Aug 15, 2016 - 2184

Usain Bolt Meluru Seperti Kuda Liar di Garisan Penamat 100 Meter Dalam Olimpik Terakhir Buatnya

Bermula Perlahan, Namun Bolt Memecut dan Meluru Seperti Kuda Liar Pada 15 Meter Terakhir. Bagaimana Bolt Melakukannya?

Oleh: Rosie Haslinda Nasir
rosie_nasir@astro.com.my


Sumber: http://www.cubemagazine.it
 


PERTARUNGAN merebut gelaran Manusia Terpantas di Muka Bumi berakhir dengan larian dramatik ke garisan penamat oleh Usain St. Leo Bolt, raja pecut dunia kelahiran pekan Trelawny, Jamaica. Budak kecil yang dibesarkan dengan tangan sepasang ibu bapa yang mengurus kedai runcit di bucu kawasan pedalaman — Bolt  asalnya berlasak dengan kriket dan bola sepak semasa kecil. Tidak pernah sama sekali membayangkan betapa dia akan diangkat dan dipuja seluruh dunia, dikenang sebagai manusia paling pantas pernah lahir di muka bumi.

Sewaktu dia bermula dengan perlahan, stadium balapan Rio de Janeiro bergemuruh dengan sorakan penyokong-penyokongnya — yang datang dari seluruh pelusuk dunia — mengibar bendera berbeza-beza.

Ternyata Usain Bolt adalah satu signifikan, bahawa sukan itu menyatukan garis bangsa, ras, agama dan politik. 

Sumber: http://www.instablog9ja.com/


“Anda perlu bertepuk tangan lebih kuat, ini terlalu perlahan,” Bolt sempat berjenaka sewaktu dia ditemu bual dalam sidang media pertamanya di Pusat Teater Cidade des Artes, di Olimpik Rio 2016 beberapa hari yang lalu.

Ternyata peminat dan penyokong-penyokong menunaikan janji. Sorakan stadium tidak pernah segempita itu, mengiringi larian yang menyaksikan pertembungan Bolt dengan seteru ketatnya — Justin Gatlin, sprinter dari Amerika Syarikat yang pernah yakin berikrar, bahawa dia akan membenamkan Bolt di balapan Rio.

“Mungkin. Tapi saya akan menjadi manusia pertama menyapu bersih pingat emas 100 meter Olimpik, TIGA KALI BERTURUT-TURUT,” Bolt menjawab.

Dan Bolt mengotakan janjinya. 

Babak dramatik apabila Bolt memintas pada saat akhir. 
 

Antara sebab mengapa Bolt begitu disayangi. Mesra penonton, merendah diri.   

 

Sumber: http://www.yzgeneration.com/


Justin Gatlin bermula baik jika dibandingkan Bolt yang bermula agak perlahan. Namun Bolt terkemudiannya membelah sakral udara Rio lalu memecut kencang seperti dipacu dengusan 10 ekor kuda liar pada meter ke-85, lantas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9.81 saat.

Musuh ketatnya, Gatlin menyusul di tempat kedua dengan catatan masa 9.89 saat manakala tempat ketiga diisi oleh sprinter Kanada, Andre De Grasse dengan catatan 9.91 saat. 

Sumber: http://www.fanpage.it/rio-2016-gatlin


Bagaimana Bolt memperolehi semangat luar biasa di akhir pecutannya? Ternyata Bolt telah lama memenangi hati penonton-penonton stadium di Rio. Serata dunia malah. Sewaktu nama Bolt berkumandang diperkenalkan di dalam stadium, dia disambut dengan sorak-sorai dan gegar gempita paling luar biasa.

Sambutan berbeza buat Gatlin. Seruan “boo” yang panjang menyambut nama Gatlin. Cemuhan dan reaksi dingin ini sudah dijangka, selepas Gatlin terpalit dengan isu atlet menipu dalam
ujian doping. Bukan sekali. Namun dua kali.

Percayalah, reputasi buruk ini sudah pasti tidak akan dilupakan peminat sukan Olimpik untuk seribu tahun lagi. 

Sumber: http://atlantablackstar.com

 

Tweet Seluruh Dunia Merayakan Usain Bolt "THE KING OF OLYMPIC" 

 
             



Apakah Kita Akan Melihat Bolt Meluru ke Garisan Penamat Olimpik Tokyo, Empat Tahun Dari Sekarang?

Bolt telah memecut seperti kuda liar, memuktamadkan bahawa tiada lagi MANUSIA TERPANTAS DI MUKA BUMI selain dirinya. Namun, mungkinkah Olimpik akan datang menyaksikan terlepasnya satu lagi kuda baru menunggangi trek pecut 100 meter?

Terjadikah kebarangkalian; Bolt berubah fikiran?

Apakah mungkin Bolt kekal sebagai kuda jantan liar paling buas dan digeruni, tidak mungkin dapat dijinakkan mana-mana seteru sekalipun — melainkan memecut kencang ke garisan penamat dan memadamkan rekodnya sendiri?

Hanya masa akan menjawabnya.




 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.