Feb 12, 2017 - 243082

Kiralah Nombor Tarikh Lahir Anda — Ini Kelebihan Orang Angka 4, 5 dan 6 yang Anda Perlu Tahu

Tarikh lahir kita itu sesungguhnya menyimpan 1001 misteri yang menunggu masa untuk diungkap. Kami tunjukkan cara mengira tarikh lahir anda di sini.

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

YA, sebelum kita mengulas lebih lanjut tentang personaliti diri kamu menerusi angka, apa kata kamu belajar dahulu bagaimana kaedah mengira tarikh lahir ini. Hanya terdapat sembilan personaliti yang ada di sini iaitu daripada personaliti satu hingga sembilan. Setiap satu personaliti angkat tersebut akan penulis huraikan mengenai kelebihan diri, kelemahan diri, kewangan, kerjaya, warna bertuah, personaliti, perkahwinan dan potensi diri. 

 

Berikut adalah gambar rajah menunjukkan cara untuk mengira angka personaliti kamu. Menerusi gambar rajah piramid ini, kamu akan memperoleh dua angka diri kamu iaitu ANGKA ASAS dan ANGKA UNTUK STATUS KEWANGAN. 

 

Angka kewangan yang di bawah sekali itu akan hanya mengeluarkan tiga nombor sahaja iaitu, tiga, enam dan sembilan. Ringkasnya, tiga bermaksud kewangan yang selalu keluar, enam bermaksud kewangan yang banyak masuk dan sembilan membawa maksud kamu mempunyai banyak aset.

 

 

CARA MENGIRA NOMBOR TARIKH LAHIR ANDA 

 

 

 

Jika anda mencari tafsiran nombor tarikh lahir individu yang bernombor 1, 2, 3, 7, 8 dan 9, anda boleh membacanya di pautan ini:

Artikel Bahagian Pertama:

Ketahui Potensi Diri Berdasarkan Ilmu Menafsir Tarikh Lahir — Anda AIR, BESI atau API?

 

Artikel Bahagian Ketiga:

Tuah NOMBOR Tarikh Lahir Anda — Ini Kehebatan Orang Angka 7, 8 dan 9 yang Luar Biasa, Gilaplah!

 

 

DAN BERIKUT ADALAH TAFSIRAN ORANG ANGKA 4, 5 DAN 6

 

 

 

Ada segelintir orang memandang negatif angka empat ini. Hakikatnya tiada angka tunggal yang keseluruhannya buruk. Sebenarnya, orang berangka empat seorang yang sukakan ilmu dan mereka umpama kamus bergerak. Suka mempelajari perkara-perkara baru saban hari adalah keterujaan orang angka empat ini. 

 

Cara kerja kamu juga sistematik, produktif, boleh dipercayai dan mudah menerima arahan atasan. Jujur dalam menjalankan amanah yang diberi. Bagusnya orang angka empat ini juga, kamu mudah simpati dengan orang. Kamu umpama span yang selalu menyerap masalah orang lain sehingga menjadi masalah kamu pula. Walaupun mungkin kamu tidak mampu untuk membantu menyelesaikan masalah mereka, namun jika sekadar menjadi pendengar juga sudah memadai untuk menjadi tempat mengadu. Peramah, ceria, mudah bergaul, suka kembara dan bebas juga adalah perwatakan personaliti si angka empat ini. Walaupun berdepan banyak cabaran hidup, kamu kekal kuat dan sentiasa bangun daripada kegagalan. 

 

Dalam sesuatu perkara, kamu ada kala menjadi mangsa keadaan dan terpaksa berkorban dalam banyak perkara. Keadaan ini, menjadi kamu banyak memendam perasaan dan rasa tidak puas hati itu. Ia tambah meruncing apabila orang angka empat ini agak sempit dalam pemikirannya tanpa melihat keadaan keseluruhan. Kamu ada kala cenderung membuat kesilapan dalam memutuskan sesuatu keputusan itu, lantaran sikap curiga dan takut-takut yang sering membelenggu diri.

 

Jika mahu berubah, kamu perlu berfikiran lebih terbuka dan positif. Jangan banyak buang masa dengan memikirkan perkara karut-marut. Belajar berterus-terang daripada hanya mengongkong perasaan sendiri. Gelombang hubungan dengan si dia selalu ada pasang dan surut dek kerana sikap kamu yang tidak menentu juga. 

 

Kamu agak pemurah dengan pasangan dan baik hati. Namun, ada kala kamu agak ‘moody’ dan sentiasa mahu orang mengikut cara kamu terutama bagi yang lahir selepas 22 hari bulan. Jaga-jaga, sikap keras kepala dan terlalu memendam rasa mungkin akan mencetuskan ketegangan dalam hubungan kamu dan si dia. 

 

PASANGAN DAN SAHABAT SERASI 

Orang angka empat nampaknya lebih berminat dengan pasangan bernombor satu, dua, empat, tujuh dan lapan. Manakala, persahabatan kamu lebih utuh jika bersama individu satu, dua, empat, lima, tujuh, lapan dan sembilan.

