Feb 12, 2017 - 128215

Tuah NOMBOR Tarikh Lahir Anda — Ini Kehebatan Orang Angka 7, 8 dan 9 yang Luar Biasa, Gilaplah!

Berikut kami kongsikan tafsiran karakter buat individu yang bernombor 7,8 dan 9. Ayuh baca dan perkukuhkan peribadi kita daripada ilmu tafsiran ini.

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman

 

 

 

 

SEKADAR peringatan, sebelum kita mengulas lebih lanjut tentang personaliti diri kamu menerusi angka, apa kata kamu belajar dahulu bagaimana kaedah mengira tarikh lahir ini. Hanya terdapat sembilan personaliti yang ada di sini iaitu daripada personaliti satu hingga sembilan. Setiap satu personaliti angkat tersebut akan penulis huraikan mengenai kelebihan diri, kelemahan diri, kewangan, kerjaya, warna bertuah, personaliti, perkahwinan dan potensi diri. 

 

Jika anda mencari tafsiran nombor tarikh lahir individu yang bernombor 1,2, 3, 4, 5 dan 6, anda boleh membacanya di pautan ini:

 

Artikel Bahagian Pertama:

Ketahui Potensi Diri Berdasarkan Ilmu Menafsir Tarikh Lahir — Anda AIR, BESI atau API?

 

Artikel Bahagian Kedua:

Kiralah Nombor Tarikh Lahir Anda — Ini Kelebihan Orang Angka 4, 5 dan 6 yang Anda Perlu Tahu

 

 

Berikut adalah gambar rajah menunjukkan cara untuk mengira angka personaliti kamu. Menerusi gambar rajah piramid ini, kamu akan memperoleh dua angka diri kamu iaitu ANGKA ASAS dan ANGKA UNTUK STATUS KEWANGAN. Angka kewangan yang di bawah sekali itu akan hanya mengeluarkan tiga nombor sahaja iaitu, tiga, enam dan sembilan. Ringkasnya, tiga bermaksud kewangan yang selalu keluar, enam bermaksud kewangan yang banyak masuk dan sembilan membawa maksud kamu mempunyai banyak aset.

 

 

 

 

 

DAN BERIKUT ADALAH TAFSIRAN ORANG ANGKA 7, 8 DAN 9

 

 

 

Orang paling mudah meraih pengaruh dan pengikut adalah orang yang berangka tujuh. Sungguh, kamu mudah mencuri perhatian dan kamu amat menyenanginya. Kamu sentiasa mahu memahami dan menguasi diri sehingga sentiasa tercari-cari kesempurnaan.  

 

Orang angka tujuh memiliki kemahiran dan ketelitian dalam menguruskan sesuatu perkara. Karakter kamu sangat berani, optimistik, kontroversi, unik dan sukakan kemasyhuran. Kamu suka dirimu disebut-sebut dan berada di tengah khalayak ramai. Kamu agak dramatik dan sukakan hiburan. Namun, kamu tidak pula sukakan pergaduhan dan permusuhan. Keamanan dan kasih sayang adalah perkara yang sentiasa kamu dambakan. Kamu kuat bekerja dan tidak suka duduk diam terlalu lama. Orang angka tujuh wajar dibantu kerana mereka menghargai orang yang sentiasa membantu mereka dan tahu berterima kasih. 

 

Karakter kamu yang lincah tidak selincah kamu dalam menyelesaikan masalah hidup. Masalah besar kamu adalah suka berubah-ubah pemikiran dan mudah menukar keputusan walau di saat-saat akhir. Pendirian kamu mudah goyah. Apabila berdepan dengan masalah dan kesulitan, kamu licik dalam melepaskan diri dengan 1001 muslihat dan alasan. Pada satu-satu keadaan, tingkah kamu agak misteri, sukar untuk difahami, suka berlawan cakap, sensitif, cerewet dan agak pemarah. 

 

Kamu selalu berasa risau jika tidak mampu mengecapi gaya hidup yang diimpikan. Kamu perlu belajar hidup secara realistik dan jangan suka lari daripada masalah. Teguhkan pendiriaan dan beranilah berdepan dengan masalah. 

 

PASANGAN DAN SAHABAT SERASI

Hubungan orang berangka tujuh dengan pasangannya kerap dilanda emosi berubah-ubah. Kamu cepat terusik dan ‘moody’ dan bersikap tidak diduga sehingga menyebabkan pasangan lebih suka menjauhkan diri. Ada kala, kamu lebih mengutamakan kawan-kawan daripada si dia. Untuk memiliki pasangan yang memahami kamu, cubalah berhubungan dengan individu bernombor satu, tiga, empat, lima, tujuh atau lapan. Manakala, dalam berkawan, kamu amat selesa dengan individu satu, tiga, empat, lima, tujuh dan lapan.

