Jan 28, 2017 - 5125
Oleh: Nurul Huda Hussain
PENYATUAN cinta pasangan sama cantik, sama padan, sama hebat karismanya ini ternyata sekali melambangkan keharmonian dan keunikan budaya masyarakat Malaysia. Biarpun berlainan ras dan bangsa, kuasa magnetik cinta mempertemukan dua hati antara Moots, vokalis kumpulan Pop Shuvit ataupun nama sebenarnya Murali Dharan Marimuthu dengan isterinya Vanessa Venlee Chong atau lebih mesra dengan panggilan Vanessa.
Moots dan Vanessa tiba 15 minit lebih awal daripada waktu yang dijanjikan di studio pada petang Jumaat itu. Mungkin sudah terbiasa dengan rutin sebagai selebriti, kedua-duanya amat profesional, amat menghormati waktu. Dan sudah tentu, amat memahami pecutan editorial dan putaran kerjakerja penggambaran yang telah kami susun dan rencanakan beberapa minggu awal. Melihat gelagat mereka yang bersahaja, cukup menyenangkan sepanjang sesi fotografi berlangsung.
Saya berikan ruang kepada Fendi untuk menata rias dan melakar kanvasnya dengan tenang demi hasil terbaik. Jaket jeans sama pencil skirt sudah tersarung cantik menyaluti susuk tubuh pengacara Bella NTV7 ini. Tidak sukar bagi Gerald memberi pengarahan foto dan mendapatkan sudut terbaik kerana kedua-duanya bukan orang baru dalam industri seni.
Mengamati gerak-geri mereka menerjemahkan elemen emosi dalaman dengan penuh perasaan, terbukti ia bukan drama. Sayang yang dipamerkan di hadapan kamera, bukan lakonan. Berahi yang bergetar di hadapan lensa juga, bukan kepuraan-puraan. Desis hati saya, “Sungguh mereka ini sedang dilamun cinta paling berapi.”
Menyingkap detik perkenalan mereka hampir 10 tahun lalu, ujar Vanessa, “Kami berkenalan pada tahun 2004. Waktu itu saya menguruskan Vince bersama EMI selepas Vince memenangi Akademi Fantasia musim pertama,” jelasnya. Sambung Moots, “Waktu itu, saya terlibat dalam rancangan AXN Magic Show bersama Cyril dan adik Van, (Pamela Chong) juga turut sama dalam rancangan itu. Cyril mengusulkan kepada saya, apa kata saya mengajak Vanessa keluar?”
Menyahut saranan rakannya, Moots sebagai lelaki sejati memberanikan diri untuk mengajak Vanessa keluar persis temu janji pertama. Namun apa yang berlaku cukup mengesankan Moots. Kata Vanessa, “Saya tanyakan kepada Moots, sudah berapa lama tidak keluar dating? Kata Moots, lebih kurang sebulan dua juga. Lalu saya minta dia mengambil masa beberapa bulan dahulu, relaks, kemudian kalau sudah betul-betul bersedia, barulah ajak saya keluar semula,” jelasnya sambil tertawa.
Moots terpana dengan jawapan tulus Vanessa. Ditolak! Aduh! Seperti terpukul jika difikir-fikirkan kembali betapa beraninya wanita kacukan Inggeris-Cina itu menolak pelawaan vokalis Pop Shuvit untuk bertemu janji buat kali pertama! Hanya selepas dua bulan berlalu, barulah Vanessa sudi bertemu Moots dalam suasana yang cukup kasual.
Kesungguhan Moots membuat Vanessa tefikir, mungkinkah jejaka ini serius? Namun, kedua-duanya masih berpegang pada prinsip 'berkawan dahulu’ sebelum benar-benar bersedia dan terbuka hati untuk melangkah ke fasa berikutnya. Sambung Vanessa lagi, “Kebetulan kami menggiati industri yang sama. Jadi kenalan kami juga dari lingkaran serupa. Kawan-kawan Moots secara tidak langsung menjadi kawan saya juga, dan sebaliknya. Akses mengenal kawan-kawannya banyak membantu saya memahami Moots.
Sumber foto: Instagram
Sumber foto: Instagram
Moots Akhirnya Beranikan Diri Untuk Melamar
Selepas empat tahun menjalin persahabatan, mereka akhirnya memutuskan untuk berkahwin. “Saya serius mahu menyuburkan hubungan ini. Kami bukan lagi pasangan muda atau remaja yang masih mahu main-main cinta. Bagi kami, hubungan ini adalah satu perjanjian hidup dan mati. Ia komitmen seumur hidup. Mungkin kerana faktor usia dan kematangan mendorong kami berfikir lebih dalam,” jelasnya bersungguh.