 

WARNA YANG BAWA TUAH DAN YANG MESTI DIELAKKAN

Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah coklat dan kuning. Elakkan warna emas, perak dan putih.

 

DARIPADA SEGI KEWANGAN

Orang angka empat mempunyai masalah dalam menguruskan kewangan peribadi walaupun wang masuk sentiasa ada. Justeru, jangan hairan jika kamu mempunyai kesulitan untuk mengumpul kekayaan dan kejayaan. Namun, jangan gusar dengan kesabaran dan usaha gigih, kamu biasanya beroleh kemewahan selepas berusia 40 tahun. 

 

Daripada aspek kesihatan, orang angka empat sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik. Hanya perlu berhati-hati dengan masalah pada bahagian buah pinggang dan hempedu. Sesekali, berdepan dengan penyakit berkaitan pernafasan dan pada bahagian sendi, kaki dan lutut. Sesetengah orang angka empat mempunyai kemampuan mengubati orang lain.

 

APA KERJAYAMU? 

Disebabkan kamu sukakan ilmu, kamu digalakkan melibatkan diri dengan kerjaya seperti saintis, jurutera, kontraktor, perundingan, kebajikan dan perladangan. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai ialah perundangan, pejabat kerajaan, polis, tentera, pengangkutan dan fesyen.

 

OPRAH WINFREY, IKON NO. 4

 

 

Oprah Winfrey, pengacara tersohor berangka empat yang kaya ilmu dan pengalaman hidup. 

 

 

 

 

 

Bertuahnya orang angka lima ini ialah kehidupan kamu sentiasa dihujani dengan peluang dan kamu sendiri bijak mencuri peluang itu kerana bagi kamu kebanyakan peluang tidak datang dua kali dalam hidup. 

 

Kamu seorang yang realisitik, tidak suka melayan benda-benda remeh. Karisma kamu sentiasa dihormati dan kamu punya fokus dalam hidup. Kamu tegas dalam memutuskan sesuatu itu, memiliki kekuatan fizikal dan mental, aktif, pantas dan mempunyai kuasa memujuk dan mendesak yang terbaik. Kelebihan lain yang ada pada orang angka lima adalah mempunyai naluri yang sangat kuat yang dipanggil 6th sense. Kamu boleh meramalkan sesuatu yang tidak terlihat dek mata kasarmu. Naluri rasa amat kuat. 

 

Kerajinan kamu yang tinggi itu pula akan memudahkan kamu mencapai kejayaan jika disematkan dengan kesungguhan. Sikap sukakan perubahan mendorong kamu untuk sentiasa berani mengambil risiko. Dalam pada peluang yang banyak dan kegigihan berusaha, tahukah kamu apa pula kelemahan yang selalu menjadi punca kegagalan kamu? Sikap degil dan keras kepala melemahkan peluang yang ada. Malah, orang angka lima juga ada kala sangat cerewet untuk perkara-perkara remeh. Kamu lekas bosan, resah dan cepat terpengaruh. Jika tidak bijak menggunakan akal yang matang, kamu mungkin boleh tersalah memilih arah. Belajar bertolak-ansur dengan prinsip yang dibuat, ia pasti membuat orang sekeliling juga selesa dengan kamu. 

 

Sebagai pasangan, kamu dilihat suka mewujudkan aktiviti menyihatkan dalam mengeratkan lagi hubungan itu. Kamu sukakan kekemasan yang secara tidak langsung menjadi kesenangan buat pasangan. Dalam perkahwinan, kamu sentiasa mahukan suasana keluarga yang selesa, selamat dan mewah. 

 

 

PASANGAN DAN SAHABAT SERASI

Orang angka lima bagus jika bersama pasangan bernombor satu, lima, tujuh atau lapan. Manakala untuk bersahabat, kamu lebih mudah mesra dengan indiviu berangka satu, tiga, empat, lima, tujuh dan sembilan.

 

 

WARNA YANG BAWA TUAH DAN YANG MESTI DIELAKKAN 

Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah biru dan hitam. Elakkan warna hijau, emas, perak dan putih.

 

DARIPADA SEGI KEWANGAN

Orang angka lima mempunyai status kewangan yang stabil dan jarang-jarang keputusan sumber kewangan. Berkat usaha keras dan kesabaran kamu, kehidupan kamu sering kali baik dan dilimpahi kemewahan. Kamu agak hemat dalam berbelanja dan sentiasa berbelanja pada kualiti dan bukannya kuantiti. 

 

Daripada aspek kesihatan, kamu jarang-jarang jatuh sakit. Kesihatan amat memuaskan lantaran kamu tahu menjaga diri. Namun, sekali kamu sakit, kamu akan menyusahkan orang di sekeliling kamu. Berjaga-jaga pada bahagian leher, tangan, telinga dan pernafasan. Adakan waktu berehat agar kerja yang dilakukan tidak melampaui batas keupayaan kamu.

 

APA KERJAYAMU? 