 

WARNA YANG BAWA TUAH DAN YANG MESTI DIELAKKAN

Warna yang bagus untuk orang angka tujuh ialah merah, ungu dan jingga. Elakkan warna coklat, kuning dan hijau.

 

DARIPADA SEGI KEWANGAN

Kamu dilihat agak sukar mengumpul kekayaan kerana dikelilingi pemikiran dan cita rasa yang sering berubah-ubah dan mahukan yang terbaik untuk diri sendiri. Namun, ia bergantung kepada diri kamu sendiri untuk mencari peluang yang tepat demi memenuhi gaya kehidupan mewah yang diimpikan.

 

Daripada aspek kesihatan, kamu kerap sakit-sakit badan akibat daripada tekanan yang dihadapi. Teliti masalah pengaliran darah, sakit dalam perut dan demam. Seimbangkan aktiviti kerja dan waktu rehat agar kamu dapat elakkan rasa terlalau penat. Elakkan persekitaran lembap dan sejuk yang keterlaluan kerana ia menganggu kesihatan kamu kelak. Tidur dengan stoking.

 

APA KERJAYAMU? 

Disebabkan kamu mudah meraih pengaruh, kamu elok terlibat dalam pekerjaan melibatkan pemasaran, politik, telekomunikasi atau perniagaan melibatkan keuntungan pantas. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai adalah yang melibatkan hartanah, kewangan, perundingan, perakaunan, perlombongan dan arkitek.

 

 

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, IKON NO. 7

 

 

Tun Dr. Mahathir individu yang kuat bekerja dan mudah meraih pengaruh. 

 

 

 

 

 

Seperti bentuk angka lapan yang berpusing pusar, orang bernombor lapan ini hidupnya penuh dengan bebanan dan tanggungjawab. Kamu jenis orang yang tidak banyak cakap tetapi lebih banyak bekerja. Pendek kata, boleh diharapkan untuk menjayakan sesuatu tugasan. 

 

Ada kala, kamu agak pendiam dan konservatif, hanya teman-teman rapat yang mengenali kamu sebagai seorang yang ceria dan aktif. Kamu sangat dikenali dengan disiplin diri, sistematik, berwawasan, suka berfikir, kreatif, tahan tekanan, bijak mengurus, dan sentiasa disenangi kerana sikap yang memahami masalah dan perasaan orang lain. Kamu sentiasa menjadi harapan sesiapa sahaja. Dalam kerja berkumpulan, kamu dilihat suka bekerjasama dan mahu menguasai. Tidak berkira dan sentiasa mempertahankan kawan-kawan. Semangat kamu sentiasa tinggi dan tidak suka berpura-pura. 

 

Walaupun sistematik, ada kala kamu masih kabur dengan apa yang ingin dilakukan. Kamu lekas hilang fokus jika terlalu banyak perkara ingin dilakukan dalam satu-satu masa. Ramai melihat kamu seorang yang kuat secara luaran, hakikatnya dalaman kamu amat lembut dan mudah terusik. 

 

Sikap terlalu berhati-hati ada kala merugikan diri kamu kerana terlepas banyak peluang. Saranan terbaik adalah hindarkan sikap suka bertangguh dalam menilai sesuatu peluang yang datang kerana peluang tidak menanti kamu. Walaupun kamu kurang sifat kewanitaan, namun kamu tetap disenangi pasangan lantaran sikap tanggungjawab dan sentiasa rela berkorban yang sangat dihargai. 

 

PASANGAN DAN SAHABAT SERASI

Orang angka lapan pentingkan kesetiaan dan pantang jika kepercayaan kamu diracuni. Sekiranya kamu mahu mencari teman hidup atau berkasih sayang, cubalah berhubungan dengan individu yang berada di bawah angka empat, lima, tujuh atau lapan. Manakala, untuk mencari teman yang mudah memahami kamu, berkawanlah dengan mereka yang di bawah payung nombor tiga, empat, lima, tujuh dan lapan.

 

WARNA YANG BAWA TUAH DAN YANG MESTI DIELAKKAN

Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah emas, perak dan putih. Elakkan warna biru dan hitam.

 

DARIPADA SEGI KEWANGAN

Rata-rata orang berangka lapan mempunyai ekonomi yang kukuh. Semua itu, kamu perolehi hasil daripada usaha sendiri. Kamu tidak akan memperoleh sesuatu itu dengan mudah dan peluang percuma semata-mata. Kestabilan kewangan bergantung penuh pada ketekunan kamu mencari wang. Daripada aspek kesihatan, kamu cepat dilanda tekanan dan hati mudah terusik yang mencelarukan kesihatan diri. Cenderung menghadapi masalah kaki, gigi dan telinga, rheumatiusma dan kelumpuhan. Apabila sakit, kamu mengambil masa yang agak panjang untuk sembuh.

