Dec 24, 2016 - 14784

"Arwah Bapa Sam Pegawai Polis, Tegas! Tak Ada Istilah 'Lepak' Dalam Keluarga" — Khaty Fauziah Musa

Ibu kepada empat orang anak ini cukup mudah didekati. Tetap setia dan peramah. Biarpun kini tidak aktif dalam seni lakon namun susuk tubuhnya sering kali kelihatan ketika menemani anaknya menghadiri majlis anugerah. Itulah Khaty Fauziah Musa.

 

 

Oleh: Nurul Huda Hussain

 

 

 

 

Kredit foto: Instagram

 

 

 

 

 

Kredit foto: Instagram 

 

 

 

 

 

 

 

Mummy Seorang yang Garang 

Melihat aksi tiga beranak ini memberikan apa jua pose kala lensa kamera dihalakan pada wajah, nyata mereka cukup sporting dan ‘gila-gila’. Sekali gus ia menggambarkan ikatan dan keakraban mereka bukanlah lakonan walaupun rata- ratanya punya nama besar dalam seni lakon layar. Namun di sebalik lagak sporting Mummy Khaty, terselit sisi ketegasannya sebagai ibu yang menunjangi keluarganya selepas pemergian suami lebih 15 tahun lalu.

 

“Waktu arwah suami Mummy meninggal dunia, Zizie dan Sam sekolah lagi. Kalau tak silap Mummy, Zizie 17 tahun dan Sam 15 tahun,” hurainya seakan membuka imbasan babak pahit manis kala itu. Kembali menyambung cerita, ujar Mummy, “Arwah dulu seorang pegawai polis, jadi kalau dah namanya anak polis mestilah anak-anak pun terpaksa ikut peraturan yang dia tetapkan. Tapi arwah seorang bapa yang penyayang dan berbeza pula dengan Mummy.”  

 

 

 

 

“Mummy seorang yang garang dengan anak-anak. Biasalah Huda, garang mak-mak ni. Membebel dan menjerit aje. Tapi mereka ni kalau dengan arwah ayah memang hormat. Bukan sebab takut tu kerana hormat tapi disiplin yang ayah mereka dah tetapkan. Apabila ayah dia bersuara pun dah naik gerun. Sebab tu anak-anak Mummy tak berani nak melepak.

 

Tiada istilah melepak dalam keluarga waktu tu. Almaklumlah pegawai polis, tambah pula dia dulu dilatih masa jajahan British. Jadi sifat ketegasan dia tu lain. Tapi kalau dengan orang bawahan jauh beza. Dia cukup menjaga”, hurai Mummy Khaty menggambarkan betapa dia mengagumi sifat dan keperibadian milik arwah suaminya, Allahyarham Abdul Samad Jamaan. Sedikit sebanyak terkesan juga pada ingatan saya tatkala melihat koleksi foto lama yang turut dikongsi Mummy Khaty di Facebook miliknya. 

 

 

 

Didik Anak-anak Berdikari 

Temu ramah bersama Mummy Khaty saya sifatkan cukup santai. Malah tidak keterlaluan jika saya simpulkan, ia umpama perkongsian cerita antara ibu dan anak yang sarat dengan pengajaran. Tambah Mummy Khaty lagi, “Walaupun ada pembantu rumah tapi Mummy ajar anak-anak basuh kasut sekolah sendiri. Dari situlah mereka belajar berdikari. Tak semua yang mereka nak boleh dapat macam itu saja. Mesti usaha sendiri.

 

Waktu makan pula ada disiplinnya. Tak boleh bercakap sehinggakan kunyah makanan pun tak boleh ada bunyi. Ambil lauk dengan tangan kiri. Mesti makan dengan tertib. Kadang-kadang masa anak- anak Mummy kecil lagi mereka makan tak kenyang kalau arwah Ayahnya duduk semeja. Lepas Ayahnya naik, mereka makan sekali lagi dengan Mummy,” ceritanya lagi sambil tertawa mengenangkan gelagat anak-anak suatu ketika dahulu. 

