Feb 11, 2017 - 127652
Oleh: Afiza Kamarulzaman
SEDARKAH kamu hakikat kehidupan kita sehari- hari sebenarnya banyak dipengaruhi dan dikelilingi oleh nombor? Malah, apabila tiba masanya kita pergi menemui Ilahi juga, perkara yang tercatat di batu nisan kita nanti juga adalah angka! – tarikh dilahirkan, tarikh dikembalikan dan usia kita saat itu. Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata masyarakat Cina amat mementingkan perihal nombor yang mereka percayai memberi impak besar dalam untung nasib kehidupan mereka.
Sebagai orang Islam, kita wajib mempercayai Qada dan Qadar yang ditetapkan oleh yang di atas sana. Pengiraan tarikh lahir yang ingin penulis unjurkan ini hanyalah salah satu daripada cabang ilmu psikologi menerusi pengiraan tarikh lahir. Objektif pengiraan ini tidak lebih daripada sekadar memberi informasi tentang personaliti seseorang untuk memantapkan lagi potensi diri kamu dan sebagai salah satu medan membaiki kelemahan diri demi mencapai kejayaan hidup.
Sebelum mengulas lebih lanjut tentang personaliti diri kamu menerusi angka, apa kata kamu belajar dahulu bagaimana kaedah mengira tarikh lahir ini. Hanya terdapat sembilan personaliti yang ada di sini iaitu daripada personaliti satu hingga sembilan. Setiap satu personaliti angkat tersebut akan penulis huraikan mengenai kelebihan diri, kelemahan diri, kewangan, kerjaya, warna bertuah, personaliti, perkahwinan dan potensi diri.
Berikut adalah gambar rajah menunjukkan cara untuk mengira angka personaliti kamu. Menerusi gambar rajah piramid ini, kamu akan memperoleh dua angka diri kamu iaitu angka asas dan angka untuk status kewangan. Angka kewangan yang di bawah sekali itu akan hanya mengeluarkan tiga nombor sahaja iaitu, tiga, enam dan sembilan. Ringkasnya, tiga bermaksud kewangan yang selalu keluar, enam bermaksud kewangan yang banyak masuk dan sembilan membawa maksud kamu mempunyai banyak aset.
Seperti mana nombornya satu yang pertama, orang berangka satu dikaitkan dengan kepimpinan, agak bossy, suka memerintah dan sentiasa mahu menjadi yang utama. Kamu seorang yang sangat berdikari, teliti dengan setiap aturan, bijak menganalisis sesuatu perkara, sentiasa menegakkan keadilan, berwibawa dan sentiasa rela menjadi wakil untuk apa jua perkara. Orang angka satu ini sangat disenangi dengan sikap spontan mereka dan tidak gentar berdepan dengan apa jua cabaran, pantang dicabar dan bersemangat tinggi. Fokus, rasional, suka berfikir, kreatif dan sentiasa dilimpahi ilham yang datang tidak kira masa.
Namun, seperti mana dia seorang yang suka bekerja dan membantu, dia juga suka kalau dipuji dan dihargai. Kerana sikapnya itu, dia sangat mudah meraih sokongan orang dan mempunyai daya tarikan jantina berlawanan.
Walaupun orang nombor satu kelihatan tegas, keras dan egoistik, jauh di sudut hatinya, mereka ini seorang yang sensitif sehingga ada kalanya sukar menerima kritikan dan pendapat orang lain. Ada ketikanya, kamu juga agak mementingkan diri sendiri, sukar mengalah dan sentiasa mahu menang dalam pendebatan mahupun perhubungan. Kamu sentiasa mahu didahulukan dalam apa jua situasi dan sentiasa mahukan kesempurnaan dalam hidup.
Sikap suka mendominasi dalam hubungan sama si dia juga membuatkan orang angka satu kurang disenangi pasangan dan buat si dia selalu makan hati dalam diam. Namun, pasangan kamu selalunya terpikat dengan kebijaksanaan kamu dan disebabkan kamu kreatif mencipta suasana baru yang tenang dan ceria, kamu tidak membosankan pasangan.
Lazimnya orang angka nombor satu mudah terpikat dengan pasangan yang bernombor satu, empat, lima dan tujuh. Manakala, untuk bergaul kamu lebih gemar kepada mereka bernombor satu, tiga, empat, lima, tujuh dan sembilan.
DARIPADA SEGI KEWANGAN
Walaupun berada pada tahap yang baik, namun kamu perlu berhati-hati dalam pengurusan keluar masuk wang kamu. Kamu kuat berbelanja lantaran keinginan untuk sentiasa hidup mewah dan bercita rasa tinggi. Orang nombor satu kuat bekerja dan pandai mencari wang namun kena ada simpanan tetap untuk mengelakkan kamu kehabisan wang di waktu susah nanti. Daripada aspek kesihatan, nampaknya orang angka satu punya kesihatan yang baik.