 

APA KERJAYAMU?

Disebabkan sikap bertanggungjawab yang tinggi, kamu sebenarnya bisa sahaja menceburi apa jua lapangan namun lebih bagus jika kamu terlibat dalam kerjaya berkaitan sains, matematik, pembangunan organisasi, perundangan, instituisi kewangan dan pengangkutan. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai adalah berasaskan perkhidmatan, wartawan, kebudayaan dan jurujual. 

 

 

KARL LAGERFELD, IKON NO. 8

 

 

Karl Lagerfeld di bawah angka lapan yang sentiasa diberi tanggungjawab besar.

 

 

 

 

Kata orang, kamu yang berangka sembilan ini kalau tidak berjaya dalam hidupnya, tidak tahulah! Kamu sememangnya dilahirkan untuk mengecapi kejayaan hidup asal sahaja punya usaha yang tinggi. Sikap kamu yang optimistik, terbuka, peka dan pintar menjadikan kamu berkebolehan melakukan sesuatu pekerjaan itu. 

 

Namun, kamu bukan pula orang yang terperinci. Orang angka sembilan agak sensitif, beremosi dan suka untuk tampil cantik. Kiranya, kamu sentiasa mahu dipuji dan tidak suka jika seseorang memandangmu negatif atau rendah. Jika diminta, mengajar, kamu suka untuk melakukannya dan senang membantu orang lain. 

 

Gerak hati orang angka sembilan ini kuat, kreatif dan penuh dengan inspirasi. Kamu sentiasa menjaga kepentingan dirimu dan boleh berkawan dengan sesiapa sahaja kerana kamu mudah menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan. Malangnya, sampai satu tahap, kamu tidak punya ramai teman dan sering kesepian. Tuah datang selepas usiamu 35 tahun. Jika menjadi bos, kamu jenis majikan yang kurang mengambil berat perihal orang bawahan. 

 

Walau kejayaan selalu di depan mata, orang angka sembilan cenderung untuk gagal dek sikap mudah putus asa dan menyerah kalah jika berdepan dengan dugaan besar. emosi juga sering berubah, sering kemurungan dan muram. Jika tidak dikawal, kamu berpontensi untuk hilang ramai kawan dan akan terus dilanda sepi. 

 

PASANGAN DAN SAHABAT SERASI

Sekiranya pasangan kamu seorang perniaga, kamu suka bekerja dengannya. Kamu individu yang penyayang jika bersama di dia walaupun ada kala agak cemburu dan suka menguji kesetiaan pasangan. Kamu percaya pada cinta pertama dan terakhir dan selalunya cinta orang angka sembilan mampu bertahan lama. Pasangan serasi untuk dijadikan teman hidupmu ialah tiga, enam dan sembilan. Manakala, jika mahu meramaikan sahabat, berkawanlah dengan mereka yang bernombor satu, dua, tiga, empat, enam, tujuh dan sembilan. 

 

WARNA YANG BAWA TUAH DAN YANG MESTI DIELAKKAN

Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah coklat, kuning, biru dan hitam. Elakkan warna emas, perak dan putih.

 

DARIPADA SEGI KEWANGAN

Seperti mana kejayaan yang selalu menunggu, kewangan juga sentiasa stabil. Walaupun, ia tidak tetap setiap bulan, namun rezeki itu ada. Cuma, sikap suka berbelanja terutama kepada orang yang disayangi tanpa mengira keperluaan membuatkan wang simpanan ada pasang surut.

 

Kamu mempunyai banyak aset berbanding wang tunai. Daripada aspek kesihatan, agak kurang memuaskan bagi orang angka sembilan ini. Kamu mudah sakit dan lemah. Selalu menghadapi masalah kepanasan badan, demam, batu karang, dan yang berkaitan dengan tekak juga. Ambil suplemen dan selalulah menutupi lehermu jika diserang demam dan suhu badan tidak menentu.

 

APA KERJAYAMU? 

Mata kamu pasti tak berkelip jika dapat bekerja di sektor hartanah, kewangan, perundingan atau apa sahaja yang berkaitan dengan keberanian dan agresif seperti ketua dalam sesuatu institusi, perancang dan usahawan. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai adalah daripada sektor perundangan, kejuruteraan, kerajaan, automotif dan pengawal keselamatan. 

 

 

TYRA BANKS, IKON NO. 9

 

 

Tyra Banks yang berangka sembilan juga seorang yang ‘perfectionist’. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Kiralah Nombor Tarikh Lahir Anda — Ini Kelebihan Orang Angka 4, 5 dan 6 yang Anda Perlu Tahu

  • Seterus →

    "Dengan AYAH, Tiada Perkara yang Mustahil" — AIZAT AMDAN