Dec 18, 2016 - 13441

Gadis Ini Sanggup Tangguhkan Pengajian Perubatan Kerana Mahu Bisnes. Percaturannya Tidak Silap!

Kunci dalam hidup harus dicari terlebih dahulu. Apabila kunci itu ditemui, maka terbukalah pintu rezeki — Nur Amirah Sulaiman, Pengasas Shawl by V Snow

 

Oleh: Salina Ibrahim 

 

Kredit foto: Hasrul Azuan dari Serindit Photo & Ihsan Shawl by V Snow

 

 

Apakah strategi Mira dalam memperkenalkan jenama Shawl by V Snow?

Shawl by V Snow sudah terkenal kerana produk yang kami keluarkan memang lain daripada yang ada di pasaran. Paling ketara adalah Rose dan Serenity. Sekarang ini memang trend floral dan saya keluarkan corak water color atau water splash.

 

Memang jadi strategi saya untuk kekal dalam bisnes dengan mengeluarkan produk yang berlainan daripada apa yang ada di pasaran. 

 

Awal dahulu Mira mencipta selendang Shawl by V Snow dengan menggabungkan fabrik baldu dan lembut. Masih kekal dengan ciri-ciri itu atau bagaimana? 

Shawl by Velvet Snow, ya... awal-awal dahulu memang saya keluarkan selendang menggunakan fabrik baldu. Sekarang ini, memandangkan cuaca panas, saya ambil keputusan untuk tidak teruskan produk itu.

 

Masa akan datang, memang ada perancangan untuk keluarkan semula. Cuma pada masa sekarang, trend fabrik baldu itu tak sesuai. Lembut ya, selendang memang perlu lembut untuk mudah dililit. 

 

 

 

 

Apa yang menarik mengenai koleksi Syawal tahun ini?

Untuk koleksi Syawal, kami keluarkan koleksi square scarf dan plain tapi dengan perincian tepi yang cantik. Kami juga keluarkan produk yang disukai pelanggan iaitu Be Dazzled Scarf dan printed scarf. Ini adalah produk bestseller yang sangat disukai pelanggan.

 

Harga kami tawarkan daripada RM28 hingga RM109 untuk tudung. Selain itu, yang menarik lagi tahun ini, kami keluarkan pakaian juga. Boleh tengok produk di web kami. 

 

Ada perancangan luaskan pasaran jenama ke luar negara?

Memang ada banyak perancangan untuk Shawl by V Snow tetapi kadangkala ada halangan. Ya, saya masih komited hendak bawa jenama ini ke peringkat antarabangsa, insya-Allah lepas raya, akan beri fokus. Saya mahu fokus satu demi satu, ikut keutamaan supaya kerja tak separuh jalan. 

 

 

 

Kredit foto: Hasrul Azuan dari Serindit Photo & Ihsan Shawl by V Snow

 

 

Dengan persaingan yang hebat sekarang, bagaimana Mira menampilkan keunikan selendang Shawl by V Snow?

Pertama, sudah tentulah daripada survey. Selain itu, saya ajar staf supaya mereka tak lokek mengajar pelanggan cara lilit selendang kerana tak semua orang pandai pakai selendang. Selain itu, yang penting packaging dan kualiti material. 

 

Siapa pelanggan utama Shawl by V Snow? 

Pelanggan utama daripada kalangan usia antara 25 hingga 40 tahun. Ramai antara mereka adalah guru dan usahawan, dari sektor kerajaan dan swasta. Sebenarnya produk Shawl by V Snow ini sesuai untuk semua golongan.

Dengan harga yang kami tawarkan, sesiapa pun mampu untuk dapatkan selendang Shawl by V Snow. 

 

 

 

 

Pencapaian terbesar Mira dan Shawl by V Snow setakat ini?

Saya fikir, kejayaan saya yang paling besar dan saya paling bersyukur untuk itu – adalah daripada segi mengendalikan staf. Kebanyakan staf bermula daripada tak tahu apa-apa dan saya latih mereka daripada zero. Secara peribadi, saya anggap ini satu kejayaan dan pencapaian.