Hanya perlu elakkan terperangkap dalam keadaan terperap seperti asap rokok atau penghawa dingin terlalu lama. Elakkan terlalu lama berbaring dan duduk. Bergerak untuk beberapa ketika daripada keadaan seperti itu.
Kawal tekanan hidup dengan tidak menjadi terlalu formal, cerewet dan suka bersendirian. Raikan diri seminggu sekali untuk kurangkan tekanan dan stres yang membelenggu. Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah hijau, coklat dan kuning. Elakkan warna biru, hitam, merah, ungu dan jingga yang mungkin melemahkan semangat dan potensi diri.
APA KERJAYAMU?
Umumnya, orang angka satu suka bertukar pekerjaan demi meraih kepuasan diri. Kamu juga lekas bosan untuk terperuk lama dalam sesuatu pekerjaan itu. Kamu sukakan cabaran dan tidak betah untuk duduk selesa dalam sesuatu sektor itu.
Antara kerjaya yang dekat dengan orang angka satu ini ialah pengarah, usahawan, pendidik, pentadbir pejabat, pereka, penerbitan dan pegawai perhubungan. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai ialah yang berkaitan dengan makanan, berita, telekomunikasi, penerbangan, ahli psikologi dan fesyen.
IKON NO. 1
“Salah satu daripada rahsia kejayaan dalam segala lapangan ialah memberi apa yang dihajatkan ramai dan bukan memaksa ramai menerima yang kita fikirkan. The public is always right.” — P. Ramlee ( P.Ramlee individu angka satu yang sentiasa mendominasi karya agungnya. )
Kekuatan besar orang angka dua adalah pada suaranya. Daripada segi lontaran vokal, bercakap mahupun luahan pendapat. Seperti elemen air yang diwakilinya, kamu seorang yang kelihatan tenang dan tidak sukakan permusuhan mahupun suasana tegang. Personaliti orang angka dua biasanya sangat menarik dan sentiasa menarik orang untuk mendekatinya. Dalam apa jua keadaan, kamu sentiasa berfikir berkali-kali dan matang dalam membuat sebarang tindakan.
Kebanyakan orang angka dua suka bergaul dengan orang yang lebih berusia. Ada antara kamu yang kuat berimaginasi, idealisitik, anatikal dan sistematik. Walapun ada, kala sikap luaran kamu mengundang persepsi negatif sesetengah orang, hakikatnya orang angka dua seorang yang lembut hati, peka dan suka menghulurkan bantuan kepada orang lain. Mungkin, ada kala cara kamu itu kelihatan tidak ‘nyaman’, namun kamu tetap melakukan kebaikan.
Dalam tenang-tenang orang angka dua ini, kadang-kadang keras kepala juga. Kamu boleh memberikan seribu nasihat namun, tidak semestinya dia akan menuruti. Orang angka dua, lebih suka bertindak mengikut kata hatinya sendiri daripada menerima pandangan orang. Agak malang juga, kelemahan kamu terletak pada sikap kamu yang terlalu takut dengan perubahan yang tidak dijangka.
Kamu tidak sukakan cabaran yang terlalu besar dan takut melakukan kesilapan. Dalam perhubungan, kamu keihatan agak cemburu sehingga ada kala mengundang situasi dingin dengan pasangan. Namun, orang angka dua jenis yang suka beralah dan sanggup duduk berbincang dan memberi peluang kedua kepada pasangannya.
Kamu tidak rela orang melihat kecanggungan dalam hubungan kalian, jadi reda adalah kata kuncinya. Pasangan yang sesuai untuk kamu ialah yang berangka dua, empat dan enam manakala untuk bersahabat, kamu lebih selesa dengan mereka yang bernombor dua, empat, enam dan sembilan.
DARIPADA SEGI KEWANGAN
Kamu pandai menyimpan duit namun tidak banyak pun peningkatannya saban bulan. Ini kerana kamu seorang yang kurang komited dengan kerjaya dan tidak mahu mencabar diri membuat perubahan. Apa pun, kamu jenis yang tidak tamak dan sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada.
Jika itu yang kamu mahukan, maka hidup kamu akan terus berada pada kondisi selamat. Daripada aspek kesihatan, orang angka dua dilihat selalu berdepan masalah dalam perut dan pengaliran darah. Ada juga yang berdepan masalah asma, diabetes, kerisauan dan masalah untuk tidur.
Kamu perlu mengatur jadual dan tekanan dengan sebaiknya kerana kamu punya masalah untuk mengawal stres. Jauhkan persekitaran lembap dan sejuk. Sesekali, lapangkan diri dengan pergi berehat atau bercuti panjang.
Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah merah, ungu dan jingga. Elakkan coklat, kuning dan hijau yang membuatkan aura kamu sedikit lemah dan tidak membantu.
APA KERJAYAMU?
Orang angka dua seorang yang setia dan boleh duduk lama dalam sesuatu lapangan kerjayanya. Mereka sukakan persekitaran kerja yang selesa dan terjamin. Kamu sukakan pekerjaan yang sibuk dan penuh tanggungjawab, asal sahaja pulangannya stabil.
