Dec 23, 2016 - 10576

“Masa ‘Final’ Juara Lagu 1992, Kak Ana Mengandungkan Kila 7 Bulan” — Rohana Jalil, Penyanyi ‘Legend’ 80-an

"Saya tetap ke sana sini mempromosi album walau tengah sarat mengandung..." Rohana Jalil menceritakannya kepada kami.

 

Oleh:

 

 

 

TATKALA melihat keletah tiga beranak ini – Rohana Jalil bersama dua daripada tiga anaknya, Shakira Idora dan Syakila Nisha atau lebih dikenali dengan Kilafairy sewaktu disolek dan mengenakan pakaian untuk sesi fotografi; cukup menggamatkan suasana. Lagak masing- masing seakan rakan baik. Jika anak daranya lincah dan aktif, ibu pula tidak kurang hebatnya.

 

Berkongsi cerita mengenai latar belakang keluarganya, kata penyanyi popular era 80-an dan 90-an ini, “Kak Ana ada tiga orang anak. Semuanya perempuan. Yang sulung Rosella, kedua Shakira Idora dan yang bongsu Kilafairy,” ujarnya memulakan bicara. 

 

Lebih 30 tahun bergelar anak seni, Rohana Jalil memulakan karier nyanyian pada 1977. “Kak Ana mula nyanyi di majlis perkahwinan, lepas tu nyanyi di pub dan club. Kemudian baru dapat peluang buat album pada 1980 lepas menyertai Bintang RTM. Kak Ana dah menyanyi masa kau belum lahir lagi, Huda,” terangnya bersahaja. Saya tertawa mendengarnya.

 

 

Zaman Kegemilangan dan Anak Kecil

Mendirikan rumahtangga bersama suami, Jahangir Khan pada 1984, ujarnya, “Kak Ana masih ingat lagi, sewaktu ke peringkat akhir Juara Lagu 1992, dalam masa yang sama Kak Ana sedang mengandungkan Kila tujuh bulan.”

 

“Sudah besar juga perut waktu itu, bayangkanlah! Mungkin kerana maknya menyanyi, maka dia yang ada di dalam perut pun ikut sama jadi penyanyi sekarang,” ceritanya berseloroh.

 

Mula mencipta nama ketika anak-anak masih kecil, bagi Rohana, itulah waktu puncak karier sebagai penyanyi. “Memandangkan anak-anak kecil lagi, jadi Kak Ana akan bawa mereka bersama ke mana-mana saja. Masa mengandungkan Shakira, Kak Ana tengah sibuk dengan rakaman album, promosi album, show sana-sini. Dan mungkin itulah yang orang selalu katakan rezeki anak. Memang terasa nikmatnya. Berkeluarga dan dalam masa sama luaskan karier seni,” jelasnya lanjut.

 

 

 

 

Anggap Anak Sebagai Kawan

Mengakui ikatan dan hubungannya anak-beranak akrab, bagi selebriti ini, “Mungkin sebab anak-anak Kak Ana semua perempuan, jadi kami lebih rapat antara satu sama lain. Malah Kak Ana anggap mereka macam kawan tempat meluah perasaan, malah kami saling bertukar cerita. Kak Ana sendiri berkongsi masalah dengan mereka. Jadi mungkin daripada segi itu mereka tak rasa segan nak kongsi masalah atau cerita dengan Kak Ana,” ujarnya lagi.

 

Berkongsi minat yang sama, bagi Rohana, dia bahagia dengan cara keluarganya kini memanfaatkan masa bersama.

 

“Kalau dulu, masa anak-anak masih bersekolah, setiap kali cuti Kak Ana akan tanda siap-siap pada kalendar. Sebab masa cuti sekolah yang ada Kak Ana akan bawa mereka balik kampung. Balik kampung aktiviti wajib. Mesti dalam setahun, setiap kali raya dan cuti sekolah, anak-anak balik kampung Kak Ana di Johor dan kampung suami di Terengganu.”

 

 

 

 

“Dari kecil Kak Ana dah didik dan tanamkan sifat supaya mereka kenal saudara-mara. Tak kiralah sama ada saudara dekat atau jauh. Yang penting, mereka faham ikatan dan pertalian keluarga itu,” hurainya lagi yang menitikberatkan ikatan dan nilai-nilai kekeluargaan. 

 

Walau secanggih mana pun peredaran zaman, bagi penyanyi senior ini, hubungan kekeluargaan perlu disemai sejak kecil agar ia terus menjadi ikutan dan pegangan anak-anak.

