Jul 22, 2016 - 377
Oleh: Salina Ibrahim
MENGGALAS dua tanggungjawab serentak – di pejabat dan dalam rumah tangga – bukan suatu yang mudah. Pejabat dan rumah tangga, dua organisasi yang berbeza tetapi berat tugas di dalamnya, walaupun dalam spesifikasi yang berlainan. Di pejabat, kita terikat dengan Key Performance Indicator (Petunjuk Prestasi Utama) yang diberikan oleh majikan dalam mengukur keberkesanan individu atau organisasi dalam menyempurna dan melaksana tugasan, matlamat serta objektif yang diberikan kepadanya.
Dalam rumah tangga, tiada KPI yang khusus, namun begitu setiap ahli dalam rumah, tidak dapat tidak, masih mempunyai sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tertentu. Mungkin ada KPI umum yang ditetapkan ketua keluarga yang dimaklumi seluruh ahli atau “Kadar Prestasi Individu” yang diperakui diri sendiri. KPI dalam rumah tangga walaupun tidak termaktub secara hitam putih tetapi dipegang sebagai mutual understanding semua ahli keluarga.
Sumber: www.secureteen.com
Memburu KPI dalam kedua-duanya, memang menjadi cabaran besar kepada sesiapa jua, terutamanya wanita kerjaya. Jangan lupa, lebih separuh daripada guna tenaga di negara kita datangnya daripada wanita. Kita boleh berbangga kerana sebanyak 52.4 peratus wanita memasuki pasaran buruh, malah setiap tahun bilangan wanita berkerjaya semakin bertambah.
Sebanyak 48.6 peratus penduduk Malaysia adalah wanita (14.633 juta) daripada jumlah keseluruhan 30.098 juta penduduk (statistik 2014). Daripada keseluruhan wanita, sebanyak 68.25 peratus (9.99 juta) daripadanya berumur antara 15-64 tahun. Umumnya, dapat dirumuskan separuh daripada individu berusia 15 sehingga 64 tahun adalah isteri, ibu dan wanita berkerjaya.
Sumber: nyaanurag.blogspot.my
MASA YANG "GILA" MEMERLUKAN ORGANISASI YANG "GILA", DAN KERJA YANG GILA-GILA!
Dengan persaingan serba sengit dalam segala sektor – daripada bidang asas, pengurusan, profesional, perkhidmatan, jualan dan lain-lain – semuanya membina KPI bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Kata guru pengurusan terkenal, Tom Peters, “Crazy times call for crazy organizations” (Masa yang gila seperti ini memerlukan organisasi yang turut gila), lalu kita buat banyak “kerja gila” yang mungkin merujuk kepada idea gila-gila, radikal, kreatif dan melampau demi menjayakan KPI masing-masing.
Di pejabat, segalanya ada sasaran. Berapa sasaran jualan yang perlu dicapai? Berapa tinggi tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan? Bagaimana mahu mengurangkan kadar pengaduan awam? Berapa banyak projek besar, sederhana dan kecil yang harus diperoleh sesebuah syarikat dalam setahun? Bagaimana mahu mengurangkan bajet pengurusan tanpa mengurangkan kualiti? Ada panjang lagi senarai KPI bergantung kepada sektor pekerjaan masing-masing. Semuanya dipantau melalui angka saban minggu, bulan sehingga menjangkau tahun. Jika angka menurun, tahap stres pekerja pula yang akan mencanak tinggi. Sumber: nyaanurag.blogspot.my
Sumber: Jezebel.com
Ada panjang lagi senarai KPI bergantung kepada sektor pekerjaan masing-masing. Semuanya dipantau melalui angka saban minggu, bulan sehingga menjangkau tahun. Jika angka menurun, tahap stres pekerja pula yang akan mencanak tinggi.
Sumber: AsapSCIENCE
KERJA PEJABAT TERBABAS, KERJA RUMAH BERTABURAN!
Dalam rumah tangga, memang tiada senarai KPI yang tertentu tetapi umumnya merangkumi keperluan fizikal dan mental membabitkan setiap individu dalam keluarga. Tiada juga angka khusus kerana hakikatnya tiada angka yang dapat jadi penanda aras kejayaan, keharmonian dan kebahagian rumah tangga. Namun begitu senarainya tetap panjang kalau hendak dirincikan, malah mungkin kita tidak akan dapat menggariskan satu per satu.
Yang dapat kita katakan, setiap individu dalam rumahtangga punya jangkaan, kehendak, permintaan dan harapan tertentu. Suami punya jangkaannya sendiri, isteri ada permintaannya, malah anak-anak juga tidak terlepas daripada tuntutan masing-masing.
Sekali lagi, sama ada KPI di pejabat atau dalam rumahtangga, isunya boleh dicapai atau tidak? Kebanyakan wanita berdepan dilema apabila terbeban dengan KPI di pejabat dan dalam rumah tangga sekali gus. Penyataan ini bukan bermaksud menafikan peranan lelaki, kononnya lelaki hanya dibebankan KPI di pejabat sahaja. Ini sekadar penyataan umum, bahawa wanita yang secara fitrahnya menggalas tugas sebagai isteri dan ibu di rumah, kini tidak lagi terhad kepada tugas tradisinya itu, sebaliknya sudah memikul tugas lain sebagai warga pejabat di luar rumah.