Bertuahnya orang angka lima, kebanyakan kamu berpangkat tinggi dan mempunyai jawatan. Kamu mudah mendapat kepercayaan di tempat kerja. Kamu cemerlang dalam pekerjaan yang menguasai seseorang atau keadaan seperti pengarah, doktor, hakim,

jurujual, wartawan, diplomat dan ahli ahli matematik. 

 

Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai adalah pendidikan, kebudayaan, perhubungan, buku, keagamaan, fabrik dan perkebunan.

 

MARK ZUCKERBERG, IKON NO. 5

 

 

Mark Zuckerberg, Pengasas Facebook yang punya banyak peluang kejayaan.

 

 

 

 

 

Ada yang kata orang angka enam ini mata duitan. Lebih jelas sebenarnya, kamu yang berpersonaliti angka enam sukakan kemewahan dan sentiasa mahu meraih kekayaan dalam hidup. Hatta, kamu sememangnya mempunyai kemampuan untuk mengawal harta benda dan wang. 

 

Kamu memang ‘hidup’ apabila bercakap soal wang. Ini disebabkan oleh cita rasa kamu yang tinggi dan suka berbangga dengan setiap perkara menarik yang kamu miliki. Bagaimanapun, orang angka enam ini sangat bersungguh-sungguh apabila melakukan pekerjaan. Orangnya sentiasa bertanggungjawab, ringan mulut, mementingkan keluarga dan tidak berkira untuk meringankan beban orang lain. Kamu amat mementingkan maruah diri dan sentiasa mahu diri dihormati dan dihargai. Kamu tidak mudah putus asa cuma ada kala tidak mahu mencabar diri apabila tiba pada satu peringkat yang amat mencabar dan membosankan. 

 

Kelemahan yang ada dalam diri orang berangka enam ini menyerlah dengan sikap suka merendahkan orang lain, egoistik, lekas gelisah dan ‘moody’. Kamu ada semangat yang tinggi tetapi tidak mahu melakukan kerjanyang dianggap leceh dan menyusahkan diri sendiri. Kadang-kadang kelihatan kamu agak mementingkan diri sendiri. Apabila bekerja dalam pasukan, kamu mahu orang mendengar kata-kata kamu berbanding kamu mendengar arahan orang lain. 

 

Kamu harus berubah jika mahu orang selesa dengan dirimu. Cuba menerima kekurangan orang lain sebagai satu fitrah yang ditentukan. Hargai pendapat orang dan kurangkan kedegilan yang tidak bertempat. 

 

PASANGAN DAN SAHABAT SERASI

Dalam berpacaran, kamu sememangnya diakui orang yang setia. Kamu seorang yang fokus dalam hubungan dan tidak gemar menimbulkan masalah dalam hubungan. Kamu meletakkan pasangan dan keluarga sebagai keutamaan berbanding perkara lain. Justeru, kamu mahu hubungan yang ada berjalan dengan individu angka dua, tiga, enam atau sembilan. Kamu lebih selesa berhubung secara bersahabat dengan mereka yang berangka dua, tiga, enam dan sembilan.

 

WARNA YANG BAWA TUAH DAN YANG MESTI DIELAKKAN

Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah hijau, coklat dan kuning. Elakkan warna merah, ungu dan jingga.

 

DARIPADA SEGI KEWANGAN

Gaya kehidupan kamu yang sukakan keseronokan dan berbelanja membuatkan duit sentiasa susut walaupun kamu tahu bagaimana mencari wang. Kamu suka mengumpul aset walaupun ia memberi pulangan atau sebaliknya. Kamu disarankan untuk berfikir sebelum membeli sesuatu agar tidak merugikan diri sendiri. 

 

Daripada aspek kesihatan, kamu sukar dijangkiti penyakit yang teruk. Ada kala sahaja, kamu diserang demam atau selesema. Jauhkan keadaan terperangkap seperti asap rokok, penghawa dingin dan terlalu lama berbaring dan duduk terlalu lama. Kamu perlu sentiasa bersama seseorang untuk mengelakkan rasa tertekan. kurangkan bersikap terlalu formal dan cerewet tidak bertempat.

 

APA KERJAYAMU? 

Kamu agak kerap melanggar arahan ketua dan suka berdebat apabila diminta melakukan tugasan. Jadi, cubalah kerjaya yang lebih menghiburkan kamu seperti yang berkaitan kesenian, arkitek, perkhidmatan, pemandu, atau yang berkaitan dengan menjadi orang tengah seperti broker. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai ialah pendidikan, pakaian, penanaman, perladangan, pentabdir pejabat dan guru.

 

 

MICHAEL JACKSON, IKON NO. 6

 

 

Michael Jackson berangka enam yang kaya raya dan bercita rasa berubah-ubah. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Ketahui Potensi Diri Berdasarkan Ilmu Menafsir Tarikh Lahir — Anda AIR, BESI atau API?

  • Seterus →

    Tuah NOMBOR Tarikh Lahir Anda — Ini Kehebatan Orang Angka 7, 8 dan 9 yang Luar Biasa, Gilaplah!