Antara kerjaya yang sesuai untuk kamu ialah yang berkaitan dengan imaginasi, keseniaan, guru, majalah, penjenamaan, makanan, perundangan, institusi kewangan dan perubatan. Sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai ialah yang berkaitan dengan hartanah, pembinaan, perundingan, perladangan dan arkitek.
IKON NO. 2
Kredit foto: Instagram
Dato Siti Nurhaliza salah seorang yang berangka dua yang mempunyai kekuatan pada suara.
Individu berangka tiga agak panas berapi. Kamu jenis manusia yang aktif, mempunyai tenaga yang meluap-luap dan tidak betah duduk diam. Kamu dan cita-cita tidak dapat dipisahkan. Seorang yang berpandangan jauh, punya matlamat hidup, idelaistik dan jelas dengan perancangan hidupmu. Justeru, kamu tidak boleh menerima alasan kawan-kawan yang selalu kalah dalam kehidupan mereka dan tidak berpendirian.
Kamu bijak dalam membezakan sesuatu yang baik dan tidak. Punya sikap kelakar dan suka berfalsafah. Berikan apa sahaja tanggungjawab, orang angka tiga akan cuba menyudahkannya sampai berjaya dan bersungguh- sungguh. Lantaran sikap yang meluap- luap itu, orang angka tiga ini biasanya berpontensi menjadi kaya dan berharta dan biasanya mengecapi kejayaan sebelum usia 30 tahun!
Dalam fokus orang angka tiga berdepan dengan cabaran hidup, ada kala kamu kelihatan tidak sabar, cepat melatah, panas baran dan boleh menjadi agresif dan kejam jika tidak dinasihati. Walaupun kamu mampu melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh, namun hasilnya belum tentu sempurna kerana orang angka tiga ada juga sikap kurang teliti dan ambil mudah.
Sikap kamu yang suka berterus-terang dan tidak pandai bermain bahasa, ada kala mengguris hati orang yang mendengarnya. Sebaliknya, kamu sendiri tidak juga boleh menerima kritikan orang terhadap dirimu. Kamu disarankan untuk belajar bersabar dan tenang. Disbebakan sikap kamu yang ada kala agak formal dan terllau fokus dengan kehidupan, kamu ada kala ketinggalan dalam perhubungan dan cinta. Bukan kamu tidak punya daya tarikan tetapi sikap kamu yang tidak mahu bertolak-ansur dengan pasangan ada kala merugikan diri kamu sendiri.
Kelantangan dalam bersuara juga menyebabkan pasangan sering kali terluka dan tidak juga mahu menjaga hati kamu. Orang angka tiga disarankan berpacaran sama pasangan yang bernombor tiga, enam, tujuh dan sembilan. Manakala, untuk mencari kawan, silalah mendekati indiviu yang berangka satu, tiga, lima, enam dan tujuh.
DARIPADA SEGI KEWANGAN
Walaupun orang angka tiga seorang kuat berbelanja dan sedikit boros tetapi aliran kewangan kamu masih berada pada tahap yang baik. Kamu tahu
bila mana akaun kamu semakin susut dan bijak memanfaat baki yang ada. Kamu suka membuat aset dan jangan lupa untuk sesekali menderma atau bersedekah sebagai getaran wang kamu.
Daripada aspek kesihatan, orang angka tiga harus berwaspada dengan masalah darah, arteri, dada, paru-paru, tekak dan gout. Jaga pemakanan dengan mengurangkan makanan manis, bergula dan berkolesterol tinggi. Elakkan mandi malam yang melemahkan kesihatan kelak. Kamu selalunya jarang sakit kerana kamu lekas sembuh apabila ditimpa sakit-sakit yang biasa. Apa pun, jangan ambil mudah tentang kesihatan diri.
Warna yang membawa tuah kepada kamu ialah emas, perak dan putih. Elakkan warna biru, hitam, coklat dan kuning.
APA KERJAYAMU?
Seperti yang penulis katakan tadi, orang angka tiga ini senantiasa bercita-cita tinggi dan bersemangat waja justeru mereka amat intim dengan kerjaya yang melibatkan persaingan dan berdepan dengan orang ramai seperti bidang politik, perundangan, perbankan, kejuruteraan, penguatkuasaan, setiausaha, doktor dan artis. Dan, sebaliknya kerjaya yang kurang sesuai ialah yang berkaitan dengan perkhidmatan, perladangan, perakaunan, wartawan, jurujual dan diplomat.
IKON NO. 3
Kredit foto: Instagram
Rozita Che Wan berangka tiga yang diketahui memang kuat bekerja dan punya banyak aset.
Jika anda mencari tafsiran nombor tarikh lahir individu yang bernombor 4, 5, 6, 7, 8 dan 9, anda boleh membacanya di pautan ini:
Artikel Bahagian Kedua:
Artikel Bahagian Ketiga: