Apr 28, 2017 - 1571

DIARI CIK CANTIK: Yang Hitam Nak Putih, yang Pesek Nak BEDAH HIDUNG — Wanita Melayu senang ditipu!

Dulu kawan Cik Cantik kulitnya elok sawo matang. Tapi sekarang dah putih macam mayat! Apa cerita semua ini?

 

 

 

 

Oleh: Miss Cherry 

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

BEGITULAH mudahnya perumpamaan cantik bagi kebanyakan orang Melayu kita. Kalau cantik itu kulitnya mestilah cantik, hidung harus mancung, pipi pauh dilayang, bibir merah bak delima, rambut ikal mayang mengurai. Itulah definisi cantik orang dulu-dulu, perumpamaan yang cantiknya terlalu objektif; tiada kata dua. Sedangkan ada sahaja perempuan cantik yang kulitnya hitam manis, hidungnya pesek, pipinya cengkung dan bibirnya tidak merah pun. Kerana hari ini, kamus cantik kita sudah berubah. Lebih luas maksudnya, lebih mendalam maknanya.

 

 

Cuma, seurban mana pun kita, mahu atau tidak masih ada segelintir kawan-kawan Miss Cherry walaupun mengakui yang hitam itu cantik, hidung kembang itu eksotik tetapi masih mahu memutihkan kulit, masih mahu ke pakar surgeri memasak ‘batang hidung’, meruncingkan dagu dan pelbagai lagi pengubahsuaian wajah yang definisi cantiknya masih taboo! Oh, sayang sekali apabila Miss Queen yang dulu berkulit sawo matang sudah berkulit putih macam mayat. 

 

 

Dulu hidungnya tidaklah kembang cuma ada bunga sedikit mekar di bawahnya juga sudah ditukar, tegak mencacak langit. Miss Cherry rindu juga bentuk mukanya yang bulat tersenyum manis tetapi kini sudah kejung bagai diikat tali. Sayang sekali apabila begitu sekali Miss Queen menilai makna cantik untuk dirinya.

 

 

“Orang kita tak susah nak diperdaya. Sebab itulah, usahawan sekarang berlumba-lumba nak buat produk putihkan kulitlah, kuruskan badanlah! Dua itu sahajalah yang kita nak; nak putih dan nak kurus,” kata kawan usahawan produk jamu Miss Cherry. 

 

 

 

Jual Produk Memutihkan Kulit Macam 'Pisang Goreng' Panaslah!

Menurut Miss J, antara produk yang paling mudah dijual adalah produk memutihkan kulit. Ceritakan sahaja testimonial 10 atau 20 orang telah berjaya daripada gelap menjadi cerah dalam hanya dua minggu, macam pisang goreng panaslah produk itu dikejar mereka. Seorang pakar kulit pernah memberitahu Miss Cherry; kulit yang gelap tidak boleh diputihkan. Istilah ‘memutihkan’ sendiri sudah salah untuk digunakan.

 

 

Tepatnya ‘mencerahkan’ kulit. Warna kulit tidak boleh diputihkan tetapi tekstur dan permukaan wajah boleh dicerah dan dijernihkan. Kulit yang bebas daripada cela dan tompok gelap, akan secara tidak langsung kelihatan berseri-seri dan cerah bersinar. Umpamanya, orang yang penat dengan orang yang segar. Reaksinya orang yang penat, kulitnya kelihatan kusam dan malap sedangkan orang yang segar, wajahnya akan terlihat berseri-seri dan terang-benderang. Begitulah umpamanya.

 

 

Apa pun bagi Miss Cherry, berusahalah sedaya yang mampu untuk kamu kelihatan cantik kerana cantik itu milik sesiapa sahaja yang mahukannya. Tidak salah malah digalakkan untuk kita memeliharanya asalkan masih dalam batasan yang halal; jangan mengubah asal usul kejadiannya. Kalau ada duit lebih, melaburlah untuk mempertahankan anugerah-Nya itu. Jika tidak mampu, pelihara dengan amalam gaya hidup yang lebih sihat dan teratur. Bagi Miss Cherry, cantik itu mulanya daripada aturan rutin hidup kita sendiri. Pemakanan yang baik, tidur yang berkualiti, aktiviti fizikal yang aktif, tekanan hidup yang terkawal dan hiburkan hati selalu. 

 

 

 

Biar Tidak Dipandang Cantik, Asalkan Diri Disenangi 

Ya, produk di luar sangat membantu. Ia bonus menolong kamu menjadi ‘lebih cantik’ tetapi ‘asas cantik’ harus bermula dari dalam diri kamu dahulu. Kalau asasnya sudah ada, tidak payah untuk kamu meneruskan usaha yang hanya sedikit untuk terus cantik sihat sejahtera sepanjang umur. Cantiklah tanpa tekanan kerana ia membahagiakan kamu luar dan dalam. 

 

 

Cantik dengan derita siapa sahaja yang akan menikmatinya? Kamu mungkin bahagia saat dipuji teman yang memandang. Sedangkan dalamanmu? Oh, jangan bimbang kalau si A tidak rasa kamu cantik, mungkin si B mengagumi kamu kerana cantik itu kan berbeza-beza di pandangan setiap mata. Jika tidak masakan Siput Sarawak itu cantik kerana bakatnya dan Oprah Winfrey itu cantik menerusi pengalamannya? Mereka cantik bukan?

 

 

“Nothing makes a woman more beautiful than the belief that she is beautiful.”

- Sophia Loren

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    DIARI CIK CANTIK: Biarlah Berlakikan ‘The Beast’, Jangan Isteri Jadi ‘Banker’ Sampai Tua!

  • Seterus →

    DIARI CIK CANTIK: Duduk Rumah Mak Ayah Tak Keluar Sesen, Melampau — Makan Minum Mak Siapkan, Itu Lahabau!