Aug 19, 2016 - 462

Lee Chong Wei Benamkan Keangkuhan Lin Dan di Rio 2016!

Dua Musuh Tradisi Bertemu Dalam Pertarungan Paling Dramatik dan Menggempakan Dada Rakyat Malaysia! Dato' Lee Chong Wei Akhirnya Bangun dan Berlari ke FINAL. Selamat Tinggal Lin Dan!

Oleh:


 
Sumber:  

 

MISI membenamkan Lin Dan di pentas Olimpik telah lama berbara di hati Lee Chong Wei. Ia telah meruap-ruap semenjak empat tahun lalu. Dan sebentar tadi, pada tarikh keramat 19 Ogos 2016, berjuta-juta rakyat Malaysia terpaku di hadapan kaca televisyen, memekik meneriakkan seluruh emosi, kerana ternyata, kualiti pertarungan yang dipamerkan oleh kedua-dua pemain terbaik dunia ini — pada bila-bila masa — menyamai (mungkin melebihi) KUALITI sebuah perlawanan PERINGKAT AKHIR!
 

SYABAS DATO' LEE CHONG WEI! 


Jika dilihat kembali, pertarungan malam ini bagai satu refleksi kristal hasrat hati rakyat Malaysia. Ya, Malaysia bertekad mahu melihat Dato' Lee Chong Wei menebus maruahnya. Malaysia bertekad mahu melihat Dato' Lee Chong Wei membasuh badi yang bertumpangan di bahunya kerana sering kecundang di tangan Lin Dan.
 

Untuk seketika, pingat emas seperti telah menjadi perkara kedua. Kerana yang paling penting sebentar tadi — adalah dendam kesumat meleburkan laluan Lin Dan.


Dato' Lee Chong Wei amat tenang pada set kedua meski tumpas pada set pertama. Dan pada set ketiga, Lin Dan buru-buru bangkit, menyergah garang, mengekori rapat, hanya menunggu peluang Dato' Lee Chong Wei melakukan kesilapan. 
 

Tetapi ya, Dato' Lee Chong Wei akhirnya bangkit, berlari ke FINAL dan mengucapkan SELAMAT TINGGAL kepada Lin Dan!

 

Sumber: Ihsan ASTRO View


Malah ungkapan seorang pengulas sukan ESPN yang berbunyi, “Lee Chong Wei is such a great guy, but Lin Dan is a bit arrogant. Skill win you medal, but attitude wins hearts” sebaik Chong Wei tewas di final Sukan Olimpik 2012 dianggap kredit paling bernilai buat jaguh badminton ini.

Kerana sepotong ayat itu membuatkan khalayak di seluruh dunia ‘membuka mata’ dan menyedari sisi menarik Chong Wei, sekali gus menjadikan dia lebih dihormati termasuk oleh lawannya sendiri, Lin Dan. Tahniah Chong Wei!


Sumber: ASTRO Arena Saluran 801 

Ikon sukan badminton yang berwajah keanak-anakan ini dilahirkan pada 21 Oktober 1982 di Bagan Serai, Perak; dan tergolong dalam Generasi Y. Apakah ciri-ciri generasi ini ada pada diri Chong Wei? Ya, sudah semestinya kerana dia begitu komited dalam kerjayanya bagi memastikan dirinya memperoleh kejayaan.

Jika tidak, masakan dia boleh mengungguli gelaran Pemain No. 1 Dunia selama 199 minggu berturut-turut. Satu pencapaian yang sememangnya dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Malah, kesungguhannya tatkala menentang Lin Dan pada perlawanan yang boleh dianggap ‘epik’ dalam sejarah badminton iaitu final Sukan Olimpik 2012 di London membuktikan Chong Wei sebenarnya mewakili Generasi Y yang tidak mengerti erti kalah sehinggalah dia kecundang namun dengan cara paling bermaruah.

