir sebanyak lapan pusingan itu, telah ditunggu 30 juta degup-degup jantung rakyat Malaysia.


Dua pelepasan pertama dibatalkan. Dan dua kali pembatalan itu amat meresahkan.

Azizulhasni Awang, 28 tahun, anak kelahiran Dungun, Terengganu, memilih untuk meninggalkan tanah kelahiran buat sementara waktu dan menetap di Melbourne untuk mengasah teknik, skill dan stamina kayuhan secara intensif. Jauh daripada publisiti media di Kuala Lumpur.

Sumber: Petikan Lintas Langsung ASTRO Arena

 

Pelepasan perlumbaan lapan pusingan itu terpaksa dimulakan buat kali ketiga selepas pelanggaran teknikal. Pada pelepasan ketiga yang dramatik, Azizulhasni meroket pada detik-detik terakhir — dengan kayuhan paling deras, kencang dan garang. Azizulhasni mengenepikan juara dunia dari Jerman, Joachim Eilers. Kerana apabila "The Pocket Rocketman" meroket, tiada siapa boleh menghentikannya! 


Tiga puluh juta harapan rakyat Malaysia akhirnya termakbul. 


http://www.malaysiandigest.com/


“Perasaan saya bercampur-baur. Saya tak tahu nak terangkan macam mana,” ujar Azizul, dalam rintik peluh masih membintiki tengkuk, sambil menyelendangi bahunya dengan Jalur Gemilang. Nafasnya masih bergolak sewaktu ditemu bual wartawan penyiaran ASTRO Arena.

“…Bangga, terharu, sedih, semuanya bergaul. Saya bekerja keras semenjak Beijing lagi, tapi tiada rezeki. Kemudian di London, pun tiada rezeki. Saya datang ke sini dengan harapan membawa pulang pingat emas. Itu saja matlamat saya. Tetapi ya, inilah resmi perlumbaan. Game plan sudah betul. Cuma pada selekoh terakhir, ada himpitan pada Jason Kenny dan saya terkena tempiasnya. Pecutan saya terganggu di situ. Apa yang berlaku, saya terpaksa kejar semula pada bend terakhir. Saya kayuh sekuatnya pada saat-saat yang masih bersisa.”

Mantan pengayuh basikal negara, Josiah Ng, pernah mengukir sejarah memutarkan roda basikalnya pada peringkat akhir di Velodrom Olimpik di Athens pada 2004. Setelah mengerah segenap kudrat, Josiah terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tangga ke-6. “Saya tahu Azizul berdepan igauan yang sama selepas Beijing 2008, di mana Azizul hanya menduduki tangga ke-10,” Josiah mengimbas kenangan lalu.

Dan dalam pertarungan sengit di London, empat tahun lalu, Azizul dipintas pada bend terakhir, ditinggalkan — lalu berkesudahan dengan tempat ke-6.

Degup-degup jantung rakyat Malaysia senantiasa bersama Azizulhasni.

 

Degup-degup jantung rakyat Malaysia bergempa dalam setiap kayuhan Azizulhasni.

Sumber: Petikan Lintas Langsung ASTRO Arena

 

“Tetapi Azizul manusia berjiwa besar, terlalu bersemangat. Dia percaya kepada dirinya dan tiada siapa boleh menggulingkan pegangan itu. Azizul membuktikannya hari ini,” ujar Josiah.

Menurut Josiah, kemahiran, teknik dan taktik Azizul mekar matang bersama usianya. Dikatakan beberapa perkara telah Azizul perbaiki dan naik taraf. Fokus pada perincian-perincian kecil telah ditingkatkan. Ternyata dua kejohanan terakhir World Track Cycling Championships yang disertai Azizul, telah memantapkan kemahiran dan daya fikir Azizul untuk mengurus sekian banyak ekspektasi.

Selain Azizul, hanya ada seorang saja lagi pengayuh basikal elit di dunia yang berjaya memenangi kejohanan paling berprestij — dua kali berturut-turut. Atlet tersebut adalah Eddie Dawkin dari New Zealand yang dua kali membawa pulang pingat perak.
 

Begitulah sejarah perjuangan "The Pocket Rocketman"

 

Sumber:  


Dia satu-satunya atlet Asia yang berjaya lolos ke acara berbasikal Men’s Keirin peringkat akhir Sukan Olimpik Rio 2016. Dia juga satu-satunya atlet Malaysia yang berjaya menebus sebutir pingat dalam acara berbasikal — setelah bertahun-tahun lamanya harapan kita tersandang pada bahu pengayuh-pengayuh terdahulu. Kita kecewa.
 

Tetapi kita tidak pernah berhenti berharap.

 


Azizul merakam ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada jurulatihnya, John Beasley, yang menurut Azizulhasni, telah membentuk kejatian dirinya sebagai pelumba basikal berjiwa besar, kekar, berdedikasi, berani. "Dia juga melayan kami (team) seperti melayan anak sendiri. Terlalu banyak jasanya kepada kami. Ia tidak mungkin terbayar dengan pingat ini," ucap Azizulhasni.

"Tidak lupa kepada semua penyokong saya, Team Azizul yang berdiri di belakang saya selama ini. Teristimewa buat isteri saya, terima kasih sayang... kerana menjaga anak kita. Anak saya sakit sewaktu saya berada di Rio. Hati saya merusuh dan gusar... Terima kasih buat seluruh famili, terima kasih Malaysia. Saya cintakan anda semua..."


Tuan-tuan dan puan-puan; pada hemat tuan dan puan sekalian, apakah agaknya yang "The Pocket Rocketman" mahukan saat ini?

Saya fikir dia hanya mahu meroket pulang dan mendakap Amna Maryam sekuatnya.

Sumber:  

 


Kicauan Malaysia Buat "THE POCKET ROCKETMAN"

             
 

 







 
 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Usain Bolt Meluru Seperti Kuda Liar di Garisan Penamat 100 Meter Dalam Olimpik Terakhir Buatnya

  • Seterus →

    Libasan Terakhir Goh V Shem dan Tan Wee Kiong Berjaya Merobohkan Tembok Besar China