 

 

 

 

Bersyukur dengan apa yang dikecapinya kini, jika ada rezeki, mereka seisi keluarga bercuti sama ada dalam atau luar negara. “Sebenarnya momen yang kita rasai waktu sama-sama bercuti itulah yang membuat kita lebih menghargai antara satu sama lain,” sambungnya lagi. 

 

Menurut Rohana lagi, “Kalau bab berpakaian, anak-anaklah pakar! Merekalah yang tentukan, Mama ni okey. Yang ni tak sesuai dan macam-macam lagi,” terangnya yang turut menumpang bangga melihat kesungguhan anak daranya menguruskan butik pakaian RACK di salah sebuah pusat beli-belah di Subang.

 

 

 

 

Kilafairy Anak yang Paling Manja

Bersyukur dan gembira dikurniakan dengan suami yang penyayang, bagi penyanyi yang popular dengan lagu Rayuanku ini, anak-anak gadisnya juga akrab dengan bapa mereka.

 

“Kila terutamanya, sampai sekarang memang manja dan rapat dengan Papanya. Sehinggakan kalau dia dapat apa-apa surprise daripada Papa, dia akan melompat dan naik atas Papa dia. Papa dia pun dukung ajelah. Kemudian Papa dia akan cakap, sebab inilah Papa sayang adik. Dan kalau balik kampung, Kila memang takut dengan pacat dan lipas. Jadi, Papa dia akan carry dia dari belakang,” jelas Rohana seakan meyakinkan saya yang tidak mempercayai cerita tersebut.

 

 

 

 

Lantas bagi mendapatkan kepastian, saya lihat sendiri foto di laman blog yang memaparkan cerita yang sama. Sekali gus membuktikan ikatan dan pertalian antara bapa dan anak tiada sempadannya.

 

Malah ujar Rohana lagi, “Mereka kalau jalan di shopping mall atau ke mana-mana, selamba saja berkepit dengan Papanya. Kila contohnya, kalau jalan sambil pegang tangan Papa tu dah biasa. Tak ubah macam pasangan yang bercinta,” ceritanya mengenai perihal anak bongsu yang disifatkannya paling manja dalam keluarga. 

 

Namun di sebalik sifat penyayang seorang bapa terselit, juga sisi tegas sebagai nakhoda yang mengemudi urusan keluarga.

 

“Macam soal pakaian Kila, Papanya yang selalu menjaga. Papa dia marah juga dan selalu ingatkan Adik tak boleh nak pakai dedah sana, buka sini, seksi-seksi itu semua. Tapi pendekatan dan cara Papa dia tegur tu yang kadang-kadang cair juga hati Kila. Papa dia akan tegur sambil bodek, memuji dan paling penting tegur dengan cara yang lembut dan baik. Dan Kak Ana percaya, setiap ibu bapa ada cara masing-masing jadi terpulanglah pada cara didikan kita asalkan anak mendengar kata,” terangnya lagi.

 

 

 

 

Pewaris Darah Seni Rohana Jalil

Tidak membantah anak bongsunya yang mesra dengan panggilan Adik dalam keluarga yang memilih dunia nyanyian dan lakonan sebagai minatnya, bagi Rohana, dia tetap memberi galakan dan panduan. 

 

“Kak Ana dah lalui asam garam dunia seni lebih 30 tahun. Jadi dengan pengalaman itu, Kak Ana banyak bimbing dia. Fahamkan dia dengan latar belakang dunia seni. Macam mana nak layan wartawan, pengurus peribadi, tangani gosip atau isu panas, kes kontroversi dan macam-macam lagi. Tapi Kak Ana sebagai ibu selalu ingatkan dia yang bukan senang nak jadi artis. Sebab banyak benda yang perlu kita jaga. Tapi dalam masa sama Kak Ana tak nafikan hidup sebagai artis ini selalu jadi bahan tumpuan. Jadi pokok-pangkalnya berbalik kepada diri kita. Fikirkan, apa hala tuju kita dalam dunia seni ini,” ujarnya serius.

 

 

Lumrah Bergaduh Adik-beradik

Selain punya minat yang sama seperti sayangkan kucing, membeli-belah dan berkecimpung dalam dunia seni, bagi Rohana lagi, “Adat anak-anak, kalau tak bergaduh tu... memang tak sah! Mereka ni, kalau bergaduh, haii... boleh tahan juga dramanya tau. Campak-campak baju, jerit pekik, tarik rambut dan macam-macam benda ekstrem lagi. Tapi sekejap saja gaduhnya, lepas tu baiklah semula.”