Sumber: ASTRO Arena Saluran 801 


Menyorot kembali penglibatannya dalam sukan badminton, Chong Wei memulakan kerjaya pada 2003 namun namanya hanya mula lekat di hati peminat apabila merangkul tiga kejuaraan utama antaranya Asian Badminton Championship pada 2006. Kejayaan besar pada 2010 iaitu menjuarai Terbuka Korea, Terbuka Malaysia, Kejohanan All-England, Terbuka Jepun dan Sukan Komanwel melonjakkan namanya ke pentas utama sukan badminton antarabangsa. 

Walhal ketika zaman kanak-kanak, kecintaan Chong Wei lebih menjurus kepada sukan bola keranjang. Pagi petang itulah mainannya. Dia hanya mula berjinak-jinak dengan sukan bulu tangkis ini pada usia 11 tahun apabila sering dibawa oleh bapanya ke gelangang badminton. Kesungguhan Chong Wei ketika bermain badminton berjaya memikat hati jurulatih tempatan yang mahu dia menjadi anak didiknya. Dan nasib menyebelahi Chong Wei apabila bakatnya diintai Misbun Sidek lalu diserap ke dalam skuad kebangsaan kala usianya menjangkau 17 tahun.

Dari situ bermulalah perjalanan Chong Wei sebagai pemain badminton profesional.

 

Sumber:  
 

Kecemerlangan Chong Wei dalam dunia badminton membolehkan dia menjadi sari contoh paling sesuai kepada pemain muda. Latihan dan disiplin yang padu menjadi tonggak utama kepada kejayaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Way ini menempa nama di persada sukan badminton antarabangsa.

Merangkul pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2008 dan 2012 adalah pencapaian pertama oleh atlet negara ini, sungguh membanggakan Chong Wei! Dia juga pemain badminton Malaysia yang mencapai tangga teratas selepas Rashid Sidek dan Roslin Hashim (sejak ranking rasmi dimulakan pada 1980-an).

Usaha gigihnya membawa pulang pingat perak kala Sukan Olimpik 2008 mendapat ganjaran apabila dia dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk, dianugerahkan oleh Kerajaan Pulau Pinang. Pada tahun berikutnya, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut menganugerahkan Darjah Bakti (DB) bersempena dengan Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
 

Sumber:  
 

Selain itu, Chong Wei turut dilantik sebagai Duta UNICEF pada 2009. Juga pernah dinobatkan sebagai Athlit Lelaki Pulau Pinang pada tahun 2005, 2007, 2008 dan 2009; pemenang Anugerah Sukan Kebangsaan (2005 dan 2008); Malaysia Male Olympian (2008); mengungguli Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 2009; dan Player of the Year anjuran Persatuan Badminton Dunia (BWF) pada 2008 dan 2011. 

Berbicara mengenai individu yang dikagumi  dalam sukan badminton, Chong Wei mengakui bekas pemain badminton China, Sun Jun menjadi pilihannya. Ini kerana pemain itu bijak dalam menggabungkan corak permainan pantas dan cepat memberi tindakbalas ketika beraksi di gelanggang. Dan siapa sangka Chong Wei yang mendapat pendidikan awal di Jit Sin Primary School (B) tidak meminati artis Hong Kong seperti kebanyakan anak muda berketurunan Cina. Sebaliknya dia memilih kelab bola sepak tersohor, Manchester United sebagai idolanya.
 

Sumber:  
 

Dan selepas berbelas tahun terpaksa mengenepikan soal cinta demi mengejar kejayaan dalam karier, akhirnya Chong Wei akur dengan ketentuan takdir yang menemukan jodohnya dengan Wong Mew Choo. Mereka melangsungkan majlis perkahwinan gilang-gemilang pada 9 November 2012, satu ‘kejutan’ selepas berakhirnya perjuangan di temasya Sukan Olimpik. 
 

Sumber:  


“Saya bukan lelaki romantis. Saya hanya mampu memberi sebuah perkahwinan untuk membahagiakan Mew Choo,” ujar Chong Wei penuh keikhlasan.

 



 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri Terlepas Pingat: Apa Kata Rakyat Malaysia?

  • Seterus →

    #Rio2016: "Pulanglah Dengan Hati yang Besar, Datuk Lee Chong Wei. Emas atau Perak, ANDA TETAP WIRA KAMI…”