Sumber: BBC
Persoalan lain, bagaimana mahu menyeimbangkan kedua-duanya? Bagaimana dapat mencapai kedua-duanya tanpa terpinggir salah satu? Mampukah rumah tangga terurus sempurna jika pada masa yang sama, wanita terkejar-kejar ke sana sini mengejar KPI di pejabat?
Antara pukul 8 sehingga 6 petang, itu waktu di pejabat. Sampai di rumah sudah 7.00 malam, hanya itulah masa untuk keluarga, sebelum masuk beradu mulai pukul 11 malam. Dan esoknya, jadual itu berulang lagi, biasanya lima hari seminggu. Malah kerap juga tugas pejabat dibawa balik ke rumah, lalu merampas masa untuk keluarga. Malangnya, kerja pejabat tidak usai-usai juga, dan pada masa sama anggota keluarga tersingkir.
DI PEJABAT TAK CEMERLANG, DI RUMAH PUN TAK BAGUS... CAMNA TU?
Mungkin ada ibu mengeluh pada diri sendiri, “Apa nak jadi aku ni? Di pejabat tak cemerlang, di rumah juga tak bagus!” Keluhan begini tidak terluah secara zahir, selalunya hanya bergema dalam hati.
Namun begitu, kita tabik pada mereka yang berjaya mengendalikan kedua-duanya dengan baik. Kata “baik” itu subjektif dan relatif bergantung kepada keperluan dan kehendak individu. Ya, mereka berjaya dengan tahap dan kadar masing-masing. Formula? Sebenarnya tiada formula yang khusus untuk mendapatkan keseimbangan itu. Jika ada, ia tidak berkesan untuk semua orang kerana setiap individu harus mencipta kaedahnya sendiri.
Sumber: Yoga With Adriene
Yang utama, setiap individu harus tahu keutamaan dan keperluan ketika mengejar KPI masing-masing. Ada perkara yang penting dan perlu diutamakan. Ada perkara penting tetapi boleh dikemudiankan. Ada perkara tidak penting yang boleh dibuat kemudian. Ada perkara yang tidak penting yang boleh diabaikan sama sekali.
Sama ada di pejabat atau pun dalam rumah tangga, keberkesanan kerja boleh dicapai melalui kerja secara kolektif. Bermakna, perlu membina kepercayaan dalam kalangan ahli kumpulan. Penting untuk mengagihkan tanggungjawab kepada semua orang, sesuai dengan kadar peranan dan usianya. Hatta di dalam rumah, anak sekecil dua tahun juga boleh diberi tugas yang mudah, seperti menyimpan barang permainannya sendiri dalam tempat yang dikhaskan usai dia bermain.
HINDARI "PERMINTAAN" YANG TAK MASUK AKAL
Dalam perkara tertentu, elok juga kita mengawal atau mengurangkan “permintaan” terhadap diri sendiri. Ya, kita tertekan kerana kita punya banyak permintaan dan kehendak. Kita hendak capai itu dan ini, mahu menang dalam apa jua persaingan di tempat kerja dan kehidupan peribadi. Kita menuntut banyak perkara terhadap diri sendiri, kadangkala perkara itu tidak masuk akal dan jauh daripada kemampuan. Kita berusaha keras mahu mencapainya dengan segala cara yang terdaya.
Lalu apabila gagal, tekanan jadi lebih tinggi. Maka untuk mengurangkan stres, bijak-bijaklah menguruskan semuanya. Pilih persaingan secara berhati-hati, umpamanya tak perlu bersaing untuk tukar kereta, jika kereta sedia ada masih boleh digunakan, hanya kerana rakan di pejabat baru beli kereta!
Sumber: TED-Ed
Terimalah diri seadanya dan tak perlu terlalu mengejar kesempurnaan kerana kesempurnaan tak pernah wujud. Kita hanya dapat melakukan yang terbaik mengikut kadar kemampuan tetapi jika kita masih juga memburu kesempurnaan, kita yang akan sakit sendiri. Oleh itu, menerima ketidaksempurnaan itu sebenarnya adalah suatu proses untuk menyempurnakan lagi kehidupan kita.
Dan yang tak kurang penting juga, jangan lupa untuk ketawa kerana gelak ketawa adalah ubat mujarab dalam apa jua tekanan, dan antara mekanisme bela diri paling matang. Ketawa yang didorong oleh jenaka dikatakan dapat memberikan kesan baik kepada pergerakan nadi, paru-paru, jantung dan sistem imunisasi tubuh.
Kajian saintifik menunjukkan, ketawa akan menyebabkan kimia otak (endorfin) dibebaskan yang menjadi bahan penahan sakit yang bertindak secara semula jadi. Ketawa juga akan merangsang serotonin, sejenis kimia utusan otak yang menyebabkan kita rasa tenang dan gembira. Oleh itu, jika kita stres, pilihlah lawak jenaka yang mungkin ada dalam diri kita.
Sumber: BBaracus
Ingat pesanan ulama dunia terkenal, Dr.Yusof Qaradhawi, “Ketawa termasuk tabiat manusia. Haiwan tidak dapat ketawa kerana ketawa itu datang selepas memahami dan mengetahui ucapan yang didengar atau sikap dari gerakan yang dilihat.” Kita manusia, kita memahami, maka kita ketawa kerana itu adalah ubat!