Mar 07, 2017 - 177057

20 Pantang Larang Kuno Untuk Bakal Pengantin — Pelik-pelik Tapi Mujarab dan Ada Logiknya

Pelik tapi mujarab, aneh tetapi ada juga betulnya! Rangkuman 20 pantang-larang ini membawa manfaatnya yang tersendiri.

 

 

Sumber foto: Instagram Sari Yanti, Juliana Evans & Nora Danish 

 

 

BANYAK petua orang dulu-dulu yang pelik dan aneh-aneh. Tetapi kalau difikir-fikirkan semula, memang ada logik dan kebenaran yang tersirat di sebaliknya. Kami kumpulkan 20 pantang-larang buat bakal pengantin baru, seperti yang dipesan oleh nenek-moyang kita. Pasti ada yang berguna untuk anda. 

 

PETUA 1

Pasangan yang bakal berkahwin dinasihatkan agar JANGAN keluar dengan pasangannya selama 40 hari sebelum tibanya hari diijabkabul. Bukan saja bertujuan untuk mengelakkan fitnah, ia juga bertujuan untuk mengawal hawa nafsu antara lelaki dan perempuan. 

 

PETUA 2

Bakal pengantin dinasihatkan agar tidak bermalam di rumah orang atau rumah bakal pasangannya kerana dikhuatiri boleh terkena ilmu yang tidak baik. Tapi hikmahnya larangan ini, ia memastikan pengantin menjaga nama baik keluarganya sebelum dinikahkan.  

 

PETUA 3

Bakal pengantin dilarang berjalan jauh atau bebas keluar ke mana-mana, dikhuatiri takut terkena santau atau ubat guna-guna. Momokan-momokan ini sebenarnya lebih bertujuan untuk menghindari berlakunya kecelakaan atau sebarang kemalangan yang tidak diingini. Inilah yang dikatakan orang, bakal pengantin itu berdarah manis. 

 

PETUA 4

Bakal mempelai dinasihatkan supaya tidak makan nasi bersulam kuah atau gulai, beberapa bulan sebelum naik pelamin untuk mengelakkan perut buncit. Satu lagi petua yang bagus diamalkan, jangan minum air setengah jam selepas makan nasi. Tunggulah hingga setengah jam berlalu selepas makan nasi, barulah teguk air suam. 

 

PETUA 5

Pastikan bakal pengantin menjauhi makanan yang kuat dan sengit baunya seperti durian, jering dan petai. Kesemua makanan sebegini boleh mengeluarkan bau peluh yang kuat dan busuk. Jangan sampai Tuk Kadi pening kepala sebelum sempat nikahkan kalian. 

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

PETUA 6

Orang yang bakal berkahwin juga dipesan supaya tidak memandang cermin atau bercermin muka pada waktu senja atau Maghrib. Ia dikatakan untuk mengelakkan diri daripada terkena perkara-perkara sihir. Hikmahnya adalah, pengantin disuruh supaya bersiap sedia membersih dan menyucikan diri untuk mengerjakan ibadat Maghrib. Bukannya leka membelek muka sendiri di cermin.

 

PETUA 7

Jangan mandi malam-malam kerana ia bukan saja membuat badan berasa bisa-bisa, malah ia melemahkan sendi. 

 

PETUA 8

Pengantin lelaki diingatkan supaya tidak memakai seluar dalam atau seluar jeans yang terlalu ketat. Ia dikatakan tidak bagus untuk peredaran darah sehingga boleh menjejaskan kekuatan organ seksual kelelakiannya. 

 

PETUA 9

Satu lagi petua untuk pengantin lelaki, mereka diingatkan supaya tidak mengamalkan tidur dalam keadaan meniarap. Ia dikatakan tidak bagus untuk alat kelamin lelaki. 

 

PETUA 10

Bakal pengantin dipesan supaya kurangkan makanan manis kerana jika ada penyakit kencing manis, kelak dikhuatiri pasangan baru bernikah ini lemah syahwat lantas menghadapi masalah untuk bersama.

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

PETUA 11

Ada baiknya pengantin baru amalkan makan telur ayam sebanyak dua kali dalam seminggu. Cara lain, pengantin boleh mencuba kaedah ini: Ambil sebiji telur ayam kampung (kuningnya saja), campur dengan satu camca madu lebah dan tapisan air kencur yang sudah ditumbuk lumat-lumat. Ketiga-tiga ramuan ini perlu digoncangkan sampai sebati. Minumlah setiap hari. Ia bukan saja mengembalikan tenaga dalaman, malah menjadikan tubuh berbau harum dan wajah kelihatan bercahaya berseri-seri. 

 

PETUA 12

Kurangkan minum soya dan jauhi makan timun kerana ia dikatakan sejuk dan tidak bagus untuk alat kelamin.

 

PETUA 13

Banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir supaya bakal mempelai terhindar daripada gangguan syaitan sebelum hari pernikahan. Pengantin juga disarankan supaya selalu berada dalam keadaan berwuduk supaya paras wajahnya cantik bercahaya. 

 

PETUA 14

Baik pengantin lelaki mahupun perempuan, jangan buat sebarang kerja berat supaya keadaan fizikal sentiasa dalam keadaan baik, tidak ‘stress’ dan tidak keletihan. 

 

PETUA 15

Janganlah makan makanan laut dengan banyak dan kerap beberapa minggu sebelum berkahwin. Ia dikatakan tidak baik untuk kelancaran darah. 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

PETUA 16

Bakal pengantin perlu jauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti berpanas yang boleh menghitamkan kulit. Misalnya aktiviti acara marathon, berenang, santai di pantai atau berjoging perlu ditinggalkan sebulan sebelum nikah supaya kulit tidak kusam atau kelam. 

 

PETUA 17

Dinasihatkan supaya bakal pengantin menghindari makanan atau minuman yang sejuk, misalnya sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu dan air kelapa agar muka tidak kelihatan sembap dan malap. 

 

PETUA 18

Walau sesibuk mana sekalipun, baik pengantin lelaki atau perempuan, mereka disarankan supaya pergi berurut tradisional. Ia bertujuan untuk memulihkan tenaga batin atau tenaga dalaman. Kalau tenaga batin tidak dirawat, dikhuatiri pengantin baru kecundang sebelum berjuang di malam pertama. 

 

PETUA 19

Minumlah air halia sebelum datangnya hari pernikahan untuk membuang angin yang tersimpan dalam badan. Pastikan angin kus-kus yang tak diingini ini dikeluarkan segera supaya tidak terjadi pengantin terkentut di atas pelamin. 

 

PETUA 20 

Berhentilah minum teh atau kopi tiga bulan sebelum tarikh pernikahan supaya gigi tidak terlihat kekuning-kuningan. 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    4 Tips Berguna ‘Nak Hidup’ Sampai Hujung Bulan, Tips No.2 Beli Ikut Kemampuan!

  • Seterus →

    Tips Kembara Sheila Mohamad Memacu Adrenalin di Ruang Udara Dubai yang Mesti Anda Tahu