 

 

 

 

Sam Seiras Arwah 

Usai temu bual saya bersama Mummy Khaty, sempat saya menjengah laman Facebooknya. Dan antara koleksi foto lama yang mencuri tumpuan saya adalah foto seragam arwah bapa Sam yang segak berbusana pegawai polis. Ujar Mummy Khaty lagi, “Dalam empat beradik, Sam yang paling seiras, banyak ikut arwah. Daripada ketinggian yang tak berapa nak tinggi tu (tertawa) warna kulitnya memang sama macam arwah,” jelasnya lagi.

 

Malah hasil risikan saya pada laman Facebook Mummy Khaty juga dapat melihat foto arwah yang dimuat naik tanggal 21 Mac dan diletakkan bersebelahan foto Sam dengan kapsyen, “Sama tapi tak serupa Shaheizy Sam Vs A. Samad” nyata mengukuhkan fakta Mummy Khaty. Saling tak tumpah.

 

Malah desis hati kecil saya, jika hayat arwah masih ada, pasti dia berbangga melihat anak bongsunya yang mesra dengan panggilan Adik dalam kalangan keluarga kini berjaya memahat nama besar dalam dunia seni. 

 

 

 

 

Memelihara Budi Pekerti 

Nyata berkat didikan Mummy Khaty bersama arwah suaminya berhasil sehingga anak-anak menginjak dewasa. Baginya budi pekerti dan tatasusila perlu dipelihara, tambahan pula masyarakat Melayu kaya dengan tertib dan santunnya. Begitu juga dengan Mummy Khaty tatkala menekankan tentang peri pentingnya menjaga adab.

 

“Arwah ayah mereka seorang yang tegas dan amat mementingkan anak-anak supaya hormat dalam keluarga. Tapi Mummy percaya, tiada ibu bapa mengajar anak-anaknya perkara yang tidak baik. Dan bertitik tolak daripada itulah sampai sekarang Mummy bersyukur anak-anak Mummy sangat menghormati orang tua dan menjaga tingkah laku mereka. Bayangkanlah Huda, ibu mana yang tak bangga kalau anak-anaknya hormat, ambil berat dan sayang pada ibu mereka bukan? Jadi itu yang buatkan Mummy rasa tersentuh,” hurainya lagi. 

 

 

 

 

Kontroversi Kereta MCM1774 

Dalam sela-sela masih kecoh dengan kontroversi nombor pendaftaran kereta mewah Audi A5 MCM1774, lantas Mummy Khaty membuka cerita. Umum mengetahui kes ini kerana nombor pendaftaran tersebut diolah dengan kreatif membentuk perkataan MOMMY. Ujar Mummy Khaty lagi, “Fasal kereta Audi tu sebenarnya dah lama Mummy cakap pada Sam yang Mummy minat dengan kereta itu.

 

Mummy tak minta Sam belikan. Tapi tak sangka pula dia beria-ia simpan duit dan hampir dua tahun kemudian dia hadiahkah Mummy kereta tu. Dan fasal kes saman tu, bab-bab nombor plat ni memang idea Sam. Malah Mummy sedar dan akur dengan kesalahan ini. Sebagai artis kita juga harus patuh dengan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Tiada hak istimewa kepada golongan seni dan polis hanya menjalankan tugas,” jelasnya secara terperinci. Namun di sebalik kes itu, terpalit noda lebih memilukan hati nurani ibu vogue ini. Ujarnya,

 

“Apa yang sedikit sebanyak mengguriskan hati Mummy adalah cara orang kita melemparkan komen di laman sosial. Macam-macam perkara negatif dan perkataan yang tak sepatutnya ditujukan kepada Mummy. Yalah, kita sebagai ibu dan wanita, hati ni mudah tersentuh. Tapi Mummy ambil pendekatan untuk diamkan diri aje dan biarlah mereka nak kata apa sekalipun, Mummy dah maafkan,” luahnya lagi. 

