Apr 30, 2017 - 8166
Oleh: Miss Cherry
Sumber foto: Shutterstock.com
PABILA terima kad undangan walimatulurus, pasti ramai yang excited nak pergi tengok pakainya baju apa sang pengantin? Pelamin segah mana? Makannya lauk apa? Temanya bagaimana? Berhabisnya berapa? Tidak ramai yang nak tahu, selepas kahwin duduknya di mana? Akaunnya tinggal berapa? Perabotnya tunai ke hutang? Masih di bawah ketiak mak atau hidup berdikari? Memasak atau membeli? Berubah rutin atau masih seperti bujang hidup sendiri-sendiri?
Kalaulah hal-hal itu yang menjadi pertanyaan orang keliling, Miss Cherry pasti ramai pasangan yang lebih sibukkan hal urusan selepas berkahwin daripada berhabiskan masa, tenaga dan wang untuk majlis yang hanya sehari dua itu. Kerana apa? Kerana lebihnya untuk ‘mengujakan’ para tetamu, bukan lagi yang penting untuk diri sendiri.
Ia umpama kita bersedekah. Berapa ramai kita yang bersedekah sorok-sorok daripada yang menayang cek sebesar-besar alam? Kerana tidak ramai yang bersedekah itu mengamati ganjarannya di alam sana lebih penting daripada publisiti di dunia ini.
Miss Cherry memang suka meraikan majlis kahwin saudara-mara, teman-teman, apatah lagi kalau adik-beradik sendiri. Tapi, selalu Miss Cherry cakap kepada semua adik-beradik Miss Cherry lepas kahwin, silalah bawa haluan sendiri. Maksud Miss Cherry bukanlah buang keluarga tapi hiduplah berdikari, jangan lagi bersandar kepada mak ayah yang dah tua.
Macam-macam Alasan Orang Buat Kalau Nak Mengelak Soal Duit
Miss Cherry pernah berselisih faham dengan abang Miss Cherry yang sudah tiga tahun berkahwin tapi masih tinggal dengan mak ayah kami. Tahun pertama, alasannya duit belum cukup nak bayar deposit rumah. Okey, boleh terima (walaupun belanja kahwin yang diminta pihak perempuan waktu itu RM15,000).
Masuk tahun kedua, alasannya isteri sedang sarat mengandung, tiada siapa mahu tengokkan dan tak larat nak berkemas rumah baru nanti (walaupun di rumah mak pun tidak pernah dikemasnya). Okey, Miss Cherry diamkan lagi. Masuk tahun ketiga, katanya dah ada anak, tak mampu nak masuk rumah, duit banyak nak pakai (walaupun saban bulan berjalan sakan, isterinya beranak di hospital swasta).
Namun, taring Miss Cherry mula keluar… tingggg… apabila dah tak sanggup tengok mereka semakin naik lemak. Sudah tiga tahun berkahwin masih duduk dengan mak ayah tanpa keluar sesen, itu melampau! Sudah tua bangka tapi makan minum pun masih mak siapkan, itu lahabau!
Sumber foto: Shutterstock.com
Dulu Dia Penat Besarkan Kita, Sekarang Kena Jaga Seluruh Keturunankah?
Miss Cherry confront dengan abang, kakak ipar dan adik-beradik yang lain pada satu hari itu. Miss Cherry terpaksa lantang mewakili mak ayah yang sentiasa lembut hati apabila tengok anak kata ‘duit tak cukup’. Sampai bila mak dan ayah mesti dibebankan setelah berpuluh tahun membesarkan awak? Dan, sekarang nak tambah dengan isteri dan anak pula?
Bila masanya orang tua tu ada masanya sendiri? Sudahlah mak ayah masa mudanya agak terhad peluang beribadat, ‘masa kecemasan’ inilah mereka harus gandakan amalan.
Ada kisah kawan Miss Cherry, Miss Lala namanya. Dia bunting pelamin. Kahwinnya pada usia muda. Umur 23 tahun, sudah bergelar ibu. Katanya, masih muda, banyak nak diburu. Kerjaya dan momen bersama suami masih dalam waktu honeymoon. Jadi, stres tak mampu nak pikul amanah, ketika anak itu masih merah dalam pantang lagi sudah diserahkan kepada maknya di kampung.
Dua minggu sekali, baru dia datang menjenguk. Ibu di kampung yang sudah tua itulah yang berjaga tengah malam buatkan susu si kecil, yang bangun awal Subuh menyiapkan makan pakainya, yang cuci kencing berak, yang mengendong anak ke sana sini. Sedangkan tugasan itu sudah digalas berpuluh tahun yang lalu, sepatutnya tidak perlu diulangi semula. Dan, si anak tanpa rasa bersalah tidur lena sepanjang malam, bangun selepas ayam berkokok, siap mandi untuk diri sendiri. Hujung minggu bersantai laki bini. Inilah calon anak derhaka moden.
Kesimpulannya, Miss Cherry nak cakap; kalau dah ready nak kahwin, cukup duit belanja, kursus kahwin pun dah pergi, pastikan juga diri tu dah cukup segala kemahiran hidup untuk menggalas tanggungjawab suami dan isteri dan yang lebih besar lagi sebagai mak ayah selepas itu. Jika tidak, jangan susahkan orang, usah kahwin! Membujanglah sampai bila-bila.