 

Shawl by V Snow memang belum dapat apa-apa anugerah. Saya sendiri malah, tidak sasarkan pencapaian bentuk itu buat masa sekarang. Objektif saya, mahu membantu orang yang tak bernasib baik.

 

Malah sesekali apabila habis sesuatu koleksi, saya tanam niat hendak menderma kepada golongan tertentu. Hal yang ini, saya tak begitu dedahkan kerana ia lebih berbentuk peribadi.

 

Pada saya, kejayaan yang paling saya banggakan, adalah staf yang rela belajar dan disenangi pelanggan. Terkini, saya bersama sahabat akan membantu pembangunan sekolah anak-anak Rohingya, dan projek khas ini jadi keutamaan saya sekarang. 

 

 

 

 

Bagaimana Mira meletakkan Shawl by V Snow; pencetus trend atau mengikut trend? 

Dalam industri fesyen, kita kena jadi kedua-duanya. Kita boleh jadi pencetus, tapi persoalannya, adakah orang akan mengikut? Sebab itu pada masa yang sama, kita harus mencipta benda yang orang akan pakai.

 

Pada saya, perlu jadi kedua-duanya dan untuk Shawl by V Snow, mesti ada kelainannya, supaya wujud identiti sendiri. 

 

 

 

 

Pendapat Mira mengenai bisnes hijab yang berkembang begitu pesat pada hari ini? 

Saya gembira melihat semakin ramai orang memulakan bisnes. Dalam bisnes, kita kena berfikir sepanjang masa, fikir cara untuk kendalikan bisnes dan setiap hari perlu belajar benda baru. Pada saya itu sangat bagus.

 

Hari ini memang banyak jenama di pasaran tapi hakikatnya ya... ada orang menjual hanya for the sake of business, tapi tak fikir hak pelanggan sebagai pengguna. Adakah mereka nampak cantik dan selesa apabila dipakai? Dalam hal berkaitan fesyen, apabila kita mencipta sesuatu yang tak masuk akal dan nampak kelakar apabila dipakai, itu not good at all

 

 

 

 

Imbas kembali pembabitan Mira sebagai usahawan hijab, bagaimana bermula?

Saya seorang yang fast learner dan suka belajar benda baru. Awal-awal dulu, saya belajar sendiri menjahit tudung supaya saya tahu, kain begini, cara jahitannya begini dan begitu. Jika tukang jahit ada masalah, saya faham cara untuk uruskan masalah.

 

Sebenarnya ketika saya mula-mula berniaga dahulu, saya beli tudung secara borong dan jual kepada kawan asrama, dari pintu ke pintu. Memang kelakarlah kalau ingat semula waktu itu, siap buat pengumuman di asrama.

 

Saya sendiri bertudung sejak darjah satu, mungkin ketika itu lebih kepada on off waktu sekolah sahaja. Ketika darjah enam, saya bertudung sepenuhnya. Emak bertudung, jadi anak-anak memang diajar menutup aurat sejak kecil, malah ibu bapa saya memang sangat tegas dalam aspek agama. 

 

 

 

 

Pada tahun 2014, Mira menangguh pengajian perubatan di universiti untuk fokus kepada bisnes. Sekarang bagaimana, masih dengan cita-cita sebagai doktor atau sudah berubah haluan?

Setiap orang ada cita-cita tapi tak bermakna kita kena hidup dalam cita-cita itu. Saya memang minat hendak jadi doktor tapi tak dapat meneruskan pengajian kerana perlu komited dengan bisnes. Apabila ada benda yang sedang kita pegang, rasa tak kena pula hendak mengejar benda yang kita tak nampak. Tapi saya masih berminat pada bidang perubatan.

 

Saya tak buang buku-buku saya, saya masih baca kalau ada lapang. Saya fikir, kalau kita minat, walau susah mana pun, kita masih akan beri perhatian, sama ada secara sambilan atau 100 peratus tumpuan. 

 

Siapa tulang belakang di sebalik kejayaan Mira?