 

 

 

 

Demi Masa Depan Keluarga

Menjadi harapan bagi seorang ibu mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Begitu juga dengan Rohana. 

 

“Anak tak ramai, cuma ada tiga saja. Jadi, Kak Ana selalu ingatkan mereka, kalau nanti Mama dah tiada, jangan lupa tolong makcik- makcik atau sesiapa yang lebih tua. Jangan lupa masa susah dan tolong saudara- mara atau kenalan rapat Kak Ana macam Jaafar Onn dan lain-lain. Kak Ana selalu pesan kepada mereka, harus jaga dan tolong sesama adik-beradik. Sebab Kak Ana sendiri sara keluarga dan adik-beradik waktu mula-mula menyanyi dahulu. Waktu arwah Mak masih ada, Kak Ana yang sering bantu dan menghulur duit.” 

 

“Tapi yalah, waktu dulu, kita tak mampu nak berbelanja mewah. Setakat apa yang ada sahaja. Jadi bagi anak-anak Kak Ana, harapnya jaga ikatan dan keluarga sampai bila-bila. Walau macam mana susah dan sempit sekalipun, jangan abaikan keluarga dan pertalian adik-beradik,” tuturnya jujur, penuh pengharapan.

 

 

 

 

Jaga Nama Baik Mama

Bagi penyanyi dan pelakon muda yang giat menempa nama, Kilafairy, tanggungjawabnya bergelar anak kepada penyanyi terkenal cukup besar. Ujarnya, “Harus betul-betul menjaga nama baik Mama. Jaga tingkah-laku. Namun ada yang menuduh Kila menggunakan nama Mama untuk masuk dalam bidang ini.” 

 

“Dalam aspek karier, Kila tak pernah terniat menggunakan nama Mama atau sebaliknya. Namun syukur, Mama senantiasa sokong dan bantu Kila.” Menyifatkan dirinya lebih akrab dengan Papa, selain banyak mewarisi keperibadian bapa, kata Kilafairy, “Saya manja dan rapat dengan kedua-duanya. Tapi kadang-kadang ikut mood juga. Tapi bila dah besar ni, rasanya lebih gedik dengan Papa kot, hahaha!”

 

 

 

 

Mama dan Papa Penyokong Kuat

Memilih untuk bergelar penyanyi dan kemudian pelakon, ia dianggap berlaku secara kebetulan. “Kila tak rancang pun nak berlakon. Mungkin rezeki dah ada di situ. Kalau sebelum ini orang jemput menyanyi untuk dinner show saja. Tapi selepas berlakon, banyak show lain yang Kila terima. Bila banyak terima undangan sana-sini, barulah Kila sedar, pilihan Kila ini ternyata menjadi satu urusan hidup yang serius. Kila tidak boleh main-main lagi.”

 

“Mama sendiri tak pernah pun suruh Kila masuk bidang ini. Tapi selepas lihat Kila dah mula serius, dia banyak bantu dan beritahu apa yang patut Kila buat. Namun perjalanan masih jauh. Dan Kila pun baru bermula. Banyak yang harus dipelajari,” jelasnya panjang lebar.

 

 

 

 

 

Bagi anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini, insan yang paling banyak membantunya dalam dunia seni adalah ibu bapa. 

 

“Pengalaman tiga dekad Mama dalam industri ini, sudah tentu nasihatnya amat berharga dan Kila sentiasa sematkan dalam hati. Biar tak tersesat atau salah buat pilihan. Dan ada masanya Kila sangat berpandukan bimbingan Mama dan Papa walaupun pada awalnya hati Kila rasa yakin yang Kila boleh menguruskannya sendiri,” akuinya lagi. 

 

Kedua-dua ibu bapanya memberikan kebebasan penuh dalam menentukan hala tuju karier seni. “Kila bertuah memiliki ibu bapa yang teguh menyokong dari belakang.” 

 

Menyifatkan keluarganya unik kerana gabungan dua budaya yakni kacukan Pakistan daripada bapa dan budaya orang Johor daripada ibunya; semuanya menambah rencah keceriaan dalam keluarga bahagia ini. Doanya, moga keluarganya sentiasa dilimpahi kebahagiaan dan diberkati rahmat-Nya.

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Gadis Ini Sanggup Tangguhkan Pengajian Perubatan Kerana Mahu Bisnes. Percaturannya Tidak Silap!

  • Seterus →

    "Arwah Bapa Sam Pegawai Polis, Tegas! Tak Ada Istilah 'Lepak' Dalam Keluarga" — Khaty Fauziah Musa