Di pihak Vanessa pula, “Kami sebenarnya telah pun membayangkan ke mana hala tuju hubungan ini. Seperti yang telah saya tegaskan kepada Moots, kalau kita berkahwin, kita perlu merancangnya begini dan begitu. Ia memberi ruang dan peluang kepada Moots untuk memikirkan (dengan kreatif!) bagaimana mahu melamar saya nanti, haha,” selorohnya. Terbukti lamaran Moots menoktahkan segala penantian dan tanda tanya. Malah babak menyunting cinta itu menjadi lebih romantis kerana ia disempurnakan sewaktu percutian mereka ke Maldives yang turut ditemani adik Vanessa, Pamela.
Awalnya, rancangan Moots hanyalah membelikan hadiah sebagai tanda hati teristimewa. “Kalau awak nak belikan saya apa-apa dan kalau awak tak pasti, lebih baik awak tanya kepada Pamela. Dia lebih tahu, kenal dan faham apa yang saya suka,” Vanessa memberi amaran. Teryata Moots tidak membuang masa. Lalu lamaran disempurnakan dengan sebentuk cincin!
Sumber foto: Instagram
Keseimbangan Cinta Persis Yin & Yang
Di pentas, lontaran vokal Moots menjadi pujaan ramai. Namun usai persembahan, Moots bukan lagi seorang superstar. Kata Vanessa, “Selepas dia menanggalkan kaca matanya dan melangkah turun dari pentas, Moots hanyalah lelaki biasa. Namun dia amat istimewa kerana ada sisi tersembunyi yang lain," ucap Vanessa sambil melirik manja ke arah Moots, lalu tersenyum meleret.
Moots menyambung, “Saya sensitif berbanding Vanessa. Bagi saya, hampir semua orang dalam industri terutamanya vokalis kumpulan muzik memiliki sebungkah hati yang cepat terasa. Contohnya pemain drum, mereka punya personaliti yang bersifat mengawal pergerakan seluruh ahli kumpulan. Tetapi mereka lebih reserved,” hurainya terperinci. Dan segera Vanessa mencelah, “Kelebihan Moots walaupun hatinya sensittif dan mudah terasa, dia menyejukkan sifat amarah saya. Saya agak baran orangnya. Berbeza dengan Moots. Karakternya lebih relaks. Dia yang selalu menenangkan saya. Ibu saya turut mengakui sisi lembut Moots. Katanya, Moots mendamaikan saya."
"Suara Moots lantang di pentas. Namun kalau di rumah, vokal sayalah yang berkuasa, haha! Keluarga saya besar. Jerit pekik dan kecoh riuh di dalam rumah itu memang perkara biasa,” seloroh Vanessa lagi. Moots pula anak bongsu daripada dua beradik, punya kualiti diri introvert. “Jarak usia saya dan kakak agak jauh — lima tahun bezanya. Saya juga merupakan sepupu paling muda, pendiam pula. Mungkin kerana itu saya lebih pendiam dan pemalu berbanding Vanessa,” akuinya.
“Sejak berkahwin dengan Vanessa, satu perkara saya pelajari... semuanya bercakap dengan suara yang kuat. Supaya apa yang mereka cakap dapat didengari, haha! Dan lagi satu, mereka makan dengan cepat. Yeah, talk louder, eat faster! Sesuatu yang menarik dan tiada dalam keluarga saya,” ujarnya seraya tertawa.
Sebagai menantu pertama dalam keluarga Vanessa, Moots lebih rapat dengan ibu mertua, malah bijak mengambil hati wanita Inggeris itu. “Raya Deepavali, Moots selalu berlucu dengan ibu saya, sama ada cukup sehelai kain sari yang boleh muat dengan saiz badannya,” jelasnya lantas Moots turut sama tertawa.
Sumber foto: Instagram
Ini yang dinamakan Takdir dan Jodoh
“Kalau saya balik seorang diri ke rumah ibu bapa, mereka pasti bertanya, di mana Vanessa? Dan kalau sambutan Krismas pula, pasti ada sesuatu untuknya. Tidak sukar menyesuaikan diri dalam keluarga besar Vanessa biarpun berbeza adat resam, budaya dan agama, ia ditangani dengan baik.
“Ibu bapa saya bermastautin agak lama di United Kingdom. Mereka berkahwin ketika bapa saya melanjutkan pelajaran peringkat sarjana. Kemudian bapa menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah. Lima tahun di sana, mendekatkan saya pada budaya masyarakat Inggeris. Memiliki ibu mentua berbangsa Inggeris itu memang takdir hidup saya."
Perkahwinan campur dalam keluarga bukanlah perkara baru. Ujar Moots, “Saya mempunyai bapa saudara yang berkahwin dengan keturunan baba nyonya, juga saudara-mara dari Pantai Timur. Ya, potret keluarga kami menyaksikan banyak percantuman cinta antara bangsa Melayu, Cina, India dan Inggeris.” Ternyata inilah bukti cinta paling agung itu mampu diraikan dengan kemuliaan, keikhlasan dan keberahian.