Tentulah staf dan seluruh keluarga saya. Dalam keluarga sebelah ayah, lapan daripada 10 orang menjalankan perniagan dalam pelbagai bidang. Minat bisnes memang ada dalam darah kami. Kakak sulung, Atikah Sulaiman pemilik jenama hijab Sugar Scarf.

 

Saya menyaksikan jatuh bangunnya. Selepas pengajian A Level dahulu, saya membantunya dari A hingga Z. Itu pengalaman yang bagus untuk saya sendiri. Mengapa tak ikut kakak? Kak Ika ada partner sendiri iaitu suaminya.

 

Kebetulan ketika dia mengajak saya membantu, saya sedang belajar. Saya tak fikir tentang bisnes secara serius ketika itu. Tetapi memang begitulah Tuhan lorongkan rezeki saya. Alhamdulillah, walaupun tak dapat habiskan pengajian dalam bidang yang saya suka, tapi saya bersyukur dengan kehidupan sekarang. 

 

 

 

 

Cabaran paling hebat Mira depani dalam menjayakan Shawl by V Snow setakat ini? Pernah berlaku peristiwa tertentu yang mungkin buat Mira rasa hendak mengalah dan bagaimana bangkit semula?

Dalam mana-mana bisnes, cabaran paling besar adalah mengendalikan staf. Manusia ada macam- macam warna, benda yang paling kompleks untuk kita pelajari. Saya sendiri masih muda, jadi saya paksa diri belajar mengenali orang, mengetahui kekuatan, kekurangan dan bagaimana mengendalikannya. Sebabnya staf yang akan jalankan bisnes. Kalau tak boleh kendalikan staf, bermakna tak boleh uruskan bisnes.

 

Ya, masalah staf berhenti dan macam-macam, kadangkala buat saya rasa, “Terukkah aku?”

 

Tetapi hal itu buat saya selalu berfikir dan belajar menjadi manusia yang lebih baik dan matang. Setiap hari memang ada cabaran, terutama daripada pelanggan dan luar. Masalah peribadi, itu normal. Dalam umur saya 25 tahun, sebagai young adult, saya juga tidak terkecuali. Apa pun, pada saya, kalau kita menjaga solat, insya-Allah, kita tak ada masalah untuk uruskan semua itu. 

 

 

 

 

Pesanan kepada orang muda lain yang ingin menceburi bisnes?

Dalam hidup, kalau nak berjaya, kena ada kunci untuk membuka pintu. Kunci pintu yang mana, kita kena buat keputusan. Kita perlu tahu apa yang kita buat, kalau tak, hidup akan jadi terumbang-ambing. Jadi, kalau nak berjaya buat bisnes, mesti tahu hala tuju. 

 

Siapa Amirah Sulaiman sebagai individu dan sebagai bos?

Sebagai bos, saya sangat tegas tapi masa sama, saya suka memberi peluang pada staf. Saya tahu apa yang saya nak. Sebagai seorang kawan, saya senang untuk diajak lepak sama. Antara saya sebagai bos dan kawan, memang ada beza. 

 

 

 

 

Apakah visi Mira untuk Shawl by V Snow dalam tempoh lima tahun akan datang? 

Sasaran saya sekarang untuk naikkan gaji staf daripada gaji asas bawah RM20,000 setahun kepada atas RM20,000 setahun serta memperbaiki taraf hidup mereka. Saya hendak tengok syarikat berkembang dan pada masa sama staf berkembang.

 

Saya mahu tengok Shawl by V Snow kukuh di pasaran kerana hari ini, begitu banyak jenama di pasaran seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Saya mahu, apabila sebut selendang, orang ingat Shawl by V Snow, orang serta- merta tahu jenama ini dan ada kepercayaan terhadap jenama ini. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Pesan Untuk Hantu Bola — Jangan Berkira Bayar Kalau Ada Lawatan ke Stadium Merdeka, Imbau Memori ‘Supermokh’!

  • Seterus →

    “Masa ‘Final’ Juara Lagu 1992, Kak Ana Mengandungkan Kila 7 Bulan” — Rohana Jalil, Penyanyi ‘Legend’ 80-an