 

 

 

 

Kecoh dan Riuh Resam Keluarga 

Menyifatkan dirinya sebagai antara ibu yang bertuah dikurniakan anak-anak yang senantiasa menemani, kata Mummy Khaty lagi, “Anak-anak pun tak nak duduk jauh walaupun dah kahwin. Kecuali anak sulung, Jozieta Samad Slatton sekarang menetap di luar negara. Macam Samzy, rumahnya cuma sekangkang kera aje dari rumah Mummy. Semuanya nak dekat dengan Mummy. Kalau Sam lagilah cuma tak duduk sebilik dengan Mummy aje,” ujarnya sambil tertawa.

 

Bersyukur kerana dirinya dihargai dengan limpahan kasih sayang, Mummy Khaty menggambarkan keluarganya cukup bahagia. Lebih menggembirakan Mummy Khaty apabila dapat meluangkan masa bersama anak-anak, menantu dan cucu-cucu. Dan aktiviti makan-makan adalah antara agenda utama bagi keluarga ini. “Maklum sajalah apabila mereka berkumpul ramai-ramai memang kecoh jadinya. Adik usik kakak, menyakat sesama sendiri. Kalau nak keluar ke mana-mana pula mereka akan tentukan lokasi mana dan bawa Mummy ikut sama. Kalau ada tempat makan yang baru dibuka, mereka akan bawa Mummy. Tapi kalau pergi shopping atau percutian famili ke, Zizie yang selalu jadi mangsa kena ‘paw’. Sebab mereka akan minta yang mahal- mahal daripadanya,” jelasnya lagi sambil ketawa. 

 

Begitulah adat anak, apabila masa kecilnya menjadi tanggungjawab ibu yang membesarkan malah apabila dewasa tiba pula giliran anak membalas pengorbanan ibu. 

 

 

 

Sentiasa ingat mummy – Zizie Izette. 

Beruntung dikurniakan anak-anak yang menghargai pengorbanannya, tambah Mummy Khaty Fauziah lagi, “Macam Zizie kalau dia bercuti ke mana-mana, nama Mummy sentiasa disebutnya. Nak belikan untuk Mummy inilah, kalau Mummy tengok ni mesti sukalah, pendek kata semuanya Mummy. Kalau ikut dia pergi bercuti, ada aje yang diberi pada Mummy. Sama ada dia beri Mummy duit untuk shopping atau belikan apa-apa.

 

Mummy bukan jenis yang meminta, tapi alhamdulillah anak-anak yang ingat kepada Mummy. Itu yang buatkan Mummy rasa bertuah dan sentiasa syukur mempunyai anak-anak seperti mereka,” ucapnya lagi tanpa henti.

 

Malah definisi bahagia itu bagi Mummy Khaty bukan sekadar menerima hadiah berbentuk fizikal ataupun wang ringgit daripada anak-anak. Malah ia lebih bermakna apabila keseronokan itu dapat dikongsi bersama anak-anak, menantu dan cucu-cucu. Hidupnya terus diserikan dengan warna- warna ceria di samping insan yang menghargai dan menyayangi dirinya. 

 

 

 

 

Akrab Sesama Adik-beradik 

Tambah Mummy Khaty lagi, “Seingat Mummy, mereka adik- beradik tak pernah bertekak yang serius. Setakat usik- mengusik atau mengenakan sesama mereka itu, biasalah. Tak banyak kerenah sebenarnya mereka berempat ini. Perangai pula masing-masing lebih kurang sama saja sebenarnya.

 

Sesama mereka sendiri memang rapat dan apa yang Mummy perhatikan mereka saling menolong. Mereka saling ambil berat, membantu dan menyokong. Mungkin itulah berkat didikan arwah ayah mereka yang sampai sekarang masih jadi pegangan bahkan diamalkan,” hurainya lagi. 

 

 

 

 

Tenang Berhadapan Kontroversi

Lebih selesa mendiamkan diri dan tidak mudah melatah ketika Zizie Izette dan Shaheizy Sam dihimpit dengan isu panas atau gosip liar, itulah pendekatan yang menjadi pegangan ibu berjiwa kental ini sejak anak-anaknya berkecimpung dalam dunia seni.

 

“Waktu Zizie baru nak kahwin dahulu, memang ramai yang bercakap itu dan ini. Mummy pula sebagai ibu dan orang Islam tak henti-henti berdoa. Tiap kali solat Mummy berdoa pada Allah jika inilah yang membahagiakan anakku, Engkau permudahkanlah. Jika anakku bahagia dengan pilihan ini, aku juga tumpang bahagia. Dan kita sebagai orang Islam harus akur dengan soal jodoh pertemuan semua di tangan Allah. Alhamdulillah sampai sekarang semuanya dipermudahkan. Bagi Mummy senang saja, kalau anak-anak Mummy bahagia, Mummy pun berkongsi rasa yang sama,” terangnya bersungguh.

 

Tidak pernah lokek memberi nasihat dan peringatan buat pedoman anak-anak, Mummy Khaty tetap akur dengan gelaran selebriti yang dipegangnya selama ini sering menjadi tumpuan masyarakat. Sama ada berkaitan dengan dirinya atau anak-anak, ia ditangani dengan profesional. 

 

 

 

 

Tiada yang setimpal dengan kasih sayang Mummy - Shaheizy Sam. 

Anak bongsu daripada empat beradik ini atau lebih mesra dengan panggilan ‘Adik’ adalah yang paling manja dan akrab dengan ibunya. Bagi Sam, tiada apa yang dapat mengganti jasa dan pengorbanan ibu yang bersusah-payah membesarkannya selepas pemergian ayah.

 

Ujar Sam, “Saya nak balas jasa Mummy. Saya sedar walau segunung intan dan permata dilambakkan sekalipun, jasa Mummy yang melahir dan membesarkan kami adik-beradik tanpa suami di sisi, tak mungkin dapat saya balas. Mummy bukan saja ibu, tapi sahabat baik saya dalam apa jua keadaan. Baik masa susah atau senang, Mummy selalu ada. Mummy seorang yang easy going dan ‘sempoi’. Kadang-kadang kami menggelarkan Mummy ‘Wakil Rakyat’ sebab sifat dia yang peramah dan cepat mesra dengan sesiapa saja. Pantang ada orang tersenyum kepadanya, mesti dia tegur dan buat kawan. Tapi jangan buat Mummy ‘naik hantu’, pasti satu kawasan perumahan boleh dengar suaranya bertempik, haha... tak payah pakai mikrofon! Selalunya kakak, (Zizie) paling kerap kena marah. Saya jarang sekali, kah-kah-kah,” jelasnya sambil tertawa.

 

Sam yang masih menetap bersama ibunya di Bukit Antarabangsa mengakhiri bicara, “Kalau ditakdirkan berkahwin suatu hari nanti, saya tetap mahu tinggal bersama Mummy. Saya mahu menjaga Mummy sampai akhir hayatnya. Semoga hasrat saya ini tertunai dan direstui Allah, insya-Allah.” 

 

 

 

 

Harapan Buat Keluarga 

Menggambarkan keluarganya sebagai sebuah famili yang harmoni dan happy-go- lucky, jauh di sanubarinya sebagai ibu tetap mendoakan yang indah dan terbaik untuk seisi keluarga.

 

Ujarnya lagi, “Bagi Mummy, kebahagiaan lebih penting daripada wang ringgit. Kalau harta menggunung tinggi tapi hati tak bahagia, tiada maknanya. Apa yang lebih penting adalah kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan. Terapkan nilai-nilai yang baik kepada anak sejak mereka kecil lagi supaya apabila mereka dewasa, nilai itulah yang menjadi pegangan dan ikutan. Insya-Allah kalau diamalkan senang hidup kemudian hari. Harapan dan doa Mummy, moga Allah SWT limpahkan rezeki dan jauhkan keluarga Mummy daripada anasir-anasir yang tidak baik. Begitu juga untuk yang lain, Mummy doakan yang terbaik untuk semua,” pesannya lagi mengakhiri perbualan. 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Masa ‘Final’ Juara Lagu 1992, Kak Ana Mengandungkan Kila 7 Bulan” — Rohana Jalil, Penyanyi ‘Legend’ 80-an

  • Seterus →

    Siapa Sangka! Lelaki Kacak Bertubuh Sasa Ini Rupanya Seorang Wanita? Lihat Wajah Mereka Dahulu…